"Yelah tertinggal kat surau. Agaknya jatuh masa duk bersembang dengan budak-budak tahfiz tadi. Yang Arfan balik lambat ni kenapa Takkan hari pertama kerja dah kena buli kut"
"Taklah. Kerja okey je. Arfan singgah kubur Aswad tadi. Dah lama tak ziarah dia."
"Eloklah tu...."
"Bapak..."
"Ya"
"Bapak kenal Kemboja tak"
"Kawan Aswad tu Kenal macam tu macam tu ajalah. Sejak Aswad meninggal tak ada bapak jumpa dengan dia lagi. Masa dulu kerap jugaklah. Budak tu rajin datang melawat orang mati. Agaknya dia duduk dekat-dekat dalam taman ni jugak kut.... Kenapa tanya"
"Arfan jumpa dengan dia tadi. Dia pun ziarah kubur Aswad."
"Oh.... Habis tu kenapa Berkenan ke..." leret Ustaz Amir sambil tersengih.
"Eh taklah. Cuma dia tu... macam pelik sikit."
"Alah Arfan tu semua orang nak nampak pelik. Tulah banyak sangat mengkaji pasal paranormal sampai semua orang pun dah nampak macam paranormal jugak."
"Eheh... ya kut. Err... bapak, kejap lagi Arfan nak keluar. Dah janji dengan kawan nak pergi uptown. Bapak nak pesan apa-apa"
"Tak ada apa. Cuma tolong singgah dekat surau jap ambil kunci bapak. Tanya budak-budak kat situ. Bapak rasa dia orang tolong ambil simpan tu..."
Arfan memecut ke surau di atas motor. Tapi mengenangkan cara adik kembarnya meninggal dunia dulu, Arfan pun memerlahankan sedikit penunggangannya.
Ketika masuk ke perkarangan surau, Arfan nampak ada sebuah van jenazah. Bermaksud ada jenazah yang perlu diuruskan. Arfan pelik juga kenapa bapanya tak cakap apa-apa pun. Mungkin memang bapanya pun tak tahu ada orang meninggal malam tu. Ataupun barangkali yang meninggal itu wanita. Jadi wakil muslimah yang akan menguruskannya.
Ketika lalu di tepi van tersebut, Arfan hanya mengangkat tangan dan memberi salam pada dua orang lelaki yang fikir Arfan, merupakan pengiring jenazah tersebut. Walaupun ada keinginan untuk berhenti dan bertanya tentang si mati, tapi Arfan sudah lambat untuk berjumpa dengan kawannya. Janji pukul sepuluh. Sekarang dah sembilan setengah. Lalu dia terus masuk ke dalam untuk mencari kunci bapanya yang tertinggal tadi.
Serata perusuk surau yang kosong itu digeledah Arfan mencari kunci tersebut. Tanya pada pelajar tahfiz yang memang duduk di situ pun tak ada yang nampak. Akhir sekali Arfan cuba mencari di kawasan saf wanita walaupun bagi Arfan kemungkinan agak rendah untuk kunci itu ada di sana.
Masuk saja ke saf wanita, Arfan dikejutkan dengan satu sosok berpakaian semua putih.
Allahu Akbar! Haish... terkejut aku. Ada orang lagi rupanya. Ingatkan semua dah balik....
Cakap Arfan dalam hati. Dia sempat mengerling pada jam tangan. Dah dekat pukul sepuluh. Tak sangka masih ada orang yang sedang solat. Arfan cepat-cepat keluar dari situ lalu menunggu di balik tirai yang memisahkan kawasan saf wanita dan lelaki itu.
Selepas seketika, Arfan dengar bunyi-bunyi pergerakan. Arfan kira mungkin wanita itu sudah selesai.
"Err... kak! Kak dah habis sembahyang ke" seru Arfan dari balik tirai.
Senyap.
"Assalamualaikum kak...! Dah habis ke Saya ada barang nak cari kat dalam ni..."
Masih tiada respon. Agak aneh sebab Arfan yakin dia sedang mendengar bunyi pergerakan. Seperti bunyi mengibas kain telekung, mengemas barang dan sebagainya. Arfan jadi serba salah. Tak tahu nak buat apa. Kalau nak jenguk ke dalam, takut pula ternampak apa-apa yang tak patut nampak.
Lalu Arfan nekad. Kalau nak tunggu lagi tak tahu sampai bila. Arfan pun menyelak tirai dan memanjangkan lehernya ke dalam. Wanita itu masih sedang solat. Dan dari cara duduknya Arfan tahu dia sudah tahiyat akhir. Kemudian Arfan perasan ada benda bersinar di tepi sebelah kiri wanita itu.
"Kunci bapak!" jerit Arfan dalam diam.
Arfan menunggu lagi. Dia memerhatikan saja wanita itu. Niatnya hendak menunggu wanita itu selesai sembahyang, baru dia nak ambil kunci tu. Memandangkan wanita itu pun sudah tahiyat akhir, apa salahnya tunggu sekejap. Tapi lima minit berlalu. Wanita itu tidak sudah-sudah juga solat. Hanya keras dari tadi.
"Adoi... panjang pulak bacaannya...." keluh Arfan. Kunci bapaknya yang hanya beberapa meter di depan mata seperti memanggilnya.
Arfan tak boleh menunggu lagi. Walaupun tak patut, tapi dia terdesak. Lalu Arfan pun perlahan-lahan masuk. Begitu berhati-hati. Takut mengganggu. Dia berjalan atas hujung-hujung jari kakinya saja tak ubah seperti seorang penyamun yang sedang berjalan dalam rumah yang ingin disamunnya.
Arfan mendekati kunci yang terbaring hanya beberapa jengkal dari wanita yang sedang solat itu. Lalu dengan begitu cermat, Arfan mencapai kunci tersebut. Dalam masa yang sama, entah kenapa, tengkuk Arfan terdorong untuk menoleh ke kanan. Untuk melihat wanita yang sedang khusyuk mengerjakan solat itu.
bersambung
Bab akan datang:
Dapatkah Arfan melihat wajah wanita itu bagaimanakah wajahnya