MAAFKAN kami Cik Nur Ellyna. Kami tidak menyediakan pembiayaan peribadi yang banyak. Paling banyak pun kami boleh berikan, cuma lima kali ganda dari gaji bersih yang cik perolehi. Itupun bergantung pada syarat-syarat tertentu sama ada Cik Nur Ellyna layak atau tidak. Proses permohonan memakan masa antara empat belas hingga sebulan waktu hari bekerja.
Itulah antara alasan yang diberikan oleh pihak bank ketika Elly cuba mengemukakan permohonan pembiayaan peribadi, bagi menampung kos perubatan ibunya. Boleh dikatakan, hampir kesemua bank memberikan komen yang hampir serupa. Jika benarbenar dihitung, pinjamannya nanti tidak sampai pun lapan ribu. Jumlah tersebut terlalu jauh dari keperluannya. Hendak dibuat bayar deposit pun, tidak mencukupi. Proses pula, terlalu lama sedangkan dia memerlukan wang itu dengan segera. Kalau tidak, nyawa ibunya bakal berada di hujung tanduk. Pagi tadi, dia sempat menghubungi Minah Jebo, bertanyakan khabar ibunya. Masih tiada perkembangan positif dari ibu tercintanya itu, malahan keadaan kesihatannya semakin membimbangkan. Minah Jebo memberitahunya, bahawa Mak Cik Markonah sudah tidak punya selera langsung untuk makan. Sistem penghadamannya juga, gagal berfungsi dengan baik. Mata putihnya pula sudah mulai kekuningan dan doktor baru sahaja mengesan satu benjolan pada abdomennya. Ini jelas menunjukkan, penyakit tersebut telah merebak terlalu pantas di dalam tubuh ibunya itu. Elly sedar masanya semakin suntuk untuk menghantar ibunya dengan segera ke Jerman, seperti mana yang disarankan oleh Doktor Haris.
Segala ikhtiarnya, sia-sia belaka kerana tetap gagal mendapatkan apa yang paling penting buat pengubatan ibunya itu. Elly hanya mampu untuk berdoa ke hadrat Ilahi agar dia diberikan lebih banyak masa untuk berusaha mencari wang perbelanjaan perubatan ibunya itu. Dia reda saja dengan ketentuan-Nya, namun dalam masa yang sama, dia merasakan tidak terdaya jika kehilangan orang yang amat disayanginya itu. Hampir separuh nyawanya bakal melayang andai kata ibunya itu pergi buat selama-lamanya. Matahari sudah tegak berada di atas kepalanya. Terik sekali mentari yang memancar hari itu, sehingga naik pening kepalanya dek kerana terlalu panas. Perutnya pula, sudah mula berkeroncong kerana kelaparan. Baru dia teringat yang dia masih belum menjamah apa-apa makanan pun sejak pagi. Jangankan kata makan, setitik air pun dia tidak minum. Patutlah tekaknya berasa kering sekali. Namun, dia sedikit pun tidak punya selera dan nafsu untuk makan atau minum. Selagi dia tidak dapat mencari pembiayaan perubatan ibunya, selagi itu hatinya tidak tenteram. Kadang-kadang, terfikir juga dia untuk meminjam dari ah long. Tidak banyak kerenah seperti bank dan mudah mendapat kelulusan segera. Tetapi, apabila terfikirkan bala yang telah menimpa arwah Mariana, ibu Alyssa, Elly membatalkan hasrat tersebut.
Dia tidak rela sekiranya masalah lain pula yang menimpanya bersama ibunya kelak. Di mana Elly hendak mencari wang bagi melunaskan pinjaman yang banyak itu. Kalau dia gagal melunaskan pinjaman bank, dia hanya akan dihadapkan ke mahkamah untuk tuntutan bayaran balik. Paling tidak pun, dia akan disenarai hitam atau muflis, tidak sampai masuk penjara. Tetapi, jika dia gagal membayar semula hutang dengan lintah darat berserta dengan bunganya sekali, silap-silap nyawanya dan ibunya pula yang bakal terancam. Elly tidak sangup membiarkan ibunya mengharungi derita untuk kali keduanya pula. Ketika sedang merayau-rayau tidak tentu arah, Elly terasa yang bahunya disentuh dari belakang. Siapakah dia Apabila ditoleh, dia melihat seseorang yang amat dikenalinya yang sedang berdiri hadapannya.
Assalamualaikum, Elly!
sapa Roziana. Elly tidak menyangka akan bertembung dengan Roziana hari itu. Semenjak dia pulang ke Kuala Lumpur, dia lupa hendak menghubungi Roziana dan Alyssa. Semua itu terjadi kerana dia terlalu sibuk mencari sumber untuk menyelesaikan masalah ibunya. Tidak semena-mena, Roziana dipeluk Elly sambil bercucuran air matanya. Roziana merasakan ada satu masalah rumit yang sedang ditanggung oleh Elly sekarang.
Dia tidak tahu, namun dia tidak sanggup untuk bertanya lanjut kerana bimbang akan menambahkan penderitaan Elly. Biar sajalah Elly melepaskan kesedihannya terlebih dahulu. Mungkin sebelum ini, dia tidak mampu menangis. Kepada Roziana, diadukan segala masalahnya. Terlalu banyak yang diluahkan Elly sehingga meruntun hati Roziana. Betapa berat masalah yang ditanggung oleh Elly itu. Sebagai anak, Roziana tahu yang Elly tidak mampu untuk kehilangan ibunya yang tercinta. Walaupun tidak pernah bertemu dengan Mak Cik Markonah, tetapi Roziana percaya bahawa ibu Elly itu seorang yang amat istimewa kerana punya banyak pengorbanan sebagai seorang ibu. Walau bagaimanapun, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Roziana bagi membantu Elly. Dia hanya mampu mendengar tetapi tidak mampu untuk menyumbang. Setakat beberapa ribu adalah simpanannya untuk diberikan kepada Elly. Namun, ia tetap lagi jauh dari kos yang sebenarnya. Sedangkan Elly, memerlukan wang dengan segera supaya ibunya dapat dipindahkan dengan segera ke Jerman.
Malam itu, Roziana tidak dapat melelapkan mata kerana terlalu memikirkan masalah yang sedang ditanggung Elly. Dia berasa amat simpati dengan gadis yang turut dianggap seperti adiknya sendiri itu. Elly, sama seperti Alyssa, sering mengambil berat tentang dirinya dan merupakan penghiburnya di kala duka dan sunyi. Dia tidak menyangka bahawa kehilangan Elly berhari-hari itu disebabkan masalah besar yang sedang dihidapi oleh ibunya. Siang tadi, Roziana melihat Elly jauh berbeza dari sifat peribadi yang ada pada dirinya. Selalunya, Elly merupakan seorang yang periang, kuat berceloteh, suka menyakat dan sentiasa tenang dalam hidupnya. Tak kira apa jua masalah yang melandanya sebelum ini, dia tetap tabah dan tidak kuat melatah. Dia telah banyak membantu menyelesaikan masalah orang lain terutamanya rakan baiknya, Alyssa. Alyssa Tiba-tiba sahaja Roziana teringatkan adik angkatnya itu. Dia yakin bahawa Alyssa masih belum mengetahui tentang masalah yang dihadapi oleh teman baiknya itu.
Elly langsung tidak membayangkan bahawa dia ada bertemu dengan Alyssa semenjak pulang ke Kuala Lumpur. Malahan, dia juga yakin bahawa Elly tidak mengetahui bahawa Alyssa sudah pindah dari rumahnya untuk tinggal bersama suaminya, Tuan Fahreen. Elly langsung tidak bertanyakan tentang Alyssa kerana fikirannya terlalu sarat memikirkan perihal ibunya. Roziana berasa bertanggungjawab untuk memberitahu Alyssa tentang masalah yang sedang ditanggung oleh Elly itu. Dia tidak mahu Alyssa terpingggir dari mengetahui keadaan Elly dan penyakit Mak Cik Markonah. Siapa tahu, mungkin Alyssa ada jalan penyelesaian untuk Elly. Apa-apa pun, Roziana harus menghubunginya segera. Sementara itu, Alyssa juga tidak dapat tidur malam itu. Hatinya resah dan gelisah sehingga sukar memejamkan matanya. Dia tidak tahu puncanya. Barangkali dia masih kekok dan belum dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan barunya itu. Puas dia mengereng ke kiri, ke kanan dan menelentang bagi melelapkan matanya yang tetap terang. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk turun ke bawah bagi mendapatkan segelas air. Tiba-tiba sahaja tekaknya berasa dahaga.
Ketika melintas bilik Tuan Fahreen, Alyssa mendapati pintunya tidak bertutup. Dia lantas menjengukkan kepalanya ke dalam dari muka pintu itu, namun kelibat Tuan Fahreen langsung tidak ditemuinya. Mungkin Tuan Fahreen keluar seketika untuk mengambil angin. Adakah dia juga tidak boleh melelapkan matanya, seperti mana juga Alyssa Entahlah, tidak kuasa rasanya Alyssa memikirkan lelaki itu. Semasa hendak berpaling dari bilik besar itu, Alyssa terpandangkan salah satu pintu almari yang terbuka dengan satu gaun merah yang panjang terjulur keluar sedikit darinya. Alyssa tertarik dengan warna gaun tersebut yang berwarna merah hati, cukup hidup dan bersinar warnanya. Tanpa disedari, naluri untuk mendekati gaun merah itu telah memaksa kakinya melangkah menuju ke almari tersebut.
Wah, cantiknya. Tak pernah aku lihat gaun berwarna merah hati yang secantik ini,
pujinya di dalam hati. Alyssa begitu kagum dengan jahitan halus yang menghiasi indah di setiap sudut gaun tersebut. Ada labuci besar bertatah berlian dan berbentuk hati tersemat betul-betul di bahagian kiri dada baju yang menaikkan lagi serinya. Pasti gaun itu akan menambah keayuan sang pemakainya kelak. Tetapi, mengapakah ianya berada di dalam almari Tuan Fahreen Apakah tujuannya Tuan Fahreen menyimpan gaun seindah itu di biliknya. Kalau hendak dikatakan yang gaun itu milik almarhum ibunya, tetapi fesyen dan konsepnya adalah bertema terkini.
Sedangkan ibu Tuan Fahreen telah lama meninggal dunia, semenjak dia masih kanak-kanak lagi. Jadi, mustahil sekali gaun tersebut miliknya. Atau, apakah gaun tersebut milik wanita yang istimewa yang bertakhta di hatinya Kalau betul, siapakah wanita itu Arrgghhh....Alyssa tidak peduli semua itu. Pokoknya, gaun tersebut terlalu indah untuk dibiarkan sebegitu sahaja. Dia lantas menyuakan gaun tersebut ke tubuh badannya, yang dirasakannya agak cocok sekali. Potongan gaun itu juga mengikut potongan tubuh badannya. Ketika sedang asyik mencuba, dia disapa oleh seseorang yang berkata,
Cantik sangat. Padan sekali gaun tu dengan Alyssa.
Alyssa begitu terkejut apabila mendapati Tuan Fahreen sudah pun berada dekat dengannya. Dia tidak perasan, bilakah masanya lelaki itu berada di situ. Pastinya dia sudah lama memerhatikan perbuatan Alyssa itu. Dia mengukir senyuman yang teramat manis sewaktu melihat Alyssa menggayakan gaun tersebut.
Mmph...maafkan saya tuan. Saya tak berniat menceroboh bilik tuan. Tadi, saya nampak pintu tuan tak tertutup. Jadi....
Bukankah telah abang katakan bahawa tiada satu pun ruang dalam rumah ini yang tidak boleh sayang masuki, termasuk bilik abang ini. So, tak perlu minta maaf,
kata Tuan Fahreen memotong cakap Alyssa sebentar tadi. Tuan Fahreen begitu teruja sekali melihat Alyssa bersama gaun itu. Begitu padan sekali, jika Alyssa memakainya. Walaupun hanyak mengagak, Tuan Fahreen tidak sangka yang ianya bertepatan sekali dengan ukuran badan Alyssa.
Abang tahu, Alyssa begitu cocok sekali dengan gaun ini. Abang buatkan gaun ini khas mengikut citarasa abang. Pandai pereka fesyen itu, design baju yang menepati citarasa abang terhadap sayang.
Tuan, buatkan gaun ini untuk saya
tanya Alyssa, agak tergamam.
Yes, malahan ada beberapa helai lagi baju yang abang sediakan untuk sayang di dalam almari itu. Sayang boleh ambil dan pakainya bila-bila masa sahaja. Sememangnya, semua itu untuk sayang. Sengaja abang tak letakkan dalam bilik sayang, supaya sayang tahu yang abang begitu menghargainya sepertimana abang menghargai sayang,
terang Tuan Fahreen dengan penuh perasaan. Alyssa tidak menyangka yang Tuan Fahreen mempunyai perhatian yang begitu mendalam terhadap dirinya. Sehingga baju dan warnanya turut dijadikan bahan pengabadian cintanya terhadap Alyssa. Alyssa mulai sedar bahawa tiada lelaki yang boleh menghargai dirinya, sehebat Tuan Fahreen. Mengapakah selama ini dia gagal melihat segala keluhuran lelaki yang bernama suaminya itu Rasa kesal, tiba-tiba sahaja menerjah ke dalam sanubarinya. Sedikit demi sedikit, rasa kagum pula yang datang bertamu ketika itu.
Kenapakah tuan terlalu baik dengan saya Saya rasa bersalah dan kesal sangat.
Tolonglah Alyssa, panggil saja abang. Mulai hari ini, tak perlulah sayang bertuan-tuan dengan abang. Sayang bukannya hamba abang, sebaliknya abanglah hamba sayang. Sayang adalah permaisuri dalam hati abang,
ucap Tuan Fahreen dengan penuh harapan. Rayuan Tuan Fahreen itu telah meruntun jiwa Alyssa. Sukarnya untuk dia menukar panggilan itu kerana hatinya yang keras seperti batu. Sebenarnya, panggilan abang itu terlalu tulus oleh seorang isteri yang cintakan suaminya. Kerana itulah, Alyssa berasa tidak layak kerana dia adalah seorang isteri yang jiwanya rasa terpaksa dan tidak pernah ikhlas dalam menerima suratan jodohnya itu. Namun, sekeras-keras jiwanya, telah berjaya dilembutkan dengan harapan kasih suaminya sendiri. Alyssa berasa jiwanya semakin dekat dengan Tuan Fahreen. Apakah perasaan yang dirasainya kini, merupakan petanda yang dia sudah mulai mencintai lelaki itu Dia sendiri tiada jawapan, namun yang pastinya dia sudah semakin selesa berada di samping suaminya itu.
Tanpa diduga, pasangan tersebut tiba-tiba dibuai asmara. Masing-masing terpegun dengan keindahan ciptaan Tuhan di hadapan mereka. Tuhan telah menganugerahkan mereka dengan satu ciptaan antara satu sama lain yang tidak ternilai harganya. Perasaan untuk disentuh dan dibelai mula mendatangi jiwa mereka. Semakin lama, muka mereka semakin mendekati antara satu sama lain. Tangan Tuan Fahreen pula, semakin dekat untuk merangkul tubuh Alyssa ke dalam dakapannya. Allah sedang menumbuhkan cinta di hati mereka. Cinta untuk mereka nikmatinya bersama. Di kala bibir sedang hampir bertaut, Alyssa tibatiba terdengar suatu suara syaitan membisikkan ke telinganya,
Tak malu!
Bisikan itu telah merenggut segala keinginannya untuk bersama suaminya itu. Alyssa merasakan darjatnya terlalu rendah dan cintanya sungguh rapuh jika dibandingkan dengan Tuan Fahreen. Dia tidak pantas memiliki lelaki itu. Lelaki itu boleh memiliki tubuh badannya, tetapi Alyssa tidak layak menerima cintanya. Ini membuatkan Alyssa terus berlalu keluar dari bilik tersebut, meninggalkan Tuan Fahreen termangu-mangu kebingungan di situ.
Alyssa!
panggil Tuan Fahreen dari belakang. Dia agak kecewa dengan tindakan Alyssa itu. Langkah Alyssa terhenti seketika.
Abang tidak akan pernah jemu menanti kehadiran cinta Alyssa. Walaupun setahun, sepuluh tahun, seratus tahun, selama-lamanya, tetap akan abang tunggu. Tolonglah, jangan sisihkan abang dari hidup sayang lagi.
Kata-kata Tuan Fahreen itu membuatkan Alyssa rasa benar-benar bersalah lalu menoleh kembali kepadanya. Namun, lidahnya bagai terikat untuk besuara dan mulutnya bagai terkunci dari kata-kata. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dipeluknya suaminya itu dan membiarkan lelaki itu merangkulnya dan memimpinnya ke katil untuk digauli. Tetapi, dia tidak mampu dan dia berasa malu.
Suatu ketika dahulu, Alyssa pernah membenci Tuan Fahreen. Suatu masa dahulu, Alyssa sering mengeluarkan kata-kata yang melukakan perasaan suaminya itu. Tidak mungkin Tuan Fahreen akan melupakan segala-galanya, begitu sahaja. Tuan Fahreen tidak pernah menyimpan perasaan dendam dan marah kepada isterinya itu. Yang ada dalam hatinya sekarang hanyalah perasaan cinta yang mendalam terhadap Alyssa. Sekali lagi tangannya cuba memaut pinggang Alyssa itu untuk dibawa ke dalam dakapannya. Sebelum sempat pasangan ini meneruskan bicara hati masing-masing, kedengaran telefon Alyssa berdering dengan nyaringnya. Bunyi tersebut telah mematikan khayalan mereka. Lantas, Alyssa menggunakan alasan itu untuk menjawab panggilan. Dia segera berlalu untuk menjawab panggilan tersebut, tanpa sepatah kata pun kepada Tuan Fahreen.
Tuan Fahreen ternyata kecewa sekali kerana igauannya untuk bersama Alyssa telah terhenti di pertengahan jalan. Dia gusar, siapakah yang menghubungi Alyssa lewat-lewat malam sebegitu. Mungkinkah temam lelaki Alyssa yang tidak pernah diketahui oleh Tuan Fahreen Oh tidak! Tuan Fahreen tidak rela jika ada lelaki lain bertakhta di hati Alyssa lantas merebut cintanya. Dia boleh mati kerana itu. Sementara itu, Alyssa berlari-lari anak ke biliknya kerana mahu segera menjawab panggilan tersebut. Hatinya berdebar-debar. Selalunya, jika telefon berbunyi pada waktu-waktu lewat seperti itu, bukannya panggilan biasa tetapi panggilan penting atau kecemasan. Alyssa sempat melihat nombor yang tertera dan jelas sekali panggilan itu dari Roziana. Apa pula mahunya, pada malam-malam begitu.
Assalamualaikum, Alyssa.
Waalaikumsalam, Kak Rozi. Ada apa hal akak telefon Lyssa malam-malam ni
soal Alyssa apabila mendengar keresahan suara kakak angkatnya itu.
Maafkan Kak Rozi sebab mengganggu tidur Lyssa. Tetapi ada perkara penting yang mahu Kak Rozi beritahu padamu, dik.
Alyssa sudah mengagak, bahawa pastinya ada sesuatu perkara yang telah terjadi sehingga memaksa Kak Rozi menghubunginya dengan segera. Tetapi hal apa Adakah Kak Rozi sakit Tetapi selama mereka tinggal bersama, jarang sekali Alyssa melihat Kak Rozi diserang sakit, apa lagi penyakit yang tenat.
Sebenarnya, ianya berkenaan dengan Elly. Siang tadi, akak terserempak dengan dia di bandar. Dia melilau seperti orang tidak tentu arah,
cerita Roziana. Elly Dia hampir terlupa dengan sahabat karibnya itu. Semuanya gara-gara dia terlalu sibuk dengan kerja barunya, harta wasiatnya dan perpindahan ke rumah Tuan Fahreen. Kali terakhir Roziana memaklumkan kepadanya yang ibu Elly sedang sakit tenat, tetapi dia tidak punya butiran yang tepat mengenainya.
Elly sedang dilanda masalah besar, Lyssa. Dia benar-benar perlukan bantuan sekarang. Pergilah jumpa dengan dia. Akak bimbang, sesuatu yang buruk bakal dilakukannya dalam terpaksa,
ujar Roziana. Panggilan Roziana malam itu, benar-benar meresahkan Alyssa. Dia berasa kesal kerana Elly langsung tidak menghubunginya bagi menceritakan segala masalahnya. Tetapi, Alyssa tidak menyalahkan sahabatnya itu. Mungkin fikiran Elly sedang berkecamuk, sehinggakan dia terlupa banyak perkara. Alyssa berasa terkilan kerana tidak berusaha menjejaki Elly ke kampungnya, walaupun dia telah dimaklumkan tentang keadaan ibu Elly yang sedang menderita sakit di hospital. Pagi itu, Alyssa kelihatan agak terburu-buru seperti sedang berkejarkan sesuatu. Dia perlu segera bertemu dengan sahabatnya, Elly sebelum terlambat. Alyssa berniat untuk menghulurkan bantuan apa yang terdaya kepada Elly.
Puan Alyssa, jemput sarapan dulu,
sapa Mak Chom yang terlihat Alyssa terkocoh-kocoh mahu meninggalkan rumah.
Tak apalah Mak Chom, saya dah lambat ni. Saya pergi dulu,
sahut Alyssa terburu-buru. Terkulat-kulat sahaja orang tua itu memandang Alyssa pergi. Fikirnya, entah apalah yang dikejarkan oleh puan besarnya itu, sehingga tidak sempat untuk menikmati juadah yang disediakannya. Di luar pula, Alyssa terserempak dengan Tuan Fahreen yang sedang berbincang sesuatu dengan Abang Mat. Alyssa hampir melintas begitu sahaja tanpa menyapa suaminya itu kerana terburu-buru mengejar sesuatu. Tuan Fahreen yang terlihat akan kekalutan Alyssa itu, serta-merta cuba menghentikan langkah isterinya itu.
Sayang, nak ke mana terburu-buru tu
Abang!
Tuan Fahreen agak terkesima mendengarkan perkataan abang keluar dari mulut isterinya itu. Itulah kali pertama, Alyssa memanggilnya sedemikian. Dalam kekalutan Alyssa itu, Tuan Fahreen berasa amat senang hati kerana akhirnya, Alyssa boleh menerima kehadirannya.
Maaf, Lyssa dah terlambat untuk ke pejabat ni. Ada perkara penting yang hendak Lyssa uruskan,
ujar Alyssa terpaksa membohongi suaminya itu. Alyssa bukan sengaja hendak menipu Tuan Fahreen, tetapi dia belum bersedia untuk memberitahu perihal yang sebenarnya tentang Elly sebelum mengetahui cerita Elly yang sebenarnya. Tambahan pula, Elly juga merupakan salah seorang kakitangan Tuan Fahreen. Jadi, Alyssa bertanggungjawab untuk menyelidiki perkara yang sebenarnya sebelum memaklumkannya kepada Tuan Fahreen.
Sayang, mulai hari ini, sayang tak perlu lagi bersendirian pergi ke pejabat. Abang akan aturkan seorang pemandu untuk menghantar dan mengambil sayang di pejabat,
beritahu Tuan Fahreen dengan lembut. Tertangguh seketika hajat Alyssa untuk segera keluar menuju ke destinasinya pagi itu. Dia agak terkejut dengan hasrat yang diusulkan oleh Tuan Fahreen itu. Alyssa tidak fikir yang dia perlukan seorang pemandu kerana dia berasakan kebebasannya terganggu, walaupun tujuan suaminya itu baik.
Maafkan Lyssa, tapi Lyssa rasa Lyssa tak perlukan pemandu peribadi sekarang. Lyssa lebih selesa jika dapat memandu sendiri ke pejabat.
Sememangnya, semenjak berpindah masuk ke rumah Tuan Fahreen, Alyssa telah dihadiahkan dengan sebuah kereta bagi memudahkannya berurusan di luar. Dan, Alyssa berasa selesa dengan kemudahan itu. Jadi, tidak perlulah dia berulang-alik dengan kenderaan awam lagi. Tetapi, dia berasa agak janggal jika Tuan Fahreen mahu membekalkannya dengan pemandu, yang seterusnya merangkap penjaganya sekali. Alyssa tidak berasakan dirinya begitu penting dan perlu diawasi setiap masa. Cukuplah hanya Tuan Fahreen seorang sahaja yang punya pengawal dan pemandu peribadi. Manakala Alyssa pula, lebih senang untuk kekal dengan kehidupan biasa.
Tapi, abang bimbangkan keselamatan sayang, terutamanya kalau terburu-buru bila hendak ke manamana, seperti pagi ini,
perjelas Tuan Fahreen supaya Alyssa tidak salah faham dengan niat baiknya itu.
Terima kasih, abang. Tapi seperti yang Lyssa katakan tadi, Lyssa senang dengan situasi sekarang. Abang dah berikan Lyssa dengan sebuah kereta pun sudah cukup memadai dan banyak memudahkan Lyssa. Rasanya, tak perlulah berikan lebih lagi kepada Lyssa. Lyssa janji yang Lyssa akan sentiasa berhati-hati, jadi abang tak perlu khuatir.
Tuan Fahreen tewas juga dalam permintaannya kepada Alyssa kali ini. Dia tidak mampu membantah kehendak Alyssa kerana dia tahu wanita itu tidak akan berganjak dari keputusannya. Namun, Tuan Fahreen bersyukur apabila hati Alyssa tidak sekeras mana, kerana akhirnya dia pulang semula untuk hidup bersama suaminya itu. Bermacam-macam persoalan yang muncul di fikiran Alyssa ketika dia memandu. Masalah Elly tidak putus-putus berada di ingatannya sejak malam tadi dan juga permintaan Tuan Fahreen yang ditolaknya pagi tadi. Apa-apapun yang terjadi, kedua-dua insan itu amat penting bagi dirinya kini, dan dia tidak mahu kehilangan kedua-duanya sekali ataupun salah seorang darinya.