Pertempuran yang aku maksudkan ini tidak sama sekali menggunakan senjata api atau taktik peperangan yang biasa diguna pakai di dalam sesuatu misi. Tapi ia adalah lebih kepada pertempuran menguasai situasi dan menggunakan kebijaksanaan untuk menyelesaikan tekanan yang dihadapi oleh isteriku.
Selepas tidak mendapat pekerjaan selama setahun iaitu setelah pulang dari London isteriku telah melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia dalam bidang Sains Alam Sekitar di peringkat sarjana.
Sepanjang tempoh tidak bekerja, berbagai sindiran sinis beliau dan aku sendiri terima dari teman sekeliling terutamanya dari saudara sebelah pihaknya. Pertanyaan kenapa masih tidak berkerja dan bila hendak mendapat zuriat benar-benar memberi tekanan terhadap kami.
Tidakkah mereka faham bahawa rezeki itu datang dari Allah dan sesuatu yang berlaku tentu ada hikmah di sebaliknya. Mengetahui dan memahami agama adalah 2 perkara yang berbeza pada manusia.
Ramai manusia berpengetahuan dalam ilmu agama tetapi gagal memahaminya. Mereka meletakkan kesilapan itu adalah pada manusia tanpa bersandarkan qada dan qadar Tuhan.
Namun kami bersyukur kerana dapat menyerap segala cabaran tersebut mengikut cara kami. Teringat aku pada sebuah firman yang bermaksud Sesungguhnya Allah itu akan hanya menguji manusia itu berdasarkan apa yang termampu olehnya. Kita mesti sabar dalam menerima ujian Allah. Semoga Allah meletakkan kami bersama orang-orang yang sabar.
Berbalik pada tawaran melanjutkan pelajaran yang diterima oleh isteriku. Sebenarnya beliau telah menerima tawaran yang lebih baik sebelum itu iaitu melanjutkan pelajaran ke universiti Oxfort di peringkat sarjana dan kedoktoran (PhD). Namun setelah membuat pertimbangan bersama, kami setuju untuk menolak tawaran tersebut.
Walaupun tawaran itu baik, namun bukan semua yang baik itu sesuai untuk kita pada sebilang masa. Itulah sebabnya Allah mengurniakan akal untuk kita tidak hanya mengikut tabie tetapi menbuat pertimbangan sewajarnya.
Sepanjang tempoh dua tahun menuntut di universiti isteriku berulang alik dari Universiti Putra Malaysia ke Port Dickson (rumah kami). Dalam tempoh tersebut beliau melahirkan zuriat sulungku.
Memandangkan pengajian beliau adalah melalui penyelidikan (Master by research), beliau mempunyai banyak masa untuk menyesuaikan pengajian dengan keperluan peribadi. Tambahan pula beliau sering tidak dapat meneruskan projek kerja kerana peralatan yang yang dimport sering lambat diterima.
Dalam tempoh tersebut beliau telah melahirkan seorang bayi yang comel yang kami namakan Qistina Saffwah. Selepas tiga bulan melahirkan anak sulung, beliau telah mengandung anak kedua. Aku kira ini adalah rezeki yang Allah beri kepada orang-orang yang sabar dan bertawakkal.
Pernah satu ketika beliau terpaksa menyiapkan banyak kerja dalam satu masa selain faktor peralatan lambat diterima, sikap diri sendiri yang berada di dalam zon selesa menyebabkan beliau hanya memulakan kerja penyediaan tesis pada saat akhir. Tambahan pula beliau sedang mengandung 4 bulan anak ke duanya.
Itulah kelemahannya bila kita hendak buat semua perkara dalam masa yang singkat iaitu pada saat akhir. Ketika itu beliau hanya ada baki tempoh 2 bulan untuk menamatkan tesisnya. Namun beliau telah diberi masa lanjutan sehingga Nov 2001 untuk meyiapkannya iaitu pada penghujung tempoh akhir pengajiannya.
Semakin lambat beliau memajukan keperluan kursus maka semakin lambatlah beliau akan graduasi. Siapalah aku untuk memberi nasihat sebab dia lebih mahir tentang kerjanya.
Walau pun aku sudah dapat agak apa yang bakal berlaku, namun aku ingin dia belajar sesuatu yang sangat berharga dari kesilapannya.tempoh perkhidmatanku yang agak lama telah mengajarku untuk memberi keutamaan kepada sesuau perkara
Aku juga menggunakan setakat dayaku memberi dorongan serta semangat. Walaupun aku agak terkilan dengan sikapnya yang mula gelisah untuk menyiapkan tesisnya pada saat akhir.
Namun sangat penting bagiku berdiri di belakangnya dan memberi sokongan kuat. Beliau memang berusaha menyiapkan thesisnya tersebut dengan menggunakan komputer peribadi yang aku miliki. Pada waktu begini memang cukup genting bagi sesiapa sahaja.
Telah beberapa kali komputer tidak memihak pada beliau. Ada satu ketika semua disket dan usaha beliau di dalam Hard Disk telah diserang virus. Beliau tidak dapat menyelamatkan apa-apa kecuali draf pertama yang sangat sedikit bahannya.
Bayangkanlah tesis beliau setebal beratus muka surat di dalam bahasa Inggeris pulak tu telah hilang begitu sahaja. Beliau menangis semahunya kerana hendak hasilkan semula pemikiran serta idea tulin di dalam bentuk yang sama kelihatan seperti hampir mustahil.
Aku tiada pilihan lain. Aku biarkan isteriku di dalam kesedihan dan berusaha mengubungi beberapa orang pakar komputer yang boleh mengesan bahan-bahan di dalam Hard Disk.
Mereka memang berusaha sehingga gagal. Tidak ada apa yang boleh dilakukan lagi kecuali kecewa yang amat sangat dan menyerah diri. Namun aku tidak mahu itu berlaku dan yang paling penting ialah aku hendak isteriku kuatkan semangatnya mengatasi tragedi tersebut dengan penuh sabar.
Aku bawa dia ke kedai komputer bersama PC yang telah rosak itu. Seolah-olah ada harapan tinggi untuk mendapatkan semula bahan-bahan tersebut. Menangisnya dan rungutannya hanya Tuhan saja yang tahu. Nampak sangat troma yang beliau alami di atas kejadian tersebut.
Beberapa kaedah nasihat yang aku gunakan memberi sedikit ketenangan kepadanya. Terdetik hatiku, eh! Boleh juga aku memberi motivasi. Sebab setahu aku jarang sesaorang itu boleh memotivasikan orang terdekatnya.
Aku mesti bersamanya pada situasi sedemikian untuk memberi kekuatan kepadanya. Aku teruskan mendorong dan memberi beberapa pilihan kepada beliau untuk menghadapi situasi tersebut. Beliau memang sangat tertekan. Air mata yang mengalir dan kesedihan beliau tak boleh nak katalah.
Mungkin Empangan Sembrong di Kluang boleh penuh kalau aku salurkan air mata beliau. Namun aku tetap memuji usaha beliau setakat ini dan memujuknya agar kuatkan semangat untuk menghadapi cabaran yang perlu di tempuhi. .
Seseorang itu pasti akan teruji dengan keinginan kuatnya yang tidak tercapai. Namun berdiam diri sambil hanya memikirkan masalah tidak akan membawa kita ke mana-mana.
Kita sering runsing bila menghadapi masalah. Ada 3 sebab kenapa kita runsing. Pertama kita hanya memikirkan masalah siang dan malam tetapi tidak berusaha mengatasi masalah tersebut. Kedua kita tidak tahu kelebihan dan kehebatan yang ada pada diri kita sehingga orang lain mencungkil potensi diri kita. Ketiga, kita tidak percaya pada Qada dan Qadar Allah.
Segalanya telah ditentukan Allah dan kita mesti redha terhadap apa yang berlaku. Tentu ada hikmahnya di sebalik ujian tersebut.
Qada Tuhan memang tidak boleh diubah. Namun sabda Rasullulah S.A.W, tidak akan diubah qada melainkan dengan doa. Maka kita mesti berusaha, berdoa dan bertawakkal pada Allah S.W.T.
Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Aku faham keadaan isteriku itu. Setelah segala usaha memujuk dan meredakan keadaan tidak begitu berhasil kerana beliau akan reda seketika dan runsing semula, maka aku menggunakan pendekatan lain pula. Satu petang selepas balik dari pejabat aku melihat perkembangan dalam dirinya tidak menunjukkan pemulihan kekuatannya maka aku ubah pendekatan reverse phycology.
Aku marah isteriku dan berleter panjang terhadap sikap yang tidak kuat menghadapi situasi ini. Aku tidak memberi peluang padanya. Walaupun matlamat aku agar dia jangan berputus asa, namun aku seolah-olah tidak bersimpati ke atas apa yang telah terjadi.
Aku katakan padanya bahawa ini merupakan sebahagian dari proses dalam meletakkan nilai pada kelulusan yang bakal diperolehi dan jalannya tidak mudah. Kita belum lagi dikira gagal sehingga kita sendiri mengakuinya kegagalan itu.
Tanpa fikir panjang tentang reaksinya terhadap ceramah panjang lebar yang cukup tegas itu, aku tinggalkannya dan terus pergi mengerjakan solat asar di bilik. Kemudian aku mengarahkannya bersolat asar dan bersiap untuk keluar ke kedai komputer.
Nampak sedikit kekuatan terbina di wajahnya hasil dari nasihat brutal aku tadi. Memang betuluntuk menjadi seorang yang cemerlang kita mesti mempunyai sikap positif. Melihat situasi dalam bentuk mikro dan makro. Barulah kita akan lebih bersedia menghadapi situasi yang mencabar.
Kami singgah di sebuah kedai komputer untuk membeli CPU yang telah terpakai dan membuat pengisian soft ware yang kami kehendaki. Malam itu kami keluar makan malam di luar dan aku meredakan keadaannya.
Dia nampak lebih tenang dan mula menunjukkan sikap positif terhadap masalah. Memanglah siapa sahaja akan kecewa bila berhadapan dengan situasi tersebut.
Malam itu aku berjaga hingga jam 4 pagi menemaninya menaip semula tesis beliau. Salah sebuah bilik aku jadikan sebagai bilik komputer. Tak kisahlah berterabur kertas asal dia happy.
Pada hari kedua dia buat kerja tersebut aku buat kejutan dengan menghadiahkan sejambak bunga kerana perubahan sikapnya. Dia yang secara semulajadi gemar bunga memang gembira dengan pemberian tersebut dan menjadi lebih bersemangat. Aku perlu bersamanya di kala susah dan senang sebab aku amat sayang pada rumahtanggaku dan budak sekolah itu.
Hampir seminggu aku menemankannya sehingga siap tesis tersebut. Aku tak benarkan dia memasak. Biar dia tumpukan perhatian pada kerja. Kadangkala aku masak untuk makan malam dan makan bersama. Aku pun boleh masak apa semasa di UKM dulu selama setahun aku terpaksa masak sendiri. Asyik makan kedai mana boleh jadi.
Segala berjalan lancar dan di atas kesabaran isteriku, tesis tersebut dapat disiapkan. Alhamdulillah Allah memudahkan urusan hambanya. Aku memberi pujian di atas kejayaan tersebut.
Kami keluar makan malamspecial sebagai meraikan beliau. Nampaklah keceriaan di wajah isteriku itu. Sekali lagi terbukti bahawa sesungguhnya Allah bersama-sama orang-orang yang sabar.
Masalah komputer meragam pada saat kita hendak buat kerja penting bukan kali pertama berlaku pada kami. Sebab itulah sangat penting untuk kita membuat salinan kedua atau back up. Aku sendiri pernah menghadapi situasi mencemaskan seperti itu ketika menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Pada akhir semestar isteriku perlu menghantar tesisnya yang terakhir. Kali ini komputer aku buat hal lagi. Terlalu banyak data-data telah hilang. Namun dia telah membuat langkah awal bagi mengatasi masalah tersebut.
Walaupun remeh, ia tetap dapat diatasi. Tesis tersebut telah disiapkan dan dihantar pada bulan Jun2001 untuk semakan oleh penyelia dan panel yang telah dilantik. Seramai 5 pensyarah dan professor yang akan membuat semakan serta teguran (jika ada) sebelum tesis tersebut dimajukan kepada SENAT bagi kelulusan dan pengesahan tamat pengajian.
Sementara menunggu keputusan pengajian beliau hanya berehat di rumah menanti kepulanganku dari kerja pada setiap hari. Masuk bulan pertama tak apa lagi.
Tapi bila masuk bulan kedua menganggur dia mula bosan duduk di rumah. Apa lagi pada masa tersebut dia tidak lagi mendapat elaun pengajian sebanyak RM 1560.00 tiap bulan.
Dia selalu mendesak aku untuk di beri kebenaran membuat kerja sampingan sebagai guru sandaran, kerani atau apa sahaja yang boleh mengisi masa lapangnya. Aku tidak setuju kerana dia sedang mengandung anak kedua dan anak sulungku masih perlu perhatian.
Dalam masa yang sama aku menguruskan tawaran pekerjaan untuk beliau. Antara yang utama ialah pengisian jawatan jurutera di syarikat Shell di Port Dickson. Beliau dapat menyakinkan panel pada temuduga pertama dan temuduga akhir. Namun demikian beliau tidak terpilih kerana jawatan yang ditawarkan hanya 2 sahaja. Mungkin faktor kandungan yang dibawanya juga menyebabkan mereka memberi peluang kepada calon yang lebih muda.
Beliau semakin tertekan bila keputusan tidak memihak pada beliau. Walaupun aku cuba menenangkannya, namun dia tetap merasakan status perkahwinannya menyebabkan dia terpinggir seterusnya merasa rendah diri. Biasalah bila tidak dapat apa yang dihajati berbagai andaian yang timbul.
Melalui permohonan kerja di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) beliau mendapat 2 tawaran temuduga untuk pegawai penyelidik.
Aku ambil cuti untuk menghantarnya di Bangunan lama SPA di jalan Cenderasari Kuala Lumpur. Temuduga berjalan lancar dan segalanya berjalan dengan baik. Beliau yakin akan lulus temuduga tersebut. Dua Minggu selepas temuduga aku membuat panggilan talipon pada nombor yang diberikan untuk mendapatkan jawapan keputusan temuduga.
Syukur alhamdulillah beliau lulus ke dua temuduga tersebut. Namun jawatan yang ditawarkan adalah jawatan pegawai penyelidik di Institut Teknologi Nuklear Malaysia (MINT). Jawatan tersebut bersandarkan kepada kelulusan sarjana beliau.
SPA tidak dapat mengeluarkan surat tawaran kerana tiada surat pengesahan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mengatakan beliau belum tamat dan lulus pengajian. Keadaan menjadi bertambah sukar kerana UPM hanya akan mengeluarkan surat apabila tesis hard copy dihantar kepada unit pengajian siswazah dan diluluskan oleh SENAT. Semua proses tersebut akan mengambil masa 2 bulan.
Keadaan ini memberi tekanan kepada beliau kerana jika terlewat, tawaran tersebut mungkin akan terbatal. Tambahan pula tarikh bersalin tinggal 10 hari lagi. Aku berusaha memujuk pihak pentadbiran UPM agar mengeluarkan surat pengesahan yang menyatakan beliau telah lulus dan akan graduasi pada bulan julai.
Hasil pujukan dan justifikasi yang aku berikan, encik Rostam telah menggunakan budi bicaranya untuk menandatangani surat yang aku drafkan selaras dengan keperluan SPA. Sebaik sahaja aku terima surat tersebut aku faks kepada pegawai SPA.
Pada keesokan harinya aku sendiri pergi ke Putrajaya untuk mengambil surat tawaran kerja tersebut. Segalanya berjalan pantas dan licin. Pada jam 1615 aku membuat panggilan ke MINT untuk bertanya perkembangan perkara tersebut.
Puan Rafeah memberitahu Norasalwa boleh datang untuk memulakan kerja pada esok harinya. Alangkah gembira isteriku kerana akhirnya BATTLE OF SPA telah tiba ke penghujungnya dan kejayaan memihak kepada pada beliau. Sejak awal lagi MINT telah menjadi pilihan isteriku dan wakil dari MINT (Dr Mohd nor) telah memilih beliau semasa temuduga.
Aku hampir ditimpa kemalangan ketika hendak mengambil surat tawaran kerja dari Putrajaya. Hendak cepat punya pasal aku terpaksa memandu laju di tempat yang aku tidak ketahui. Nasib baik aku terbabas sedikit sahaja. Namun kau tak kisah tentang itu semua asalkan urusan isteriku dapat dibereskan.
Pada pagi tersebut segala dokumen telah di siapkan dan aku membawanya untuk melapor kerja hari pertama. Lebih kurang 2 jam berurusan, beliaupun keluar dan itulah hari pertama beliau kerja. Memandangkan hari itu hari sabtu beliau dibenarkan pulang awal. Seterusnya beliau bekerja hanya 3 hari kerana sudah sarat untuk bersalin.
Aku tidak minta apa-apa dari isteriku kecuali sedikit keserasian. Beliau nampaknya kurang menghargai usahaku, kerana dia merasakan aku seharusnya menguruskan itu semua sebab aku suaminya. Aku sedikit kecewa dengan sikapnya. Tak apalah satu hari nanti dia akan faham.
Tepat pada 19 januari 2002 beliau bersalin anak perempuan di hospital Seremban dan semuanya berjalan lancar. Aku sendiri menguruskan kerja-kerja yang sepatutnya di lakukan oleh saorang ayah.
Sepanjang tempoh pantang gaji beliau berjalan dan ini memberi sedikit kelebihan kepadanya. Cuma aku agak terkilan kerana terpaksa mengosongkan rumahku untuk menyewa di Bangi. Ini tak lain adalah untuk memudahkan pergerakan beliau dari rumah ke tempat kerja. Aku pula terpaksa di tukarkan ke Sandakan Sabah. Cabaran baru bermula di sini.