KERAMAT SEBUAH HATI - 22
Hidup tidak boleh berpandukan perasaan hati yang kadangkala boleh menjahanamkan diri sendiri. Perkara utama harus kita fikirkan ialah menerima sesuatu atau membuat sesuatu dengan baik berlandaskan kenyataan.

Saya sentiasa berhati-hati agar jangan perkataan saya menyinggung sesiapa. Maka saya juga mengharapkan yang sama dari orang lain. Ia adalah fitrah manusia. Allah mencipta manusia dengan akal dan hati, yang saling berbeza tabiat dalam memberikan reaksi kepada perkataan. Akal memproses logik. Hati memproses emosi.

Akal dan logik menghasilkan pengetahuan. Hati dan emosi mencetuskan kemahuan.

Apabila kita meminta sesuatu dari orang lain dengan menyebut Saufi, buka pintu tu, ia adalah arahan kepada akal. Apabila akal memahami arahan tersebut, ia akan memberikan kefahaman tentang reaksi dan tindakan yang sepatutnya diambil terhadap arahan itu.

Tetapi arahan yang hanya dipedulikan oleh akal, walaupun boleh difahami, ia mungkin tidak mencetus kemahuan. Arahan itu tidak mengambil kira soal hati. Sedangkan kemahuan datang dari hati. Bagaimana kalau ayat yang sama diungkap dengan cara yang lebih sopan, seperti Saufi, tolong bukakan pintu tu. Terima kasih!

Bagaimanakah perasaan dan kesediaan kita untuk bekerjasama dengan permintaan yang sedemikian rupa, berbanding arahan pertama Saya yakin, kita lebih bersungguh dan berkemahuan untuk memenuhi permintaan itu kerana perkataan buka pintu memberitahu akal, manakala perkataan tolong dan terima kasih menggerakkan hati. Tidak bolehkah peraturan semudah ini kita amalkan dalam hidup