Mereka kata ada sesuatu dalam diriku yang aku sendiri tidak sedari. Tapi aku hanya menghayati pujian tersebut dengan penuh berhati-hati. Manusia itu bila dipuji bukannya hendak bertambah kuat berusaha, tetapi akan merasa bangga dan terus megah dengan pengiktirafan itu.
Bidang kaunseling dan motivasi merupakan satu bidang yang amat aku gemari. Walaupun aku tidak berpeluang mendalami bidang tersebut secara formal, aku tetap berusaha secara konsisten mendalami aspek-aspek yang berkaitan dengannya secara tidak formal iaitu melalui pembacaan, perbincangan, program televisyen dan penghayatan daya imiginasi.
Kadangkala pemikiranku menjangkau batas pemikiran orang yang berjiwa biasa sehingga mereka merasakan aku suka mengampu. Ada juga menuduh aku cuba hendak menunjukkan kehebatan yang sangat terhad ini.
Aku tidak kisah dengan sindiran kerana bagiku omongan sebenarnya ada masej yang boleh dimanfaatkan. Kalau kita terlalu berfikir apa orang lain kata, maka langkah kita tidak mungkin panjang.
Orang yang berjaya bukanlah orang yang tidak pernah gagal tetapi orang yang jatuh dan bangun semula. Kita harus belajar bidang baru untuk memperkukuhkan bidang utama yang kita ceburi.
Suatu hari kawanku membuat panggilan ke pejabat meminta tolong aku menggantikannya. Dia terpaksa bercuti untuk melangsungkan perkahwinan. Katanya ada sebuah syarikat konsultan akan menganjurkan program motivasi dan kepimpinan untuk 50 orang executive dari Syarikat Radicare. Aku diperlukan untuk menghubungi pengarah konsultan tersebut hari itu juga bagi mengesahkan kesediaan.
Aku sentiasa berfikiran positif. Memanglah masalah besar untuk melakukan sesuatu yang belum pernah kita lakukan. Tapi aku melihatnya sebagai peluang untuk mempelajari sesuatu yang baru.
Aku ada tempoh 2 hari sahaja sebelum melaksanakan program tersebut di kem Wira Waja di Janda Baik. Aku sendiri tak tahu bagaimana hendak melaksanakan program tersebut.
Yang penting hadir dulu di Kem tersebut. Program tersebut hanya dibuat selama 2 hari setengah sahaja. Petang Jumaat semua peserta sampai dan mula memasukkan barang-barang persendirian di bilik yang disediakan di resort tersebut.
Semuanya bukan calang-calang orangnya. Yang paling rendah gajinya adalah sekitar RM 5000.00 dan yang paling mahal gaji adalah bos mereka yang memperolehi pendapatan RM 27,000.00 sebulan.
Aku terfikir bagaimanakah aku dapat memberi motivasi kepada executive yang mempunyai kelulusan dan gaji yang setinggi itu. Tapi tidak mengapa. Mesti ada ruang yang boleh aku isi dan menarik perhatian mereka. Kehadiran ku mereka tidak endahkan pada peringkat awal. Maklumlah mereka itu siapa dan aku siapa.
Selepas minum petang aku memulakan taklimat program. Aku mulakan dengan mengedar satu kotak kosong. Aku arahkan mereka menulis di atas kertas kosong, jawatan mereka. Kemudian aku kumpul dan meletakkan di atas pentas. Aku memaklumkan, sepanjang program ini mereka tiada jawatan dan mereka hanya tinggal nama sahaja.
Walaupun merasa seperti dipermainkan atau tertipu, mereka mulai faham betapa sukarnya jika program ini dilaksanakan dengan sikap mereka yang menjaga status serta jawatan mereka. Semua adalah sama iaitu peserta dan aku adalah fasilitator mereka. Selepas solat dan makan malam aku memberi ceramah kepimpinan selam 1 jam. Ia diikuti dengan jamuan ringan. Mereka tidur awal.
Pada keesokan harinya aku melibatkan diri secara aktif membuat berbagai aktiviti luar termasuk abseiling dan merentas sungai dan mendirikan khemah di hutan. Mereka cukup teruji dengan berbagai aktiviti yang aku rancang. Persepsi mereka juga telah berubah terhadap ku. Hubungan kami bertambah mesra pada hari kedua program tersebut.
Pada hari terakhir aku mengadakan aktiviti di dalam kelas dan semua peserta perlu buat persembahan. Aku juga menghuraikan secara panjang lebar aspek kepimpinan, team building dan motivasi diri.
Pada hari terakhir selepas tamat program, mereka mengucapkan jutaan terima kasih diatas kejayaan mengendalikan program tersebut. Mereka juga berebut-rebut membeli buku pertama yang aku hasilkan iaitu Ekspedisi Penerjunan di Kutub Utara.
Pengarah syarikat konsultan tersebut juga mengucapkan ribuan terima kasih dan mengatakan akan menghantar cek ke alamat yang aku beri. Dalam perjalanan pulang dari Janda Baik aku sendiri terharu, bagaimanakan aku boleh berjaya melaksanakan program tersebut dengan sempurna. Semuanya dengan kuasa Allah.
Kerana terlalu keletihan aku tidak dapat mengawal kenderaan dan terlanggar lori pekerja lebuhraya. Ketika aku memandu sejauh 60 KM
Sejam,mata semakin berat.
Namun aku fikir untuk memandu sejauh 5 km lagi sebelum berhenti rehat di hentian nilai. Tapi aku dah tidak tahan lagi dan terus melanggar lori hadapan dan hancur kereta bahagian hadapan aku.
Program motivasi yang pertama itu rupanya membuka pintu rezekiku. Aku aku telah di jemput sebanyak 10 kali lagi untuk mengendalikan berbagai bentuk program motivasi yang melibatkan pekerja kilang dan swasta. Konsultan tersebut meminta agar aku berhenti dari tentera dan bekerja dengan beliau.
Awal-awal lagi aku tolak kerana kerjaya ketenteraan merupakan kerjaya yang sebati dengan jiwaku. Tentera mengajar terlalu banyak nilai-nilai murni termasuk disiplin dan ketahanan serta etika.
Aku buat program motivasi tersebut pun untuk mengisi masa hari cuti dan masa terluang. Tak mungkin akan aku abaikan tanggungjawap utamaku ini.
Kini aku tidak lagi melaksanakan program sedemikian kerana rutin kerja aku memerlukan aku bertugas siang atau malam dan di hari minggu. Namun aku tetap akan kenang pengalaman mengendalikan program untuk lebih 800 peserta.
Pengalaman sedemikian telah memberi keyakinan terhadap aku di dalam meneruskan kerjaya sebagai saorang pegawai tentera yang baik. Semoga Allah akan terus menambahkan ilmu-ilmu baru kepada aku. Segala apa yang kita miliki sebenarnya adalah milikNya. Jadi janganlah kita mendabik dada bila lebih sikit dari orang lain.