Sabda junjungan menyatakan bahawa empat perkara yang boleh memberi kebahagiaan pada kita iaitu isteri yang solehah, rumah yang selesa, kenderaan yang baik dan jiran yang baik. (Hadis riwayat Ahmad dan hakim)
Apabila kita mendapat jiran baik bertanggungjawab serta berbudi, bererti kita berjaya mendapat sesuatu yang mahal serta tidak ternilai harganya. Tetapi jika kita mendapat jiran tetangga
yang kurang berbudi dan sentiasa menimbulkan masalah, maka kita akan menghadapi keadaan yang tidak selesa dan merumitkan.
Hakikatnya, sakit pening, susah senang, jiran adalah orang paling utama untuk kita mengadu. Apatah lagi dalam hal kecemasan, jiran orang pertama yang diharapkan untuk menghulur bantuan atau yang diharapkan bagi mendapatkan pertolongan.
Andai kata jiran kita ditimpa bencana maka kitalah yang perlu memberikan pertolongan, nasihat serta simpati. Begitu juga apabila mereka mendapat khabar gembira, wajarlah kita yang dulu mengucapkan tahniah dan syukur.
Perlu diingat, hidup ibarat roda pedati yang sentiasa bergilir untuk turun dan naik. Hari ini kita hulurkan simpati kepada penderitaan orang lain, sudah tentu hari esok orang lain sanggup menderita serta menangis bersama kepayahan kita.
Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: Akan beroleh syafaat yang besar bagi seseorang Muslim iaitu apabila bau masakannya tercium oleh jiran sebelah lalu dia bergegas pergi memberinya semangkuk.
Justeru, rasa persaudaraan yang terpancar daripada keikhlasan kehidupan berjiran sangat dituntut oleh Islam seperti mana Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya semua umat Islam itu adalah bersaudara. (surah Al-hujurat:10)
Perasaan cemburu, dengki, iri hati serta khianat sesama jiran amat dibenci oleh Islam. Diriwayatkan oleh Tabrani, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Sebaik-baik mereka yang beriman ialah apabila orang lain selamat daripada tindakan lidah dan tangannya.
Demikianlah kuat dan besarnya pertalian jiran tetangga yang menjadi perkara penting diingatkan kepada umat Islam. Malah, apabila berhasrat membeli rumah, kita juga dinasihatkan untuk memilih perumahan yang memiliki kejiranan yang baik. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w, sebaik-.baik jiran kamu ialah jiran Muslim sebenar-benarnya Riwayat Al-Tirmizi
Seseorang Muslim apabila datang menziarahi orang sakit pada waktu pagi, 70,000 malaikat akan mendoakannya sampai ke petang, dan apabila menziarahinya pada waktu senja 70,000 malaikat akan mendoakannya hingga ke subuh.
Tiga malam sebelum Nabi Muhammad SAW wafat, Baginda menasihatkan sahabat dengan sabdanya yang bermaksud: Janganlah mati seseorang kamu kecuali dalam keadaan berbaik sangka terhadap Allah dan jiran tetangga.
Dalam suasana kehidupan maju sekarang, semangat persaudaraan dan kejiranan semakin jauh tidak seperti masyarakat dulu atau kasih sayang serta pengorbanan persaudaraan yang ditunjukkan kaum Muhajirin dan Ansar.
Tidak dinafikan, nilai persaudaraan dan semangat kejiranan masyarakat dulu begitu kukuh hinggakan walau sudah berpindah jauh, masih ada yang sanggup kembali bertemu jiran apabila tiba hari raya atau ingin mengadakan kenduri kendara. Malangnya, kemajuan mengorbankan ikatan saling hormat menghormati dan hidup berjiran terutama di kalangan penduduknya yang bekerja.
Renungkan firman Allah yang bermaksud: Sebenarnya aku amat pemurah dan penyayang, maka kepada mereka yang menghubungkan silaturahim akan Ku tambahkan rahmat Ku ke atasnya, tetapi apabila mereka memutuskan hubungan persaudaraan nescaya akan Ku pendekkan rezeki terhadapnya.
Sememangnya hubungan baik dengan jiran tetangga amat dituntut dalam kehidupan bermasyarakat. Tetapi, bagi mereka yang tinggal di bandar besar, masing-masing begitu sibuk dengan urusan seharian, pergi-balik kerja dan bersama keluarga. Realitinya, nak bersua muka sekali seminggu dengan jiran sebelah rumah pun payah, inikan pula nak bertegur-sapa.
Masa yang betul-betul boleh jumpa, bila jiran mengadakan rumah terbuka hari raya, majlis kenduri, doa selamat dan sebagainya. Apa pun, sama-samalah kita menjaga baik yang berterusan, jangan sesekali menyakiti atau mengguris perasaan jiran.
Muliakanlah rakan mu dengan kemuliaan yang mampu engkau lakukannya secara berterusan. Jika tidak maka kemuliaan mu itu akan membawa kepada perkara yang memutuskan persahabatan. -Imam Abdullah bin Alwi al-Haddad al-Husaini