MUDAH saja, bukan
Alhamdulillah. Tak sesukar mana. Cuma aku yang malas membaca selama ni, Ajai mengaku.
Ha, tahu pun kau!
Kameena lega. Hampir sebulan dia cuba mengakrabkan Ajai dengan bahasa Inggeris. Awalnya memang tampak sukar memandangkan Ajai sendiri kurang selesa dengannya. Lamakelamaan barulah nampak kemahuan Ajai dalam berguru. Itu pun perlu bertemankan Syasya, sahabat karib Kameena. Jika tidak, rona wajah separa gelap itu mahu juga bertukar merah.
Ajai tidak kekok lagi bertutur menggunakan bahasa asing itu. Malah, keyakinannya kian terserlah selepas acap kali dipuji Sir Zain, guru bahasa Inggeris mereka. Seisi kelas melihat peningkatan mendadak remaja kampung itu. Sehingga ada juga yang berhati busuk meletakkan kaca-kaca sepanjang pendakiannya.
Mujur, dia lebih bersedia dengan telapak nan kebal.
Syasya, tolong ambilkan akhbar The Sun dekat para tu. Kita uji kefasihannya pula, pinta Kameena.
Syasya tidak berganjak. Anak matanya dipandukan ke pintu masuk pusat sumber. Pelupuk matanyanya juga tersengkang lama tanpa kerdip.
Kameena dan Ajai serentak menurut tingkah Syasya. Kepala masing-masing menoleh ke arah objek yang sama.
Ehem, khusyuknya kau tengok Si Gana tu! Kameena mengusik. Keningya diangkatangkatkan. Bibir delimanya melebar ditarik oleh pipi gebu melepak.
Ajai pula tersenyum sinis melihat keletah dua gadis kota itu. Ajai tahu mereka berdua sangat rapat. Disakat bagaimana sekalipun tidak akan berperang kedua-duanya. Mereka sudah lama berkawan. Malah, sejak di bangku sekolah rendah lagi telah dipertemukan. Ajai ada mendengar cakap-cakap rakan lain bahawa Syasya dan Kameena diibaratkan seperti belangkas. Dari dahulu hingga kini, mereka akan duduk sebelah-menyebelah. Dari awal sesi persekolahan bermula, sehinggalah loceng tamat berbunyi mereka akan dilihat bersama. Melainkan waktu pulang kerana Kameena perlu menunggu pemandunya di kantin sedangkan
Syasya akan berjalan bersama yang lain untuk menunggu bas di luar pagar sekolah.
Kau berkenan dengan Si Gana tu Kameena masih tidak serik. Dia tahu temannya itu tidak lut jika diejek.
Eh, kau ni! Bukanlah. Aku cuma terfikirkan sesuatu, balas Syasya separuh malu. Dia tidak sedar gerak-gerinya diperhatikan oleh mereka berdua.
Ajai dan Kameena berpandangan. Hairan. Apa sahaja yang difikirkan gadis tinggi lampai itu Soalan demi soalan berlingkar di ruang fikir mereka.
Ajai, dulu kau rapat dengan Gana, kan Kenapa sekarang kau orang dah berenggang Ada masalahkah tanya Syasya tulus. Memang kerenggangan mereka sudah lama diperhatikannya. Tetapi, disebabkan dia tidak pernah berbual dengan Ajai mahu pun Gana sebelum ini, soalan itu dipasungkan dalam minda. Dia juga percaya rakan sekelas yang lain turut perasan dengan perubahan mereka.
Yalah, Ajai. Dulu kau kerap bersama Gana. Waktu rehat pun akan berada di pusat sumber ini. Kenapa sekarang tidak soal Kameena.
Ajai jadi gelabut. Buntu untuk memulakan bicara. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu sesiapa pun tahu akan pertelingkahan antara dia dan Gana. Baginya, persahabatan mereka
belum lagi berakhir. Dia masih menerima Gana sebagai rakan karib seperti dahulu. Langsung tidak pernah terfikir untuk meletakkan Gana di belakang Kameena dan Syasya. Cuma, lewat beberapa minggu lalu dia mula berputus asa untuk terus membujuk dirinya mengejar rajuk remaja India itu. Gana sangat nekad. Dia tidak suka dirinya diperbodoh. Mungkin disebabkan itu rajuknya berpanjangan.
Aku dan Gana masih berkawan. Cuma kami ada berselisih faham sedikit, ujar Ajai dengan tenang.
Kamu bergaduhkah Kenapa Bila Bertubi-tubi soalan yang dimuntahkan oleh Syasya. Bagai peluru senjata yang bersungguh melumatkan sasarannya.
Adalah. Rahsia antara kami. Tapi, puncanya aku. Aku yang bersalah. Ajai tidak berselindung. Dirinya rela dipanah. Mahu sahaja dihebohkan kepada semua tentang kebebalannya menipu seorang sahabat yang setia lagi mulia. Walau bagaimanapun, punca pergaduhan mereka tetap akan dirahsiakan. Dia tidak mahu Syasya dan Kameena mencampuri urusan mereka berdua.
Itu pun nak berahsia. Ceritalah. Kami janji tak beritahu orang lain, rayu Syasya terus mencuba. Telapak tangannya dicuarkan sebaris pipi yang sedikit dicemari jerawat remaja.
Syasya! Biarlah dia dengan rahsia dia.
Janganlah dipaksa-paksa, ujar Kameena dengan lagak seorang srikandi menyelamatkan Ajai. Dia amat arif akan masalah yang sedang ditanggung budak kampung itu. Dia tidak mahu Ajai terus dihambat perasaan serba-salah. Jika Ajai menurut pinta Syasya, ia bermaksud Ajai telah melanggar etika persahabatannya dengan Gana.
Ajai pernah tersilap langkah. Dia tidak seharusnya mengulangi kesilapan. Dia perlu tahu nilai sebuah kesilapan adalah sama dengan nilai sebuah pengalaman. Jika dia tidak berusaha untuk berubah dan gagal mempelajari sesuatu daripada pengalaman lalu, dia bakal mengharungi ujian yang lebih getir kelak.
Tak apalah. Aku harap suatu hari nanti telur tembelang akan pecah juga, sinis bicara Syasya. Letih untuk terus bermain tarik tali. Demi Kameena, dia sanggup membunuh hajatnya sementara waktu.
Loceng tamat waktu rehat pun berdering. Deringan itu disambut seiring dengan bunyi kerusi sekelompok pelajar yang berada tidak jauh dari mereka. Kumpulan itu bangkit meninggalkan pusat sumber tanpa suara. Kameena dan Syasya cepat-cepat mengaut alat-alat tulis mereka di atas meja. Sementara habuk sisa getah pemadam dikuis halus oleh Kameena dengan tapak tangan putih kemerahmerahannya itu. Meja yang tadi berselerak kembali seperti asalnya.
Tetapi, Ajai masih tidak berganjak dari duduknya. Bokongnya masih setia melekap di kerusi plastik itu. Taru di perkarangan pusat sumber langsung tidak menjejaskan khayalannya yang sedang bergentayangan ke wilayah fikir. Dia teringatkan Cikgu Isa. Dia sedar guru itu bukan pak ciknya seperti yang dianggap rakan lain. Namun, dia tetap merasakan kejeleketan antara mereka bukan sesuatu yang tidak disengajakan. Perasaan itu kembali mampir seperti awal pertemuan mereka di jeti Tasik Chini.
Guru bujang itu bukan calang-calang orang. Dia berjaya mengawal emosinya pada malam itu. Ajai terkenangkan episod drama di jeti. Jika Cikgu Isa lewat sedikit sahaja tiba, barangkali dia bukan lagi di sini. Dia akan bersama Tok Keman dan ibu bapanya di dunia yang lain. Sebuah dunia yang tidak seorang pun tahu akan hakikat kehidupan di situ.
Sejak dua menjak ini, dia sering diganggu mimpi ganjil. Boleh dikatakan kesemua mimpi itu dilakonkan oleh beberapa watak baharu. Dipaksanya mengingat kembali muka watakwatak itu. Tetapi, masih gagal untuk diarcakan di minda. Lagi pula, wajah-wajah itu tidak tekal. Adakalanya mereka bertukar rupa, kemudian kembali ke wajah asal seperti awalnya. Yang pasti, jika kena pada masanya, mereka akan muncul bersama. Malah, berpimpin tangan melingkari sebuah taman indah yang penuh bunga dan rerama.
Anehnya, dia sendiri tidak beraksi dalam gambaran mimpi tersebut. Memang lelaki dan wanita itu tidak pernah muncul dalam dunia celiknya, tetapi tidak bagi dunia pejamnya kebelakangan ini. Puas dia menyusun kotakkotak ingatan dari kecil hingga usia remaja kini. Malangnya, satu pembayang pun gagal ditemui.
Ajai, kau tak mahu masuk kelaskah Kameena cuba memasuki dunia khayal Ajai.
Eh, maaf! Aku tak sedar. Mari kita ke kelas.
Syasya dan Kameena berpandangan. Tetapi, tidak membangkitkan apa-apa rasa. Mereka sedar jiwa Ajai sedang ripuh. Dibiarkan otak Ajai terus menerima kunjungan rusuh yang berpusu-pusu mahu menembusi wilayah fikirnya.
Ajai melangkah melintasi mereka tanpa berkata apa-apa. Sungguh, dia lena dirasuk lembaganya sendiri!
DATUK Murad menyentap keras akhbar di tangannya. Berkeretup kuat sehingga memeranjatkan Lazim yang sedari tadi tekun menggenggam stereng. Helaian akhbar yang terkulai sedikit mengganggu bacaannya.
Kemudian, matanya mula melilau mencari tajuk berita yang enak-enak. Lalu anak matanya singgah di sudut bawah sebelah kiri muka
surat itu. Dia membaca kepala berita tersebut; disambung isi berita. Usai di noktah yang terakhir, dengus kasar digemakan ke ruang dalam kereta.
Macam-macam perangai budak zaman sekarang ni. Orang yang dah berkahwin bukan main susah lagi nak dapatkan anak, dia orang senang-senang saja buang anak. Datuk Murad melepaskan geramnya. Keluhan itu bukan sengaja dibuat-buat. Dia memang berang dengan sikap segelintir masyarakat yang sanggup membuang bayi di merata tempat.
Seingatnya, di era usia mudanya dahulu sudah bermula tabiat pembuangan bayi seperti itu. Tetapi tidaklah sekerap dan sesadis umat kini. Sehingga ada yang sanggup mengepam janin sendiri di tandas. Paling menyedihkan ada juga yang meletakkan bayi suci itu di tempattempat kotor lalu dihurung lalat dan serangga.
Pernah sekali dia terdengar berita tentang seekor anjing yang menggonggong tubuh kecil tidak berdosa itu ke sana ke mari. Begitu dahsyatnya manusia yang konon-konon maju akal serta budi. Langsung tidak sedikit pun mereka gusar akan dosa dan bahananya.
Biasalah tu, Datuk. Apabila nafsu sudah meraja dalam diri, harimau lapar bertaring tajam pun mereka berani dekat.
Lantas Datuk Murad teringatkan analogi
Datuk Kamil ketika mereka bertemu di padang
golf dekat Ampang. Generasi sekarang terlalu berani. Entah virus apa yang sudah dijangkiti dalam badan sehingga tidak terbata-bata melakukan jenayah kemanusiaan seperti itu secara terang-terangan.
Datuk Murad, dunia sekarang sudah senja. Sudah hampir tiba di penghujung. Malaikat Israfil sedang menunggu isyarat daripada Allah untuk meniup sangkakala. Benarkanlah apa yang diperakui Nabi Muhammad tentang tanda-tanda menjelang kiamat. Zina akan berleluasa sehingga tidak lagi menjadi aib kepada manusia. Jenayah pembuangan bayi sudah pun membuktikannya.
Datuk Kamil bijak mensyarahkan hujahnya. Beberapa tahun ini, kes pembuangan bayi di Malaysia telah melalui siri revolusi yang menggila sehingga pihak berkuasa tidak menang tangan untuk mengatasinya. Statistik terbaharu yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah dari balai polis ibu negeri mencatatkan kenaikan mendadak bagi jenayah terbabit dalam tempoh lima tahun. Jumlah itu hanyalah berdasarkan laporan yang diterima. Hakikatnya, belum lagi ditambah dengan bilangan bayi yang masih digelapkan oleh penjenayah sendiri. Betapa manusia sekarang dangkal dalam mengenal nilai manusiawi.
Lazim masih membatu di kerusi pemandu. Dia tidak pasti sama ada dia harus menjadi penyumbang kepada diskusi jenayah itu.
Datuk Murad asyik mengomel sepanjang perjalanan. Pantang dilihatnya pasangan remaja yang berpimpin tangan di bahu jalan, dia akan menyumpah. Turut sama terkena tempiasnya ialah gadis-gadis yang membonceng motosikal dengan pakaian yang mencolok mata. Sekilas kereta mewahnya dipotong oleh motosikal mereka, pasti akan kedengaran seranah dari mulut Datuk Murad.
Lazim terkenangkan masa silamnya. Benar, dia pernah tergolong dalam sasaran sumpah seranah Datuk Murad. Dia juga pernah menjadi remaja yang alpa dielus arus hedonisme. Budaya remajanya jelas tidak melambangkan jenama Islam. Cinta muda telah menghanyutkan dirinya serta keluarga. Sampaikan bapanya yang gah suatu ketika dahulu dengan sikap kepemimpinan agung jua rebah akibat langkah sesat anak sendiri.
Batin Lazim bagai mahu menjerit. Dia malu memandu kereta milik seorang yang tanpa sedar telah menghentamnya secara halus. Tiba-tiba mata Lazim berladung bak titisan gempal embun di hujung daun. Tanpa diduga, dia terbayangkan wajah bekas isterinya. Rindu bertandang ke lubuk hati.
Satu per satu babak asmaradana mereka diimbau. Di pusat membeli-belah, di panggung wayang, di taman binatang, di tasik asmara dan di mana-mana selagi kaki mereka pernah terjejak. Lazim melihat kemanisan mereka bukan lagi
sesuatu yang dapat dinikmati. Sebaliknya, sakar madu cinta muda itu sebenarnya racun berduri yang sengaja disuguh oleh iblis-iblis dalam diri sendiri.
Kini, dia berterus-terusan berhutang. Janji yang pernah terkaram suatu ketika dahulu masih belum dilunaskan. Betapa dia sudah melakukan kesilapan yang besar. Malah, dosanya kepada Tuhan entah bila pula akan ditebus. Selagi dahi anak kandung isterinya itu tidak dikucup, selagi itu titik noda akan bertunas menggelapkan usia yang bersisa.
Benarlah dia berkahwin secara sah. Dia bukan penzina yang nyata. Namun, dia punya keluarga; juga ibu bapa. Gejolak nafsu mudanya menghalalkan matlamat untuk bernikah di sempadan negara. Tanpa restu keluarga, tanpa mewartakan kepada seluruh penduduk Kampung Cendawan. Natijahnya, bapanya jatuh sakit, isterinya hilang entah ke mana.
Ibunya sendiri kamu susah nak cari, apatah lagi anaknya, Lazim.
Masih terngiang-ngiang di telinganya sindiran Wan Minah tempoh hari. Ibunya itu tidak yakin dia dapat bertemu dengan anak kandungnya. Lazim pedulikan sahaja kata-kata orang tuanya. Dia mahu terus mencari hingga ke lubang cacing sekalipun. Petunjuk sudah ada. Langkahnya pun telah bermula. Biarpun Tok
Batin Kutam tidak banyak membantu, tetapi
bayangan kejayaan sedikit mencampakkan sinar.
Apa yang diperlukan sekarang ialah sokongan Wan Minah selaku ibu kerana orang tua itulah yang bertanggungjawab mengampunkan kesilapannya dahulu. Datuk Murad juga watak penting yang dapat membantu. Cuma, dia masih tidak berani untuk berterus-terang. Takut-takut jika jalangnya suatu ketika dahulu dijadikan alasan kepada penyingkirannya selaku pemandu peribadi yang setia.
Lazim, kamu ada masalahkah Tak bersuara pun sejak kereta ini mula bergerak dari rumah tadi. Duit tak cukup soal Datuk Murad kehairanan.
Eh, cukup. Gaji bulan ini pun baru saja dapat. Saya cuma terfikirkan tentang rungutan Datuk tadi. Tentang kes pembuangan bayi itu. Lazim bersungguh merahsiakan kebuncahannya.
Oh, jenayah sekarang memang semakin melampau! Zaman kita dulu-dulu tidak pun sekejam sekarang. Elok saja dihukum gantung terus daripada terus menyusahkan orang ramai. Di negeri Arab, ada hukum Islam, rakyat takut nak buat jenayah. Di sini rakyat kita terlalu dimanjakan. Lebih-lebih lagi remaja yang disuapkan pelbagai ramuan tanpa mereka sedar pilihan mereka itu menyimpang. Lihatlah apa kesannya. Bersemangat Datuk Murad
mempidatoi pemandunya itu. Selaku orang penting dalam urusan pendidikan negara, dia berhak membangkitkan rasa pedulinya kerana kemajuan negara bergantung penuh kepada generasi muda. Imam al-Ghazali dan Hamka sendiri pernah mengutarakan filsafat juang pemuda dan pemudi yang merupakan rencah utama pembangunan sesebuah negara.
Lazim terkedu. Serasa dia sendiri yang patut dihukum gantung. Dia juga seorang yang tidak bertanggungjawab meskipun tidak pernah berperangai binatang seperti anak muda sekarang. Malah tanggungjawab dan janjinya sendiri dibusukkan sehingga bekas isterinya lari. Dibiarkan semuanya berlalu. Kini masanya dia membuktikan bahawa manusia itu diciptakan dengan segemal tekad. Tekad demi mengubah kehidupan berlandaskan syariat islami.
Datuk, boleh saya tanya sesuatu Suara Lazim terpantul di cermin depan kereta ke tempat duduk belakang.
Ada apa
Saya ada berkawan dengan seorang guru. Tetapi sudah lama kami terpisah. Bolehkah kalau saya naik ke pejabat Datuk untuk dapatkan alamatnya Saya teringin nak jumpa dia. Dulu, dialah tempat saya membeli budi. Baik orangnya, Datuk. Lazim mencari helah.
Datuk Murad menutup bacaannya. Lalu dia melipat bahagian tengah akhbar tersebut
dan diletakkan di atas beg bimbitnya di sebelah kanan. Mula dia memberikan perhatian kepada pemandunya itu.
Sejak bila kamu berkawan dengan guru Selama ini kamu tidak pernah ceritakan kepada saya langsung. Garis-garis di dahi Datuk Murad jelas menampakkan kemusykilannya.
Ada. Kalau saya tak silap, dia memang mengajar di sekolah sekitar bandar ni. Macam mana, Datuk Boleh saya naik ke pejabat Datuk
Dia mahu melunaskan tugas yang tergendala beberapa bulan lalu. Dahulu, hampir sahaja dia berjaya mendapatkan alamat guru itu. Tetapi, di saat-saat akhir dia menerima panggilan Datuk Murad dari bawah bangunan pentadbiran. Datuk Murad ketika itu berang selepas terpaksa menunggunya lama di bawah pohon palma.
Namun, kali ini dia lebih jujur. Maka, mudahlah langkah-langkah seterusnya. Ajai perlu segera diburu.