The purpose of art is washing the dust of daily life off our souls.
- Pablo Picasso
Hari ini aku ke Ubud untuk menikmati suasana kampung. Aku berlari dari kesesakan Kuta yang tak pernah mati. Sepeda motor disewa dari Mas Vickry yang kedainya berhampiran dengan hotel. Bayaran sewa adalah Rp50,000. Tak sangka aku akan menyewa motor untuk mengharungi kesesakan Kuta yang gila. Sudahlah aku ni bukan jenis biasa bawa motor dan kini aku membawa motor di bumi asing, di celah kesesakan gila. Hampir aku terperosok ke dalam longkang akibat mengelak kereta yang bersimpangsiur bertukar arah. Bunyi hon adalah perkara biasa. Aku secara tidak sengaja sudah mula suka membunyikan hon dengan gembira. Di sini, kau gunakan hon kenderaan sebaik mungkin. Hon dibunyikan untuk melalui simpang, memberitahu kehadiran anda dari jalan bertentangan, menegur kawan-kawan, menegur signal yang tidak ditutup dan bermacam lagi. Kalau di Malaysia, bunyi hon selalu digunakan dengan muka yang berang dan adakala boleh membawa pergaduhan.
Setelah tersesat beberapa lama, aku tiba juga di Ubud. Ambil masa dua jam dari Kuta ke Ubud. Mungkin aku banyak memakan masa kerana tersesat. Mujur ada pakcik yang tolong tunjukkan jalan namun aku mengecewakannya. Dia membantu aku menunjukkan jalan dan pada masa sama dia mengajak aku ke rumahnya untuk membeli kopi luwak atau kopi tahi musang yang memang terkenal di sini. Sebenarnya bukan niat aku nak mengecewakannya, tapi pada waktu ini aku tidak rasa hendak pekena kopi. Aku hanya mahu ke Ubud saja.
Sampai di pekan Ubud, aku tak tahu nak buat apa. Aku berpusing-pusing di jalan yang sama dan adakalanya berbukit-bukau. Terdapat kuil-kuil Hindu menjadi tumpuan ramai. Aku berhenti dan membuat rutin seorang pelancong iaitu mengambil gambar. Kemudian aku menaiki motor lagi berpusing-pusing di sekitar jalan yang sama sambil di dalam hati berharap tak sesat. Di sini juga ada kuil monyet yang mana monyet-monyet melepak di situ. Ia dibina di habitat mereka dan dijaga rapi kerana monyet dianggap sebagai penjaga kuil terbabit. Tapi dinasihatkan untuk menjaga barangan peribadi masing-masing. Monyet-monyet di situ berperangai di luar jangkaan. Cermin mata pelancong selalu menjadi mangsa monyet-monyet ini meragut. Kalau ada yang bertuah, cermin mata akan dipatahkan oleh monyet-monyet tersebut. Tapi nak salahkan mereka pun tak boleh. Kita manusia, kita datang ke habitatnya maka kita sendiri kena berjaga-jaga dan menjaga adab kita di habitat haiwan.
Hari menjelang petang dan aku masih tak tahu nak buat apa. Motor aku melalui suatu galeri seni di Ubud. Aku tak tahu menahu nak buat apa pun dan berhentikan motor di situ. Terpampang adalah papan tanda tertulis Blanco Renaissance Museum. Dengan rasa bajet artistik aku pun melangkah masuk ke laman muzium dan membayar harga tiket berjumlah Rp20,000. Ia termasuk minuman percuma di restoran yang ada di muzium ini. Lamannya luas dan
Estetika Don Blanco
menempatkan beberapa spesis burung yang hanya boleh didapati di Bali. Menurut mereka, Don Blanco adalah pelukis berbangsa Sepanyol yang sukakan suasana di Ubud. Kerana itu beliau memilih untuk terus tinggal di Ubud dalam mengusahakan karya seninya. Dia mengahwini seorang wanita penari tempatan yang bernama Ni Ronji pada tahun 1953. Muzium ini asalnya adalah rumah banglo milik Don Blanco. Tanah rumahnya dihadiahkan oleh Raja Ubud, Tjokorda Gde Agung Sukawati.
Muzium ini menempatkan semua karya seninya dan sekarang diuruskan oleh anaknya Mario. Rumah ini dua tingkat dan terdapat studio untuk Don Blanco menghasilkan karyanya. Hampir dikatakan semua karya seninya adalah mengenai wanita dan kebanyakannya adalah potret wanita berbogel. Ini kerana Don Blanco percaya bahawa wanita adalah suatu ciptaan Tuhan yang paling cantik di dunia. Kesemua itu ditonjolkan melalui karya seninya. Di samping itu juga, kelihatan gambar-gambar personaliti terkenal yang pernah berjumpa dengan Don Blanco seperti Presiden Sukarno dan Suharto, Michael Jackson, bekas Naib Presiden Adam Malik dan ramai lagi. Selepas puas berpusing-pusing di dalam muzium yang banyak lukisan wanita bogel, aku pun keluar mendapatkan air percuma. Kini aku rasa lebih berseni.
Dalam perjalanan pulang ke Kuta, aku singgah sebentar di Pantai Sanur untuk berehat dari perjalanan panjang. Sambil tu melihat matahari sedang menenggelamkan diri di ufuk barat. Tak nampak sangat pun sebab pantai ni menghadap ke arah timur. Nampak sikitlah. Aku bersembang dengan seorang warga tempatan yang sedang memancing. Dia kata pantai ini lebih terkenal di kalangan pengunjung tempatan. Pelancong luar hanya ke sini untuk mendapatkan bot ke Lombok atau Nusa Lembungan yang merupakan pulau kecil di dalam provinsi Bali.
Mendengar pengunjung boleh menaiki bot ke
Nusa Lembungan, serta-merta dalam kepala otak teringat video yang pernah ditunjukkan Haeri. Video mengenai Nusa Lembungan. Sungguh cantik tempatnya dan tak ramai tahu mengenainya jika ke Bali. Orang ramai lebih tahu mengenai Kuta, Ubud, Tanah Lot dan Uluwatu bila berbicara tentang Bali. Secara tidak sengaja ia mempengaruhi perancangan aku. Aku mungkin tidak akan ke Uluwatu dan Tanah Lot tetapi ke Nusa Lembungan. Aku segera beredar dan menghidupkan enjin motor untuk kembali ke Kuta.
Motor sewa sudah dipulangkan, makan malam juga sudah selesai. Aku kembali ke ruang receptionist hotel, bertanya tentang ke Nusa Lembungan.
Permisi mbak, saya mau ke Nusa Lembungan esok. Bisa aku bertanya kepada gadis comel menjaga kaunter. Dia tersenyum.
Esok ya Bentar ya. Saya talipon dulu orang di jeti dan juga menguruskan penghantaran shuttle bus ke jeti, gadis itu membalas lalu mengangkat ganggang telefon yang berada di atas meja. Sambil menunggu gadis receptionist menguruskannya, aku membakar sebatang rokok dan melihat susuk tubuh yang lalu-lalang di depan hotel.
Maaf ya, hari sudah malam, orang yang menguruskan bot tiada. Tapi bisa diusahakan esok pagi, terang gadis itu. Aku mengangguk kepala saja dan melangkah ke bilik setelah mengucapkan terima kasih. Malam ini aku masih tidur bertemankan bedbugs. Juga bertemankan muzik-muzik kelab malam yang kuat berkumandang di udara Kuta. Setakat ini tiada lagi bekas gigitan di badan kerana aku tidur di atas lantai saja.