KUNANG PESISIR MORTEN - 21
Rindu. Perlahan-lahan puing masa silam menghampiri. Selepas bertahun-tahun lamanya aku kembali. Sejak perpindahan kami sekeluarga ke Johor Bahru, jarang sekali kami datang ke bandar Melaka. Aku cuma akan datang ke Melaka atas urusan kerja dan jarang sekali ada masa berjalan apatah lagi berlibur. Kerana tiada lagi saudara mara kerabat tinggal di sini, ibu bapaku semakin melupakan Melaka sebagai tempat mereka pernah mencari rezeki. Berbeza dengan aku yang sama sekali tidak boleh membuang, melupakan kegemilangan warna pelangi zaman kanakkanak di sini.

Aku memperlahankan kelajuan kereta apabila memasuki gerbang Ayer Keroh yang aneh. Gerbang yang di kiri kanannya kau akan lihat enam menara dengan tiga jenis gaya senibina tanpa fungsi. Aku tersenyum lebar mengingatkan betapa Dhiya membenci arsitektur tanpa peranan. Yang tinggal hanyalah angkuh pembaziran

tanpa jiwa bangunan. Dan menara-menara ini memberi petanda besar, bahawa seluruh negeri Melaka ditenggelami dengan pembangunan superfisial tanpa rohnya.

Dhiya. Dialah sebab aku kembali ke sini. Sukar untuk aku percaya di tahun 2010 setiap usahaku mencarinya sia-sia. Dhiya dengan jelas tidak menggunakan media sosial dan alamat terakhirnya sudah bertahun tidak digunakan. Aku geram kerana sudah beberapa kali membaca penulisan jurnalnya di arkib sesawang dan media sosial malah di majalah PAM tanpa menyertakan latar belakangnya. Kesal aku kerana Dhiya kelihatan begitu dekat tetapi terlalu jauh untuk ku temui. Seperti biasa, jika perempuan itu mahukan dirinya ghaib, tiada sesiapa pun dapat mencari sepertimana jika dia mahu menjadi sasaran populis dengan mudah dia mengecapinya.

Aku terpanggil mengingati penulisannya sekitar kritikan senibina dan perancangan bandar yang pedas di MA seminggu lepas. Artikel yang membawa aku kembali ke bandar ini. Kritikannya jelas menentang pembangunan negeri Melaka yang bersifat mekap tebal dalam terang-terangan menjadikan negeri itu sebuah taman tema besar dan menenggelami sejarahnya sendiri. Penulisannya itu merungkai ketirisan satu persatu fasa pembangunan termasuk perancangan mega pesisiran air ala Dubai menunjukkan Dhiya baru kembali dari bumi Melaka.

Keretaku menghampiri perkarangan Kampung Morten.

Perlahan-lahan ada panas mengalir di dada. Aku merasai kembali pedih kosong pada hari Dhiya meninggalkan kami. Tidak wujud lagi jalan Persiaran Datuk

Othman yang menjadi kebanggaan keluarga

Haji Ibrahim. Sekadar nama ringkas,

Jalan Kampung Morten. Juga jambatan kayu tempat kami bersidai mengelilingi kampung di sepanjang tebing lumpur telah tiada. Segalanya sudah ditambak tanah dan ditahan dinding konkrit agam. Kini segalanya mudah. Malahan keretaku ini boleh masuk menyelusuri hingga ke Villa Sentosa. Tetapi, ini juga bermakna musnah selamanya habitat ketam Uca annulipes yang dulunya menjadi permainan kami saban musim panas.

Lebih menyakitkan melihat tebing sungai seberang sudah bersih kosong sama sekali. Rumah Ooi dan Geok, tempat Dhiya menemui bakat luar biasanya telah lama diroboh. Lanjutan naik taraf Sungai Melaka pertengahan dekad 1990an, semua penempatan nelayan di sepanjang pesisiran sungai dipindahkan ke Sungai Duyung dengan infrastruktur yang jauh lebih baik. Yang tinggal hanyalah beberapa rumah batu Cina Peranakan termasuk rumah Lim. Aku mahu menangis serentak ketawa melihat bekas tapak rumah nelayan Hokkien kini digantikan dengan tiang-tiang tinggi monorel yang mana gerabaknya hanya boleh memuatkan 22 orang dalam satu-satu masa. Kegilaan apakah mendorong pembinaan monorel yang cuma sepanjang 1.6 kilometer tanpa tujuan pengangkutan awam

Mungkin satu-satunya perkara terbaik dalam pembangunan ini adalah pelaburan Sungai Melaka. Baunya juga sama sekali berbeza. Dengan tekstur yang lebih jernih dan bau masin segar, aku anggap projek ini sebagai berjaya. Aku mengharapkan semua penumpang river cruise yang menyusuri sungai saban hari akan masuk ke mesin masa dan melihat masa lalu kami. Mengimbas manisnya kehidupan pesisiran sungai ini. Mengingat kembali watak-watak hebat Dhiya, Lim, Tam, Lani malah Haji Ibrahim. Mana mungkin Lihat saja Kampung Morten. Selain dari Villa Sentosa, semua rumah tradisional telah diambil kerajaan negeri Melaka. Rumah-rumah ini dijadikan homestay untuk para pelancong. Apa lagi yang tinggal untuk kenangan kami

Apapun yang berbaki, aku pasti Dhiya telah kembali. Pelbagai spekulasi ku dengar tentang Dhiya. Ada yang mengatakan dia sedang melangsaikan pengajian doktor falsafah. Ada juga gosip liar kononnya Dhiya tidak lagi berminat dengan seni bina dan membuka galeri seninya sendiri. Aku tak peduli pun apa yang Dhiya mahu buat kerana aku pasti insan sepertinya tidak mensia-siakan bakat dan hidup tanpa melawan dan berjuang. Permintaan aku cuma sedikit. Sekelumit masa dan peluang. Aku mahu bertemu perempuan itu.

Aku berdiri dengan latar Villa Sentosa yang seperti perempuan immortal jelita tidak dimakan usia. Melihat rumah Lim yang masih teguh.

Aku melangkah. Dan untuk mencari Dhiya, aku memerlukan pertolongan Lim.

***

Jauh di sudut dunia, dalam balam-balam pergunungan Annapura, Nepal yang dibalut putih awan gemawan, berkunang sepasang mata bundar. Di perkampungan terpencil Bahundanda itu, seorang perempuan dengan selendang dan kurti manisnya akan melalui satu hari besar. Di atas ketinggian 1,300 kaki vertikal, akan berlaku pembinaan bersejarah dengan kerjasama badan kebajikan ternama dunia, Room To Read.

Perempuan itu berdiri di tepi tebing gunung menggenggam gulungan pelan biru. Memerhatikan sekolah yang akan dibina dengan konsep terbuka dan sistem pengutipan hujan. Konstruktif dengan insulasi tebal dan material batu gunung tempatan yang menjimatkan. Sebuah sekolah untuk

anak-anak kampung pedalaman terpinggir dengan konsep hijau dan mandiri akan didirikan. Sekolah yang bukan sahaja akan menjanjikan kemanisan pendidikan tetapi lebih penting lagi, visi dan harapan.

Dhiya senyum.