SAYA BUKAN FANATIK - 20
Pernah tak dengar pepatah what goes around comes around Maksudnya, segala yang kita lakukan akan berbalik kepada kita kelak. Separuh memanggilnya hukum karma yang merupakan retributive justice atau keadilan hukuman.

Apa yang saya faham mengenai pepatah di atas ialah, jika kita melakukan perkara yang buruk, ianya akan berbalik dan kena kepada kita nanti. Sama juga keadaannya jika kita berbuat baik, kebaikan juga dibalas dengan kebaikan. Persoalannya, adakah hukum karma itu betul-betul wujud

Pada suatu hari, saya dan rakan saya sedang berborak pasal karma. Kami mengenang kembali zaman riang semasa muda-muda dulu, when things were carefree. Dulu tanggungjawab kami tak serupa dengan sekarang. Dulu banyak enjoy! Saya percaya pasal tak banyak tanggungjawab juga yang saya banyak lakukan mischief.

Semasa kecil dulu, kakak dan adik saya teramatlah nakal. Walaupun kami semua girls, nenek kami selalu mengomel bahawa nak jaga sekandang kambing lebih senang dari menjaga kami bertiga! Dulu, masa pergi melawat atuk dan nenek, bila kami jejak je kaki ke dalam rumah, kami akan terus buat bee-line ke peti sejuk. Kami akan buka pintu peti sejuk untuk lihat makanan apa yang ada dalamnya untuk kami makan. Sepanjang kami berada di situ kami akan mengambil giliran untuk membuka pintu peti sejuk setiap lima minit sampailah kami pulang. Setiap kali kami buka pintu fridge, atuk akan menjerit from dapur, menyuruh kami jangan kacau fridge. Atuk asyik kata yang pintu fridge tu akan tercabut satu hari dari engselnya kerana kenakalan kami dan kami selalu buat dek jer. Impossible la kan pintu fridge tu boleh tercabut! Pintu tu besi bukannya kayu. Memang kami bertiga buat atuk mental dengan aksi buka pintu fridge tu.

Tapi, sesungguhnya, satu hari yang hening, biasa kami datang melawat atuk dan nenek dan nak jadikan cerita, sayalah orang yang pertama yang membuka pintu fridge atuk. Guess what la Pintu fridge tercabut! Saya tergamam dan terkejut. Semasa pintu tu tercabut, bahagian bawahnya terhentak ke lantai kayu rumah dengan kuat. Semua orang berlari ke arah saya untuk melihat apa yang telah terjadi. Mereka menjumpai saya dalam keadaan pucat sambil memegang bahan bukti a.k.a. pintu fridge!

Atuk punyalah mengamuk dan panggil kami bertiga anak setan! Actually, dah banyak kali dia panggil kami anak setan

Kadang-kadang, bila saya ingat balik pasal karma, takut juga yang anak-anak saya akan menjadi nakal seperti saya semasa kecil. Saya berdoa yang Tuhan tak ambil kira segala perbuatan saya semasa kecil.

Sekarang ni, dah besar panjang dan harapharap dah mature la. Saya sedar bahawa segala perbuatan saya boleh memberi kesan di masa hadapan. Perkataan karma biasa digunakan dalam terminology hindu, tetapi dalam Islam karma dirujuk sebagai kifarat yang bermaksud kita kan dapat apa yang kita semai.

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Surah Ar-Rum 30:41

Memang jelas dari ayat di atas, kalau seseorang tu diberi balasan oleh Tuhan, mungkin ia adalah satu tanda untuk orang tu bertaubat dan kembali ke jalanNya.

Sesungguhnya setiap pekerjaan itu diambil kira berdasaran niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya itu kerana Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin diperolehinya, atau sesiapa yang berhijrah kerana wanita yang ingin dikahwininya. Maka hijrahnya itu berdasarkan apa yang ia hijrahkannya.

Hadis Riwayat Muslim

Nabi SAW bersabda maksudnya : Sesungguhnya, terdapat orang yang disebabkan ucapannyalah ia tergelincir ke dalam neraka yang luasnya antara masyrik dengan maghrib. Dan, dalam hadis lain yang senada dengan ini, Hanya kerana satu perkataan yang membuat Allah benci, maka orang itu dimasukkan ke dalam neraka.

Riwayat Muslim

Jadi, sama ada ianya karma atau kifarah, mesej asasnya ialah kita perlu melayan orang lain seperti mana kita mahu dilayan. Jika kita hendak masa depan kita baik maka eloklah berbuat baik.

Benih yang buruk akan menghasilkan pokok yang tak berapa baik atau segar. Mungkin juga pokok itu akan terbantut tumbesarannya. Akan tetapi, benih yang baik akan menghasilkan pokok yang kuat akarnya dan membesar dengan sihat dengan dahan-dahan yang kuat.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA daripada Rasulullah SAW. tentang apa yang Baginda SAW. riwayatkan daripada Tuhannya Tabaraka wa taala. Baginda SAW. bersabda: Sesungguhnya Allah Azza wa jalla telah menulis segala kebaikan dan keburukan, kemudian Dia menjelaskan perkara itu. Sesiapa yang ingin melakukan satu kebaikan lalu tidak melakukannya, Allah akan menulis kebaikan itu di sisiNya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika dia mahu melakukan kebaikan itu lalu melakukannya, Allah akan menulis kebaikan itu di sisiNya sebagai 10 kebaikan, sehingga 700 kali ganda sehingga gandaan-gandaan yang banyak.

Jika dia mahu melakukan satu kejahatan, lalu tidak melakukannya, Allah akan menulis kejahatan itu di sisiNya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika dia mahu melakukan kejahatan itu, lalu melakukannya, Allah akan menulis kejahatan itu sebagai satu kejahatan sahaja.

Riwayat Bukhari dan Muslim

Sesiapa yang membawa amal kebaikan

(pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya

(sedikitpun).

Surah Al-Anaam 6:160