Dan umat manusia itu pula tidak dapat lari daripada kehidupan bermasyarakat. Di dalam masyarakat ini termasuklah jiran tetangga, hidup berjiran ini penting kerana manusia itu tidak akan mampu hidup bersendirian dan manusia itu juga saling memerlukan di antara satu sama lain bagi memenuhi keperluan masing-masing.
Agama Islam memerintahkan agar para penganutnya menjaga dan menghormati perasaan jiran tetangga. Ini kerana jiran itu adalah mereka yang paling hampir dengan kita selain daripada
saudara-mara kita sendiri, walaupun mereka itu langsung tiada pertalian darah ataupun mereka itu berbeza pegangan dan agama.
Menyakiti hati dan perasaan jiran adalah satu perbuatan yang dicela Rasulullah s.a.w kerana akibat perbuatan itu boleh menyebabkan perasaan saling membenci, dendam, iri hati dan sebagainya timbul, sedangkan perasaan-perasaan sedemikian itu adalah dilarang di dalam agama Islam sebagaimana terdapat di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Anas bin Malik radiallahuanhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda yang maksudnya: Janganlah kamu saling membenci, janganlah kamu saling dengki-mendengki dan janganlah kamu saling bermusuhan dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim menjauhi saudaranya (sesama Muslim) lebih dari tiga hari.
Apa yang sepatutnya berlaku ialah agar kita umat Muslimin ini bersifat lembah lembut dan berkasih sayang terhadap saudara seagama sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Bukhari dari Numan bin Basyeer r.a , Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Engkau melihat orang-orang Mukmin dalam kasih sayangnya dan kecintaannya dalam tolong-menolongnya seperti tubuh, yang jika sakit satu anggota tubuh itu lalu menyebabkan semua anggota tubuhnya tidak tidur (kerana sakit).
Akan tetapi apabila jiran tetangga kita itu bukan beragama Islam, kita juga seharusnya menghormati mereka agar timbul juga nanti perasaan yang serupa terhadap kita. Sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam at-Tabarani daripada Muawiyyah bin Haidah Radiallahuanhu katanya:
Aku telah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam: Ya Rasulullah! Apakah hak jiran ku Rasulullah sallallahu alaihi wassalam pun bersabda: Jika beliau sakit hendaklah kamu menziarahinya, jika beliau meninggal dunia, hendaklah kamu menghantar jenazahnya ke kubur.
Jika beliau meminjam hendaklah memberikan hutang kepadanya, jika beliau melakukan keburukan hendaklah kamu menutup keburukannya dan jika beliau ditimpa oleh sesuatu musibah hendaklah memberikan takziah kepadanya. Janganlah meninggikan bangunan kamu lebih tinggi dari bangunannya lalu menyebabkan angin terhalang masuk ke dalam rumahnya. Janganlah menyakitinya dengan bau masakan kamu melainkan kamu memberikannya sedikit dari masakan kamu.
Wasiat Nabi junjungan kepada Saidina Ali R.A
Wahai Ali, Bagi orang mukmin ada 3 tanda-tandanya :
1. Tidak terpaut hatinya pada harta benda dunia
2. Tidak terpesona dengan pujuk rayu wanita
3. Benci terhadap perbualan dan perkataan sia-sia
Wahai Ali, Bagi orang alim itu ada 3 tanda-tandanya :
1. Jujur dalam berkata-kata
2. Menjauhi segala yang haram
3. Merendahkan diri