TORA DATANG LAGI - 23
VHS adalah akronim kepada Video Home System tetapi ianya lebih mesra dipanggil tape video. Bentuknya sangat menyerupai seperti sekeping kaset lagu cuma di dalam saiz yang lebih besar. Penciptaannya juga nyata lebih lasak dan kompleks dari kaset. Seperti panggilannya, ianya digunakan untuk menyimpan video-video filem untuk ditonton semula di kaca televisyen. Sejenis pemain VHS diperlukan untuk membaca data pada tape video dan seterusnya menghantar visual ke televisyen.

Tape video asli dijual di dalam bekas yang diperbuat daripada plastik lengkap dan hiasan kulit yang dicetak kemas. Sementara itu, tape video tiruan diselit ke dalam bekas berupa kotak kertas dan hiasan kulitnya hanyalah sekeping foto bersaiz 4R.

Tidak Kira asli atau tiruan, tape-tape video yang bersaiz besar adalah sukar hendak disimpan dan sangat mengambil ruang di dalam rumah. Bagi menangani masalah itu, terdapat pelbagai kedai-kedai bijak menawarkan perkhidmatan menyewa tape video dengan nama seperti Amico, Unico dan Namco.

Untuk menyewa tape video, seseorang perlu menjadi ahli dengan bayaran ahli di antara RM30 hingga RM50. Selepas menjadi ahli, sekeping kad ahli berserta nombor ahli akan diberikan. Kad atau nombor ahli ini perlu diperkenalkan setiap kali ingin menyewa tape video bagi disimpan datadata pinjaman. Setiap orang boleh menyewa seberapa banyak tape video yang diingininya. Sekeping tape video dikenakan bayaran di antara RM1.50 hingga RM3.00 untuk 3 hari atau lebih. Denda akan dikenakan kepada peminjam yang gagal untuk memulangkan semula tape video mengikut tarikh pulangan.

Antara tape video yang gemar disewa adalah:

Filem baru keluar

Filem P. Ramlee

Perlawanan gusti

Kartun

Filem seram Indonesia

Filem lucah

Kebanyakan kedai video ini menggunakan cermin gelap dan dilekat poster-poster filem pada bahagian luar cermin. Kanak-kanak di bawah umur tidak dibenarkan masuk atau menyewa. Paham-paham sajalah kenapa.