PENCARIAN identiti Ajai seakan menemui jalan buntu. Cikgu Isa tidak berani meletakkan apa-apa jaminan. Paling utama, urusan peperiksaan remaja itu perlu diselesaikan secepat mungkin seperti pinta Cikgu Omar. Dibiarkannya dahulu hal pengenalan Ajai tergendala kerana ia terlalu peribadi untuk dilayani. Bahkan, setiap kali difikirkan akan timbul jelmaan yang kurang enak menggebu di benak. Cikgu Isa enggan terlalu terbeban.
Seawal jam tujuh pagi tadi dia sudah dirungsingkan dengan pesanan ringkas daripada ketuanya. Cikgu Omar mahu membawanya bersama ke pejabat Jabatan Pelajaran Negeri hari ini juga. Dia gagal mencari kebenaran lebih awal.
Ajai akan pulang sendirian petang nanti. Mujur dia sempat menghulurkan lebih wang saku sebelum ke sekolah tadi. Jika tidak, entah apa pula yang akan jadi.
Ajai balik dengan apa petang nanti
Cikgu Omar memulakan bicara. Pertanyaannya
itu tiba serentak bersama laporan berita di corong radio.
Mungkin dengan bas. Saya dah sediakan duit belanja lebih, balas Cikgu Isa.
Tak mengapalah. Dia pun ada teman. Nasib baik rumah Gana dekat saja. Boleh balik sehaluan. Bersahaja jawapan Cikgu Omar. Pengetua itu tidak tahu Ajai dan Gana sedang berperang.
Cikgu Isa terkedu. Suara pemberita sipisipi masuk ke gegendang telinga. Tetapi, katakata Cikgu Omar lebih terkesan dirasakannya. Sekarang, Gana merajuki Ajai. Mustahil Ajai akan pulang bersamanya.
Kedua-dua guru itu membisu. Membiarkan suara pemberita bergaung di dalam kereta. Berkumandang berita mengenai salah laku pelajar sekolah.
Baru-baru ini Timbalan Menteri Pendidkan juga telah mengeluarkan kenyataan di media mengenai jumlah kes salah laku pelajar. Kes ponteng sahaja hampir mencecah 19 ribu kes. Biarpun masih dalam keadaan terkawal, ramai yang berpendapat masalah tersebut perlu ditangani segera dengan apa cara sekalipun. Imej institusi pendidikan di Malaysia perlu dipulihkan lebih-lebih lagi setelah meningkatnya kes moral seperti seks bebas dan sebagainya.
Macam-macam budak zaman sekarang ni. Ibu bapa suruh ke sekolah untuk belajar.
Sibuk pula nak ponteng sekolah. Langsung tak fikir perasaan orang tua. Zaman kita dulu, kerja sekolah tak siap pun dah rasa semacam. Cikgu Omar berleter, mengulas berita yang disampaikan di corong radio.
Biasalah tu, cikgu. Ibu bapa terlalu manjakan sangat anak-anak. Sampai anak buat apa di sekolah pun dah tak diendahkan lagi. Di sekolah kita tu pun sama saja dua kali lima.
Betul, itu saya setuju. Kadang-kadang kita sebagai guru pula yang disalahkan. Walhal, kita tak tahu apa-apa. Alasan ibu bapa, pagi-pagi lagi anak-anak dah bersiap ke sekolah. Tapi, selepas tu tak cakna pun mereka selamat sampai ke pagar sekolah atau tidak. Tahu-tahu apabila ditangkap polis di luar kawasan sekolah, pihak sekolah juga yang dituju. Ibu bapa mulalah kata guru-guru tak dapat kawallah, itulah, inilah.
Cikgu Isa terangguk-angguk. Tersengih juga dia mendengar bebelan pengetuanya. Tidak sampai pun dua tahun Cikgu Omar memegang jawatan itu, tetapi sudah ada riak-riak gelisah dalam menangani isu disiplin pelajar sekolah.
Namun, dia yakin guru itu mampu bertahan lebih lama kerana melihat kepada pengalaman Cikgu Omar ketika menjawat jawatan guru disiplin beberapa tahun lalu. Setiap kali ada kes disiplin, pantas mesyuarat tergempar dilangsungkan. Jenuh juga menjadi guru di bawah jawatankuasanya.
Isa, Si Ajai tu tak pernahkah bertanya pasal dirinya Yalah, tentang sebab dia dibawa ke Kuala Lumpur ni
Cikgu Isa menoleh ke luar tingkap jernih kereta. Mengharapkan rimbunan pepohon hiasan di bahu jalan membentangkan jawapan. Hampa. Sekitar sepuluh saat, soalan itu muncul lagi.
Ajai tahu tak kenapa dia diambil Cikgu Omar mengulang soalan. Fikirnya Cikgu Isa tidak mendengar yang awal tadi. Pertanyaan kali ini lebih jelas lantunan suaranya. Menindih suara pembaca berita jam sembilan pagi.
Er ... dia tak tahu serasa saya.
Cikgu Omar tidak memandang wajah anak buahnya. Dia pasti ada sesuatu yang tidak kena. Dia tidak mahu melanjutkan keresahan Cikgu Isa. Memadailah guru itu sanggup bekerjasama untuk menyelesaikan urusan peperiksaan Ajai. Yang lainnya, diketepikan dahulu. Biarlah masa yang menentukan. Lambat-laun akan diketahui juga.
Sebal hati Cikgu Isa. Dia sedar sudah tiba waktunya Ajai tahu akan kebenaran segala. Namun, selagi dia sendiri gagal mencari bukti identiti sebenar Ajai, selagi itulah dia tidak akan terburu-buru.
Awal kedatangannya ke Kampung Kelipuk, dia langsung tidak mengenal Ajai. Malah, nama Ajai sendiri sedikit asing di akal. Seingatnya,
gemulah Zarina cuma sempat mengkhabarkan hal Tok Keman. Sejurus itu, seruan Ilahi lebih tangkas mengambil-alih. Hingga kini, masih menjadi tanda tanya. Siapakah sebenarnya Ajai
Semalam, ada juga dia cuba juga menggali maklumat daripada Ajai. Pun begitu, tidak banyak yang dapat membantu.
Benar kata Pak Teh dan Mak Teh. Ajai semakin matang. Dahulu memang dia akan memberontak untuk mengambil tahu semua perkara. Kini, remaja itu lebih banyak berdiam dan berfikir. Cikgu Isa pasti Ajai juga sedang bergelintar mencari hakikat insani.
Cikgu Isa semakin buntu. Malang sekali Tok Keman sudah pergi. Orang tua itu tidak akan kembali untuk membantunya. Itulah yang paling dikesalkan. Jika tidak, segalanya pasti akan terjawab. Tidak dapat tidak, dia perlu meneruskan pencarian ini. Biarpun sampai ke lubuk mati.
PETANG ini, Ajai keluar dari pagar sekolah lewat sedikit. Usai solat zuhur di surau tadi, dia terus ke pusat sumber untuk menyiapkan latihan Matematiknya. Sebelum bersiap-siap pulang, hatinya tergerak untuk menghadam bahan bacaan yang lain supaya tekanan peperiksaan tidak terlalu menghukum jiwanya.
Lalu dia memilih karya sastera yang jumlahnya sedikit di ujana ilmu itu.
Buat pertama kali dia menekuni lambakan puisi-puisi penyair tersohor. Ada juga nukilan beberapa tokoh sasterawan negara. Dia agak mesra dengan beberapa nama itu.
Indah. Bahasa yang dijulang bukan sembarang, malah susunan kata yang mulukmuluk seperti menerbangkannya ke alam lain. Planet sastera barangkali.
Anehnya, karya-karya sebegitu cuma setotet disediakan oleh pustakawan sekolah. Itu pun entah berapa batang jari sahaja yang menyentuhnya.
Minda Ajai terjentik. Karya yang bijaksana seharusnya dipelihara dan wajib disuguhkan kepada generasi muda yang semakin dibayangi kemacetan moral. Bukanlah bahan bacaan yang melalaikan sepatutnya dilampau.
Gapura hati Ajai menerima kunjungan cabang ilmu baharu yakni sastera. Ajai asyik dengan planet imaginasinya tadi. Rata-rata puisi yang dicerna sungguh luar biasa. Nasihat yang padat, kiasan yang sangat terkesan di jiwa, membuatkan mindanya lapang segersang dataran di gurun kontang.
Dia nekad. Tiba sahaja di rumah nanti, dia mahu ditemani bahan bacaan sebegitu. Tentu Cikgu Isa ada simpanannya; paling kurang pun sebuah. Cikgu Isa itu guru Bahasa Malaysia.
Mustahil jika dia meminggirkan sastera dalam hidupnya.
Diksi-diksi puisi tadi masih berlegar di benaknya. Biarpun di hadapan matanya kini sebatang jalan raya, tetapi Ajai masih dapat melihat dengan jelas bait-bait yang dihadam bergelandangan di jalanan. Seperti mahu mengekorinya ke mana sahaja. Ajai tersenyum. Tidak pernah dirasakan mabuk begini.
Tolong! Tolong!
Suara dari tempat perhentian bas bergaung di telinga Ajai. Dia cam suara perempuan itu. Benar, Kameena!
Tiba-tiba kaki Ajai bagai ditarik besi magnet. Lantas dia berlari meluru ke arah Kameena yang sedang diganggu dua orang lelaki bertopi keledar.
Lepaskan dia, suara jantan Ajai menyergah kedua-dua lelaki terbabit. Tangan mereka sudah dileraikan daripada lengan Kameena. Tetapi, masih tidak berganjak dari situ.
Cis, budak ni! Nak berlagak hero pula.
Siapa yang nak berlagak hero sebenarnya Kau atau aku Ajai mencabar. Dia tidak peduli akan kesasaan dua watak di hadapannya kini. Apalah gunanya dia mempelajari buah pukul di kampung sewaktu kecil dahulu jika kecut untuk beradu.
Salah seorang daripada mereka mara. Serentak itu, topi keledar di kepala dianting ke udara. Lagaknya seperti bandit dalam tayangan filem gengster antarabangsa.
Kameena turut resah. Mulutnya dikatup dengan dua belah tangan gebunya. Nafas dihela laju sehingga memanaskan tapak tangan yang bertangkup itu.
Acara bersesah pun bermula. Topi keledar hitam dihayun. Nyaris sahaja mengenai muka Ajai. Sempat dia merundukkan kepalanya membiarkan topi itu melalui atas rambutnya. Dengan pantas, satu tumbukan tepat singgah di rusuk kiri lelaki itu. Terlepas topi keledar dari tangan kanannya.
Kemudian, Ajai terus menerajang dagu lelaki itu yang sedang separa bongkok. Rebah. Seorang lagi berada di atas motosikal memerhati penuh kesumat. Motosikal ditongkatkan. Lelaki itu melangkah besar; kini dua meter dari dirian Ajai.
Nah, satu tumbukan menempel di perut Ajai! Ajai tersedak. Segera dia kembali meluruskan tulang belakangnya. Satu lagi tumbukan paras muka hampir mengena. Mujur sempat disalahkan dengan tangan kirinya. Pantas buku lima Ajai mencari tulang rusuk kiri lelaki tersebut. Sama seperti yang dirasai musuh yang awal tadi. Tanpa membuang masa, bebola kaki kanan Ajai menusuk perut lelaki itu sebagai
membalas apa yang dilakukan terhadapnya tadi. Rebah juga.
Lalu menggelupur kedua-duanya bercepatcepat mendapatkan motosikal. Kelam-kabut enjin dihidupkan. Deras mereka melarikan diri meninggalkan asap putih dari corong ekzos yang menabun di udara. Lenyap.
Kau tak apa-apa Kameena sudah di depan Ajai.
Ajai masih menekan-nekan perutnya yang senak. Aku okey.
Riak wajah Kameena berubah. Dia serbasalah. Disebabkan dialah Ajai menerima padah. Maafkan aku menyusahkan kau, Ajai.
Tak mengapalah. Hal kecil saja.
Nak aku bawa kau ke klinik
Eh, mengarutlah! Sikit saja ni. Balik nanti eloklah.
Ajai masih tidak memandang wajah Kameena. Egonya menebal sejak tadi. Jauh dari sudut hati, dia teruja Kameena sudah berlembut dengannya. Tidaklah seperti singa pada awal pertemuan mereka.
Duduklah dulu. Terima kasih, Ajai. Kalau tidak, entah apa akan jadi dekat aku, ujar Kameena dengan lembut. Dia yakin inilah masa yang sesuai untuknya membujuk budak kampung itu. Jiwa batunya perlu dicairkan.
Sama-sama. Kenapa kau tak tunggu di kantin Selalu kau ada di sana waktu-waktu macam ni, tanya Ajai kehairanan.
Ajai sudah sedikit mesra. Pun begitu, ainnya tetap meratah jalan raya di hadapan. Langsung tidak terdetik untuk menemukan mata mereka berdua.
Aku balik naik bas hari ini. Pemandu papa aku tak dapat ambil sebab papa aku ada urusan di luar kawasan, jelas Kameena sambil lengannya dielus. Mungkin berasa sakit akibat digenggam dua lelaki tadi.
Ini kali pertama kau naik bas soal Ajai berlagak mesra.
Kameena mengangguk.
Lain kali hati-hati. Di sini memang bahaya.
Senyuman Kameena makin mekar tetapi menguncup semula biarpun belum sampai ke pipi. Dia malu kerana terlalu asyik sendiri sedangkan Ajai sedikit pun tidak mahu menoleh ke arahnya.
Ajai menikus. Otaknya ligat memikirkan Gana. Tragedi sebentar tadi mirip pertemuan awalnya dengan Gana suatu masa dahulu. Bezanya cuma dia tidak sempat untuk menunjukkan kehebatan seni pertahanan dirinya. Kameena lebih beruntung kerana berpeluang melihat sendiri aksinya di depan
mata. Sungguh, sudah lama Ajai tidak beraksi. Inilah kali pertama sejak dia menjejakkan kaki ke kota.
Ajai, boleh aku tanya sesuatu Kameena memberanikan diri.
Hanya anggukan sahaja yang dibalas oleh Ajai.
Kameena jelas. Dia akan terus mengajukan soalan. Kau berasal dari mana
Ajai menoleh buat kali pertamanya. Berasa janggal dengan soalan Kameena.
Maksud aku, kampung kau di mana Kameena memperjelas kemusykilannya.
Pekan, Pahang, Ajai membalas ringkas. Ketika itu juga pemandangan kampungnya singgah di ingatan.
Lahir pun di situ tanya gadis itu lagi.
Ajai gegau. Tidak semena-mena dadanya bagai dihempas ombak gadang. Dia yakin, tanah lahirnya di Pekan. Tetapi, dia tiada bukti dan dokumen yang dapat menyokong keyakinannya itu. Soalan Kameena menunaskan curiga.
Kenapa kau tanya Ajai berdalih.
Tak ada apa-apa. Saja aku nak tanya. Kameena mula gusar melihat raut wajah Ajai sedikit berkerut. Tentu ada sesuatu yang tidak kena.
Ajai, aku minta maaf atas semuanya. Aku ikhlas nak berkawan dengan kau, Kameena berterus-terang. Kata-kata itu lahir dari lubuk hatinya yang paling dalam. Jujur tanpa dipengaruhi apa-apa punca. Dia sememangnya seorang gadis yang tulus. Walaupun kata-katanya menyakiti hati pihak lain, sekurang-kurangnya dia tidak berselindung. Itulah prinsipnya sejak dia kecil hingga menjengah remaja.
Selama ini kita tak berkawan Ajai membuka tirai persahabatan. Dia sedar hubungan mereka perlu dipulihkan.
Kameena tersengih. Kali ini betul-betul panjang melebar. Puas pipinya melekukkan lesung pipit di kedua-dua belah. Manis pada pandangan Ajai.
Mereka berdua berbalas senyum. Lama acara itu berlangsung. Tidak nampak ada siapa yang mahu mengalah. Barangkali ini senyuman yang disimpan sejak pertemuan mereka awal dahulu.
Ajai, ibu bapa kau masih ada
Kameena langsung bertanyakan soalan peribadi. Memang itulah makanannya. Dia tidak pandai bersorok-sorok. Apa yang dia inginkan, dia akan cuba dapatkan. Begitu juga dengan halnya bersama Ajai. Dia kepingin mengenali Ajai lebih mendalam lagi.
Ajai tidak selesa dipertanyakan soalan itu.
Dia memilih untuk mendiamkan diri. Fikirnya, Kameena terlalu lurus.
Maaf, Ajai. Aku tak berniat apa-apa. Tapi, kalau kau anak yatim sekali pun, aku tetap akan berkawan dengan kau.
Jantung Ajai bagai mahu luruh. Terusmenerus dia ditekan ketulusan Kameena. Saat itu dia curiga akan dirinya. Apakah benar dia anak yatim Jika ya, mana kubur ibu bapanya. Mengapakah Tok Keman tidak pernah sekali pun menunjukkan pusara mereka Siapakah dirinya yang sebenar