MOLOTOV KOKTEL - 23
Aku mahu hidup seribu tahun lagi, tapi aku tidak mau dimakan usia tua. Aku mahu terus bertenaga, segar, dan waras seperti hari ini. Tidak mungkin aku mahu menjadi tua, kerana tua itu bukan sahaja merobah rupa paras aku, malah juga otak dan jiwa aku.

Aku selalu baca di dada-dada akhbar, di tulisan-tulisan dalam laman maya. Orang tua itu merompak, orang tua ini rasuah, orang tua itu meroyan. Aku takut melihat semua berita-berita ini. Apa memang apabila kita tua nanti, kita akan jadi jahatkah

Kenapa hanya yang tua sahaja gemar berbuat jahat

Aku teringat pula kisah-kisah dan sejarah lampau pejuang-pejuang muda dahulu kala. Disanjung, dirakamkan perjuangan dan keberanian mereka. Garang dan berprinsip. Tidak gentar dengan penguasa yang zalim dan jahat. Sampai cuba dibeli, ditaburkan dengan wang ringgit, tapi dibakarnya saja duit-duit itu! Hebat betul! Tapi bila tua; mereka inilah yang akhirnya pula menjadi zalim dan jahat!

Aku mahu hidup seribu tahun lagi, tapi aku mau terus kekal muda. Menjadi muda selamanya mungkin satu-satunya jalan untuk aku tidak menjadi korup seperti orangorang tua ini. Menjadi muda selamanya mungkin satu-satunya cara agar aku tidak perlu menjadi gila seperti mereka. Menjadi muda agar aku tidak makan rasuah seperti mereka. Menjadi muda agar tidak meroyan seperti orang gila bila tua. Terus muda agar tidak nyanyuk dan menipu. Tua seperti mereka akan merosakkan aku.

Tapi aku terfikir: ibu ayah aku juga tua. Kenapa tidak jadi korup seperti mereka

Apa beza dan istimewanya ibu ayah aku jika dibanding mereka-mereka ini Istimewa, kaya, dan jauh lebih berjaya orang-orang tua korup ini kalau dibanding dengan ibu ayah aku yang miskin. Apakah sebenarnya untuk jadi tua dan tidak korup, perlu jadi miskin Kalau miskin, bukankah lebih mudah untuk jadi jahat Bukankah kalau miskin, kita akan sentiasa kelabu mata melihat kemewahan Bukankah selama ini dikatakan, merompak itu kerana tidak ada duit dan miskin. Bagaimana mungkin menjadi kaya itu menukarkan mereka menjadi perompak dan perasuah Hipotesis mana yang mampu untuk menafikan hakikat mudah ini

Tak apalah, aku tetap mahu hidup seribu tahun lagi, tapi aku tak mahu jadi tua. Tua ini hanya merosakkan aku. Hidup seribu tahun agar aku dapat terus saksikan rencam dunia. Hidup seribu tahun agar aku terus dapat menyaksikan sejarah-sejarah demi sejarah dicipta. Hidup seribu tahun agar aku dapat terus bantu orang. Hidup seribu tahun agar aku mampu terus belajar mengenai dunia ini. Hidup seribu tahun, agar aku tak terlepas untuk menyaksikan apa hasilnya kerja-kerja hari ini. Hidup seribu tahun agar aku dapat terus mencintai dan dicintai. Hidup seribu tahun agar terus dapat capai anganangan aku yang berjuta. Hidup seribu tahun, agar aku dapat pastikan anak cucu-cicit aku kenal benar siapa aku. Hidup seribu tahun agar tidak perlu aku berkejar-kejar seperti hari ini. Tapi, aku tetap tidak mahu tua. Aku mahu seribu tahun terus muda.

Sudahlah. Kalau aku tak dapat hidup seribu tahun dan terus menjadi muda, baiklah aku mati sebelum tua. Aku tak mahu jadi tua yang akhirnya tak berguna dan membuang masa.