Mahasiswalah katakan!
Silap.
Aku buka sedikit sejarah hidup aku, jauh sebelum aku menjejak kaki dalam universiti - Darjah enam.
Biarlah aku terangkan sedikit bahawa aku masuk sekolah pada zaman yang silap. Aku percaya, kerajaan hari ini mesti menyesal sebab membiarkan sekolah berjalan seperti biasa zaman itu - zaman reformasi.
Resamnya, aku bersekolah di tengah bandar; Republic of Brickfields. Kawasan yang aku boleh kira sebagai kawasan yang lahirkan ramai penyumpah dan peludah kerajaan. Aku sendiri bersekolah di situ, Brickfields 1. Makanya, demografi sosial, geografi dan politik zaman itulah yang membentuk aku hari ini.
Aku boleh kata itulah sekolah yang paling cool pernah aku masuk. Bangunan lama, stail lama, dan cikgu-cikgunya cool.
Aku boleh disifatkan sebagai pelajar paling poyo dalam sekolah. Anak PIBG, selalu dapat nombor satu dalam peperiksaan, pengawas perpustakaan, dan hari-hari bertali leher. Tak cukup poyo lagi
Tapi poyo-poyo aku zaman tu, tak membantutkan otak melawan aku.
Semuanya bermula darjah tiga, tahun 1998. Iya! Zaman reformasi. Semua orang pun faham, dalam negara kita, tiada siapa yang paling suka sembang soal politik selain daripada golongan cikgu. Maka jika kalian nak cari punca, sila cari cikgu-cikgu yang mengajar aku zaman tu.
Setiap hari, hampir setiap hari, silih berganti ideologi politik akan diajar di dalam kelas. Itulah zaman yang memperkenalkan aku dengan perkataan reformasi,
mahazalim, demostrasi, dan liwat. Ada cikgu yang pro, ada yang kontra. Pro apa dan kontra dengan apa, aku tak peduli. Yang penting, aku dapat pendedahan yang orang lain tak dapat. Cool kan sekolah aku
Bukan setakat teori, malah praktikal pun aku dapat. Kali pertama aku angkat sepanduk dan berarak bukanlah zaman universiti, tapi darjah tiga. Bila ada saja guru yang bersara atau berpindah ke sekolah lain, lajulah cikgu-cikgu aku kerahkan kami tulis sepanduk ucapan selamat.
Itu di depannya saja, di belakang sepanduk tu selalunya akan ada pula perkataan-perkataan macam; reformasi, turun Mahathir, dan hidup Anwar. Aku tahu, niatnya hanya gurauan, tapi itu jugaklah yang mendedahkan lagi banyak benda yang tak sepatutnya budak sekolah zaman itu tahu.
Berarak dari kelas ke perkarangan sekolah diselang-seli pula dengan jeritan reformasi. Selalunya teriakan reformasi itu kedengaran bila lalu depan kelas yang sedang diajar cikgu-cikgu pro-kerajaan. Aku tak peduli lagi zaman itu. Apa sangatlah yang aku faham.
Itu zaman doktrinisasi. Zaman autonomi pelajar pun aku sudah rasa sebenarnya. Cuba tanya cikgu-cikgu
Brickfields 1, tahun 2001, apa yang pelajar kelas 6 Maju buat ketika itu.
Tak lama lepas UPSR, kami dikejutkan dengan satu berita; peperiksaan akhir tahun tetap akan diadakan. Ramai yang tak puas hati. Maka mesyuarat tergempar antara pelajar pun diadakan. Aku ingat lagi, kepala-kepala komplot waktu itu adalah aku, Faiz, Aizudin, Amirul, Azlan, Syahid. Itu geng-geng chart toppers. Muka-muka yang sentiasa dapat hadiah hujung tahun.
Disokong kuat pula ketika itu adalah geng-geng yang memang malas nak datang sekolah lepas UPSR. Geng-geng rebel macam Firdaus, Jawa, Hafis (walaupun dia pengawas), Tobek, dan ramai lagi. Semangat student union memang kuat.
Akhirnya kata sepakat dicapai, resolusi dibentang. Kami umumkan boikot terhadap peperiksaan. Duduk rumah sampai habis minggu peperiksaan. Tak kurang dari 30 orang rasanya yang bersolidariti! Akhirnya, tumpah air mata guru besar! Satu kelas dipanggil mengadap semua cikgu kanan sekolah.
PIBG pening kepala. Bapak aku gelak je kat rumah!
Natijahnya, hari anugerah kecemerlangan 2001, muka-muka baru dapat naik pentas. Cikgu-cikgu reformasi gelak besar. Cikgu-cikgu mithali geleng kepala. Ustazah terpaksa buat usrah balik. Ustaz mengamuk-ngamuk.
Kami Kami tetap bangga dengan apa yang kami buat tahun itu. Sampai hari ini, aku tak rasa ada yang menyesal. Kalau jumpa balik semua, sejarah tu mesti takkan terlepas.
Makanya, lama sebelum aku baca Marx, lama sebelum aku ada solidariti, lama sebelum ada student power, lama sebelum turun ke jalan raya macam hari ini, aku dah lalui pembentukan fikrah dan ideologi sedemikian rupa. Terima kasih SK
Brickfields 1, terima kasih 6 Maju, 2001!
p/s: Untuk cikgu-cikgu, tak kiralah kalau cikgu suka saya atau tak hari ini. Cikgu Kamarul, Cikgu Azmi, Cikgu Nazri, Cikgu Faisal, Cikgu Izani, Cikgu Suhaimi, Ustazah Raihan, Ustaz Mat Sir, Cikgu Prema, Mr Yong, dan ramai lagi. Terima kasih!
Al-fatihah untuk Cikgu Fauzi.