MAT DAN MEL - 20
Mak aku telah memberitahu kepadaku bahawa bapa akhirnya telah memberanikan dirinya untuk pergi berhadapan dengannya. Bapa aku telah meminta maaf kepadanya kepada segala apa yang telah berlaku di antara mereka. Mak aku seorang yang pemaaf. Dia telah memaafi bapa aku. Tetapi dia ada kata dia belum bersedia untuk pulang ke Shah Alam. Dia perlukan sedikit masa untuk menerima bapa aku kembali ke dalam hidupnya. Aku sebagai anaknya yang paling tua memberitahunya bahawa dia tidak perlu tergesa-gesa di dalam hal ini. Biarlah dia mengambil masanya sendiri untuk melihat jika bapa aku betul-betul ikhlas mahu menjadi seorang suami untuknya dan seorang ayah yang baik untuk aku, Hani dan Nani.

Hasnah menjumpai teman lelaki yang sesuai untuknya. Seorang pemuda berbangsa Cina yang baru sahaja pulang ke Malaysia setelah mendapatkan ijazahnya dalam bidang Perundangan di Cambridge. Aku rasa Hasnah menyayanginya lebih dari dia menyayangiku. Baguslah kalau macam tu. Aku bahagia jika aku lihat dia bahagia.

Aku rasa semakin sayang dengan Melati. Dia sendiri tahu aku sayang kepadanya. Aku dan dia terus memakai sayap yang telah dibuat oleh Raslan ke kampus. Dalam sekejap masa, ramai yang mula tertanya-tanya dari mana mereka boleh mendapatkan sayap tersebut. Raslan kini menerima banyak tempahan untuk sayap rekaannya. Dia dan Tamrin kini menjadi tauke buat sayap ini. Rumah kami sekarang penuh dengan sayap-sayap yang mereka usahakan bersama. Seperti gelang ala Livestrong yang menjadi kegilaan remaja, kini aku lihat ramai yang memakai kepak rekaan Raslan ini ke mana-mana sahaja aku pergi. Mereka memakai sayap ini sebagai bukti cinta mereka kepada orang yang mereka sayangi.

Aunty Kalsom sering memberitahu kepada Melati supaya jangan sekali-kali berputus asa di dalam hidup. Kita tidak boleh berputus asa jika mahu mengecap kebahagiaan yang kita cari-cari. Aku tidak mahu berputus asa dalam pencarian ku mencari kebahagiaan ku. Itulah janji ku kepada diriku dan kepada Melati, disaksikan awan-awan indah kesayangannya...

TAMAT

Untuk mak yang telah mengajarku untuk menjadi seorang manusia yang pemaaf