Sesungguhnya kata-kata keramat Malaysia Boleh mempunyai kesan yang mendalam dalam hidupku. Aku cukup bermotivasi bila melihat insan-insan terpilih yang mencipta kegemilangan di peringkat tertinggi.
Aku terfikir di manakah duduknya aku berbanding dengan mereka. Tapi aku juga terfikir..kenapa aku mesti merasa rendah diri jika aku masih mampu menghasilkan sesuatu yang terbaik dalam ruang lingkup kerjaku.
Walau apa pun yang kita lakukan, ia mestilah yang terbaik. Kalau kita tidak yakin pada kemampuan diri maka ia akan menjerumuskan kita di dalam kancah kegagalan. Bagi aku orang yang putus asa adalah orang yang telah gagal sebelum gagal dalam erti kata yang sebenarnya.
Aku percaya jika kita bersikap negatif dan penuh prasangku, maka akan terhasil hormon-hormon yang akan merosakkan diri dan jiwa kita. Kita mestilah belajar untuk melihat apa sahaja dengan sikap yang positif.
Hajat hatiku untuk mengembangkan empayar ilmu dalam diri ini agar aku mampu memberi sumbangan besar pada masyarakat negara dan kepada ketamadunan manusia itu sendiri.
Kejayaan rakyat Malaysia untuk menawan Gunung Everest, membuat penerjunan di Kutub Utara dan belayar mengelilingi dunia seharusnya memberi azam yang kuat untuk warga Malaysia untuk bekerja dan menghasilkan banyak lagi kegemilangan.
Aku mungkin seorang Qayyum yang hanya dikenali oleh segelintir masyarakat dan saudara maraku. Tapi aku juga tidak mahu menjadi seekor katak yang meneropong dari lubang tempurung. Yang menjelajah dunia dari ruang yang sempit.
Aku ingin menjadi burung yang terbang tinggi dan menerawang ke udara untuk melihat dunia dalam skop yang lebih luas. Yang mempunyai pemikiran ofensif serta berfikir secara conceptual dalam menangani apa juga masalah serta cabaran.
Azamku untuk menghasilkan buku pertama Malaysia Boleh begitu kuat. Aku ingin benar untuk menterjemahkan kejayaan 16 rakyat Malaysia membuat penerjunan di Kutub Utara. Aku menemubual pihak-pihak yang boleh menyumbang fakta dan kronologi catatan peristiwa bersejarah itu.
Aku menghubungi banyak pihak termasuk pihak TV 3. Namun mereka melihat aku hanya sebagai insan kecil yang tidak mempunyai rekod penghasilan buku.
Aku terima sikap pasif mereka sebagai satu cabaran. Mereka seharusnya memberi peluang padaku kerana tidak ada yang ke dua jika tidak dimulakan yang pertama. Semua penulis hebat bermula dari langkah yang sama.
Melalui perbualan aku dengan ketua ekspedisi (saudara Rahim King) juga tidak menghasilkan progres yang baik. Dia seolah-olah meminta bahagiannya dan begitu lambat memberi maklum balas. Akhirnya aku menghubungi Leftenant Mohamad, salah seorang penerjun yang terlibat secara langsung dalam ekspedisi tersebut.
Dia cukup positif untuk membantu dan menyokong hasrat aku itu. Tapi satu lagi masalah timbul, iaitu dia memang tak pandai meluahkan pengalamannya. Sepatah aku Tanya, sepatah dia jawab.
Bila dia tidak dapat memberi penjelasan dengan sempurna, maka akupun sukar untuk menghuraikan fakta yang ada. Namun demikian perjuangan harus diteruskan. Melalui berbagai sumber akhirnya aku berjaya menghasilkan buku tersebut. Usaha seterusnya adalah mencari penaja, penerbit dan surat sokongan dari menteri.
Bukan sedikit usaha aku. Tuhan sahaja yang tahu macam mana perasaan aku bila aku ditipu oleh berbagai-bagai agensi dan syarikat swasta. Ia termasuklah EON Berhad.
Mereka janji akan menyumbangkan sekurang-kurangnya RM 10,000.00 melalui iklan di muka hadapan. Tapi bila buku telah dicetak mereka tidak membayar walau 1 sen pun. Di situ pentingya ada surat hitam putih bila berurusan dengan pihak penaja.
Dengan wang saku yang aku ada akhirnya aku berjaya mendapatkan penerbit yang bersedia menghasilkan buku tersebut. Dalam masa yang sama aku beberapa kali naik turun ke Pejabat Menteri Belia dan Sukan.
Akhirnya aku terima surat yang tertulis kata-kata aluan bagi buku tersebut dari Menteri Belia dan Sukan, Dato Hishammudin bin Tun Hussien. Perkembangan tersebut memberi semangat baru padaku. Aku mesti siapkan buku tersebut sebelum 21 April 2000 iaitu sempena 2 tahun termetrinya sejarah kejayaan ekspedisi tersebut.
Akhirnya pada 20 April 2000, buku Menyebak Deru Salju Ekspedisi Penerjunan di Kutub Utara berjaya di pasarkan. Aku puas kerana hasil penat lelah aku berbaloi. Aku sendiri mengedar dan menjual buku tersebut melalui berbagai agensi, sekolah dan perpustakaan. Ramai juga yang membeli buku tersebut melalui program motivasi yang aku anjurkan dengan beberapa agensi swasta di sekitar ibu negara.
Usaha aku InsyaAllah tidak akan berhenti di sini. Aku juga sedang proses akhir menghasilkan bukur-buku berikut:
Fenomena Keganasan
Buku ini (Catatan saorang askar berjalan kaki)
Leadership quatation
Kenapa AlQuran
Mencorak Paradigma
Sabah dan Konflik Keselamatan
Organisasi Cemerlang.
Panduan Melancung.
Bagiku sesuatu yang ada dalam fikiran
kita perlu digarap dan diterjemahkan dalam bentuk penulisan untuk panduan dan tatapan masyarakat dan generasi akan datang. Semoga usaha ku ini mendapat keberkatan Illahi dan di manfaatkan oleh masyarakat.
Selagi ada anugerah yang sangat berharga ini iaitu minda dan tangan, aku pasti akan mencoretkan pemikiran ku untuk menyumbang kepada masyarakat.
Semoga aku mampu mencorak paradigma mereka dan diri ku melalui usaha kecil ini. Seharusnya tanggungjawab ini dipikul oleh setiap warga Malaysia. Biarpun kecil jika dihimpun akan menjadi sangat bermakna.
Aku ingin panjatkan syukur tidak terhingga pada Tuhan yang Maha Esa kerana menyalurkan sedikit ilmu dan bakat dalam diri ini untuk membuat kerja-kerja ini. Semoga aku kekal menjadi orang yang bersyukur serta meningkatkan usaha ini untuk agama bangsa dan negara.
Aku memohon pada Allah s.w.t agar mengikis sama sekali sikap riak, takabbur, sombong dan merasa hebat. Aku mohon padamu Tuhan, lindungilah aku dari ancaman itu Jadikanlah aku seorang hamba yang sentiasa tawaduk, insaf dan bersyukur. InsyaAllah.