FIZIK-LAH! - 21
Embun yang biasa kita lihat terdapat pada dua keadaan, iaitu embun pada dedaun ketika waktu pagi dan embun pada cawan yang berisi air sejuk macam teh ais contohnya. Bagaimana embun ini terbentuk

Proses pembentukan embun ini adalah proses pemeluwapan (condensation), iaitu proses wap (gas) bertukar menjadi air (cecair). Pada siang hari, Matahari memanaskan Bumi. Bumi mengandungi 70% air. Jadi, sebenarnya agak sukar untuk menemui tempat yang 100% mempunyai udara sematamata. Rata-rata tempat akan mempunyai lembapan (moisture). Beza di setiap tempat cuma banyak atau sikit saja. Lembapan merujuk pada kehadiran wap air di udara.

Wap air terhasil daripada proses penyejatan (evaporation) air. Pemanasan Bumi oleh Matahari telah menyebabkan berlakunya proses penyejatan. Sewaktu proses penyejatan, molekul-molekul air akan mendapat tenaga kinetik untuk bergerak lebih laju. Yang tersejat terlebih dahulu, tentulah bahagian permukaan air.

Tenaga kinetik ini diperoleh disebabkan oleh tenaga haba yang diberikan oleh Matahari. Semakin tinggi suhu tenaga haba yang diperolehi oleh air, maka semakin tinggilah tenaga kinetik. Seterusnya, semakin lajulah molekul air ini bergerak, dan semakin cepatlah air tersejat.

Menurut teori kinetik, air berada dalam bentuk cecair kerana terdapat daya tarikan antara satu sama lain antara molekul-molekul air. Kehadiran haba menyebabkan daya ini tidak cukup kuat untuk menahan molekul-molekul yang bergerak laju. Jadi, molekul-molekul yang bergerak laju ini akan terlepas ke udara seperti mana roket berlepas daripada daya graviti bumi.

Molekul-molekul yang terlepas ke udara akibat kelajuan yang dimiliki inilah yang membentuk wapwap air (water vapor). Kumpulan wap-wap air inilah yang kita panggil sebagai lembapan. Proses penyejatan akan terus berlaku sehingga tiada lagi tenaga haba, iaitu pada waktu malam tiba. Suhu mulai menurun pada waktu senja.

Pada waktu malam, proses pemeluwapan akan berlaku. Bumi yang panas tadi, akan mulai sejuk kerana berlakunya proses pengaliran haba. Menurut hukum termodinamik pertama, haba akan sentiasa bergerak ke tempat yang lebih sejuk untuk mencapai keabadian tenaga (conservation of energy). Haba akan mengalir ke udara.

Apabila permukaan bumi mula menyejuk hingga takat-embun (dew point), wap-wap air mula meluwap (condense) dan terbentuklah embun pada permukaan seperti pada dedaun, bonet kereta, dan tempat duduk motosikal.

Proses yang sama berlaku pada secawan air sejuk. Titisan-titisan air yang terbentuk pada cawan tersebut adalah hasil daripada pemeluwapan wap-wap air di udara sekeliling. Kita tak nampak wap-wap ini. Kalau kita letakkan tangan kita di atas cawan air panas, tapak tangan kita akan berair sebab tangan kita lebih sejuk daripada wap-wap itu tadi. Telah berlaku proses pemeluwapan pada tapak tangan kita. Tambahan lagi, kita lihat secawan air panas tidak akan menghasilkan embun pada cawan tersebut.

Secara mikro, wap-wap air ini kekurangan tenaga kinetik untuk terus berada dalam bentuk gas. Apabila molekul-molekul wap ini bertembung dengan permukaan yang lebih sejuk, tenaga haba molekul tersebut akan mengalir ke permukaan yang sejuk. Apabila molekul wap ini kekurangan tenaga haba, maka ia akan kekurangan tenaga kinetik, lalu ia meluwap dan bertukar fasa menjadi cecair. Jadi, terbentuklah embun.