Tambahan lagi, Ferdinand selalu menggunakan alasan agama untuk menjalankan rancangannya. Dia bercita-cita untuk menghalau keluar Kerajaan Moor atas nama agama. Atas sebab yang sama juga dia menyerang Afrika, Itali dan Perancis. Ferdinand sering mengambil tindakan dalam skala yang besar sehingga rakyatnya disibukkan dengan usaha tersebut. Tindakannya juga menjadikan tiada orang yang sempat bersedia untuk menentangnya.
Menunjukkan contoh yang luar biasa sangat membantu penguasa dalam urusan dalaman seperti yang dilakukan oleh Bernabo Visconti. Apabila seseorang melakukan perkara luar biasa, sama ada baik ataupun buruk, dia patut melakukan perkara yang boleh memberikannya ganjaran yang besar ataupun hukuman yang keras. Penguasa seharusnya berusaha melakukan sesuatu yang mampu meningkatkan reputasinya.
Penguasa juga akan dihormati jika dia menjadi seorang kawan yang jujur ketika mahu membantu ataupun musuh yang ditakuti ketika mahu menentang. Jalan ini lebih banyak memberikan kelebihan berbanding terus berdiri dalam keadaan neutral. Sekiranya dua wilayah jiran berperang antara satu sama lain, dan salah satunya mencapai kemenangan, Tuan harus memilih sama ada untuk takut kepadanya ataupun tidak. Mana-mana pilihan pun, Tuan akan mendapat kelebihan sekiranya Tuan mengisytiharkan untuk memilih mana-mana pihak dan melancarkan peperangan. Jika Tuan takut, dan memilih untuk terus berada dalam keadaan neutral, Tuan akan menjadi mangsa penaklukan. Tuan tidak mempunyai apa-apa untuk ditawarkan ataupun apa sahaja untuk melindungi Tuan. Jiran yang menang tidak mahu menjalinkan hubungan dengan orang yang dicurigainya. Tuan juga tidak akan diterima oleh jiran yang kalah kerana pada mulanya Tuan tidak sanggup mengangkat senjata untuk mereka.
Pasukan Antioch dihantar oleh bangsa Aetolia ke Greece untuk menghalau bangsa Rom. Beberapa utusan dihantar ke Achaen, sekutu Rom, memujuk mereka untuk bersikap neutral. Rom pula menggesa mereka untuk mengangkat senjata. Permasalahan ini dibawa ke majlis bangsa Achaen. Wakil Antioch menggesa mereka untuk terus bersikap neutral dan wakil Rom menjawab, Lebih baik negara kamu tidak masuk campur dalam urusan peperangan kami. Dengan tindakan itu, kamu tidak akan diganggu oleh penakluk.
Tuan akan selalu diminta untuk bersikap neutral oleh mereka yang bukan rakan Tuan. Manakala, rakan Tuan akan selalu menggesa untuk mengangkat senjata. Penguasa yang ragu-ragu akan bersikap neutral untuk mengelak bahaya. Tindakan ini selalunya akan menghancurkan mereka. Tetapi penguasa yang memilih suatu pihak, dia akan berada di bawah belas kasihan, malah terhutang budi pada pihak yang menang. Hubungan persahabatan juga terjalin. Manusia selalunya akan mengenang budi dan tidak akan dengan mudah menzalimi kita dengan menunjukkan rasa tidak berterima kasih. Kemenangan tidak akan tercapai tanpa bantuan Tuan. Sekiranya pihak yang dipilih tewas, Tuan akan mendapat perlindungan daripada mereka. Mereka akan terus membantu selagi mana mereka mampu. Tuan akan menjadi rakan yang akan sama-sama berkongsi keuntungan pada masa akan datang.
Sekiranya Tuan tidak takut pihak mana yang akan menang, memilih sekutu masih pendekatan yang lebih baik kerana Tuan telah membantu suatu pihak untuk menghancurkan pihak lain. Bantuan Tuan telah menyelamatkan pihak yang Tuan bantu. Sekiranya suatu pihak itu merasakan penaklukan adalah suatu yang mustahil tanpa bantuan Tuan, mereka akan terhutang budi dengan Tuan. Perlu ditekankan, penguasa seharusnya tidak bersekutu dengan pihak yang lebih berkuasa daripada dirinya dengan tujuan untuk menyerang pihak lain, melainkan dalam keadaan terpaksa seperti yang telah dibincangkan di atas. Sekiranya penaklukan berjaya, Tuan terhutang budi dengan mereka. Dan, sebagai seorang penguasa, Tuan sepatutnya tidak terhutang budi dengan sesiapa pun.
Venetia bersekutu dengan Perancis untuk menentang Duke Milan. Persekutuan yang telah menghancurkan Venetia ini dapat dielakkan. Tetapi sekiranya tidak dapat dielakkan seperti yang berlaku pada Florentine ketika Paus dan Sepanyol menyerang Lombard, penguasa seharusnya memilih salah satu pihak.
Jangan biarkan mana-mana kerajaan membayangkan mereka mampu memilih jalan selamat yang sempurna. Malah, lebih baik jika ia menjangka untuk memilih jalan yang lebih meragukan. Kita dapati dalam urusan harian, tiada siapa pernah cuba mengelakkan suatu masalah tanpa menimbulkan masalah lain. Sikap berhati-hati termasuklah padanya tahu membezakan ciri-ciri masalah yang dihadapi dan memilih jalan yang keburukannya kurang.
Penguasa seharusnya menghormati dan meraikan mereka yang mahir dalam pelbagai bidang. Pada masa yang sama, dia patut mendorong rakyatnya menjalankan pekerjaan mereka dengan tenang dan aman sama ada dalam bidang perdagangan, pertanian atau lain-lainnya. Penguasa juga harus memastikan mereka tidak takut untuk meningkatkan harta mereka atas sebab takut dirampas ataupun takut untuk membuka perdagangan atas sebab dikenakan cukai. Penguasa juga seharusnya menawarkan ganjaran kepada mereka yang berhasrat untuk memajukan kota dan negaranya.
Tambahan lagi, penguasa harus menghiburkan rakyat dengan festival dan persembahan. Setiap kota mempunyai pelbagai peringkat golongan sosial dan penguasa harus memberikan perhatian kepada setiap golongan. Bergaul serta memberikan tauladan yang baik.
Namun, penguasa itu harus terus memelihara keagungannya.