Jejawi Tua - 22
Bab 22

POLIS telah mengambil mayat Mat Ajib dan Sudin ke hospital. Tok Melah telah pun selamat di rumahnya dan dibaringkan di sebelah Tok Imam Tua yang terkedang dengan nafas bagaikan sudah sakarat benar. Man Bewak dan Miah masih terus hilang. Begitu juga dengan Pak Su Cik Leh dan Pak Long Lateh, kelibat kedua-duanya juga hilang tanpa sebarang jejak. Anak tunggal Tok Melah dan Tok Imam Tua telah dihubungi. Katanya dia dalam perjalanan pulang tatkala dihubungi sekali lagi oleh Tok Ngah Darus. Salmiah, Rosman dan Kamil pula berkumpul bersama-sama orang kampung di rumah Pak Syuaib dan Mak Limah. Orang kampung terbahagi kepada dua kumpulan besar satu berkampung di rumah Tok Melah dan satu lagi berkampung di rumah Pak Syuaib. Sahak adalah orang yang paling letih. Dia telah ke pekan bersama-sama Rosman untuk membuat laporan polis. Dan laporan polis itu memakan masa yang sangat panjang kerana melibatkan kematian yang mencurigakan, apatah lagi Sahak adalah orang pertama yang menemui mayat Sudin. Setelah diasak pelbagai soalan, akhirnya Sahak dibenarkan pulang. Dan dia tidak terus pulang, sebaliknya terpaksa singgah di rumah Pak Syuaib dan Mak Limah kerana Tok Ngah Darus sedang menunggunya di situ. Hari telah bertukar petang. Namun ramai yang masih tidak berganjak dari rumah Pak Syuaib dan Mak Limah. Ada banyak perkara yang hendak didengar. Secara tidak langsung menjadikan setiap orang kampung yang sedang berkampung di rumah Pak Syuaib dan Mak Limah bagaikan sudah tidak berumah tangga lagi.

Aku nak tegur sikitlah.

Tok Ngah Darus mengisarngisar punggungnya di tepi pintu utama rumah besar Pak Syuaib dan Mak Limah. Semua orang merenung Tok Ngah Darus yang berlagak bagaikan seorang mahaguru silat yang sedang memberi tazkirah kepada murid-muridnya sementara sedang berehat.

Aku nak minta semua orang di sini, berhenti daripada menyembah jejawi tua tu.

Ramai yang berpandangan sesama sendiri. Barangkali mereka langsung tidak menyangka bahawa Tok Ngah Darus akan memperkatakan tentang jejawi tua di pangkal Kampung Sungai Teja.

Tak ada sesiapa pun yang menyembah pokok tu, Tok Ngah,

Mak Limah bersuara bagi pihak orang kampung yang lain. Tok Ngah Darus mengangguk-angguk. Namun riak pada wajahnya tidak memperlihatkan yang dia menyenangi kata-kata Mak Limah.

Semua kejadian ini ada kaitan dengan jejawi tua tu. Tok Tom takkan datang menjelma dengan sengaja kecuali dengan perjanjian dan sebagai syaitan, dia akan menuntut janjinya bersama-sama tumbal. Tidak ada keuntungan bagi sesiapa pun yang meminta bantuan daripada Tok Tom dan jejawi tua.

Sekali lagi orang kampung berbisik-bisik. Mak Limah pula diam dan tunduk.

Tak perlulah sesiapa pun mengaku di hadapan orang ramai. Simpan aib masing-masing selagi Allah Taala tak membukanya. Dan jangan sampai Allah Taala membuka aib kita di khalayak ramai. Daripada menyembah jejawi tua dan memohon bantuan Tok Tom, bukankah lebih baik imarahkan surau dan masjid. Bukankah jauh lebih baik kalau kita memohon pertolongan langsung kepada Allah Taala

Panjang lebar juga Tok Ngah Darus bersyarah. Sekali dengar, bagaikan seorang ustaz yang sedang kemaruk hendak bersyarah di khalayak ramai. Dan ternyata kata-kata Tok Ngah Darus tidak disenangi oleh sebilangan orang kampung yang mula angkat punggung dan kaki masing-masing. Tok Ngah Darus sekadar mendengus sebagai reaksi kepada gelagat orang kampung itu.

Selagi tiada sesiapa pun yang tinggalkan dia, selagi masih ramai yang bergantung harap dan berwasilahkan jejawi tua itu sebagai penyampai hajat, maka selagi itulah Tok Tom akan terus muncul dan menagih janji. Ingat, kita adalah khalifah di muka bumi. Sedangkan Tok Tom dan kaumnya bertaraf lebih rendah berbanding kita. Bila mereka disanjungsanjung dan dibesar-besarkan, maka jadilah seperti apa yang berlaku sekarang. Ayam tu pun, kalau kita duk pasang colok, duk letak buah, pulut kuning atau ayam panggang sekalipun, sambil terbongkok-bongkok depan dia, ayam tu pun akan patuk mata kita.

Tok Ngah Darus ketawa kecil namun tawanya tidak bersambut langsung.

Aku berharap sangat-sangatlah, agar surau dan masjid di kampung kita ni dimakmurkan dan diimarahkan seperti mana orang kampung duk immarahkan pangkal jejawi tua tu. Lebih-lebih lagi waktu Subuh. Sebabnya, Nabi SAW pun pesan, selagi saf-saf solat subuh tidak seramai saf-saf solat Jumaat, selagi itulah umat Islam akan hilang cemerlangnya hidup di dunia ni.

Tok Ngah Darus mengisar-ngisarkan punggungnya sekali lagi.

Aku harap sangat-sangatlah....

Selagi jejawi tua tu masih tertegak di situ, selagi itulah juga pemikiran dan tanggapan orang kampung takkan berubah.

Rosman yang sebelum ini sekadar menjadi pendengar yang setia, mencelah. Tok Ngah Darus tersenyum.

Pokok tu adalah mercu tanda Kampung Sungai Teja. Tidak ada salahnya kalau dibiarkan hidup pun. Yang jadi salah bila pokok tu dianggap bermukjizat, dijadikan sebagai wasilah untuk menyampaikan hajat dan pada masa yang sama, menjadi sebab berlaku syirik kepada Allah Taala.

Habis apa yang kita nak buat sekarang

Pak Syuaib jelas tidak senang dengan kata-kata Tok Ngah Darus. Barangkali apa yang dilakukan oleh isterinya dan dia sendiri lama dahulu, bertepatan dengan apa yang dikatakan oleh Tok Ngah Darus.

Tidak ada satu kuasa pun yang lebih besar berbanding kuasa Allah Taala. Walau sehebat mana pun makhluk, apabila berhadapan dengan Iradah Allah Taala, pasti akan hancur lebur.

Tok Ngah tak pernah pun cakap apa-apa sebelum ini

Sahak yang sebenarnya kekaguman dengan Tok Ngah Darus, mula bersuara. Tok Ngah Darus tersenyum.

Aku nak cakap apa

Cakap tentang benda-benda inilah. Ingatkan Tok Ngah tak kisah pun dengan apa yang berlaku di kampung kita.

Aku tak mahu melangkau orang lain.

Siapa Tok Imam Tua

Sahak bertanya kembali.

Aku tak mahu cari gaduh. Agama ni bukan untuk bergaduh. Bukan untuk berdebat, bukan untuk jadi ahli kalam.

Takkanlah Tok Imam Tua nak bergaduh dengan Tok Ngah Bukankah Tok Ngah dengan Tok Imam Tua tu sepupu

Aku tak mahu bergaduh dengan Melah. Cuma aku harap, dia menghabiskan saki-baki usianya dengan mengerjakan amal bakti dan bertaubat nasuha. Apa yang dilakukannya kepada suaminya, telah dibalas di dunia ini. Kalau dia tidak bertaubat nasuha, balasan yang menanti di akhirat jauh lebih keras dan tidak terperi sakitnya berbanding di sini.

Pak Syuaib menarik nafas panjang. Tok Ngah Darus pula sudah berkira-kira untuk bangun.

Tok Ngah nak ke mana pula

Aku nak jumpa dengan Angah Soyah,

selamba sahaja Tok Ngah bersuara. Semua orang menegakkan badan masing-masing. Nama Angah Soyah bagaikan tarikan besi berani.

Aku ada benda nak selesaikan bersama-sama Angah Soyah.

Tok Ngah Darus sudah pun berdiri.

Ada sesiapa yang nak ikut aku

Tidak seorang pun yang menawarkan diri.

Nampaknya kalau macam tu, aku pergi sendirilah.

Tok Ngah Darus sudah pun berkira-kira hendak mengatur langkah.

Tok Ngah, saya ikut sekali!

Sahak kelam-kabut bangun dan mendapatkan Tok Ngah Darus. Tok Ngah Darus sedikit pun tidak mengendahkan reaksi Sahak. Seolah-olah dia sebenarnya tidak berkeinginan langsung untuk ditemani oleh Sahak.

Saya ikut sekali, Tok Ngah.

Rosman turut menawarkan diri. Tok Ngah Darus masih tiada reaksi. Pun begitu, langkahnya juga tidak berganjak.

Saya ikut sekali.

Kamil dan Rosman segera mendekati Tok Ngah Darus. Saat itulah, Tok Ngah Darus tersenyum lebar. Salmiah kelihatan teragak-agak tetapi isyarat daripada Tok Ngah Darus tidak membenarkan dia ikut sekali.

Kalau Tok Ngah tak kisah, biar saya ikut. Manalah tahu....

Pak Syuaib akhirnya menawarkan diri biarpun Mak Limah kelihatan agak keberatan untuk membenarkan suaminya berbuat begitu.

Eloklah....

Tok Ngah Darus berpaling ke arah orang kampung yang masih berbaki.

Kalau ada yang rasa ingin membantu, kumpulkan beberapa orang dan pergi ke rumah Ma Pah. Lepas aku selesaikan jejawi tua tu, aku pergi ke sana,

beritahu Tok Ngah Darus.

Ada apa pula di rumah Ma Pah

Pak Syuaib segera bertanya.

Pergi sahajalah. Nanti kau akan tahu,

balas Tok Ngah Darus. Pak Syuaib masih kebingungan namun kata-kata Tok Ngah Darus sudah cukup untuk memberitahu Pak Syuaib bahawa dia telah ditugaskan oleh Tok Ngah Darus untuk membawa beberapa orang kampung ke rumah Ma Pah.

Kalau macam tu, biar saya ikut sekali. Mungkin saya boleh membantu. Lagipun masa saya pergi ke sana dengan Salmiah, saya rasa macam ada yang tak kena dengan Ma Pah... Rohani pun saya tak nampak.

Tok Ngah Darus tersenyum sambil mengangguk.

Kalau macam tu, pergilah sekali. Banyak benda yang perlu dibuat di sana.

Akhirnya tiada sesiapa pun yang tinggal di rumah Pak Syuaib. Semua orang sama ada bergegas pulang ke rumah masing-masing, ataupun mengikut Pak Syuaib ke rumah Ma Pah atau ke rumah Tok Melah. Tok Ngah Darus tidak bercakap walaupun sepatah sewaktu mereka berjalan meredah lorong yang menuju ke jejawi tua. Baik Kamil, Rosman apatah lagi Sahak, tiada langsung keinginan mereka untuk bertanya, bersuara apatah lagi mengganggu tumpuan Tok Ngah Darus yang sedang mengatur langkah bagaikan seorang perwira gagah menuju ke medan perang. Derap langkah mereka menghasilkan bunyi yang lebih ketara berbanding suara unggas-unggas di sekeliling mereka. Sahak sememangnya sangat resah. Kalaulah bukan kerana Tok Ngah Darus, dia tidak akan menawarkan diri untuk datang ke situ. Dia tidak akan berani mendekati jejawi tua walaupun diupah dengan seorang gadis jelita. Takutnya terhadap jejawi tua, bukan main-main. Cerita-cerita tentang langsuir, pontianak dan segala macam puaka jembalang tidak menakutkan berbanding jejawi tua itu. Namun Sahak perlu terus memendamkan ketakutannya. Apatah lagi bersama-samanya adalah Rosman dan Kamil yang kelihatan sangat teruja untuk meneruskan langkah bersama-sama Tok Ngah Darus menuju ke perdu jejawi tua. Pun begitu, biarpun takut, Sahak tetap berwaspada dengan hidungnya. Dia cuba mencari-cari bau tubuh Angah Soyah. Namun sepanjang perjalanan itu, dia tidak langsung dapat mengesan bau badan Angah Soyah. Sedangkan Tok Ngah Darus pula memberitahu yang dia ingin bertemu dengan Angah Soyah. Sedangkan kalau Angah Soyah ada di sekitar tempat itu, pastinya sesiapa pun akan dapat mencium bau badannya.

Kita berhenti di sana. Sekejap lagi Angah Soyah datang,

Tok Ngah Darus memecah kesunyian antara mereka. Tempat yang disarankan oleh Tok Ngah Darus untuk mereka berhenti rehat adalah di bawah sepohon pokok rendang. Kamil terpandang sesuatu.

Tok Ngah! Ada asap!

Kamil menuding ke arah jejawi tua yang berjarak lebih 500 meter dari tempat mereka berada. Tok Ngah Darus segera berdiri di sebelah Kamil. Air mukanya jelas berubah.

Kenapa kau tak tunggu aku, Angah Soyah!

Tanpa berkata apa-apa, Tok Ngah Darus berlari deras ke arah jejawi tua. Kederat tuanya tidak menghalang dia daripada terus berlari. Kamil, Sahak dan Rosman mengekori sambil cuba menyaingi larian Tok Ngah Darus. Asap memutih menjulang ke udara.

Angah!!!

Tok Ngah Darus melaung sekuat-kuat hati sambil berlari. Sewaktu mereka berada hampir dengan jejawi tua, pohon itu sedang terbakar. Api marak di sekeliling perdu, malah jerumbai-jerumbai akar angin jejawi juga disambar api. Tok Ngah Darus tidak berminat langsung dengan api yang sedang membakar jejawi tua itu, sebaliknya dia lebih kalut mencari kelibat Angah Soyah.

Hiiiiii!!!

Jeritan itu melangsing dan mengejutkan Rosman, Kamil dan Sahak. Jejawi tua yang sedang dimamah api yang marak, bergoyang-goyang. Bahagian atasnya yang masih tidak terbakar tetapi diselubungi asap putih yang tebal, bagaikan menjadi ruang terakhir untuk menyelamatkan diri.

Angah Soyah!!!

Tok Ngah Darus memanggilmanggil Angah Soyah tanpa jemu.

Aku ada di sini, Tok Ngah!

Mereka berpaling serentak. Tok Ngah Darus segera mendekati tempat di mana suara Angah Soyah kedengaran. Sahak, Rosman dan Kamil juga. Angah Soyah terdampar di atas tanah dan terlindung di dalam jerumun lalang. Sebahagian besar daripada mukanya melecur teruk. Sesuatu yang sangat ketara adalah, bau badan Angah Soyah yang sering menjadi identitinya tidak ada langsung. Tok Ngah Darus segera menunduk dan memangku kepala Angah Soyah. Angah Soyah yang selama ini sering tersengih dan berwajah loyok, kini berada dalam kesakitan sekali gus menghilangkan sengihan dan keloyokannya.

Apa yang kau dah buat, Angah Kenapa kau tak tunggu aku

Aku dah hapuskan dia, Tok Ngah. Aku dah hapuskan tempat tinggalnya. Selepas ini kampung kita akan selamat. Tok Tom atau syaitan-syaitan yang berselindung di sebalik jejawi tua ini tidak boleh menipu orang kampung lagi dengan benda-benda pelik tu.

Tok Ngah Darus ternyata tidak tertarik langsung dengan kata-kata Angah Soyah sebaliknya dia lebih bimbangkan keselamatan Angah Soyah.

Kita bawa balik Angah Soyah ke rumah saya,

Rosman mengutarakan cadangan. Angah Soyah tersenyum kecil. Matanya kian layu. Angah Soyah jelas letih keterlaluan.

Aku dah jalankan tugas aku. Masa aku dah berakhir. Tolong selamatkan Pak Long Lateh di rumah aku dan Pak Su Cik Leh dalam telaga tidak jauh dari sini.

Suara Angah Soyah kedengaran sangat lemah.

Bertahan, Angah! Bertahan!

Hampir maghrib... Orang kampung berkumpul di masjid. Di saf hadapan, ada empat keranda yang tersusun dan dibaluti kain batik. Semua orang menantikan masuknya waktu maghrib. Dan di halaman masjid, orang kampung bagaikan sedang berpesta dengan masakan dan minuman. Kanak-kanak turut berlari dan berkejar-kejaran. Di sebalik kesedihan, ada wajah yang kelihatan gembira. Di sebalik kegusaran, Haji Karia dan Lebai Midun tersengih lebar sambil mengurut-ngurut dada tanda kelegaan. Tok Ngah Darus yang berpakaian bersih, lazimnya datang awal ke masjid, agak terlambat tetapi tiba di kaki tangga masjid beberapa minit sebelum azan maghrib berkumandang. Untuk pertama kalinya selepas beberapa lama, alunan bacaan ayat-ayat suci berkumandang dari corong pembesar suara masjid. Bacaan ayat al-Quran disempurnakan oleh Haji Karia. Sekalipun suaranya tidaklah selunak suara qari musabaqah, namun bacaannya memang menyegarkan. Dan untuk kali pertama juga, ibu bapa yang berkumpul di pekarangan masjid melarang anak-anak mereka daripada berkejarkejaran dan bermain dengan suara riuh apabila Haji Karia mengalunkan bacaan al-Quran.

Eiiiii!!!

Jeritan itu melangsing. Serentak dengan itu, beberapa orang ibu bapa yang berada di pekarangan masjid segera berlari ke bahagian belakang rumah ibadat itu. Haji Karia turut menghentikan bacaannya. Orang yang beriktikaf di dalam masjid sementara menunggu masuknya waktu maghrib, juga meluru keluar. Seorang kanak-kanak menangis terjerit-jerit seperti dirasuk hantu jahat.

Kenapa

Tok Ngah Darus segera bertanya.

Miah dengan Man Bewak....

Lelaki bermisai tebal dan berwajah keras, segera memberitahu tetapi tidak menghabiskan kata-katanya. Tok Ngah Darus kerutkan keningnya tetapi kemudian, dia sendiri menuruni tangga masjid, kelam-kabut menyarung selipar dan segera ke bahagian belakang. Atau lebih tepat lagi ke bahagian lapang yang dijadikan sebagai tanah perkuburan buat penduduk Kampung Sungai Teja.

Astaghfi rullah hal azim!!!

Terbungkang di atas sebuah kubur ialah Man Bewak dan Miah yang saling bertindan tanpa seurat benang. Wajah mereka lebam. Seluruh kulit mereka hitam bagaikan arang dilumur ke badan. Kerut pada wajah dengan mata terbeliak tanpa mata hitam bundar, dengan mulut ternganga sudah cukup untuk menunjukkan kematian mereka dalam keadaan yang sangat tragis.

Cepat! Ambil kain tutup! Bawa budak-budak ke hadapan. Astaghfi rullah hal azim!!!

Sesuatu yang mengejutkan berlaku lagi. Tiada sesiapa pun yang dapat menghampiri mayat keduadua orang yang menjalinkan hubungan terlarang itu. Tanah kubur di sekitar tempat mereka berada, panas seolah-olah ada lahar gunung berapi yang sedang mengalir tidak sampai pun sepuluh meter dari permukaan. Tiada sesiapa pun yang mampu menahan hawa yang meresapi bahagian bawah tapak kasut. Sehinggalah Angah Soyah muncul dengan pakaian yang sering digunakan untuk ke masjid bagi menunaikan solat jemaah. Angah Soyah yang telah membakar jejawi tua, kembali seperti Angah Soyah yang dahulu. Cuma kali ini, tiada bau busuk yang mengiringi Angah Soyah.

Tolong tutup aib ini, Angah,

pinta Tok Ngah Darus. Dan Angah Soyah tetap kekal dengan sengihannya dan barisan giginya yang kuning....