TRAGEDI TSUNAMI DAN GEMPA BUMI - 22
Ujian Tuhan tidak mengenal atau memilih mana-mana manusia di muka bumi ini. Ini hakikat yang perlu diterima denga hati terbuka oleh setiap hambanya. Tragedi ombak besar tsunami yang melanda Asia beberapa negara Afrika dua minggu lalu juga berdasarkan hakikat ini. Melihat kepada kemusnahan yang berlaku, sukar untuk menghitung kerugian yang dialami. Yang pasti, ia melibatkan suatu jumlah angka yang cukup besar.

Ini tidak termasuk kehilangan nyawa yang mencecah ratusan ribu manusia. Aceh contohnya musnah dalam sekelip mata. Perjuangan untuk mendapatkan kuasa autonomi sejak sekian lama, juga sepi. Tiada lagi kedengaran bunyi tembakan antara kumpulan Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dengan tentera-tentera Indonesia.

Yang tinggal kini cuma suara-suara tangisan, kesedihan dan kedukaan. Mayat-mayat bergelimpangan di sana sini. Anak-anak kecil kehilangan arah, isteri kematian suami, rakan mencari taulan. Suasana umpama padang jarak padang tekukur. Tidak pernah tergambar bencana sebegini boleh melanda kawsan yang terkenal dengan gelaran Serambi Mekah itu.

Namun, Tuhan sentiasa menepati janjinya mengambil semula setiap apa yang dipinjamkan kepada manusia di dunia yang fana ini apabila sampai masanya. Mungkinkah kemusnahan Aceh kerana dia mahu menghapuskan segera penderitaan yang ditanggung oleh rakyat wilayah itu

Hanya Tuhan yang lebih mengetahui. Apa pun sebagai insan yang masih hidup dan terlepas daripada bencana, kita harusnya bersyukur kepadanya. Kesempatan yang ada sekurang-kurangnya boleh menginsafkan kita dan menjadikan kita insan yang lebih baik daripada hari-hari sebelumnya. Perasaan ini pula boleh diterjemahkan dalam pelbagai cara. Paling mudah ialah dengan berdoa dan memberikan sumbangan mengikut kadar yang termampu.

Seperti ombak tsunami yang menyerang secara tiba-tiba tanpa mengira siapa kita, begitu juga bantuan yang diharapkan. Dalam hal ini, pujian perlu diberikan kepada juara tujuh kali Formula One dunia, Michael Schumacher. Setakat ini beliau muncul sebagai penderma terbanyak dengan jumlah RM 38 juta.

Schumacher bukan ahli perniagaan terkemuka atau keturunan kaya-raya yang secara semula jadi hidupnya dilimpahi wang. Beliau terpaksa mempertaruhkan nyawanya sendiri di atas trek lumba untuk berada di dalam kedudukannya sekarang.

Sebagai manusia pemurah, Schumacher tentunya amat bersimpati dengan nasib yang dialami oleh mangsa tsunami, meskipun berbeza bangsa dan agama. Perbezaan bangsa dan agama juga tidak menghalang celebrity dunia lain untuk turut sama menyumbang meringankan beban yang ditanggung atas nama kemanusian.

Penerbit filem Hollywood, Steven Spielberg berjanji untuk menyumbang sebanyak RM 5.7 juta manakala pelakon terkenal Sandra Bullock menyumbang sejumlah RM 3.8 juta. Tidak ketinggalan hero Titanic Leonado DiCaprio dan kumpulan rock kegilaan remaja masa kini, Pink Park.

Sumbangan DiCoprio dikatakan mencecah hampir RM 3.8 juta sementara Linkin Park berjumlah RM 380.000.00. Derma yang diterima daripada bintang-bintang popular Hong Kong untuk membantu mangsa tsunami pula sekitar RM 760,000. Jacke Chan sahaja menderma hampir RM 250,000 manakala rakan-rakan seangkatannya yang lain termasuk Andy Lau, Chow Yun Fat, Stephen Chow dan Leon Lai masing-masing kira-kira RM 100,000.

Perasaan yang sama turut dikongsi oleh bintang Bollywood. Shah Rukh Khan, Rani Mukherjee dan pengarah filem, Karan Johar bukan sahaja menderma hampir RM 1 juta tetapi merancang untuk mengambil kampung Tamil Nadu yang terjejas teruk akibat tsunami di India sebagai kampung angkat.

Pelakon jelita Aishwarya Rai yang masih bersedih dengan bencana alam luar biasa itu pula sanggup mengenepikan pendapatan hasil hasil lakonan sebanyak kira-kira RM 50,000.

Sumbangan berjumlah besar juga diterima daripada hero filem Tamil, Rajnikant. Beliau sahaja menderma sebanyak RM 216,000, manakala pelakon muda, Ajit berjumlah kira-kira RM 87,000. Dalam perkembangan sama, kapten industri filem Tamil, Vijayakanth tidak lokek menderma sehingga RM 87,000.

Kesudian ramai selebriti dunia tampil ke depan tanpa berfikir panjang untuk tujuan membantu meringankan beban mangsa-mangsa tsunami setelah melihat penderitaan mereka adalah sesuatu yang diharapkan. Secara tidak langsung ia memberi mesej masyarakat yang dilabel sebagai hidup dalam dunia glamor juga tidak mahu ketinggalan dalam membuat kebajikan.

Bahawa mereka adalah manusia yang mempunyai hati dan perasaan malah lebih mulia daripada sesetengah pihak lain sememangnya tidak dapat dinafikan. Kepada golongan prihatin ini, mungkin mereka menyedari sekarang adalah masa terbaik untuk memberi semula sedikit sumbangan yang diterima daripada masyarakat yang selama ini menjadikan tonggak kesinambungan kehidupan cemerlang mereka.