Mencari Kiblat Cinta - 23
Sampai kini dia tidak tahu apakah penyebab kepada tragedi yang menimpa ibunya. Apakah wanita itu sememangnya berniat membunuh diri Tidak! Aku tidak boleh percaya itu semua. Uminya wanita yang beriman. Tak mungkin umi akan bertindak sedemikian rupa. Bertahun-tahun lamanya dia cuba menafikan kenyataan itu.

Mungkin Puan Zahlia bertindak begitu di luar akal warasnya. Lagipun dia pengidap pre-senile dementia. Ini semua tidak mustahil. Penjelasan Doktor Khairi yang merawat ibunya kepada pihak polis juga menimbulkan keraguan di hatinya.

Dia enggan mempercayai kenyataan doktor itu. Lagipun apa daya yang ada pada seorang pesakit yang dikatakan nyanyuk dan hilang ingatan untuk membunuh diri

Sabarlah Nira, Pak Maidin tahu kamu sedih. Tapi kamu kena kuat dan tabah demi Naufal. Suara Pak Maidin pula mengambil giliran berkumandang di telinganya.

Tabah Tabahkah dirinya Tahukah mereka apa yang dirasakannya Dalam usia muda, dia menyaksikan dua kematian orang yang paling disayanginya di hadapan matanya sendiri. Mampukah lagi airmata ini mengalir meratap sedih sebuah kehilangan

Nangislah kalau Nira mahu. Jangan simpan kesedihan tu Nira, pujuk Mak Minah sewaktu jenazah ibunya siap dikapankan. Dia memandang Mak Minah. Mata wanita itu basah apabila menatapnya. Anehnya perasaannya sendiri ketika itu membeku. Dia bagaikan hilang emosi.

Dia langsung tak menangis bila tengok mayat ibunya bang. Saya bimbang dengan Nira. Suara Mak Minah meskipun bernada bisikan, namun mampu ditangkap sepasang telinganya dari luar bilik.

Baguslah begitu. Itu maknanya dia boleh terima kematian ibunya. Jawab Pak Maidin, acuh tak acuh.

Eh abang ni, macam tu pulak. Abang tak risaukan budak Nira tu ke Dia macam tak rasa apa-apa bila ibu dia meninggal. Itu kan aneh. Bisik Mak Minah perlahan.

Minah, jangan kamu sangka bila Nira berkeadaan macam tu, hatinya tak sedih. Dia memang sedih, aku faham perasaan dia. Tapi aku lebih suka tengok dia begitu, dari dia berendam airmata setiap hari. Balas Pak Maidin.

Saya bukan apa bang. Saya takut Nira masih belum dapat lupakan kejadian tu. Lagipun ibunya jatuh di depan matanya sendiri. Saya tak boleh bayangkan gadis semuda Nira, terpaksa berhadapan dengan kejadian macam tu. Saya takut emosi dia terganggu. Luah Mak Minah. Pak Maidin tidak bersuara. Hanya dengusan nafas lelaki tua itu sahaja yang kedengaran.

Dia tidak berkata apa-apa. Matanya merenung sayu ke arah Naufal yang sedang tidur. Sepertinya, Naufal juga menerima kematian ibunya dengan tenang. Tapi sewaktu jenazah ibunya diturunkan di liang lahad, dia nampak jelas kelopak mata adiknya ditakungi air jernih. Dia tahu adiknya itu sengaja memendam rasa. Ubun-ubun di kepala Naufal diusap perlahan. Mata yang terpejam rapat itu dipandang tidak berkelip. Hatinya berbisik rawan. Kita dah jadi anak yatim piatu Naufal! Mulai saat ini, kita harus menjaga antara satu sama lain. Kakak janji, kakak takkan benarkan apa-apa yang buruk menimpa diri Naufal. Kakak akan jaga Naufal selagi kakak terdaya! Selagi kakak hidup! Itu janji kakak, sayang!

Dia meraup wajahnya. Ikrar janjinya ketika itu tidak mampu ditunaikan. Ya, dia pernah berjanji akan melakukan segala-galanya untuk Naufal. Naufal adalah dunianya. Naufal adalah kebahagiaannya. Namun siapa yang mampu melawan takdir Tuhan tidak mengkehendaki dia bersama-sama Naufal meneruskan kehidupan. Kerana itu Naufal hilang entah ke mana!

Airmatanya diseka dengan jari-jemarinya. Pandangannya dilontar ke arah jam loceng di biliknya. Jarum jam sudah menunjukkan pukul 5.00 pagi. Sudah hampir masuk waktu subuh.

Dia segera bingkas bangun lalu menuju ke bilik air. Selepas membersihkan diri, dia terus mengambil wuduk. Sejenak kemudian, dia sudah berteleku di tikar sembahyang. Sambil menanti waktu subuh, dia menghabiskan masa membaca ayat-ayat suci al-Quran. Terasa lapang dadanya setiap kali dia menyebut kalimah-kalimah ALLAH. Setiap kali menghabiskan satu juzuk al-Quran setiap hari, dia bagaikan mendapat kekuatan baru. Dan kekuatan inilah yang menjadi pendinding kepada semangatnya yang tidak pernah pudar.

Selesai solat, Danira langsung tidak membuang masa. Dia turun ke tingkat bawah. Ruang tamu yang sudah diubahsuai dengan pelbagai warna ceria nampak sesuai sekali dengan imej taska yang diuruskan Kamila. Dia segera mengambil penyapu lalu mula membersihkan tempat itu. Buku-buku cerita yang berselerak di atas meja bulat dikemaskan di rak tersedia. Kertas-kertas yang bercontengan dengan warna air dikumpul setempat lalu diletakkan di atas sebuah meja. Dia tidak berniat membuangnya kerana dia tidak tahu apakah kertas-kertas lukisan itu masih diperlukan atau pun tidak.

Eh awal Nira bangun hari ni. Tegur Kamila ketika berkunjung pagi itu. Dia perasan, ruangan di situ lebih kemas dari sebelum ditinggalkannya kelmarin. Kamila tahu, tentu gadis itu yang mengemaskan ruangan di situ.

bersambung

Bab akan datang:

Bagaimanakah hari pertama Danira di taska milik Kamila itu