Perbualan di antara lelaki dan gadis mempunyai seninya yang tersendiri. Berbeza dengan seni berbual di antara lelaki sesama lelaki atau wanita sesama wanita.
Tentu kamu lebih faham topik yang sering menjadi perbualan kamu dan rakan-rakan. Kamu dan rakan wanita yang lain boleh berbual akan satu topik yang sama dalam satu perbualan yang panjang. Namun, lelaki pula berbual topik yang pelbagai dalam perbualan, walaupun ia adalah satu perbualan yang pendek.
Kamu harus tahu bagaimana mahu berbual dengan si dia yang kamu sukai. Usah menunjukkan yang kamu kehilangan kata-kata ketika hendak berbual dengannya. Usah juga menunjukkan yang kamu hanya menanti si dia berbicara.
Jika si dia tidak mulakan, adalah lebih baik kamu yang memulakannya.
Ketika kamu hendak mulakan bicara, gunakan topik ringkas yang mudah dibawa berbual. Seperti cuaca pada ketika itu, jenis fesyen yang kamu kenakan atau sesuatu yang berkaitan dirinya pada waktu itu.
Jika kamu tidak dapat mencari ayat yang sesuai, memadai dengan memulakannya begini, panas sungguh cuaca hari ni. Berhenti sejenak sambil memandang ke arahnya. Ini merupakan isyarat supaya si dia memberi respons pada ayat kamu tadi.
Jika si dia tidak menjawab, kamu boleh bertanya padanya, awak tak rasa panas ke. Apabila adanya soalan, pasti akan ada jawapan.
Ketika dia menjawab, dengan betul-betul pada kata-katanya. Ini adalah penting, supaya kamu dapat mencari ayat yang menyatakan kegemaran si dia.
Jika si dia menjawab, terlalu panas sehingga saya rasa mahu menonton wayang. Jadi, di sini kamu sudah tahu, si dia gemar menonton wayang. Kamu boleh menyambung perbualan dengannya berkaitan filem-filem terkini atau filem yang menjadi kegemarannya.
Jika si dia berkata, sangat panas, saya tak dapat bermain bola sepak petang ini. Jadi, kata kuncinya adalah bola sepak.
Bagaimana jika si dia tidak menjawab seperti yang kamu harapkan. Mungkin si dia hanya menjawab, Iyalah, panas sungguh hari ni. Jangan khuatir, kamu masih ada masa untuk melanjutkan perbualan sehingga kamu ketahui apa yang si dia minat untuk dibualkan.
Perbualan yang bagus dan mempunyai respons dua hala adalah perbualan yang akan membangkitkan rasa suka di antara kedua-dua pihak.
Jika perbualan itu hanya diisi dengan bunyi angin yang bertiup dan kamu atau si dia banyak menghabiskan masa melihat ke arah lain, ia mungkin sekali tidak akan menyumbang ke arah pembinaan hubungan kamu dan si dia.
Teruskan berbual, jangan berhenti. Tetapi, awas! Jangan terlebih bercakap sehingga si dia berfikir kamu adalah jenis yang banyak cakap.