Mencari Kiblat Cinta - 21
Sepanjang tempoh ini mereka tinggal di rumah kayu kecil tidak jauh dari rumah Pak Maidin dan Mak Minah, majikannya di warung itu. Mujur tuan punya rumah tempat dia menumpang itu membenarkan dia dan Naufal tinggal di situ secara percuma. Dia benar-benar bersyukur kerana dapat lepas dari cengkaman ayah dan ibu saudaranya, sekaligus mencorak kehidupannya sendiri. Dia juga bersyukur kerana dipertemukan dengan pasangan suami isteri yang baik hati seperti Pak Maidin dan isterinya.

Selepas waktu sekolah, dia akan bekerja di warung Pak Maidin. Dengan kesempatan yang ada, dia berusaha keras mengumpul wang secara berdikit-dikit untuk belanja persekolahan mereka. Mujurlah Pak Maidin dan isterinya Mak Minah tidak pernah kedekut membenarkan mereka membawa pulang lebihan makanan dari warung itu.

Secara lahiriah, hidup mereka baik-baik sahaja meskipun tidak mewah. Hanya yang dibimbangkannya ialah sikap Naufal yang semakin berubah. Adiknya yang sudah menjangkau usia dua belas tahun itu menjadi semakin pendiam dan tidak banyak bercakap. Dia sendiri tidak tahu apakah perubahan sikap Naufal disebabkan oleh musibah yang menimpa keluarga mereka, atau Naufal tidak betah dengan kehidupan yang mereka lalui sekarang ini. Dia benar-benar buntu bila memikirkan sikap Naufal.

Dari hari ke sehari, dia berusaha keras untuk menghadapi peperiksaan PMR yang akan menjelang tidak lama lagi. Meskipun dia tidak mampu mengambil kelas tuisyen seperti pelajar-pelajar lain, tapi asal ada masa terluang, dia takkan jemu menelaah pelajaran.

Pak Maidin seakan memahami keadaannya. Lelaki itu hanya membenarkan dia membantu di warung sehingga ke petang sahaja. Masa selebihnya, dia disuruh pulang ke rumah. Lelaki itu juga kerap melontarkan kata-kata nasihat agar dia tekun belajar dan gigih berusaha.

Usai menduduki peperiksaannya, dia lebih rajin membantu Pak Maidin di warung. Semuanya dilakukan dengan ikhlas demi membalas budi pasangan suami isteri itu.

Pak Maidinkeputusan peperiksaan dah keluar. Nira dapat 8A. Dia menjerit gembira apabila menelefon lelaki itu dari sekolahnya. Dia sendiri hampir tidak percaya apabila menatap slip peperiksaan yang ada di tangannya. Inilah hasil dari jerih perihnya selama ini.

Alhamdulillah, Pak Maidin dah tahu Nira mesti dapat keputusan cemerlang. Tahniah ya Nira. Mak Minah kamu kata kalau peperiksaan kamu cemerlang, dia nak buat majlis kesyukuran untuk kamu. Tak sia-sia kamu belajar kuat selama ni. Nada suara Pak Maidin kedengaran ceria.

Ini semua berkat dorongan Pak Maidin dengan Mak Minah juga sebab selalu tolong Nira. Dia membalas. Memang jasa pasangan suami isteri itu terlalu besar dan luhur buatnya. Sampai bila-bila pun tak terbalas rasanya.

Kamu balik awal sikit ya. Nanti Pak Maidin nak suruh Mak Minah kamu masakkan makan malam istimewa malam ni. Kita tunggu Naufal balik, lepas tu kita raikan sama-sama. Usul Pak Maidin. Dia hanya tersenyum mendengarnya.

Pak Maidin, Nira ingat Nira nak jumpa umi kejap lagi. Nira nak beritahu umi tentang keputusan peperiksaan Nira ni. Umi tentu suka dengar. Ujarnya dengan suara riang.

Memang itulah niatnya jika dia mendapat keputusan yang baik. Malah dia sudah tidak sabar-sabar mahu menayangkan slip keputusan peperiksaannya di hadapan wanita itu. Moga-moga ibunya akan cepat sembuh dan masih mengingatinya seperti dulu. Doa itulah yang tidak putus-putus dipanjatkan setiap kali selepas solat. YA ALLAH, semoga KAU mendengar doaku!

Baguslah tu Nira. Lagipun kamu pun dah lama tak lawat mak kamu kat hospital tu. Pergilah Nira, nanti Pak Maidin ambil Naufal di sekolah. Ujar Pak Maidin. Perbualan singkat mereka berakhir di situ.

Dari sekolah, dia terus mengambil bas ke pusat rawatan di mana ibunya ditempatkan. Sebaik tiba di tempat itu, dia sengaja berlengah-lengah. Dia tahu dia harus menunggu sedikit masa lagi sebelum dibenarkan melawat ibunya. Rutin harian waktu melawat pusat rawatan itu memang sudah hafal di kepalanya.

Sementara menunggu waktu lawatan bermula, dia mengambil kesempatan duduk menunggu di sebuah bangku panjang di laman hospital. Matanya leka memerhatikan ragam beberapa pengunjung yang turut menanti masa melawat di luar pintu masuk.

Seorang wanita tua, terkedek-kedek membawa baldi berisi air dan penyapu di hadapannya. Matanya tertarik memandang wanita itu. Orangnya sudah agak lanjut berusia, tapi terpaksa pula memikul baldi berat itu. Barangkali dia pencuci di sini, detik hati kecilnya.

Tiba-tiba wanita itu tersandung langkah. Habis tumpah air di baldinya apabila baldi berat itu terlepas dari tangannya. Dia terkesima. Melihat situasi yang berlaku di hadapannya, dia segera meluru ke arah wanita itu.

Makcik nak bawa baldi air ni ke mana Sapanya lembut dan sopan. Wanita tua itu memandangnya. Bibir pucat itu tersenyum sedikit.

bersambung

Bab akan datang:

Apakah tindakan Danira selanjutnya