Walaupun ramai yang sudah mengunci pandangan dan minat mereka terhadap gadis itu, tapi Fika hanya menaruh hati pada Zack seorang saja. Zack yang secara ironiknya merupakan satu-satunya lelaki di tempat itu yang langsung tak punya sebarang perasaan terhadap Fika. Malah terhadap mana-mana perempuan pun. Zack tak berani. Dia sudah belajar dari pengalamannya kebelakangan ini. Setelah beberapa kali dia cuba mendekati dan didekati oleh mana-mana wanita, perkara yang sama akan berlaku. Jadi untuk keselamatan ataupun keterjaminan dirinya dan orang lain yang ada keinginan untuk mendekatinya, Zack memutuskan untuk menjauhkan diri. Terutama sekali dari situasi-situasi seperti sekarang ini.
"Lepas kerja ni Zack buat apa"
"Er... balik la."
"Fika dengan some friends cadang nak pergi tengok wayang lepas kerja. Zack nak ikut"
"Tak apalah. Terima kasih..."
"Okey...." luah Fika hampa.
"Erm... lunch nanti Zack makan dekat mana"
"Fika... Zack ada kerja nak kena siapkan ni. Terima kasih sebab bawak kopi untuk Zack..."
Kata Zack lalu terus kembali menumpukan perhatian pada tabung-tabung uji di atas meja di hadapannya. Fika mencebir seorang diri. Kesal dengan sikap Zack. Tapi tak putus asa, walaupun ini sudah kali ke tiga Fika cuba mengajak Zack keluar dengannya.
Fika cuma menganggap mungkin ada sesuatu yang sedang mengganggu pemikiran Zack. Hanya itu penerangan yang logik. Seseorang yang berkelakuan seperti itu, tentu ada sesuatu yang sedang mengganggunya.
Mengganggu...
Fika langsung tak tahu betapa perkataan itu sungguh tepat menerangkan tentang apa yang sedang dialami oleh Zack sekarang.
Selepas itu, Fika menjalankan lawatan rutinnya ke tandas. Ada masa untuk membetulkan solekan, ada masa untuk membetulkan rambut, ada masa untuk membetulkan baju. Ataupun ada masa hanya untuk menatap dirinya dalam cermin lama-lama. Tapi kali ini Fika pergi ke bilik air untuk buang air kecil, memandangkan pundi kencingnya sudah berdenyut minta dikosongkan.
Sebaik membuka pintu tandas, Fika diserang oleh kegelapan yang aneh.
"Ahh! Lampu rosak pulak!"
Fika berlari ke tandas di tingkat bawah. Hairan. Juga tiada lampu. Gelap yang teramat sangat. Ikutkan hati memang Fika nak batalkan saja niatnya. Tapi tak mungkin dia boleh bertahan. Silap-silap boleh bocor.
Fika melangkah masuk. Berbekalkan skrin telefon bimbit sebagai alat penyuluh, Fika meraba pintu kubikel tandas. Ada empat kesemuanya. Tapi yang pertama berkunci. Maksudnya ada orang di dalam. Fika rasa pelik.
"Ada orang ke kat dalam..."
Tiada jawapan. Fika cuba menolak pula pintu kedua. Juga tidak berganjak. Lagi sekali Fika menyeru siapa di dalam. Tapi juga tiada jawapan.
"Kau orang ni khusyuk sangat ke berak Sampai orang tanya pun tak boleh jawab. Dahlah gelap gelita ni. Kau orang tak takut ke hah" tanya Fika yang menganggap bahawa orang di dalam itu adalah antara rakan sekerjanya.
Sunyi sepi. Fika melangkau pintu yang ketiga dan terus mencuba pintu terakhir dengan tanggapan bahawa tentu ianya kosong. Takkan semuanya penuh dalam tandas yang sedang gelap gelita ini. Tapi tanggapannya jauh meleset. Kubikel tandas yang keempat itu juga berpenghuni. Fika menekapkan telinganya ke pintu kubikel tersebut. Cuba untuk mendengar sesuatu. Atau apa saja. Tapi tiada. Tiada bunyi air. Tiada suara.
Tiba-tiba pintu ketiga berkeriuk buka. Pintu yang dilangkaunya tadi. Rupa-rupanya pintu itu tidak berkunci. Satu-satunya kubikel yang kosong. Fika melafaz syukur. Akhirnya dia dapat melaksanakan hajatnya. Tambahan pula dia tidak perlu merasa takut lagi di dalam kegelapan itu sebab ada tiga orang lain yang sedang melakukan aktiviti masing-masing di dalam kubikel bersebelahan kiri kanannya. Jadi dia tidak berseorangan. Ada teman.
Sebaik Fika masuk dan mengunci pintu, tiba-tiba lampu terpasang.
"Fuhhh... lega," kata Fika sambil mengurut dadanya.
Setelah membuka apa yang patut, Fika pun mengangkat penutup pada mangkuk tandas di hadapannya, sedia untuk membuang air. Fika melihat ke dalam mangkuk tandas itu. Hendak memeriksa kalau-kalau ada sesuatu di dalamnya. Maklumlah kadang-kadang orang terlupa nak pam. Fika nampak sesuatu yang membuatkan dia melompat sedikit. Suatu objek bulat yang berbulu panjang warna hitam seperti rambut. Agak besar. Sedang terapung memenuhi mangkuk tandas itu.
"Apa benda ni..."
Fika mencapai berus tandas yang ada di situ. Dia menguis objek tersebut. Lalu objek itu pun berpusing dan menampakkan wajahnya yang putih mati. Bibirnya kebiruan dan matanya kemerahan. Ia adalah kepala seorang wanita yang sedang tersenyum padanya.
Selepas itu pandangan Fika kelam.
Seluruh makmal kecoh tatkala Fika diusung keluar oleh paramedik. Dia tampaknya seperti tidak sedarkan diri. Tapi matanya terbeliak luas hampir tersembul. Dadanya pula berombak deras seperti meronta untuk mengambil nafas. Zack bersidai di muka pintu makmal. Walaupun semua orang cemas, tapi wajah Zack tenang.
Sebab dia tau apa yang sedang berlaku. Dan kalau sangkaannya tepat, tentu 'dia' masih ada di sekitar. Lalu Zack pun meninjau sekeliling.
Itu dia.... Zack dah nampak. Sedang keluar dari bilik air. Terapung bersahaja tanpa kepala. Hanya kain labuh warna putih melayang dengan begitu gemalai. Dalam tangannya yang reput pula sedang memangku sesuatu. Sesuatu yang dia baru kutip dari dalam mangkuk tandas dalam kubikel nombor tiga. Sesuatu yang Zack yakin, telah bertanggungjawab membuatkan Fika jadi macam tu. Menggelupur dalam ketakutan yang tak terbayangkan.
Tapi bagi Zack, Fika beruntung sebenarnya. Sebab sekurang-kurangnya dia dapat juga melihat wajah Anom.
"Aku yang dah hidup dengan dia dekat dua tahun ni pun tak pernah lagi tengok muka..." keluh Zack.
Semasa perjalanan pulang di dalam KTM Komuter, Zack mengambil kesempatan untuk melayari internet melalui telefon bimbitnya memandangkan stesennya untuk turun jauh lagi. Dia hanya ingin memeriksa sesuatu.
"Hmm... tak ada jugak lagi Takkan tak ada orang jumpa lagi kut Berapa hari dah ni Alamat busuk la satu taman perumahan tu," kata Zack dalam hati.
Bau busuk menyerang ruang rongga hidung Zaiful. Zaiful mengeluarkan kain lap peluhnya untuk dijadikan penutup mulut dan hidung. Bau semacam itu. Kalau disedut memang akan terasa sampai tekak dan melekat sampai berhari. Mayat sudahpun diangkat pergi dua jam yang lepas. Tapi baunya masih berlegar. Bayangkan sewaktu mayat masih ada di situ. Menambah loya pada tekak Zaiful.
Penyiasat forensik masih lagi melakukan kerja mereka. Tapi seperti kes-kes sebelumnya, Zaiful pasti, yang ini juga tak ada bezanya. Mereka tidak akan menjumpai apa-apa. Pembunuh Batik Biru terlalu elusif. Bersifat delusi. Semacam satu... ilusi.
Itu yang Zaiful mampu fikirkan. Apa yang dilakukan oleh Pembunuh Batik Biru ini dirasakan seperti bukan sesuatu yang nyata. Ianya terlalu 'mengganggu' untuk dianggap benar. Jadi Zaiful seakan lebih selesa, untuk menganggap bahawa Pembunuh Batik Biru bukan seorang manusia. Tapi lebih kepada satu makhluk yang tidak terbendung dengan sifat insaniah. Sesuatu yang, tiada rasa. Barangkali tidak wujud pun. Hanya sebuah imaginasi yang menakutkan.
"Zaiful! Aku rasa kau nak tengok ni..." kata salah seorang petugas sambil kelam kabut mara lalu menghulurkan beberapa helai kertas yang telah diklip bersama.
Zaiful membawa kertas-kertas tersebut ke satu bahagian yang lebih terasing di situ. Dia bertenggek pada sebuah meja kecil. Satu-satunya perabot di dalam rumah itu yang tidak ada percikan darah. Lalu Zaiful mula membaca...
Kisah 4
Yang Pergi Akan Kembali
Ustaz Amir melurut wajahnya selepas selesai berdoa. Dia bangun. Mengibas kain sejadah sebelum disidai pada penyangkutnya. Ketika hendak beredar, Ustaz Amir lalu pada sekumpulan budak tahfiz di surau itu yang sedang galak bersembang.
"Duk cerita apa sok sek sok sek ni Share la dengan ustaz..." sapa Ustaz Amir.
"Tak ada ustaz, kami duk cerita dekat budak-budak baru, pasal cerita perempuan mati hidup semula yang berlaku beberapa tahun lepas tu ustaz..."
Ustaz Amir tersentak. Wajahnya keruh. Dia tak sangka orang masih bercakap tentang itu.
"Ala... ustaz tau kan Yang perempuan mati kemalangan tu. Lepas tu jenazah dia bangun dan hilangkan diri. Ada orang kata, jenazah tu bangun sebab nak tolong selamatkan kawan dia, iaitu seorang perempuan yang mati kena bunuh dengan pakwe dia. Tapi mayat dia ditanam dekat belakang rumah tukang jahit tu. Ala yang dekat hujung taman tu.... Orang cakap kan, roh yang mati kena bunuh tu, menumpang dalam jenazah yang mati kena accident tu, sebab nak bagitau tukang jahit tu untuk cari mayat dia kat belakang rumah..." cerita budak tersebut dengan kepohnya. Yang lain-lain mendengar dengan mulut ternganga.
"Betul ke Ustaz Amir Ada orang cakap... Ustaz Amir yang uruskan jenazah dua-dua orang tu kan" tanya budak yang lain pula.
"Haish! Merepeklah kau orang ni. Kau orang ingat ni cerita Tanah Kubur musim kelapan belas ke Dah mati boleh bangun-bangun pulak. Dah dah! Daripada kau orang duk mengarut ni baik pergi buat hafazan...." arah Ustaz Amir. Membawa 'mesyuarat' itu kepada persuraian.
Sesampainya Ustaz Amir di rumah.
"Assalamualaikum...! Arfan.... Tolong bukak pintu untuk bapak ni. Bapak tertinggal kunci..."
Arfan yang hanya berbalut kain tuala turun dari tingkat atas dengan kelam kabut.
"Amboi seksinya..." seloroh Ustaz Amir pada anak sulungnya. Arfan hanya menyeringai menampakkan giginya yang mancung.
"Tinggal kunci kat mana Bapak balik surau eh"
bersambung
Bab akan datang:
Di manakah Ustaz Amir meninggalkan kuncinya