KILL ME WITH LOVE - 20
SUDAH lama kau pergi Kay... hampir sebulan sudah pun berlalu tetapi kau belum pulang! Entah apa yang terjadi di sana yang menyebabkan lelaki itu belum kembali.

Sepanjang ketiadaan Khairul Rasheed, Kharlissa sering kali ke Puduraya. Malah hampir setiap hari dia duduk di terminal itu. Sejam ataupun dua jam berlalu begitu sahaja. Dia asyik memerhati orang, tercari-cari wajah yang mungkin dikenali, namun tiada.

Kharlissa begitu hampa. Dia menapak pulang. Sejak kebelakangan ini dia merasakan hidupnya kembali sunyi. Tanpa Khairul Rasheed di sisi, dia kebosanan yang sangat. Dia rindukan lelaki itu. Kerinduannya sedalam lautan tidak bertepi.

Tiba-tiba dia terlihat seorang lelaki berdiri di hadapan pintu lif. Kharlissa berjalan ke arahnya. Lelaki itu menoleh. Dia tersenyum.

Hai! tegur Norman.

Hai! balas Kharlissa dengan suara yang lemah.

Awak baru balik kerja

Kharlissa mengangguk sahaja. Dia menjeling Norman. Apabila Khairul Rasheed tiada di rumah, Norman akan tinggal di rumahnya. Kharlissa tidak mengerti mengapa Khairul Rasheed berbuat begitu, seolah-olah di rumahnya tersimpan sesuatu yang amat berharga.

Nak keluar makan malam tak Char kuey teow kat depan kondo ni sedap tau! Awak dah pernah cuba

Kharlissa menggeleng. Malas dia hendak melayan Norman. Namun Norman tidak putus asa. Dia sentiasa berusaha untuk mendekati Kharlissa.

Kharlissa mengerti benar. Sekali pandang sahaja Kharlissa tahu yang Norman tertarik padanya. Dia tidak pernah melepaskan peluang untuk menegur dan menghampiri Kharlissa di setiap kesempatan yang ada.

Kharlissa terus berjalan ke arah rumahnya sementara Norman menuju ke rumah Khairul Rasheed. Di tepi pintu Kharlissa terlihat bungkusan berbalut dengan kertas putih. Dia tidak hairan lagi dengan bungkusan sebegitu. Dia sudah pasti bungkusan itu daripada siapa.

Kharlissa membuka bungkusan yang berbalut

kemas. Di dalamnya terdapat sebuah sampul surat besar dan isi di dalamnya agak tebal. Kharlissa membacanya dengan cepat. Matanya berlari-lari di atas barisan tulisan yang tertera. Maxy mengirim maklumat tentang bapanya yang kini berada di Kobe, Jepun.

Kharlissa termenung sejenak. Maxy telah mencari maklumat dan cerita tentang bapanya. Malah sekeping gambar disertakan bersama di dalam sampul surat itu. Kharlissa menatap gambar itu. Pertama kali dia melihat gambar wajah bapanya. Lelaki itu kelihatan sudah agak berumur, mungkin di pertengahan lima puluh tahun. Dia kelihatan sihat dan masih tegap. Kemudian Kharlissa membelek sekeping lagi gambar.

Gambar itu mempamer wajah Yusuf Takamura bersama isteri bangsa Jepun serta dua orang anaknya. Hati Kharlissa digigit pilu. Bapanya bahagia, sangat bahagia bersama dengan keluarga baru. Sedangkan di sini, lelaki itu langsung tidak tahu bahawa ada seorang lagi anaknya yang pernah hidup menderita.

Kharlissa merenyukkan gambar itu. Dia benci melihat kebahagiaan orang lain sedangkan hatinya tidak pernah disinggahi rasa bahagia. Bahagia yang sejenak bersama Khairul Rasheed kini telah pun hilang. Mungkinkah kebahagiaan itu kembali lagi ataupun ia terus dirampas pergi buat selama-lamanya

Seringkali apabila Kharlissa susah hati, dia akan mengemas rumah, membersihkan tandas dan mengemop lantai. Dia tidak ingin memikirkan apa-apa, terutama sekali Khairul Rasheed. Sudah sekian lama pergi, lelaki itu langsung tidak menghubunginya. Hati Kharlissa bagaikan hancur mengingatkan lelaki itu. Mungkin Khairul Rasheed sudah lupa pada Kharlissa yang dahagakan berita daripadanya. Kharlissa lelah menanti kepulangan yang entah bila waktunya.

Sambil mengelap meja kopi dari kaca itu, Kharlissa menyanyi kecil, cuba menghibur hatinya sendiri.

Youre not here, I am paralyzed.W ithout you I cant look I will blind, I lost my heart I lost my mind. Without you, I cant take one more sleepless night. Without you...

Kharlissa terduduk kepenatan. Nafasnya termengah-mengah. Mata Kharlissa jatuh ke arah tong sampah yang sudah penuh isinya. Beria-ria dia mengemas rumah, biarpun jam sudah hampir pukul sepuluh malam.

Aduh! Perut terasa lapar pula! Lebih baik pergi buang sampah dulu, lepas tu boleh pergi ke gerai beli char kuey teow. Tiba-tiba terliur pula tekaknya apabila teringatkan char kuey teow yang disebut Norman petang tadi.

Selamat malam Kharlissa! tegur Norman semasa Kharlissa sedang membuang sampah.

Selamat malam, balas Kharlissa sambil menghadiahkan secebis senyuman paksa.

Saya belikan awak char kuey teow. Awak belum makan kan

Dahi Kharlissa berkerut kala melihat Norman menghulur beg plastik. Di dalam beg itu terdapat polisterina putih, berisi char kuey teow. Terkedu seketika, Kharlissa hilang kata-kata.

Ambillah! Tadi saya turun makan kat gerai. Teringatkan awak. Jadi, saya belilah sebungkus bawak balik. Ingat nak ketuk pintu rumah awak tadi, tapi dah terjumpa awak kat luar ni.

Hmm, tak sangka pula Norman ni baik hati! Bisik hati Kharlissa. Dulu aku fikir dia ni sorang lelaki tak guna, yang pantang tengok perempuan dahi licin. Rupa-rupanya dia prihatin.

Err, sebenarnya saya ada niat juga nak turun bawah. Nak beli char kuey teow dan teh tarik, balas Kharlissa sambil mengambil beg plastik yang terhulur ke arahnya.

Norman tersengih.

Biar saya pergi belikan teh tarik untuk awak ya kata Norman beria-ria.

Eh, tak payahlah! Saya minum air mineral je! Sebab kat rumah saya belum ada cerek.

Atau kalau awak nak ambil air panas di rumah Kay

pun boleh. Kat rumah dia semua ada. Teh, kopi, kapucino, gula, susu.

Kharlissa tertawa kecil. Dia menggeleng lembut, Ada tak Kay contact awak, Norman

Norman menggaru kepala yang tidak gatal. Dia merenung sahaja wajah Kharlissa yang berdiri tegak di hadapannya. Norman menggeleng.

Tak ada pulak. Dia tak contact awak langsung ke

Kharlissa pula menggeleng beberapa kali, Saya risau. Apa yang berlaku kat dia

Tak ada apa-apalah. Kalau dia ke US selalunya dia pergi New York. Rumah kakak angkat dia kat sana. Kakak angkat dia kahwin orang kaya. Tapi baru-baru ni suami kakak angkat dia dibunuh dengan kejam, cerita Norman.

Huh! New York Dibunuh dengan kejam Bisik hati Kharlissa tidak keruan. Mengingatkan nama kota itu hatinya mulai rasa tidak keruan. Terlalu banyak peristiwa berlaku di sana. Dia tidak akan dapat melupakannya seumur hidup.

Seluruh tubuh Kharlissa tiba-tiba menggeletar. Berita itu agak mengejutkannya.

Kenapa dia dibunuh

Norman diam sejenak. Dia menggelengkan kepala.

Ini adalah amanah! Aku takkan buka rahsia Kay. Biar Kay sendiri yang bercerita segala kisah keluarganya, bisik hati Norman.

Maaflah Kharlissa. Saya tak tahu. Kes belum selesai, masih dalam penyiasatan. Saya rasa ada baiknya awak tanya Kay sendiri bila dia balik nanti.

Itulah masalahnya. Saya rasa dia pergi terlalu lama. Saya dah penat tunggu dia balik.

Kharlissa... Kharlissa! Sungguh mati awak cintakan dia ya tanya Norman dengan wajah diselimuti rasa cemburu.

Entahlah. Tapi kalau inilah dikatakan cinta... Ya, saya memang cinta setengah mati pada dia.

Norman diam, hanya melepaskan keluhan.

LINDA merebahkan badan di atas katil besi. Dia cuba untuk melelapkan mata, tapi matanya enggan menurut perintah. Dia tidak rasa mengantuk langsung. Matanya terkebil-kebil memerhati tingkap kecil yang terletak tinggi berdekatan dengan siling.

Fikirannya kerap kali mengembara ke masa silam. Alangkah baik sekiranya dia dapat kembali ke masa itu semula. Masa yang amat indah. Ketika itu dia tidak kenal penderitaan. Dia tidak kenal kesengsaraan. Dia hanya kenal kebahagiaan walaupun hidup dalam kemiskinan.

Odah! Pergi cari kayu api! Kayu api dah tak ada. Karang balik menoreh nak masak nasi, jerit emak saudaranya, Mak Busu.

Sejak kecil dia tinggal bersama dengan Mak Busu. Mak Busu yang kematian suami juga tidak punya sesiapa selain daripada Saodah. Saodah satu-satunya anak saudara, anak kepada kakaknya yang telah meninggal dunia. Kakaknya meninggal dunia selepas melahirkan Saodah.

Lantaran dia tidak punya anak, lalu Saodah diambil dan dijaga seperti anaknya sendiri. Semasa Saodah berusia tujuh tahun suaminya pula meninggal dunia. Tinggallah dia bersama Saodah. Saodah hanya bersekolah hingga tingkatan tiga sahaja. Dia tidak mampu menyekolahkan Saodah walaupun anak itu pandai. Sejak itu Saodah diajak menoreh getah. Setiap hari kalau hari tidak hujan, mereka akan ke kebun. Setelah beberapa tahun berlalu, Saodah semakin mahir menoreh getah.

Dia bukan seperti gadis-gadis kampung yang lain. Mereka tidak pernah disuruh oleh ibu bapa ataupun keluarga menyembah pohon getah. Mereka duduk bersenang-senang, berdandan dan menghiasi diri. Sedangkan Saodah setiap hari bermandi peluh. Tangannya dipalit getah yang berbau busuk. Di kampung itu, tiada anak muda yang mahu mendekatinya. Mereka jijik melihat Saodah. Bukan hanya miskin tetapi juga berbau busuk.

Saodah memerhati ke arah Mak Busu yang masih terbongkok-bongkok menoreh getah. Tinggal sedikit sahaja lagi getah yang belum bertoreh. Sekejap lagi pasti kerja menoreh siap. Saodah mengumpul kayu-kayu getah yang ditemuinya berdekatan pondok tempat mereka selalu berehat. Setelah agak banyak, dia mengerat ranting-ranting getah sebesar lengan budak itu, kemudian menyusunnya dengan kemas. Kayu yang sudah dikerat sama panjang itu akan diikat kemas supaya mudah untuk dijunjung. Kayu-kayu getah itu akan dijadikan kayu api untuk menanak nasi.

Orang-orang kampung semua sudah menggunakan dapur gas untuk tetapi di rumah Mak Busu masih menggunakan kayu api. Rumah Mak Busu juga tidak mempunyai bekalan elektrik. Hanya pelita ayan yang digunakan untuk menerangi malam yang gelap. Begitulah kesusahan hidupnya suatu masa dahulu. Rezeki amat sukar untuk diperolehi, ibarat kata orang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Odah, kau mesti kahwin dengan orang kaya supaya hidup kau senang. Nanti kau jangan lupakan Mak Su. Mak Su pun nak tumpang senang kalau kau kahwin dengan orang kaya, kata Mak Busu.

Ala, Mak Su siapalah yang nakkan Odah ni. Orang kampung je lepas tu miskin pula, jawab Saodah.

Hari tu Mak Su tilik dengan dukun. Katanya suatu hari nanti kau akan kahwin dengan orang kaya.

Saodah tersenyum kecil mendengar kata-kata Mak Busu.

Kenapa Mak Su percaya sangat dengan dukun

Dukun tu penipulah Mak Su!

Linda tersentap. Matanya terbuka luas secara tibatiba. Rupa-rupanya dia tertidur dan bermimpi pula. Kisah dalam mimpinya adalah kisah lalu sejarah hidup yang mahu dia lupakan. Linda termenung panjang.

Kiranya kata-kata Mak Su ada benarnya. Memang aku kahwin dengan orang kaya. Tapi aku terjerat. Aku terjerat! Linda bercakap seorang diri seperti orang yang tidak siuman.

Aku tak sepatutnya kahwin dengan Martin! Aku tak sepatutnya jatuh cinta pada Kaito atau Yusuf Takamura. Sepatutnya aku terus jadi perempuan kampung yang tidak kenal kemewahan, yang tidak kenal cinta. Aku lebih rela terus hidup melarat dan mati dalam kemiskinan, Linda terus bercakap sendirian.

Dia hampir-hampir meraung seorang diri, menyesali takdir yang sudah tersurat.

LINDA, kau ni sungguh kesian. Teruk betul kau dikerjakan oleh pihak polis sampai kau buat kenyataan begini, kata Jackson semasa dia datang melawat Linda di lokap.

Kau tak sepatutnya mengaku merancang pembunuhan tu. Aku sedang berura-ura dapatkan seorang peguam yang bagus untuk bela kau. Tapi mengapa kau terburu-buru mengakui segalanya adalah perbuatan kau

Linda tidak menjawab. Dia meluat mendengar kata-kata Jackson. Jelas di wajahnya langsung tiada keikhlasan. Suatu masa dahulu dia menganggap Jackson seorang teman yang baik. Tetapi kebelakangan ini sikap Jackson agak mencurigakan. Linda seperti dapat merasai sesuatu kala dia memandang wajah Jackson.

Kesian... Jackson menggelengkan kepalanya beberapa kali, Bila kau dah disabitkan dengan kesalahan dan dijatuhi dengan hukuman, apa yang harus aku lakukan dengan share kau

Jackson hanya berpura-pura prihatin. Padahal dia sangat senang hati. Segalanya jadi mudah bagi Jackson apabila Linda dengan rela hati mengakui perbuatan yang tidak dilakukannya. Dia tidak tahan dengan penyeksaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa ke atasnya. Kau memang bodoh! Kutuk Jackson dalam hati.

Kau tak tahu, pesalah yang sebenar adalah di depan kau! Aku yang rancang ini semua! Aku yang upah organisasi itu untuk hapuskan Martin supaya aku dapat menguasai syarikat sepenuhnya. George hanyalah kambing hitam, yang jadi mangsa aku. Tapi kau menyelamatkan George dengan mengakui perbuatan orang lain. Kau ni diibaratkan wira tak didendang.

Linda Martin sejenak berfikir dalam. Kemudian membuat keputusan, Jackson, kau tak perlu bimbang soal tu sebab aku masih mempunyai waris.

Hal itu benar-benar mengejutkan Jackson.

Kalau aku terhukum dengan hukuman mati, aku gembira kerana aku pasti share tu tak jatuh ke tangan kau seorang. Terima kasih kerana mengingatkanku tentang warisan yang akan aku tinggalkan. Aku ada anak perempuan.

Kau ada anak perempuan

Ya. Anak dengan suamiku yang pertama.

Jackson menggenggam penumbuk. Dia benarbenar tidak menyangka Linda Martin mempunyai pewaris. Seorang anak perempuan.

Siapa namanya tanya Jackson.

Linda tersenyum sinis. Dia tidak akan memberitahu Jackson apa-apa. Buat masa sekarang biar nama Kharlissa dirahsiakan daripada pengetahuan sesiapa.

APAKAH aku bermimpi Aku terdengar suara Khairul Rasheed! Bisik hati Kharlissa sambil segera turun dari katil. Dia mencapai kimono tidur dari kain satin agar dapat melindungi tubuhnya yang hanya dibaluti baju tidur yang tipis. Kharlissa berjalan laju menghala ke tingkap hadapan.

Dia mengintai di tepi tingkap dan terlihat kelibat Norman dan Khairul Rasheed yang sedang bercakap di ambang pintu.

Kepulangan Khairul Rasheed amat mengejutkan! Lebih-lebih lagi dia balik pada jam lima pagi. Kharlissa berdiri di situ memerhati sahaja dari jauh. Dia ingin tahu apa yang mereka bualkan.

Suara Norman dan Khairul Rasheed tenggelam timbul. Sesekali terdengar Khairul Rasheed menyebut tentang perbicaraan dan peguam.

Kharlissa tidak sabar. Dia terus berjalan ke pintu, membukanya dengan rakus. Kala pintu grilnya ditolak kasar, kedua-dua lelaki yang sedang bercakap di ambang pintu menoleh ke arah rumahnya. Khairul Rasheed mengerut kening. Dia tidak sangka Kharlissa telah terjaga dari lena.

Hai Kay! Awak dah balik

Ya, saya baru je sampai sini, kata Khairul Rasheed sambil memandang Kharlissa dari atas kepala hingga ke hujung kaki.

Maaf, suara kami terlalu kuat Mengejutkan awak dari tidur

Saya ingat saya bermimpi. Saya sangka saya hanya mendengar suara awak. Tapi rupa-rupanya saya benarbenar dengar suara awak, Kay!

How sweet! Awak rindukan saya

Yes, indeed.

Hey! Stop acting like I am not here, kata Norman mengingatkan mereka.

Sorry, you have to hear this, Man! kata Khairul Rasheed sambil tergelak kecil.

Jom lah kita borak kejap sebelum saya balik rumah parents saya. Saya bimbang saya tak ada masa nanti. Saya juga rindu. Rindu sangat-sangat kat awak, ucap lelaki itu dengan suara yang lembut mendayu.

Ni yang aku lemah gila! Cair tahi telinga aku dengar, kata Norman sambil tersengih lebar.

Hmm, yalah tu! Lebih baik kau pergi tidur Man! gurau Khairul Rasheed.

Norman berlalu masuk ke dalam rumah. Dia terus masuk ke kamar tidur yang memang disediakan untuknya bila dia bertandang ke rumah Khairul Rasheed.

Khairul Rasheed mengajak Kharlissa masuk ke rumah. Pintu hadapan dibiarkan sahaja terbuka. Udara pagi yang segar menerobos masuk, mengitari seluruh ruang tamu. Kharlissa merasa sedikit menggigil. Khairul Rasheed ke dapur, memanaskan air dan membancuh kopi. Dia turut memanaskan roti di dalam mikrowave. Tidak lama kemudian roti hangat itu diletakkan di meja kopi. Kay, ceritalah pada saya apa yang berlaku kat sana, pinta Kharlissa sambil merenung tepat ke wajah lelaki itu. Roti dan kopi langsung tidak disentuh.

Khairul Rasheed mengeluh. Berat rasa hatinya hendak bercerita perihal Linda. Dia sedang berusaha untuk menyelamatkan Linda daripada hukuman. Hari ini dia akan pulang untuk berbincang dengan Dato Salihin. Bapanya punya banyak idea dan pandangan. Khairul Rasheed percaya, peguam yang handal pasti mempunyai pelbagai cara untuk melepaskan Linda daripada hukuman. Buat masa sekarang dia masih terkurung di dalam lokap.

Entahlah saya belum bersedia nak cerita apa-apa pada awak, jawab Khairul Rasheed lemah.

Kenapa Kay Awak tak percayakan saya Kenapa awak tak nak kongsi cerita dengan saya Awak sedang hadapi masalah kan

Saya bukan tak nak kongsi cerita dengan awak. Saya memang sedang menghadapi banyak masalah.... saya... suara Khairul Rasheed tersekat di kerongkong.

Saya dengar Norman kata, suami kakak angkat awak dibunuh dengan kejam.

Wajah Khairul Rasheed berubah. Merah padam. Hatinya segera jadi geram. Kenapa Norman harus bercerita dengan Kharlissa Nanti kau Norman! Aku akan marah kau cukup-cukup! Kau tak patut beritahu Kharlissa apa-apa. Sesungguhnya Khairul Rasheed belum meletakkan sepenuh kepercayaan pada Kharlissa. Dia merasakan Kharlissa juga banyak menyimpan rahsia. Biarpun dia mengaku mencintai Kharlissa, tetapi itu tidak semestinya dia harus mencurahkan semua rahsia peribadi dan kehidupannya pada gadis itu. Not yet! Bisik hati Khairul Rasheed.

Saya ni siapa Kay Saya kekasih awak kan Kenapa awak tak boleh letak kepercayaan pada saya Seperti mendengar suara hati Khairul Rasheed, Kharlissa menyoal dengan wajah tegang.

Bibirnya yang comel bergerak-gerak, menyambung kata, Awak masih belum terima saya sepenuh hati dalam hidup awak kan Awak masih nak berahsia dengan saya. Saya sedih Kay... saya sedih awak buat saya macam ni! Beberapa titis air mata Kharlissa mengalir di pipi.

Begitu mendadak, tanpa sempat Kharlissa membebatnya air mata kian laju. Tergores rasa hati kerana Khairul Rasheed terus membisu.

Khairul Rasheed memerhati Kharlissa mengambil tisu yang terletak di atas meja kopi dengan kasar. Dia mengesat wajah yang basah dan merona merah. Hidungnya kelihatan merah dan berair. Dia menangis sungguh-sungguh.

Khairul Rasheed memeluk Kharlissa. Erat. Tetapi Kharlissa meronta-ronta kasar. Dia tidak mahu didakap.

Dia mahu mengetahui apakah rahsia yang disimpan Khairul Rasheed.

Saya tak sanggup nak cerita. Ni hal keluarga. Maafkan saya. Saya belum mahu kongsi cerita ni dengan awak, Khairul Rasheed bangun, berdiri jauh di sudut ruang tamu yang luas.

Kharlissa memandang lelaki itu. Dia merasakan pintu hati Khairul Rasheed masih tertutup rapat. Sudah puas dia mengetuknya. Sudah puas dia menagih, tetapi Khairul Rasheed masih belum dapat membuka pintu hatinya selebar mungkin.

Apa ertinya cinta ini Cinta rahsia Cinta palsu yang penuh dengan penipuan Aku tak tahu apa erti cintaku padanya... Hati Kharlissa bersoal jawab sendiri. Kepastian dan keyakinan tidak pernah ditemui.

Khairul Rasheed terbayang-bayang wajah suram Linda. Dia pulang untuk mencari sokongan dan bantuan.

Dapatkah peguam yang paling handal di Kuala Lumpur ini menyelamatkan Linda daripada hukuman Kenapa Linda sengaja menempah sebuah kematian. Semua makhluk hidup takut menghadapi kematian tetapi mengapa Linda terlalu berani

Okey, saya bukan keluarga awak. Saya orang luar. Saya tak berhak tahu. Okey... Saya takkan tanya awak apaapa lagi, Kharlissa berkata perlahan. Hatinya dipenuhi rasa rajuk.

Hampir dua minggu tidak bertemu, tetapi apabila pertemuan terjadi, mereka bergaduh pula. Kharlissa bergerak pantas, meninggalkan Khairul Rasheed. Lelaki itu bergerak pantas ke arahnya, lalu terus menyambar pergelangan tangan Kharlissa. Dipegangnya erat.

Lissa, jangan bimbang lambat laun segalanya akan jatuh ke pangkuan awak juga. Awak hanya perlu bersabar sikit saja, katanya kemudian.

Kharlissa lelah menanti sesuatu yang tidak pasti. Dia sudah bosan menjadi orang bodoh.

Entahlah. Saya tak pasti, balas Kharlissa melepaskan sebuah keluhan.

Tak mengapa kalau kau ingin merahsiakan segalanya. Aku akan cari sendiri! I am not stupid Kay! Aku akan dapatkan apa yang aku mahu!

Saya nak balik, Kharlissa terus bangun dan bergerak ke pintu.

Lissa, awak belum minum kopi awak!

Tiba-tiba kopi tu rasa sangat pahit. Agaknya awak lupa letak gula, jawab Kharlissa sambil terus melangkah pulang.

Khairul Rasheed diam, membiarkan sahaja

Kharlissa berlalu pergi.

Ya, Kharlissa! Kau betul... Kemanisan menjenguk hanya sejenak. Tiba-tiba kepahitan datang tanpa kita pinta. Segalanya bukan mudah apabila kau mencintai aku, Kharlissa. Mungkin segalanya jadi senang jika kau mencintai orang seperti Norman. Kau akan lebih gembira bila bersama dengan dia.

Khairul Rasheed bersandar lelah. Matanya pedih. Merentas perjalanan panjang dari Amerika ke benua Asia amat meletihkan. Dia bangun bergerak ke kamar tidur. Satu per satu pakaian ditanggalkan. Dia turut membuka pistol yang melekap di dada. Pistol terbaru model P99 itu diletakkannya di atas katil. Dia merenung dan pantas tangannya bergerak mencapai pistol itu, memeriksa peluru di dalam megazine. Saat itu terdengar pintu ditolak dari luar. Khairul Rasheed terkejut, spontan muncung pistol dihala ke arah pintu.

Wooo... woo... takkan nak tembak aku kut! kata Norman sambil mengangkat kedua-dua tangannya ke atas.

Kau mengejutkan aku! kata Khairul Rasheed, sedikit kesal. Dia menyimpan pistol di dalam laci. Wajahnya masam sahaja.

Kenapa kau dengan Kharlissa tadi Macam

bertengkar je.

Kenapa kau cerita dengan Kharlissa pasal kakak aku Kau beritahu pasal Martin dibunuh

Sorry, aku terlepas cakap sebenarnya. Tapi percayalah, aku tak cakap lebih-lebih ataupun sebut sebarang nama. Aku cuma cakap suami kakak kau dibunuh kejam. Tu je. Kau marah ke

Khairul Rasheed diam. Dia bergerak mencapai tuala untuk mandi. Waktu Subuh hampir masuk.

Aku tak marah, cuma aku geram. Lain kali kau jangan memandai-mandai cerita pasal peribadi aku pada

Kharlissa.

Ok, I am sorry buddy!

Tapi sampai bila kau nak rahsiakan dari dia, siapa engkau. Terus terang je dengan dia kalau kau betul-betul cintakan dia. Jangan sampai dia dengar dari orang lain, Norman menyambung kata.

Orang lain siapa maksud engkau Kau nak beritahu dia Kau nak cakap siapa aku... siapa engkau Belum masanya untuk aku terus terang dengan dia. Lainlah kalau aku dah nekad buat keputusan nak kahwin dengan dia, mungkin aku akan cerita. Tapi buat masa sekarang, belum lagi Man!

Jadi aku masih ada peluanglah ni nak pikat Kharlissa

Suka hati kaulah Man! kata Khairul Rasheed sambil bergerak pantas menghala ke bilik air.