BINTANG AL-NILAM DI LANGIT MENTAKAB - 23
Di atas runtuhan Melaka Lama

Penyair termenung seorang diri

Ingat Melayu kala jayanya

Pusat kebesaran nenek bahari

Di atas munggu yang ketinggian

Penyair duduk termenung seorang

Jauh pandangku ke pantai sana

Ombak memecah di atas karang

Awan berarak mentilau bernyanyi

Murai berkicau bayu merayu

Kenang melayang ke alam sunyi

Teringat zaman yang lama lalu

Sunyi dan sepi, hening dan lingau

Melambai sukma melenyai tulang

Arwah Hang Tuah rasa menghimbau

Menyeru umat tunduk ke Tuhan

Di sini dahulu alat kebesaran

Adab resam teguh berdiri

Duduk semayam Yang Dipertuan

Melimpahkan hukum segenap negeri

Di sini dahulu Laksamana Hang Tuah

Satria moyang Melayu jati

Jaya perkasa, gagah dan mewah

Tidak Melayu hilang di bumi

Di sini dahulu payung terkembang

Megah Bendahara Seri Maharaja

Bendahara yang cerdik tumpuan dagang

Lubuk budi laut bicara

Penyair menghadap ke laut lepas

Selat Melaka tenang terbentang

Awan berarak riak menghempas

Mentari turun rembanglah petang

Wahai tuan Selat Melaka

Mengapa tuan berdiam diri

Tidakkah tahu untung hamba

Hamba musafir datang ke mari

Di mana Daulat Yang Dipertuan

Mana Hang Tuah, mana Hang Jebat

Mana Bendahara johan pahlawan

Bukankah jelas di dalam babad

Namanya tetap jadi sebutan

Bekasnya hilang payah mencari

Sedikit penyair bertemu kesan

Musnah dalam gulungan hari

Mengapa ini bekas yang tinggal

Umat yang lemah terkatung-katung

Hidup menumpang tanah terjual

Larat wahai larat dipukul untung

Adakah ini bekas peninggalan

Belahan diriku umat Melayu

Lemah dan lungai tiada karuan

Laksana bunga terkulai layu

Jauh di darat penyair melihat

Gunung Ledang duduk termangu

Tinggi menjulang hijau dan dahsyat

Hiasan hikayat nenekku dahulu

Di dalam ku asyik merenung gunung

Di dalam kemilau panas kan petang

Tengah khayal dirundung menung

Rasanya ada orang yang datang

Penyair hanya duduk sendiri

Tapi keliling rasanya ramai

Bulu romaku rasa berdiri

Berubah warna alam yang permai

Ada rasanya bisikan sayu

Hembusan angin di Gunung Ledang

Entah puteri datang merayu

Padahal beta bukan meminang

Bukanlah hamba Sultan Melaka

Jambatan emas tak ada padaku

Kekayaanku hanya syair seloka

Hanya nyanyian untuk bangsaku

Justeru terdengar puteri berkata

Suaranya halus masuk ke sukma

Maksudmu tuan sudahlah nyata

Hendak mengenang riwayat yang lama

Bukan kuminta jambatan emas

Tapi nasihat hendak kuberi

Kenang-kenangan zaman yang lepas

Iktibar cucu kemudian hari

Sebelum engkau mengambil simpulan

Sebelum Portugis engkau kutuki

Inggeris Belanda engkau cemarkan

Ketahui dahulu salah sendiri

Sultan Mahmud Shah mula pertama

Meminang diriku ke Gunung Ledang

Segala pintaku baginda terima

Darah semangkuk takut menuang

Adakan cita akan tercapai

Adakan hasil yang diingini

Jika berbalik sebelum sampai

Mengorbankan darah tiada berani

Apalah daya Datuk Bendahara

Jikalau Sultan hanya tualang

Memikir diri seorang sahaja

Tidak mengingat rakyat yang malang

Sultan Ahmad Shah apalah akalnya

Walaupun baginda inginkan syahid

Mualim Makhdum lemah imannya

Di sini bukan tempat Tauhid

Bendahara Tua Paduka Raja

Walaupun ingin mati berjuang

Bersama hilang dengan Melaka

Anak cucunya hendak lari pulang

Berapa pula penjual negeri

Mengharap emas perak bertimba

Untuk keuntungan diri sendiri

Biarlah bangsa menjadi hamba

Ini sebabnya umat akan jatuh

Baik dahulu atau sekarang

Inilah sebab kakinya lumpuh

Menjadi budak belian orang

Sakitnya bangsa bukan di luar

Tetapi terhunjam di dalam nyawa

Walau diubat walau ditawar

Semangat hancur apalah daya

Janjian Tuhan sudah tajalli

Mulialah umat yang teguh iman

Allah tak pernah mungkirkan janji

Tarikh riwayat jadi pedoman

Tidaklah Allah mengubah untung

Suatu kaum dalam dunia

Jika hanya duduk terkatung

Berpeluk lutut berputus asa

Malang dan mujur nasibnya bangsa

Turun dan naik silih berganti

Terhenyak lemah naik perkasa

Bergantung atas usaha sendiri

Riwayat yang lama tutuplah sudah

Apalah guna lama terharu

Baik berhenti bermenung gundah

Sekarang dibuka lembaran baru

Habis sudah madahnya puteri

Ia pun ghaib capal pun hilang

Tinggal penyair seorang diri

Di hadapan cahaya jelas membentang

Pantai Melaka kulihat riang

Nampaklah ombak kejar-mengejar

Bangunlah Tuan belahanku sayang

Seluruh Timur sudahlah besar

Bercermin pada sejarah moyang

Kita sekarang mengubah nasib

Di zaman susah atau pun riang

Tolong tetap dari Yang Ghaib

Bangunlah kasih, umat Melayu

Belahan asal satu turunan

Bercampur darah dari dahulu

Persamaan nasib jadi kenangan

Semangat yang lemah dibuang jauh

Jiwa yang kecil kita besarkan

Yakin percaya, iman pun teguh

Zaman hadapan, penuh harapan

Bukanlah kecil golongan tuan

Tujuh puluh juta Indonesia

Bukan sedikit kita berteman

Sudahlah bangun bumi Asia

Kutarik nafas, kukumpul ingatan

Aku pun tegak dari renungku

Jalan yang jauh aku teruskan

Melukis riwayat safhat hidupku

Kota Melaka tinggallah sayang

Beta nak balik ke Pulau Percha

Walau terpisah engkau sekarang

Lambat launnya kembali pula

Walaupun luas watan terbentang

Danau Maninjau terkenang jua

Buya Hamka,

Kenang-Kenangan Hidup, 1952.

Leman menarik nafas lega. Sedang bintang Utarid beraksi dan berpusing di angkasa, Leman kembali menghempaskan kepala di bantal kekabu putih berambu merah gelap. Matanya terpejam dan dia memberi senyum dalam khayal-khayal Lalu terbayangbayang kisah hidupnya bersama kawan sehidup sematinya, Faduli.

Antara sedar dan mamai, Leman akur yang kasih sayangnya bersama Faduli tidak sekuat kasih sayang Tuhan dengan setiap hamba-Nya. Tuhan membuktikan yang setiap cinta dan belas ihsan itu ada dalam setiap kenangan. Dan setiap kenangan itulah menghidupkan semua kisah cinta yang ada di muka bumi. Termasuk cinta suami isteri, cinta emak dan anak, cinta ayah dengan ibu serta cinta sesama kawan-kawan.