Tenaga haba Matahari memanaskan air laut sehinggalah air laut menghasilkan wap. Proses ini dipanggil sebagai penyejatan (evaporation), iaitu proses penukaran air menjadi gas atau wap. Ketumpatan gas ini lebih ringan daripada air, maka ia akan naik ke udara.
Suhu gas ini tinggi kerana tenaga haba tadi. Jadi, gas ini akan terus naik ke udara sehinggalah suhunya menjadi sejuk dan tak bergerak lagi. Atom akan mudah bergerak apabila suhu meningkat. Apabila gas mula menyejuk, ia akan bertukar menjadi titisan-titisan air. Proses ini dipanggil sebagai proses pemeluwapan (condensation), iaitu proses wap atau gas bertukar semula menjadi air.
Wap-wap yang naik dan berkumpul, seterusnya bertukar menjadi titisan-titisan air inilah yang membentuk awan. Dalam awan tersebut, titisantitisan air berlanggar (collide) antara satu sama lain.
Bagaimana awan boleh terapung Kerana saiz titisan air ini terlalu kecil dan ringan untuk membuatkannya jatuh. Anda bayangkan habuk-habuk yang sukar jatuh ke lantai, begitulah awan. Boleh juga anda membayangkan mengapa bulu burung lambat jatuh ke lantai. Awan lebih ringan daripada bulu tersebut. Terdapat hadangan udara di sekeliling yang membuatkannya terapung.
Titisan-titisan yang pada mulanya bersaiz kecil dan ringan ini, apabila mula berlanggar, ia akan membentuk titisan yang lebih besar dan berat. Seterusnya, kerana berat, titisan-titisan ini jatuh ke bumi kerana daya graviti. Maka, terbentuklah hujan.
Proses ini berlaku secara berulang. Apabila kawasan tanah atau bukit hujan, air ini akan mengalir semula ke laut melalui sungai. Proses berulang ini dipanggil sebagai kitaran air (water cycle).