Penjara Johor Bahru yang meliputi keluasan 5.56 hektar ini menjadi penjara yang keempat ditutup selepas Penjara Kuantan, Penjara Pulau Jerejak dan Penjara Pudu di Kuala Lumpur. Sebagaimana Penjara Pudu yang ditutup pada 1 November 1996 disebabkan tuntutan pembangungan di ibu negara, Penjara Johor Bahru ditutup lapan tahun sembilan bulan kemudian untuk memberi ruang kepada pelaksanaan projek pembangunan.
Faktor kesesuaian lokasi juga dipercayai menjadi alasan mengapa penjara yang diilhamkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Daeng Ibrahim ini diputuskan untuk ditutup. Walaupun apa pun alasannya, hakikat Penjara Johor Bahru dibina di atas tanah milik kerajaan negeri dan terpulang kepada kepemimpinan kerajaan Johor untuk menentukan sama ada mengekalkan penjara itu sebagai muzium untuk tatapan generasi akan datang atau dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan lain
Sesungguhnya tapak Penjara Johor
Bahru di atas tanah seluas lebih lima hektar yang dilingkungi tiga jalan, iaitu Jalan Ayer Molek, Jalan Gertak Merah dan Jalan Khalid Abdullah kini disifatkan antara lokasi emas bandar raya Johor Bahru yang bakal mengalami perubahan fizikal yang ketara untuk tempoh 10 tahun mendatang.
Mengimbau sejarah Penjara Johor Bahru yang boleh memuatkan 1,500 banduan pada satu-satu masa itu, ia dibina dengan kos kira-kira RM30,000 menerusi satu perjanjian yang ditandatangani pada 16 April 1882 antara Engku Abdul Majid mewakili kerajaan negeri Johor dan seorang kontraktor yang juga saudagar Cina, Wong Ah Fook.
Dalam perjanjian bagi membina bangunan yang disebut Kota Penjara itu, Wong Ah Fook diberi tanggungjawab membina sebuah penjara dengan keluasan bertembok 400 X 400 kaki persegi (160 X 160 meter persegi) dan tembok setinggi lapan meter (20 kaki). Almarhum Sultan Abu Bakar banyak memberi ilham dan ideanya mereka bentuk bangunan Penjara Johor Bahru selepas baginda melihat sendiri keadaan fizikal beberapa penjara di Shanghai, China dan Osaka, Jepun.
Selepas setahun dibina, penjara seluas 160,000 kaki persegi (64,000 meter persegi) siap dan pembukaannya dirasmikan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar pada 1883. Ketika itu tujuan Kota Penjara Johor Bahru ini adalah sebagai tempat tahanan individu yang menentang penjajah selain penjenayah di Johor dengan kapasiti hanya 200 pesalah. Pada asalnya hanya dua bangunan penempatan banduan, dua bengkel latihan, dapur memasak, bangunan tandas, tempat rawatan dan sebuah pejabat pentadbiran.
Peredaran masa dan keperluan menuntut beberapa perubahan kepada Penjara Johor Bahru untuk menampung kapasiti banduan yang semakin meningkat. Berikutan itu, beberapa bangunan tambahan dibina dan diubah suai, iaitu 10 blok penempatan banduan, lima bengkel vokasional, tempat lawatan keluarga, pejabat kaunseling, pejabat pegawai kebajikan, surau dan kemudahan lain hingga boleh memuatkan seramai 1,500 banduan.
Antara banduan yang pernah menginap di penjara yang kali terakhir menyaksikan hukuman gantung dijalankan pada 1950 ini ialah anggota komunis kejam, Mat
Indera, Jeneral Sutiarto, iaitu jeneral tentera Indonesia yang ditahan di Labis ketika mengetuai serangan konfrontasi dengan Malaysia dan Mohamad Abbas Danus Baksan yang kini dipindahkan ke Penjara Kajang.
Kini Penjara Johor Bahru atau lebih dikenali sebagai Penjara Ayer Molek sudah menjadi sejarah. Seramai 58 banduan menjadi kumpulan terakhir meninggalkan penjara berkenaan pada jam 8.50 pagi, Selasa lalu. Malah, tarikh bersejarah itu, iaitu sehari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan mencatatkan pembebasan seorang banduan yang bermakna banduan terakhir keluar daripada belenggu Penjara Johor Bahru.
Pengarah Jabatan Penjara Malaysia (Johor Bahru), Abdul Basir Mohamad, berkata seramai 1,025 banduan dan tahanan reman dari Penjara Johor Bahru dipindahkan dalam beberapa kumpulan sejak 14 Julai lalu. Menurutnya, seramai 584 banduan dipindahkan ke Penjara Kluang yang baru beroperasi Mac lalu, manakala 481 lagi menghuni Penjara Simpang Renggam.
Seramai 330 kakitangan penjara ini dipindahkan ke penjara lain dan hanya 30 kakitangan bertugas sementara sehingga Disember ini, katanya yang akan berpindah ke Penjara Kelantan, bulan depan selepas berkhidmat di penjara berkenaan sejak November tahun lalu.
Apa yang menarik, Penjara Johor Bahru terus dibuka untuk tontotan umum sebaik sahaja dihentikan operasinya. Tidak seperti Penjara Pudu yang hanya dibuka kepada umum enam bulan selepas ditutup, Penjara Johor Bahru memperlihatkan wajah asalnya kepada orang ramai yang ingin tahu bagaimana suasana kehidupan banduan di penjara. Abdul Basir berkata, penjara ini akan dibuka sebagai muzium sehingga 15 Disember ini sebelum tanah penjara ini dikembalikan kepada kerajaan negeri pada 31 Disember ini.
Orang ramai berpeluang melihat pelbagai bahagian di dalamnya termasuk sel tahanan, pusat aktiviti dan dapur. Mereka juga boleh masuk ke dalam sel tahanan, berbaring di tilam dan bergambar di dalamnya, katanya.
Walaupun sudah menjadi sejarah, apa yang berlaku ke atas Penjara Johor Bahru belum diketahui. Kerajaan negeri belum mengumumkan agenda ke atas tapak bekas penjara yang mempunyai nilai sejarah tinggi itu. Ini kerana bangunan Penjara Johor Bahru adalah sebuah bangunan bersejarah yang diilhamkan Almarhum Sultan Abu Bakar, iaitu antara arkitek yang membina Johor ke arah pemodenan.
Reka bentuk bangunan asal penjara ini amat unik yang mempunyai ciri-ciri ketara negara di Timur. Malah, difahamkan semua bahan untuk membina penjara ini sama ada kayu dan batu diimport dari luar negara termasuk England. Berikutan nilai sejarah dan warisan kebudayaan yang amat tinggi, adalah wajar bangunan asal penjara ini dipulihara untuk tatapan generasi akan datang. Apatah lagi, ia adalah antara warisan yang diilhamkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar yang amat berharga buat rakyat Johor.
Penjara JB Wajar Dipulihara
Oleh Mohd Ramzi Sanny 27/09/2005