Terlalu banyak soalan yang bermain di minda saya pada satusatu masa. Saya dah terbiasa dengan benda ini sebab ianya berlaku sejak saya kecil lagi. Saya terfikir... kenapa kita tidak boleh meramal cuaca di Malaysia dengan tepat Dari mana datangnya bulan Bila kita nak ada mesin cahaya masa seperti di dalam komik Doraemon Pada kebanyakkan kalinya saya tidak mendapat jawapan kepada soalan-soalan seperti itu hm tidak mengapalah, mungkin soalan-soalan tersebut memang tiada jawapannya!
Orang kata, kalau nak tahu jawapan kepada soalan-soalan macam tadi, kita kenalah rajin belajar. Ha Belajar Saya tidak berminat dengan apa yang saya pelajari di sekolah sebab saya rasa tiada benda yang menarik yang saya boleh pelajari di sekolah. Saya hanya datang sekolah pun sebab mak dan ayah suruh dan kawan-kawan yang lain pun pergi sekolah. Dari darjah satu, sampailah ke sekolah menengah saya memang malas belajar dan malas menyiapkan kerja sekolah, tapi saya lebih gemar membaca komik Doraemon dan menonton televisyen!
Saya kerap dinasihati emak saya kerana tidak serius dalam pelajaran dan selalu bermalas-malasan di masa lapang. Untuk memuaskan hati emak (untuk jangka masa pendek), saya mengambil buku teks kimia milik ayah saya dan berpurapura mengulangkaji dengan tekun. Ayah saya mempunyai banyak buku teks kimia yang tebal macam kamus sebab dia seorang guru. Salah satu buku teks beliau yang saya suka ialah General Chemistry oleh Howard J. Hill. Saya selalu menggunakan buku itu untuk sesi ulangkaji olokolok kerana buku ini mempunyai banyak gambarajah yang menarik dan berwarna-warni. Banyak benda yang menarik yang telah saya temui dalam buku ini dan akibatnya, bilangan soalan yang berterbangan diminda saya pada ketika itu semakin bertambah. Antara persoalan yang timbul waktu itu adalah kenapa larutan logam mempunyai warna yang berbeza Kenapa merkuri ada dua oxidation state Kenapa jadual berkala kimia disusun dengan pelik Sepatutnya saya boleh tanya soalan-soalan ini kepada ayah saya kerana dia seorang guru kimia, tetapi dia terlalu sibuk dengan kerjanya. Lagipun, saya masih berada di Tingkatan 2 pada ketika itu. Jadi, kenapa murid Tingkatan 2 dah mula sibuk memikirkan tentang oxidation state merkuri
Berita gembira! Saya dapat memasuki kelas aliran sains tulen ketika di Tingkatan 4. Saya menggunakan peluang ini sepenuhnya dengan menghujani guru kimia saya dengan soalan-soalan yang saya tidak dapat bertanyakan kepada ayah saya. Tapi, cikgu tak tahu kenapa merkuri ada dua oxidation state dan dia pun tidak faham mengapa jadual berkala disusun dengan sebegitu rupa. Dia kata, soalan-soalan macam ini tiada dalam sukatan pelajaran SPM, tambahan pula, latarbelakang dia pun sebenarnya bukan di dalam bidang kimia. Tetapi cikgu telah berkata sesuatu yang membuatkan saya lebih bersemangat untuk mencari jawapan soalan tadi. Cikgu kata, kamu gunakanlah Internet untuk mencari penjelasan kepada soalan kamu tadi. Kemudian, kongsilah ilmu yang kamu dapat tu dengan cikgu, manalah tahu, kalau ada orang lain yang tanya cikgu, bolehlah cikgu jawab.
Ya tak ya juga, di rumah kan ada Internet! Saya berasa seperti di puncak Gunung Everest apabila persoalan saya tadi terjawab dengan hanya menonton beberapa video di YouTube. Video-video kimia di saluran Periodic Videos yang dibintangi oleh seorang profesor berambut afro dan rakan-rakannya dari University of Nottingham menjadi penyelamat saya.
Saya menghabiskan berjam-jam di hadapan komputer setiap petang dengan menonton YouTube untuk menambahkan lagi kefahaman terhadap soalan saya tadi. Semakin banyak video yang saya tengok, lagi banyak soalan yang terlintas di fikiran. Dengan adanya Internet di rumah, semua tu tidak menjadi masalah. Bak kata orang, maklumat di hujung jari! Tetapi, pada satu ketika saya tersedar bahawa saya tidak dapat menjelaskan teori tindakbalas-tindakbalas kimia dengan menggunakan pengetahuan kimia yang dipelajari di Tingkatan 4 & 5. Saya harus terus mempelajari subjek kimia ke peringkat lebih tinggi demi sesuatu yang tidak akan ditanyakan dalam ujian mahupun peperiksaan SPM!
Disebabkan saya hanya meminati subjek kimia sahaja, saya terpaksa berpuas hati dengan mendapat 5A dari 11 mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan SPM. Ramai rakan saya yang mempunyai keputusan yang lebih baik telah melanjutkan pelajaran ke universiti melalui programprogram asasi dan ada juga yang berjaya memasuki program persediaan ke luar negara. Saya diterima masuk ke sebuah kolej matrikulasi yang berada tidak sampai 10 km dari sekolah. Hal ini dijadikan modal oleh beberapa guru di sekolah saya untuk menghakimi keputusan SPM saya yang tidak seberapa.
Berbekalkan semangat follow the flow, saya pun memulakan episod hidup yang baru di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Seronok ke belajar di sana Sudah tentu! Sebab yang utama ialah bilangan subjek yang sedikit berbanding di sekolah menengah. Ini bermaksud beban pelajaran saya sudah berkurang lebih dari separuh berbanding di sekolah dulu. Tambahan pula, saya berasa sangat gembira untuk mengucapkan selamat tinggal selama-lamanya kepada subjek biologi yang penuh dengan duri dengan memasuki modul sains fizikal. Bagi sesiapa yang tidak biasa dengan struktur pengajian di kolej-kolej matrikulasi, kolej matrikulasi mempunyai 2 aliran umum iaitu aliran sains dan perakaunan. Aliran sains terbahagi kepada 3 modul pengajian, sains hayat, sains fizikal dan sains komputer. Setiap modul pengajian yang saya senaraikan tadi mempunyai kombinasi subjek sains yang berbeza, misalnya subjek untuk aliran sains hayat ialah biologi, kimia dan fizik, manakala, aliran sains fizikal pula fizik, kimia dan sains komputer. Pelajar dibenarkan memilih modul yang bersesuaian dengan minat mereka. Disebabkan saya telah memilih modul sains fizik, saya hanya perlu mengambil subjek fizik dan sains komputer, bersama-sama subjek kimia yang sudah tentu pilihan yang lebih dekat di hati daripada mempelajari biologi!
Selepas setahun berlalu, saya berjaya menamatkan pengajian saya dengan keputusan yang cemerlang. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu Rupanya Allah telah merancang sesuatu yang lebih baik untuk saya. Kejayaan ini tidak dapat saya kecapi tanpa sokongan dan bantuan dari pensyarah-pensyarah saya. Dengan keputusan tersebut, saya berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda sains dengan pengkhususan kimia di University of Adelaide, Australia.
Ah, universiti! Rumah kepada ilmu dan cendekiawan! Ketika mengikuti pengajian saya di sana, saya berpeluang untuk bergaul dengan orang tempatan dan bertemu dengan ramai ahli akademik yang arif di dalam bidang masingmasing, baik di dalam kuliah, mahupun sesi syarahan umum yang dianjurkan universiti. Saya merasakan pengajian saya di Australia merupakan kemuncak kepada ekspedisi semangat ingin tahu saya yang membara sejak kecil lagi. Kenapa Masih ingat lagi soalan mengenai merkuri dan jadual berkala Ha, akhirnya saya telah mendapat penjelasan yang penuh melalui satu siri kuliah di dalam topik kimia tak organik.
Sepanjang tiga tahun pengajian di sana, saya telah mencapai beberapa perkara yang menjadi penanda aras di dalam hidup saya. Pertamanya, sudah tentu pencapaian saya mendapatkan penjelasan kepada soalan kimia tak organik yang saya peram selama lebih kurang enam tahun. Keduanya, saya berpeluang untuk mempelajari ilmu baru iaitu geologi walaupun major saya merupakan kimia. Hal ini kerana pihak universiti membenarkan pelajar untuk menguasai lebih dari satu bidang sains sebagai syarat menamatkan pengajian. Akhir sekali, saya dapat melibatkan diri dalam bidang komunikasi sains. Penglibatan saya di dalam bidang komunikasi sains bermula apabila saya menghasilkan sebuah akaun twitter khusus untuk berkongsi dan membincangkan topik-topik berkaitan ilmu sains. Komunikasi sains merupakan sebuah kaedah yang digunakan oleh para saintis untuk memaklumkan individu yang tidak terlibat dalam bidang sains. Beberapa contoh komunikasi sains ialah dokumentari sains, penerbitan artikel dan buku sains seperti majalah Dewan Kosmik serta pameran sains.
Penglibatan dalam Komunikasi Sains
Saya terdorong untuk menghasilkan akaun twitter @ tweetsains kerana berasa jelek akan sikap orang yang mudah percaya dengan khabar angin. Pada setiap tahun, kita mesti terbaca artikel bumi akan musnah akibat hentaman asteroid paling kurang artikel ini muncul setahun sekali! Tanpa ada sedikit rasa sangsi, sesetengah orang mula menyebarkan maklumat tersebut dan akhirnya menyebabkan ketakutan yang tidak berasas. Pengalaman ini membuatkan saya merasakan komunikasi sains menjadi suatu perkara yang sangat penting, terutamanya di zaman ledakan maklumat dihujung jari. Terlalu banyak maklumat yang disebarkan melalui media massa dan media alternatif sehinggakan maklumat yang salah dianggap betul, manakala yang betul dianggap salah.
Orang awam perlu diberi penjelasan secara logik dan berasaskan bukti-bukti saintifik mengenai sesuatu fenomena sains itu terjadi (ataupun tidak mungkin terjadi). Ini juga sebuah manifestasi bahawa setiap orang berhak untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, serta merapatkan jurang ilmu pengetahuan antara individu. Hal ini juga dapat membina benteng skeptisism pada setiap individu dan secara tidak langsung meningkatkan literasi orang awam pada bidang sains. Selepas ini, tiada lagi orang berkata sains ini hanya untuk orang pandai sahaja!
Komunikasi sains juga penting untuk badan-badan kerajaan dan penggubal polisi sesebuah negara. Seperti mana yang kita tahu, tidak semua pegawai kerajaan dan penggubal polisi mempunyai latarbelakang yang mendalam di dalam bidang sains. Oleh itu, pendapat saintis sangat diperlukan apabila sesebuah kerajaan berhasrat untuk membuat sesuatu projek yang memberi impak kepada masyarakat, alam sekitar dan sebagainya. Contohnya, kelestarian projek pembinaan empangan, perubahan iklim dan banyak lagi. Disebabkan saintis dan pihak berkuasa menggunakan terma-terma yang berbeza di dalam perbincangan sesama mereka, maka tugas science communicator, ataupun komunikator sains ini sangat penting untuk memastikan kedua-dua pihak bersetuju dengan benda yang sama.
Komunikator sains juga berperanan untuk memastikan rakyat faham akan polisi yang dibentuk oleh sesebuah kerajaan. Misalnya, polisi mengasingkan sisa buangan pepejal yang bermula 1 September 2015 menjadi tugas komunikator sains untuk menerangkan apakah impak kepada alam sekitar jika kita tidak mengamalkan kitar semula dengan memberi hujah menggunakan fakta-fakta dalam bahasa yang mudah difahami oleh orang ramai. Pendek kata, komunikator sains ini tidak semestinya muncul dalam dokumentari sains sahaja!
Kecenderungan di dalam bidang akademik
Selain dari bidang komunikasi sains, saya juga berminat untuk mendalami ilmu bidang polimer, khususnya polimer konduktif. Perkataan polimer berasal dari perkataan Greek yang bermaksud sesuatu mempunyai banyak bahagian yang kecil. Produk berasaskan polimer sebenarnya wujud di sekeliling kita, antaranya produk plastik (seperti botol air dan bekas makanan) dan produk berasaskan getah (seperti tayar dan sarung tangan). Bahan yang dikategorikan sebagai polimer ini tidak terhad kepada bahan yang berasaskan getah dan plastik. Asid deoxyribonukleik (DNA) yang mengandungi maklumat biologi tentang diri kita juga merupakan sejenis polimer. DNA terhasil daripada rantaian molekul-molekul yang pendek dikenali sebagai asid amino.
Tahukah anda bahawa sesetengah polimer mampu mengalirkan elektrik Polimer yang boleh mengalirkan elektrik berpotensi untuk menghasilkan wayar elektrik yang lebih halus dan ringan. Polimer ini boleh digunakan untuk menggantikan wayar membekalkan kuasa elektrik ke rumah yang tebal dan berat dan sekaligus mengurangkan kos pembuatan wayar tersebut.
Selain itu, teknologi polimer ini boleh digunakan sebagai paparan televisyen dan peralatan elektronik yang lebih nipis dan dengan resolusi tinggi. Teknologi polimer konduktif juga merupakan bahan alternatif yang selamat untuk pengguna dan alam sekitar kerana paparan pada masa sekarang dihasilkan dengan menggunakan bahan yang bertoksik. Sebab itu kita tidak boleh membuang televisyen LCD kita dengan sewenang-wenangnya!
Minat diluar sains
Selepas seharian berkerja, saya banyak menghabiskan masa menonton video di YouTube. Laman web ini dahulunya merupakan sebuah medium perkongsian video persendirian, tetapi sekarang, YouTube berevolusi sebagai medium untuk penyebaran maklumat malah ia juga digunakan sebagai alat bantuan pengajaran di universiti dan sekolah. Saya suka menonton video-video terkini yang diterbitkan oleh akaun Crash Course Minute Physics, dan sudah tentu Periodic Videos.
Saya amat tertarik dengan bagaimana sesuatu konsep sains boleh diceritakan dalam masa yang singkat. Selain itu, penggunaan animasi dan grafik di dalam video menjadikan video-video sains lebih mudah difahami dan menarik minat lebih ramai orang. Setakat ini, saya telah mengikuti hampir 40 akaun YouTube yang menyajikan video yang berkaitan dengan sains. Jumlah akaun sebanyak ini mungkin memberi bekalan video sains yang tidak terhingga untuk saya tonton setiap hari.
Selain itu, saya juga mengiatkan diri dalam bidang fotografi sejak dari sekolah menengah. Ramai orang yang mengangap sudut atau panorama gambar yang cantik hanya boleh didapati di luar negara, bukan di Malaysia. Saya berpendapat itu tidak benar. Tidak ramai orang yang dapat melihat alam dan persekitaran kita seperti di dalam kaca mata seorang jurugambar. Oleh sebab itu saya suka merekodkan suatu pemandangan dari sudut pandang seorang jurugambar dan kongsikan foto itu dengan orang ramai. Pepatah Inggeris ada mengatakan, sebuah gambar mencerminkan 1000 cerita, maka, sebuah gambar itu tidak semestinya menunjukkan pemandangan sahaja, terapi ia boleh memaparkan idea yang kompleks seperti budaya, tindak-tanduk manusia dan juga sains!
Sains merangkumi pelbagai aspek kehidupan kita. Jika ilmu sains tidak digunapakai dalam kehidupan seharian, barangkali kita masih lagi melakukan keputusan yang buruk untuk diri kita dan untuk alam sekitar. Marilah kita bersama-sama mempelajari dan mengambil iktibar dari bidang sains yang sangat luas, untuk lebih menghargai penciptaan alam, untuk memperbaiki kualiti kehidupan kita, dan untuk kelestarian kepada generasi akan datang.
Biodata
Dilahirkan pada 12 Oktober 1993 di Cheras, Kuala Lumpur, Ahmad Syihan merupakan anak bongsu dari dua adik-
beradik. Walaupun beliau dilahirkan di Cheras, terapi beliau dibesarkan di negeri yang terkenal sebagai syurga makanan, Pulau Pinang. Sekarang, beliau sedang berkhidmat sebagai pembantu penyelidik di Pusat Kajian Ionik Universiti Malaya (CIUM) dan bakal menyambung pengajian di peringkat sarjana di dalam pembikinan sel solar.