MOLOTOV KOKTEL - 20
Setiap orang, setiap manusia, setiap yang mati, tubuhnya ditanam mahupun dibakar; bukan dibiar mereput di tepi jalan, pastilah punya paling kurang sebuah mimpi dalam hidup.

Ternyata, mimpi sukar dicapai. Namanya pun mimpi, tak mampu dikawal, tak mampu dizahirkan, cuma mampu untuk difikir dan dibiar bermain dalam kotak fikiran. Namun mimpi juga boleh jadi nyata. Ramai yang mencuba tapi sedikit yang merasa.

Aku pernah bermimpi. Aku suka bermimpi. Aku punya seribu mimpi.

Aku impikan suatu masa dahulu, bahawa pada masa depan, aku mampu jadi yang terbaik dalam hidup, dan yang terbaik itu juga mampu memberi yang terbaik juga buat yang hidup di sekeliling aku. Aku punya mimpi, bahawa pada masa depan, aku mampu ubah apa yang rosak hari ini. Dan gigih, aku cuba tawan mimpi-mimpi itu untuk menjadi nyata.

Siang malam, aku berusaha untuk mengejar mimpi. Bayangkan, kalau aku berjaya, akan aku bantu setiap manusia yang memerlukan. Siang malam aku mengejar mimpi ini, aku akhirnya sedar. Bukan aku saja yang bermimpi. Aku pernah bertemu orang yang mimpinya seakan-akan sama dengan aku, tapi akhirnya, sampai ke mati, mimpinya tak jadi nyata.

Takut juga aku melihat, kalau aku juga mati hanya sebagai seorang pemimpi. Bukanlah apa, cuma tak mahu mati sia-sia, hanya jadi latar di alam nyata, sedang mimpinya aku mahu jadi pemain. Betul, benar, tak semua mampu mencapai itu. Aku tetap berusaha siang malam.

Aku bermimpi, aku mahu bantu kawankawan. Aku bermimpi, aku mahu bantu ibu bapa. Aku bermimpi, aku mahu bantu orangorang yang aku cintai, dan orang-orang yang mencintai aku. Apalah sangat daya aku; tubuh kecil, hanya punya mimpi yang besar.

Tapi aku tak putus asa.

Bayangkan, dalam mimpi aku, aku punya kuasa dan daya untuk bantu semua. Mak cik yang mengeluh di pasar waktu pagi melihat harga ayam naik lagi, kala bursa saham kononnya naik dan terus untung; pemuda kampung yang tak lepas peperiksaan dan asyik gagal mencari kerja, sedang orang luar mudah-mudahnya dapat kerja dan terus kaya; pelajar miskin, yang punya cita-cita tinggi, tapi kerana sempit dan tercicir dari arus sistem dewasa, tak mampu kejar cita-citanya; pengemis di tepi jalanan, yang hidupnya menadah tangan, mahu saja aku beri kerja dan upaya; petani miskin yang bajanya dicuri ketua kampung dan pegawai daerah, sampai tinggal hanya sisa-sisa, dan masih lagi perlu dibayar penuh harganya; nelayan, yang bot-botnya kecil tapi terpaksa mengerah kudrat turun ke laut bersaing dengan kapal-kapal besar; peniaga di celahcelah kota, yang tokonya hidup segan mati tak mahu, dihimpit gudang-gudang mat saleh yang besar dan berjaya; cikgu-cikgu tua, yang gigih ajar anak bangsa, tapi akhirnya hanya mampu terus mengeluh di hujung usia. Dalam mimpi aku, aku mampu bantu semua manusia-manusia ini.

Tapi kerana mimpi-mimpi aku ini juga, aku dicerca dihina. Aku okay, cuma aku simpati dan kasihan; agaknya orang-orang yang kerjanya hanya mengata mungkin tidak punya mimpi. Kasihan, hidupnya. Lebih siasia daripada orang yang tak mampu capai mimpi. Ada pula yang datang beri tawaran, mahu bantu, mahu tolong agar mimpi-mimpi aku jadi nyata; tapi di sebalik nafasnya, aku terbau niat-niat tipu.

Ternyata orang-orang ini pula hidupnya menipu sang pemimpi, supaya dirinya dianggap tinggi, sedang dia sendiri juga sama macam yang tadi, tidak punya mimpi sendiri, terpaksa pula hinggap atas mimpi-mimpi orang lain. Akhirnya, mimpi aku hanya aku saja mampu tanggung.

Syukurlah, dalam letih-sakit mengejar mimpi, aku sedar ada orang yang punya mimpi sama. Dan masih mengejar mimpi mereka juga. Orang-orang ini tidak menabur kata dan dusta konon mampu bantu membawa mimpi aku jadi nyata; cukuplah mereka mahu bersama dan aku tidak pula keseorangan bila mengejar mimpi.

Mimpi boleh jadi nyata, selagi kita sedar bahawa mimpi hanya jadi nyata kalau kita bawa keluar mimpi itu masuk dunia kita, bukanlah kita pula yang dibawa masuk ke dunia mimpi itu, sampai kita lupa bumi dan dunia.

Apa mimpi aku sebenarnya

Mudah - aku cuma nak bantu orang lain capai pula mimpi mereka. Adakah aku juga sama dengan orang-orang yang kerjanya menipu pemimpi Tidak. Orangorang itu tak punya mimpi, sedangkan aku ini kan seorang pemimpi juga.

Pemimpi takkan tipu pemimpi.