DARI KLCC KE TANJUNG MALIM - 21
Malam semalam, aku beritahu Fateem lepas makan aku nak ajar dia Matematik yang susah sikit. Bukan biasa-biasa tambah tolak punya Matematik.

Fateem macam selalu, excited!

Dalam pukul 9.30, aku panggil dia duduk atas meja study yang sebenarnya bukanlah meja study, tetapi lebih berperanan menjadi tapak bunga plastik Cikgu Kuala Kubu.

Malam ni kita belajar Matematik susah sikit, nama dia pecahan. Terang aku di awal pembelajaran.

Sebenarnya dalam hati aku bukanlah nak ajar pecahan sangat. Tapi lebih kepada menguji budak-budak dalam memahami ilmu Matematik yang serba lojik dan tidak ada unsur khurafat.

Ada sebijik kek harijadi. Kita potong dia jadi 5 ketul, sambung aku lagi sambil melakar gambar kek dengan 5 lorekan di atas kertas kosong.

Sekarang ni ada 3 orang yang nak makan kek ayah potong tadi tu. Seorang Fateem, dua lagi kawan Fateem nama Lisa Surihani dan Diana Danielle.

Fateem cuma diam dengan dahi berkerut. Ya, aku tahu dia keliru sebab dari tadika mana pula muncul kawan-kawan yang nama mereka seksi dan cun yang haram dia tak pernah kenal sebelum ini

Ini kawan reka-reka. Bukan kawan betul-betul. Kita buat satu nama Lisa, satu lagi nama Diana. Aku beri sedikit penjelasan tambahan.

Ok, 5 potong kek yang ayah potong tadi, 1 potong Fateem ambik, 1 potong lagi Diana ambik, 3 potong Lisa ambik.

Gambar rajah beserta lorekan kek dengan gambar 3 orang lidi yang nama mereka masing-masing aku tuliskan Fateem, Diana dan Lisa tertera di atas kertas tadi.

Fateem faham tak ni

Fateem blur habis masa ni. Yes! Memang aku nak uji daya ketahanan mental budak-budak dengan subjek pengiraan. Mathematics is a torture!

Ok ayah ulang lagi sekali.

Dengar betul-betul.

Ada sebijik kek harijadi,

ayah potong kek ni jadi 5 potong,

1 kek Fateem ambik.

1 kek lagi Diana ambik.

Yang lebih 3 kek lagi Lisa ambik.

Aku ulang penerangan dengan menunjuk flow lakaran satu persatu.

Matematik Tinggi

Fateem mengangguk perlahan.

Fateem faham tak Aku tanya lagi.

Faham! Jawab Fateem.

Aku agak terkejut dengan jawapan faham itu. Matematik pecahan ni adalah Matematik advance untuk budak-darjah darjah, dan agak mengarut kalau Fateem boleh faham konsep pecahan sebegini dengan cepat. Hipotesis ini aku buat berdasarkan keputusan Matematik akhir tahun beliau yang cuma berjaya mendapat 73 markah. Ok kalau faham, cuba bagitau ayah apa yang Fateem faham.

Aku makin berdebar.

Lisa tu dia lapar sangat. Jawab Fateem muktamad.

Ya. Tindakan Matematik paling logik yang aku pula buat selepas itu ialah log in Facebook.