TRAVELOG FAGHUZI - 20
Bali, Indonesia

Indeed, Allah will not change the condition of a people until they change what is it in themselves.

- Ar-Ra`d, 13:11

Hari ini adalah hari pertama aku keseorangan sejak menjejakkan kaki di Indonesia. Agak lewat aku bangun tidur. Matahari sudah menegak. Badan sudah berbau. Maklumlah, dua tiga hari juga aku tak mandi. Aku cuma basuh muka dan berus gigi dengan keadaan air yang tak berapa nak ada. Kemudian aku sarung t-shirt NOFX, seluar pendek, galas backpackku dan sarung kasut untuk check out. Sedang keluar bilik, kelihatan pintu bilik sebelah terselak sedikit. Terdapat suara seorang lelaki dan satu susuk tubuh perempuan diseliputi selimut berbaring di atas katil. Tanpa mempedulikan apa mereka buat aku terus menuruni anak tangga menuju ke receptionist.

Kunci bilik diserahkan. Aku melangkah keluar dari hotel. Terasa lapar, mujur jalan depan sikit ada Indomaret. Kedai serbaneka itu aku masuk untuk membeli roti krim coklat jenama Sari Roti, air tin Nescafe, sebotol air mineral dan sekotak Marlboro. Kedengaran lagu band punk rock tempatan dari Bali, Superman Is Dead sedang berkumandang di dalam kedai. Usai urusan di kedai serbaneka, aku keluar. Menyusuri di jalanan sambil sebatang rokok terbakar disisip rapi di bibir aku. Aku melihat ke sekeliling, terdapat terlalu ramai orang bule berkeliaran. Suasana ini membuatkan aku sudah tidak rasa seperti di Indonesia, mungkin di Eropah, Australia atau Amerika Latin.

Langkah diteruskan sehingga menuju ke sebuah lorong. Berpandukan peta kecil yang dikutip di Indomaret, nama lorong ini adalah Jalan Poppies. Terdapat banyak tempat penginapan. Bertanya juga aku kepada empat, lima buah tempat penginapan untuk survey harga. Selepas puas membuat survey, aku menuju ke Kubu Hotel yang menawarkan harga paling rendah. Harga sebuah bilik adalah Rp150,000 semalam. Itupun setelah berjaya memujuk untuk mengurangkan dari jumlah asalnya, Rp200,000. Kedai serbaneka pun di depannya saja. Senang.

Selesai mendaftar, aku dibawa ke bilik yang berada di tingkat lima. Hotel ini ada lima tingkat dan juga kolam renang berhampiran kaunter receptionist. Pada aku, selesa jugalah. Di kesempatan ini aku mandi sepuas-puasnya. Mana tidaknya, dah berapa hari tak mandi, memang badan rasa berlengas. Tak selesa. Aku tarah habis-habisan seluruh badan sambil menikmati mandian pertama sejak beberapa hari. Usai mandi, aku cuma bertuala keluar menuju ke balkoni untuk menghisap rokok. Sambil merokok tu, terfikir apa yang nak dibuat dekat Kuta ni. Mungkin lepak bilik sajalah untuk petang ini.

Sebaik aku melandingkan tubuh di atas katil, tiba-tiba aku terasa hendak keluar bersiar-siar. Bukan apa, saja nak tengok keadaan sekeliling. Bolehlah ingat sikit jalan-jalan di sini untuk elakkan sesat. Aku mengambil keputusan untuk bersiar-siar petang ini. Aku sarungkan baju dan seluar pendekku serta cermin mata hitam untuk tampak bergaya dan selipar disarung tatkala aku melangkah keluar dari bilik.

Aku berjalan di sekitar Jalan Poppies menuju ke Pantai Kuta. Ingin juga melihat keistimewaan Pantai Kuta. Di Kuta ini, susuk tubuh manusia sentiasa sesak. Di mana-mana pasti ada pelancong. Aku menapak dan terus menapak sehingga tapak kaki terasa memijak pasir yang membahang. Inilah Pantai Kuta. Pada pendapat aku, Pantai Kuta kini sudah overrated. Pantainya sudah tidak secantik mana seperti yang aku lihat dalam gambar. Dulu mungkin masih lawa tapi tidak sekarang. Lambakan pelancong yang terlalu ramai mungkin menjadi faktor yang membuatkan Pantai Kuta sudah tidak secantik dulu. Walau apa pun, suasana di pantai ini tetap akan dinikmati sebaik mungkin.

Ramai pelancong mengambil kesempatan untuk surfing. Di jalanan juga terdapat banyak kedai menyewa surfboard. Orang yang lalu-lalang juga ramai mengusung surfboard. Ada juga motor yang boleh diselitkan surfboard ditepinya. Tidak pelik melihat orang berkulit seperti orang Melayu Malaysia bermain surfboard kerana sukan air tersebut memang menjadi budaya tempatan di Bali.

Malam menjelang tiba. Aku merayau dari petang sampai ke malam. Suasana malam lebih gila dari siang. Kuta kelihatan lebih liar. Ramai meliar di jalanan. Aku pula tercari-cari tempat untuk makan malam. Di Bali, masakan tradisinya yang popular adalah babi guling atau babi golek. Terdapat banyak restoran dan gerai yang menyediakan masakan tersebut. Aku terus berjalan bagai orang hilang arah mencari tempat untuk makan.

Sedang merayau-rayau tanpa hala tuju ini, aku lihat ramai orang menjual magic mushroom. Malah, tanpa segan-silu papan tanda dipasang secara terangterangan. Aku terfikir untuk tripping malam ini. Ada juga cafe yang menyediakan tempat lepak sambil menikmati magic mushroom. Namun menurut orang Indonesia yang aku pernah sembang, tidak digalakkan para pengunjung pekena mushroom di cafe-cafe. Lebih baik cuba di bilik sendiri. Ini kerana, dikhuatiri cafe-cafe tersebut mengambil kesempatan kepada pengunjung yang sedang tripping, lebih-lebih lagi kalau pertama kali mencuba. Dikhabarkan mereka akan memberi dos yang lebih dari yang sepatutnya supaya anda tripping gila babi dan keesokannya anda sedar bahawa semua barang berharga telah dicuri. Kebiasaannya, mereka melayan cendawan ini melalui minuman yang diblend bersama cendawan tersebut. Ada yang membuat omelette. Dinasihatkan juga agar ada rakan yang waras untuk menjaga kita ketika sedang tripping dan seeloknya dilayan di tempat yang tenang.

Gerai-gerai jalanan yang menjual mushroom kelihatan seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan. Aku tidak dapat memastikan bahawa penjualan cendawan ini halal atau tidak mengikut undang-undang negara Indonesia. Suasana di Kuta seakan sebuah city state di mana mereka membuat dunia dan undang-undang mereka sendiri. Bertanya juga aku mengenai harga cendawan yang dijual. Rata-rata harganya disekitar Rp150,000 hingga ke Rp200,000. Cuak juga aku seketika apabila ada penjual seakan memaksa aku membeli kerana telah bertanya. Risau tidak dilepaskan dari kedai tersebut aku segera bergegas menuju ke kawasan lain jauh dari situ.

Tercari-cari juga aku jika ada yang ingin menjual ganja. Sudah lama rasanya tidak pekena ganja. Dalam keadaan sedikit tertekan akibat peristiwa semalam, rasanya sedap kalau dapat pekena ganja. Boleh rasa ketenangan. Namun, pencarian aku malam ini adalah tempat makan.

Aku meneruskan perjalanan. Sudah beberapa kali aku berpusing di tempat yang sama. Beberapa orang bule yang tripping juga kelihatan. Ada seorang mat saleh sedang menghisap rokok di jalanan. Bara sudah tiada tapi aku melihatnya berkali-kali cuba menyedut rokoknya yang tiada bara. Selepas itu dia melihat bara rokok dan baru perasan ianya sudah terpadam. Dikeluarkan pemetik api untuk membakar rokoknya kembali. Mungkin itu kesan tripping, tapi itu hanya kesimpulan mentah saja. Mungkin dia di bawah pengaruh benda lain. Ada juga aku tengok sekumpulan orang bule yang dah macam apa berjalan di jalanan. Rakannya mencuit dia sedikit tapi dia melompat punya tinggi sampai hampir dilanggar kereta di tengah jalan. Aku rasa macam kurang selamat nak tripping di Kuta. Berjalan punya berjalan akhirnya tiba di sebuah restoran. Dari jauh kelihatan susuk tubuh yang dikenali. Semakin aku hampiri, pengamatan aku ini benar. Kelibat itu adalah Luis dan isterinya yang sedang menjamu selera. Aku pun menegur mereka dan mereka pula teruja memekik-mekik menegur aku dan menjemput untuk duduk sekali. Aku pun duduk sekali dengan mereka. Menu makanan dilihat dan mereka menyarankan aku mencuba babi guling. Aku tak mahu. Haram. Tapi bila difikirkan balik, macam tak guna saja diri ini. Minum arak hukumnya haram di sisi agama tapi boleh pula selamba minum tapi enggan makan daging babi. Menelan kedua-duanya adalah haram. Cuma satu saja yang aku pilih untuk telan. Sekali lagi aku bermuhasabah diri. Dua perkara haram yang didouble-standardkan oleh aku.

Do you want to eat Actually we are about to leave to get a cab. But it is okay that we can wait for you to have your dinner, Luis bersuara menerangkan keadaan mereka.

No, its okay. I will eat somewhere else. Anyway it is nice to meet you again. You live around here aku pula bertanya.

Yesterday, yes I stay around here with them but for today we are staying in Uluwatu. The place is fucking awesome. You should go there. By the way, what happen to Ubud and your friend. We just met him a while ago but he never really told us anything. Just said some sort of changing of plan, Luis bertanya kepada aku.

A lot of things happened last night. Ubud is such a dead city during the night. Cant find a place to stay and that is why I am here and we are going for separate ways to do what we want to do, and then we will meet again somewhere, aku membalas sambil cuba menapis cerita perbalahan yang berlaku antara aku dan Haeri.

Oh okay. You know the Spanish girls that came with you from Bromo She got really sick last night. High fever. Same goes to her friend who looks like she suffered from some sort of allergic. They look teribble last night and I think they still stay around here, Luis menerangkan serba-sedikit apa yang berlaku selepas perpisahan kami di Denpasar. Teringat pula keadaan mereka berdua yang sudah tidak sihat ketika dalam bas semasa menuju ke Denpasar. Pada masa sama aku teringat akan Haeri. Tak sangka aku akan berkelahi dengan dia. Jarang aku berkelahi dengan dia secara serius. Mungkin masa akan memperbetulkan kembali persahabatan kami. Harapnya begitulah.

Selepas beberapa topik perbualan dan beberapa batang rokok dihisap, Luis serta isterinya meminta diri sebelum hari semakin lewat dan sukar mendapatkan teksi ke Uluwatu. Jam hampir pukul 11 malam. Tiada tanda Kuta akan sunyi sepi. Yang kedengaran kuat adalah muzik-muzik dari bar dan kelab malam yang bersepah di sekitar Kuta. Bila tengah sober memang pening dengar muzik-muzik begini. Pada pendapat akulah. Aku kembali berjalan menyusuri lorong-lorong di sekitar Kuta. Pelbagai gelagat manusia dapat diperhatikan. Ada warga tempatan yang cuba mengurat pelancong asing wanita, ada yang berjoget-joget, ada yang mencangkung, melompat, menari dengan stripper dan bermacam ragam lagi.

Sebuah gerai sate Madura aku singgah dan beli beberapa cucuk untuk dibawa balik makan di bilik. Terasa malas nak makan di luar. Suasana malam di Kuta sudah menyerabutkan kepala otak aku. Terlalu sesak. Usai membeli sate Madura, aku kembali menapak ke hotel. Tiba-tiba kelibat orang yang menjual magic mushroom tadi cuba menahan aku. Tidak aku sedari aku sekali lagi melalui kedai itu. Dia seakan cuba memaksa aku beli. Aku buat tak endah sahaja tapi risau juga kalau dia panggil kuncukuncunya menahan aku. Tapak kaki aku melangkah makin laju sehingga hilang di sebalik bayang-bayang malam. Sedang mengharungi kegelapan malam, suatu susuk tubuh terlanggar dengan aku. Kedengaran suara dia meminta maaf. Aku pun tidak memberi sebarang reaksi dan meneruskan perjalanan.

Pintu bilik hotel dibuka dan kemudian ditutup. Barang-barang dalam kocek seluar semua aku campak atas meja. Tapi dompet aku pula yang tiada. Ah sudah! Patut kocek bontot rasa ringan je. Tercicir ke apa. Fikir punya fikir, teringat ada orang terlanggar aku ketika melalui lorong gelap tadi. Mungkin dialah yang seluk saku aku atau memang keciciran. Mujur dompet tu hanya decoy wallet. Guna untuk letak wang kecil je. Dompet utama memang selalu diletakkan dalam beg sandang.

Satu persatu masalah timbul. Malas nak fikir, aku capai bungkusan sate. Sate Madura dibuka dan setiap cucuk dinikmati sebaik mungkin. Rasanya lebih kurang sama dengan sate Malang. Mungkin makanan yang sama cuma berlainan nama ataupun sebenarnya aku tersalah panggil nama sate tersebut sebelum ini. Entahlah. Janji malam ini perut beralas. Di bilik tiada TV mahupun meja.

Aku makan di atas katil saja. Sedang asyik menikmati sate, tiba-tiba kelihatan beberapa serangga berkeliaran di tilam. Aku amati betul-betul. Ah sudah! Ada bedbugs! Cilake! jeritku dalam hati. Bahaya juga kalau digigit serangga ni. Terus aku alihkan backpack ke suatu sudut jauh dari katil. Takut kalau serangga tersebut masuk ke dalam beg dan aku bawa bersama sampai pulang ke tanah air.

Apalah malang nasib aku di Kuta. Mungkin ini pembalasan dunia dari Tuhan atas segala dosa-dosa yang pernah aku bikin. Siapa tahu. Mungkin ini memberi petunjuk kepada diri aku. Aku pun tidak tahu. Just live the moment saja di sini. Di samping itu, terasa menyesal juga kerana gagal mengawal emosi ketika berbalah dengan Haeri. Tanpa berfikir panjang serta membiarkan diri dikawal nafsu amarah, aku menghamburkan cacian yang menyentap hati Haeri. Dua-dua sudah letih fizikal dan mental, mungkin kerana itu kami berbalah. Mental yang penat sememangnya mengganggu-gugat kestabilan emosi. Selepas ini aku harus belajar mengawal emosi ketika penat mental. Orang kata mental burned out. Walaupun kata-kata cacian sudah terhambur antara aku dan Haeri, jauh di sudut hati aku masih tidak mahu menghentikan persahabatan yang bermula sejak dari sekolah menengah. Aku berharap persahabatan ini masih di tahap yang boleh dibaiki.