Assalamualaikum cikgu! Dilambainya tangan kepada Cikgu Muhammad dan Leman mencebik bibir.
Leman pergi dulu bah. Tangan Cikgu Muhammad dicium lalu terus berlari mendapatkan Bahari.
Jom! Bahari dan Leman berjalan beriringan. Nurul juga baru sampai dan masing-masing menuju ke kelas. Leman perlahanlahan memasuki ruang kelas, kemudian dipandangnya tempat duduk Faduli lalu mendengus panjang. Bahari menepuk-nepuk bahu Leman dan menggetap bibir. Assalamualaikum Leman, sapa Nurul.
Waalaikumussalam. Leman melempar senyum paling bahagia buat Nurul pagi itu.
Kelas berlangsung seperti biasa. Bekal yang dibawa Leman dimakan seorang diri. Waktu rehat terasa panjang, waktu kelas apatah lagi. Usai sahaja kelas, Leman mahu balik sendiri, tidak mahu ditemani siapa-siapa.
Petang itu sedang Leman melewati antara rumah-rumah yang bersusun menuju ke rumahnya sendiri, Leman memandang joran-joran kayu yang ditinggalkan entah siapa di gigi air Semantan. Salah satu joran itu bergerak-gerak sendiri.
Ah pasti ada ikan yang tersangkut.
Leman segera melepaskan beg. Kemudian terus mencapai joran tadi lalu diangkat tinggi. Patin!
Ya Tuhan, alhamdulillah! Tapi siapa punya ikan ni Leman mengagak-agak. Ah tak mungkin aku nak mencuri dari joran orang lain.
Baru sahaja Leman mahu melepaskan ikan dari kail, Mak Lang datang dari belakang. Ambillah, itu rezeki kau Leman.
Eh Mak Lang! Tak apa, Leman tolong saja ni.
Tak apa, ambillah. Rezeki kau. Memang Mak Lang sengaja letakkan joran-joran budak-budak kampung ni dengan umpan cacing. Mana tahu ada yang sangkut. Ambillah. Bawa balik goreng! Mak Lang menepuk-nepuk bahu Leman. Leman mengangguk setuju. Dari sunyi sepi pulang dari sekolah, Leman mula menyanyi-nyanyi girang membawa seekor ikan patin bersaiz pehanya sendiri.
Mak! jerit Leman.
Mak Cik Vijaya mengurut-urut dada terkejut. Mana dapat ikan ni
Leman menerangkan panjang lebar kepada Mak Cik Vijaya. Terus sahaja diambil perkakas untuk disiapkan dan dijadikan masak asam tempoyak. Juga dipotong satu di bahagian tengah ikan dan digoreng garing buat Leman yang suka benar digaul bersama kicap.
***
Malam itu Leman berbaring sambil membelek-belek karya yang dibeli di pekan bersama ibunya lewat hujung minggu lalu. Di muka surat 187, Leman terhenti dan terus bangun dan duduk bersila. Dibaca rangkap-rangkap yang tertera.