Khalayak antarabangsa sering mengaitkan bidang sains dan teknologi nuklear dengan malapetaka pengeboman Hiroshima dan Nagasaki, peristiwa kemalangan di Chernobyl dan bencana loji Nuklear di Fukushima, Jepun. Kepakaran dan pakar rujuk dalam bidang ini sering juga dikaitkan dengan jaguh teknologinya di kalangan saintis negara-negara maju, seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Perancis. Keunikan penyelidikan dalam bidang ini serta usaha eksplorasi dalam bidang ini sering diterjemahkan dalam karya-karya sains barat yang menjadi tatapan kanak-kanak dan dewasa seperti hasil tulisan Michio Kaku, siri komedi Big Bang Theory, siri TV Britain Dr Who sehinggalah ke karya komedi seperti The Simpsons. Di negara kita, isu tentang loji pemprosesan bahan nadir bumi yang menghasilkan sisa radioaktif tahap paling rendah di bawah opearsi Syarikat Lynas Corp. serta kemunculan banyak pusat-pusat perubatan nuklear dan hospital-hospital awam dan swasta secara langsung telah menarik minat ramai orang untuk menerokai boidang sains dan teknologi nuklear. Apatahlagi semenjak akhir-akhir ini masalah penjanaan sumber tenaga elektrik dikatakan mampu diselesaikan menggunakan gabungan sumber tenaga nuklear dengan tenaga alternatif lain.
Atas naluri ingin tahu dan berbekalkan minat mendalam dalam bidang sains nuklear,, seumpama sebutir elektron dalam lautan atom yang luas, penulis yang merupakan seorang anak tempatan berasal dari pekan kecil Benut di Pontian, Johor kini memikul tanggungjawab sebagai pensyarah dan penyelidik di Program sains Nuklear UKM, satu-satunya jabatan di universiti tempatan yang menganugerahkan ijazah Sains Nuklear dari peringkat Sarjana Muda hinggalah ke peringkat doktor falsafah (PhD).. Dr Faizal Mohamed merupakan seorang saintis nuklear yang melakukan penyelidikan dalam bidang keselamatan nuklear dan biofizik sinaran di program Sains Nuklear UKM.
Benar, ia merupakan satu bidang yang agak spesifik dan terpencil, namun sumbangannya dalam arena negara dan antarabangsa mejangkaui tembok makmal penyelidikan dan menerobosi meja perundingan antarabangsa hingga mampu memasyhurkan nama UKM di Ibu Pejabat Badan Tenaga Atom Antarabangsa di bawah panji pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Vienna, Austria. Penulisan ini akan menyelusuri usaha penulis membina kepakaran dalam bidang ini sejak mula bekerjaya sebagai pensyarah kanan pada tahun 2008 hingga kini di bumi ilmu tercinta, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kagum Terhadap Alam Sains & Teknologi
Sewaktu dibangku sekolah, penulis sering berimaginasi tentang rekaan saintifik dan kerap memikirkan bagaimana suatu hari nanti diri yang kerdil ini dapat menyelesaikan permasalahan yang membelenggu warga dunia. Sering ditegur oleh ibunda kerana gemar berkhayal dan bersendiri, tetapi di hati ini hanya Tuhan yang tahu. Penulis sering berimaginasi tentang pelbagai keindahan ciptaan Tuhan dari keunikan alam haiwan sehinggalah kepada memikirkan akar umbi tindak tanduk manusia di kaca televisyen.
Penulis tidaklah terlalu cemerlang dalam aspek akademik sewaktu bersekolah rendah di Sekolah Sri Benut, namun peranan ibunda tercinta yang tidak pernah menghalang penulis untuk terus berimaginasi seolah memberikan suatu ruang kepercayaan kebebasan berkarya kepada penulis yang terbentuk hingga kini. Acapkali, penulis mengemukakan idea seperti kereta yang boleh terbang dan rusa yang berwajah manusia, ibunda hanya tersenyum dan berkata: Insha Allah, kalau kau belajar bersungguh-sungguh dewasa kelak segala mimpi engkau akan jadi kenyataan, berdoalah
Sewaktu di Sekolah Menengah Benut, penulis sudah ada meja kecil di belakang rumah kedai milik ayahanda sebagai makmal mini untuk membuat eksperimen kecil, seperti membuat lampu suluh dan melihat carakerja motor kecil dalam alat mainan. Ibunda dan ahli keluarga tidak pernah memperlekehkan apapun yang penulis lalukan dalam dunia kecil imaginasi sendiri. Ini memberikan penulis suatu rasa kebebasan luar biasa untuk terus meneroka alam sains yang dicipta dalam dunia kecil penulis ini. Penulis meneruskan perjuangan sehingga ke peringkat SPM di Sekolah Menengah Benut dan di peringkat Matrikulasi UKM di Kolej Teknologi Timur.
Mengapa Keselamatan nuklear Penting
Pada bulan Mac tahun 2011 dunia digemparkan dengan berita bencana alam tsunami dan gempa bumi dahsyat di kawasan persisiran pantai Sandai di Jepun. Salah satu komplek loji janakuasa nuklear di Fukushima telah mengalami impak dahsyat oleh gelombang tsunami yang berukuran lebih dari 7 meter. Akibatnya seluruh system keselamatan nuklear di loji rektor tersebut tidak mampu lagi berfungsi menyebabkan kebocoran dan letusan yang telah membebaskan bahan radiaoaktif berbahaya seperti Cs137 ke udara. Ribuan penduduk sekitar telah dipindahkan dan Fukushima kini tidak lain hanyalah padang jarak padang tekukur yang menempatkan hanya loji nuklear yang tinggal tanpa sebarang penghuni kerana ia terlalu bahaya untuk diduduki.
Begitulah hakikat betapa pentingnya aspek utama dalam sebarang aplikasi sinaran dan nuklear iaitu isu keselamatan. Sehubungan itu, penulis merupakan saintis yang mewakili UKM dan negara sebagai ahli dalam Global Safety Assesment Network di bawah IAEA. Penulis juga merupakan University Coordinator dalam projek khas IAEA bagi membina kapasiti sumber manusia dalam keselamatan nuklear di Malaysia sebagai pakar bidang Nuclear Probabilisitic Safety Assessment (PSA) merupakan dokumen pelesenan utama bagi sebarang negara yang berhasrat membangunkan loji tenaga nuklear. Pembangunan dokumen rumit ini memerlukan kepakaran dalam bidang kejuruteraan nuklear, fizik nuklear dan undang-undang nuklear. Negara-negara membangun pada rutinnya melantik jururunding antarabangsa untuk menyempurnakan tugasan penting ini jika mereka berhasrat menjadi negara pengguna tenaga nuklear. Alhamdulillah, pasukan saintis Nuklear di UKM telah berjaya menubuhkan satu kumpulan penyelidikan PSA yang telah bersama menyiapkan prosedur PSA lengkap pada reaktor penyelidikan TRIGA Puspati bersama rakan penyelidik di Agensi Nuklear Malaysia. Setakat ini, hanya kurang daripada tujuh reaktor penyelidikan di seluruh dunia yang mampu melaksanakan analisis keselamatan ini.
Bidang kepakaran Biofizik Sinaran
Umum mengetahui bidang biofizik ini ini tiada pertalian terus dengan bidang Fizik dan Kejuruteraan Nuklear. Terinspirasi dengan karya Galilio Galilei, seorang fizikawan yang juga merupakan seorang pelajar perubatan di University of Pisa di mana sumbangan beliau terhadap bidang biomekanika dan biofizik bukan calang-calang. Semenjak itu, penulis mula melihat keharmonian bidang fizik sinaran dan biologi gunaan dalam kacamata yang berbeza. Peluang strategik untuk meningkatkan kecemerlangan penyelidikan di UKM dalam bidang ini terhampar di depan mata. Malahan hasrat dan cita-cita penulis untuk berbakti di kedua-dua bidang perubatan dan fizik kian menjadi suatu realiti.
Justeru di UKM, sebagai simbiosis antara bidang sinaran dan bioperubatan, setelah tamat PhD, penulis memulakan kerja-kerja penyelidikan biofizik seawal tahun 2008. Tanpa membuang masa, penulis berjaya menghasilkan dan menyelia utama hingga tamat dengan jayanya keseluruhan TIGA orang pelajar PhD dalam bidang ini. Seorang pada tahun 2012 sebagai penyelia utama, seorang pada tahun 2013 sebagai penyelia bersama dan seorang lagi telah tamat pada konvokesyen tahun 2015 sebagai penyelia bersama. Kesemua pelajar ini membina kepakaran di bawah seliaan penulis dalam bidang multidisiplin biofizik dan nanoteknologi serta telah membuktikan keupayaan untuk menerbit dalam jurnal berimpak tinggi berwasit antarabangsa untuk berkongsi hasil penyelidikan dan kejayaan anak tempatan dalam bidang unik ini.Berkat tunjuk ajar para professor dan malim-malim senior yang menempa nama besar di UKM, dalam bidang biofizik sinaran, penulis merupakan pakar rujuk muda UKM yang sering melakukan penyelidikan di Institut Kanser Negara, Hospital Putrajaya dan Agensi Nuklear Malaysia. Pengiktirafan terbesar kepada UKM dan penulis dalam bidang ini ialah apabila penulis seorang saintis junior telah terpilih sebagai salah seorang pakar rujuk dalam pembangunan projek siklotron negara.Cyclotron merupakan mesin pemecut zarah yang berfungsi untuk memecut zarah untuk ditembak pada sasaran bagi mengubah sifat radioaktiviti sesuatu bahan. Apabila sasaran merupakan bahan yang sesuai dijadikan bahan radiofarmaseutikal, maka ia kini ssuai dijadikan sebagai pengesan penyakit khususnya penyakit kanser. Berjuta-juta pesakit kanser di seluruh dunia telah menikmati manfaat daripada abahan radiofarmaseutikal untuk membantu para perubatan kanser mengesan tahap, diagnosis dan prognosis penyakit kanser.Begitu besar sekali jasa ahli fizik nuklear dalalam bidang perubatan nuklear yang diamalkan secara intensif di hamper kesemua hospital dan pusat rawatan kanser di seluruh dunia.Hingga kini, penulis terus dirujuk oleh para saintis dari pemegang taruh bidang nuklear yang utama, iaitu Agensi Nuklear Malaysia, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom dan Jabatan Fizik Perubatan di Hospital-hospital kerajaan dan swasta untuk kolobrasi penyelidikan samada di peringkat prasiswazah atau pasca siswazah termasuk kerja-kerja perundingan yang berkaitan. Kecemerlangan ini akan diteruskan dengan perkembangan pesat bidang biofizik sinaran dan fizik perubatan berpotensi tinggi seperti dalam aplikasi pemerisaian dan sintesis bahan pensensitif- radio bagi pemberian rejim radioterapi yang lebih berkesan.
Penutup
Penulis sebagai alumni UKM ingin berterima kasih kepada kedekanan fakulti dan pentadbiran UKM khususnya para malim-malim di UKM kerana telah memberi peluang kepada penulis untuk terus berkarya, menyumbang dalam bidang ini untuk mengiktiraf dan memasyhurkan UKM di arena akademia tempatan dan antarabangsa.Terima kasih yang tidak terpemanai jua dari saya yang kerdil ini.
Biodata
Penulis sekarang bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), memegang jawatan sebagai Profesor Madya. Kelulusan tertinggi beliau ialah Ph.D. di University of Exeter, United Kingdom pada tahun 2008. Bidang kepakaran beliau ialah biofizik & biomekanik, raman spektroskopi, fizik perubatan, pembangunan bahan radiofarmaseutikal serta keselamatan sinaran dan nuclear. Selain daripada itu, aktif di dalam bidang kajian lain seperti Sains Tauhidik dan beberapa NGO tempatan. Baru-baru ini beliau dilantik sebagai ahli jawatankuasa Pembinaan Kapasiti Penilaian Keselamatan Nuklear Kebangsaan oleh Malaysia Nuclear Power Corporation dan Ahli Tetap Jawatankuasa Kecil Keselamatan Nuklear, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom, MOSTI.