KEMBARA PENIAGA JALANAN - 20
PERKARA paling susah dan ramai trader tidak sanggup buat dalam bisnes trading ialah resourcing sumber produk itu sendiri. Aku masih ingat sewaktu pertama kali mendapat kontrak membekal ikan tuna ke Jepun tidak lama dahulu. Bagai nak mati rasanya apabila fikir pasal pembekal. Pada waktu itu, aku memang ada beberapa kenalan di Indonesia dan Sri Lanka, mereka memang membekal ikan tuna untuk dieksport. Tapi masalahnya sekarang ialah spesifikasi proses mereka tak menepati apa yang aku mahu. Pelanggan aku di Jepun mahu ikan tuna jenis gred Sashimi, ini gred paling baik dalam kategori tuna. Kau faham-faham sajalah orang Jepun, semua perkara mahu yang paling baik.

Disebabkan usaha aku untuk mendapatkan kontrak membekal ikan tuna ke Jepun bukanlah kerja yang mudah, maka aku ambil keputusan untuk betul-betul cari ilmu dan dapatkan stok yang terbaik. Seorang sahabat di Indonesia m e m p e r k e n a l k a n aku kepada seorang pembekal dan pemproses ikan tuna di Filipina, namanya John. Disebabkan pada waktu itu belum ada lagi whatsapp dan wechat, kami berhubung melalui

e-mel sahaja. John memang nampaknya sangat berminat untuk bekerjasama dengan aku, beliau balas emel ringkas kepada aku.

Ikram, please come here as soon as possible. I will show you the processing plant and we can start working together.

Waktu itu, aku taklah berduit sangat, adalah duit simpanan bujang aku sikit-sikit. Maka, aku pun uruskan belian tiket dan keperluan asas untuk jumpa John. Ini pertama kali aku ke sana dan aku sangat berharap John tak kencing aku.

Walaupun aku biasa travel secara solo, perjalanan ke Filipina kali ini ada sedikit kelainan. Aku rasa cukup tak selesa dengan bermacam-macam perkara bermain di kepala pada waktu itu. Bab makan aku tak kisah sangat sebab aku tahu di sana banyak ikan dan nasi. Aku paling risau bab budaya dan cara kerja. Hasil risikan aku, kawasan yang aku mahu tujui, kawasan gangster woi. Aku sudahlah travel seorang diri, kalau apa-apa jadi kat aku macam mana Aduh! Serabut gila.

Selepas aku berzikir dan beristighfar, hati aku tenang. Aku sampai di Manila untuk transit lebih kurang tiga jam sebelum meneruskan penerbangan ke sebuah kawasan yang diberi nama General Santos. Kau tengok Nama pun seram, kan Macam dekat Mexico, bunyinya. Sampai sahaja di Gensan (panggilan popular untuk General Santos), John siap menunggu aku.

Untuk pengetahuan kau orang, General Santos adalah wilayah perikanan yang cukup istimewa di Filipina. Gensan dikenali sebagai bandar ikan tuna kerana aktiviti utama orang di sini memang menangkap dan memproses ikan tuna. Malah, aku tengok orang di sini memang kuat betul makan ikan tuna. Di mana-mana sahaja, ada hidangan menu ikan tuna, dari warung tepi jalan sampailah ke restoran lima bintang. Bahagian paling mahal dan orang di sini suka kau tahu apa Bahagian perut! Tuna Belly memang lembut dan sedap.

Gensan memang diwarta sebagai kawasan perindustrian ikan tuna oleh kerajaan Filipina. Jepun sudah lama masuk ke sini untuk memberi tunjuk ajar kepada orang tempatan tentang cara-cara menangkap, menyimpan dan memproses ikan tuna dengan betul. Di sini, ikan ditangkap menggunakan dua kaedah, pertama menggunakan handline dan kedua menggunakan longline. Handline itu tangkapan guna koyan, memancing gunakan tangan. Handline itu tangkapan guna mesin. Kalau di Malaysia, kita panggil rawai.

Aku ikut John ke hulu dan ke hilir setiap hari. Seawal dua pagi, dia sudah terpacak depan lobi hotel untuk ambil aku. Biasalah, buat kerja ikan ini, semua kerja bermula sebelum Subuh. Biasanya kapal ikan akan sampai ke jeti sekitar jam tiga pagi. John tunjukkan aku prosesnya satu persatu, daripada membawa naik ikan tuna ke loading bay, seterusnya melakukan proses penggredan, timbangan, merekod, membungkus dan akhir sekali menghantar ke lapangan terbang untuk dieksport. Kalau kau hendak tahu, aku perlu mengirim kira-kira empat tan ikan tuna sehari ke Jepun. Empat tan itu bersamaan 4,000 kilogram. Satu ekor ikan tuna biasanya mempunyai berat sekitar 35 kilogram hingga 65 kilogram seekor.

Hampir sebulan juga aku duduk buat kerja bersama John di Gensan. Banyak betul yang aku belajar pasal trading ikan tuna ini. Memang betul ini mainan gangster tapi mereka tak kacau kau pun. Malah, mereka suka berkawan dengan kau sebab kita bawa bisnes. Selepas dua minggu, aku berkuli dengan John, aku sedikit sebanyak sudah pandai untuk memilih ikan tuna sendiri mengikut gred eksport yang pelanggan mahu. Inilah pengalaman paling aku tak boleh lupa sepanjang berdagang ikan tuna.

Ilmu yang aku dapat semasa berkuli di Gensan ini membuatkan aku lebih berani untuk explore pasaran ikan tuna sampai ke Maldives dan Sri Lanka. Di sana permainannya berbeza pula, nantilah aku cerita. Kesimpulannya, berat aku turun banyak kilo juga sewaktu berkuli di Filipina. Mau tidaknya, hari-hari kau makan ikan dan kunyah salad saja.