Saya setuju, sebab kerja saya di sini berlainan dengan tugas awak. Saya fikir awak lebih baik pindah ke Pekan Janda Baik, di tepi jalan lama. Ada warung-warung dan sebuah dua kedai kopi di situ di mana saya harap awak boleh mendengar perbualan orang-orang Melayu dari Kampung Janda Baik, khususnya darihal pemikiran dan perasaan mereka itu mengenai rancangan kerajaan Malaysia hendak menjadikan rantau ini sebagai Wilayah Persekutuan yang ketiga, kata labah-labah gajah.
Hanya sehari dua saja LLB G sudah jumpa satu yang baik untuk menjalin sarangnya, iaitu di belakang sebuah kedai kopi yang dari belakangnya boleh nampak lebuh raya Karak Kuala Lumpur, mendengar bunyi derum-derum bas-bas, berbagaibagai jenis kereta, motosikal dan lori-lori besar dan kecil lalu lintas sepanjang hari dari pagi-pagi hingga larut malam. Di lereng bukit di belakang kedai kopi itu ada banyak rumah-rumah kaum Cina, lengkap dengan tokongnya, kedai-kedai runcit dan juga sekolahnya. Tak jauh di seberang lebuh raya yang senantiasa sibuk itu boleh kelihatan kolam-kolam ikan air tawar dan pejabat-pejabat pertanian dan perikanan.
Orang-orang Cina itu asalnya telah dipindahkan dari beberapa tempat dalam daerah Bentong dalam masa darurat, tahun 1948 dulu. Tetapi oleh kerana kawasan itu, di sekitar lereng-lereng bukit - tanahnya subur untuk ditanam dengan sayuran dan halia maka mereka itu menetap di situ, turun temurun hingga sekarang. Hanya beberapa keluarga Melayu di Kampung Janda Baik sahaja yang telah menjualkan tanah-tanah kampung mereka itu dan telah berpindah ke kampung-kampung lain, entah ke mana dan di mana berseleraknya mereka itu.
Pada suatu petang Jumaat dua orang Melayu, lewat separuh umur, bercakap-cakap daripada hal masa depan Kampung Janda Baik. Perbualan itu telah dirakamkan oleh LLB G:
Saya sekarang ini sesak sangat, abang, kerja tak ada, duit jual tanah saya sudah kering. Entah ke manalah saya nak pindah belumlah saya putuskan. Ada tanahtanah pusaka orang tua saya di Kampung Pelangai, tetapi tak sanggup : rasanya saya nak pindah ke sana, kata seorang daripadanya yang nampaknya masih tegap.
Hai, baru sangat lagi awak jualkan tanah kampung awak tu; sudah habiskah duit itu semuanya Berapa ratus ribu awak telah dapat sahut rakannya yang bernama Sitam.
Tanah itu lima ekar lebih sikit, dapatlah hampirhampir seratus ribu ringgit. Tetapi abang bukan tidak tahu, anak-anak saya ramai. Emak mereka sudah meninggal. Mujurnya anak-anak saya itu sudah dapat pekerjaan, kecuali Si Ramli yang bongsunya. Tetapi maklum sajalah duit, abang. Saya kahwin dengan perempuan muda, orang Iawa di Kampuhg Mancis. Macam air, abang. Sekejap saja sudah nak habis semuanya. Si Ramli membeli kereta, berulangalik ke Genting Highland, entah apa kerjanya. Tak lama lagi sengkeklah dia tu .
Orang-orang tua sudah berkata: sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Awak nampak-nampaknya mula menyesal sebab awak telah jualkan tanah awak itu. Saya punya tanah sudah ada seorang kaya dari Kuala Lumpur nak membelinya, dua ratus ribu, katanya, tetapi saya tidak mahu jual. Saya agak tanah saya itu akan naik lagi harganya, kata Sitam.
Pada mulanya, abang, saya pun ada rancangan nak melaburkan duit bahagian saya daripada jualan tanah saya itu - $30,000.00 iaitu saya nak pindah ke Kuala Lumpur, nak buka niaga, tetapi malangnya, isteri baru saya itu tidak mahu pindah. Ajak makan angin ke Kuala Lumpur bila-bila pun dia mahu, tetapi ajak pindah dia tidak mahu. Mujurnya, ayah dan emaknya orang berada. Tanah getahnya ada dua puluh ekar di Jalan Mancis sana. Saya sekarang, Pak Itam, menoreh getah pak mentua sayalah. Teruk kerjanya, Pak Itam.
Tetapi walau macam mana pun, awak petang ini boleh lagi belanja saya, ya tak
Itu perkara kecik, Pak Itam. Tujuh lapan ribu ada lagi duit saya. Kalau Pak Itam nak minum stout pun saya boleh belanja minum petang ini.
Itulah punca papa kedana kita orang-orang Melayu; minum stout, main macuk, tikam nombor ekor, berulang-alik ke Genting Highland, cari betina dan lain-lain maksiat. Untuk saya sekeping roti bakar sapu serikaya cukuplah. Awak petang ini nak balik ke Mancis ke Kalau tidak mohlah ke rumah saya, tidur di sanalah. Malam tadi perangkap saya mengenai pelanduk. Dua paha lagi ada dagingnya, lawak Pak Itam.
Pelawaan Sitam diterima oleh kawannya, yang berseloroh pula sebelum meninggalkan kedai kopi itu. Sayangkan bini tinggal-tinggalkan, ya Pak Itam, dan malam ini bolehlah kita bercakap-cakap lagi darihal orang-orang kita dalam Kampung Janda Baik bila kelak wilayah ini menjadi Wilayah Persekutuan, ya Pak Itam
Memang itulah tujuan saya mengajak awak bermalam di rumah saya. Saya fikir DYMM raja kita pun bimbang juga apa akan jadi kepada rakyatnya di Kampung Janda Baik ini. Kita bukannya tidak suka kepada kemajuan, tetapi kemajuan yang melampau, tanpa batasan akan merosakkan kaum bangsa kita dalam masa-masa yang akan datang, dan kita tidak punya lagi tempat-tempat yang baik untuk membuka kampung-kampung yang baru.
Tetapi, Pak Itam, saya dengar ada rancangan daripada hal satu kumpulan orang-orang kampung kita di sini hendak pindah ke hulu Sungai Kenaboi, nak membuka kampung baru di sana.
Tanah-tanah hulu macam itu masih ada banyak lagi dalam negeri kita ini, Pahang Darul Makmur, tetapi saya fikir lebih baiklah orang-orang itu minta tanah-tanah dalam kawasan-kawasan Felda. Satu-satu keluarga boleh dapat sepuluh ekar tanah yang sudah siap ditanam dengan kelapa sawit atau getah, termasuk kawasan kampung seluas dua ekar untuk menanam pokok-pokok buahan; durian, rambutan, manggis, mangga dan juga pokokpokok sayuran seperti cemperai dan lain-lain. Kemudahan-kemudahan hidup ada disediakan, iaitu air, api elektrik, sekolah, klinik, jalan-jalan raya, masjid, kedai-kedai dan lain-lain lagi. Membuka kampung baru di hulu-hulu sungai memanglah ada keistimewaannya, iaitu ikan-ikan sungai masih ada banyak, binatang binatang liar yang kita boleh makan pun ada banyak, tetapi anak-anak mereka itu, bila sudah besar, lelaki dan perempuan, akan lari ke bandar-bandar, kata Pak Itam.
Malam itu, di rumah Sitam, sesudah selesai sembahyang maghrib dan isyak, lepas makan nasi dengan panggang daging pelanduk, Sitam bertanya: Awak belum dapat anak dengan isteri baru awak itu
Ahh, saya baru tiga bulan nikah dengan dia, Pak Itam. Tetapi cerita saya dapat duit banyak daripada jualan tanah kampung saya itu, Pak tam, sudah kedengaran merata-rata kampung. Ada seorang janda muda di Kampung Simpang Pelangai mengajak saya kahwin dengannya, Pak Itam. Tetapi dia ada anak dua orang. Saya tidak mahu; payah memelihara anak-anak tiri, Pak tam.
Awak dah buat silap besar; sepatutnya awak kahwin dengan dia, sebab memelihara anak-anaknya itu dapat pahala. Yang awak kahwin dengan anak dara di Kampung Mancis itu, saya sendiri pun hairan. Awak ni kuat lagikah Pak Itam mengusiknya. Agak saya awak ada makan banyak ubat-ubat kuat, tak Pak Itam mengusik lagi.
Pada suatu petang yang lain pula LLB G telah dapat merakamkan pula perbualan tiga orang pemuda dari Kampung Janda Baik yang berlabuh di kedai kopi itu. Ketiga-tiganya memakai seluar jean harga mahal, tali pinggang cowboy dan t-shirt jenis mahal.
Pemuda yang berulang-alik dari Pasir Mas, Kelantan membawa ganja ke Johor Bahru, sudah kena tangkap di sebuah kampung di Sekudai, kata seorang daripadanya.
Itu tidak hairan. Dalam pertengahan bulan Julai baru lalu lebih enam puluh kilo heroin, dalam masa seminggu saja, telah dapat dirampas di Hong Kong. Jumlah harganya, jika diedarkan, mungkin tidak kurang daripada 300 juta ringgit Amerika. Tetapi tak usahlah kita cakapkan panjang lebar daripada hal wabak dadah. Langkah-langkah tegas untuk membasmi penagihan dadah dalam masyarakat kita sedang dijalankan oleh kerajaan kita. Mudahmudahan berjaya, kata seorang lagi yang memakai jaket cap buaya.
Apa program malam ini, Ram dia bertanya kepada pemuda yang baru dapat duit banyak daripada penjualan tanah pusakanya di Kampung Janda Baik. Ke Bentong ke kita dia bertanya.
Di Bentong ada apa Bandar mati. Lebih baik kita ke Kuala Lumpur, atau ke Genting Highland, jawab Ramli.
Minggu lalu awak ke Genting menang banyakkah, Ram tanya pemuda sebaya yang ketiga.
Nyonya yang jadi kaki saya malam itu mujur sangat, atau ong sangat kata Cina. Saya beri dia modal $300.00. Sekejap saja dia bayar balik pada saya $3,000.00. Ada orang yang mengatakan saya ini joli, boros, tetapi duit saya belum luak, saya simpan di sebuah bank di Kuala Lumpur, sebagai simpanan tetap. Ayah saya yang boros. Dapat duit dia kahwin anak dara tua di Kampung Mancis. Khabarnya dia nak kahwin satu lagi, dengan janda beranak dua di Kampung Simpang Pelangai. Kereta Honda saya pakai itu, second-hand punya, saya beli hutang, jangan tak berasa pakai kereta. Kalau nak ke Kuala Lumpur mohlah, boleh tengok wayang, makan di warung cukuplahh; kalau tak sempat balik kita boleh tumpang tidur di rumah kawan saya di Kampung Pandan, Ramli mengesyorkan.