Kami masih lagi seperti pasangan yang baru berkahwin. Ke hulu ke hilir tanpa ada apa-apa nak dirisaukan. Namun demikian jauh di sudut hati kami terasa kekosongan kerana tiada suara tangis ketawa di dalam rumah. Bertambah tertekan kami apabila balik kampung orang suka bertanya, bila lagi nak menimang cahaya mata.
Soalan bertubi-tubi memberi tekanan pada isteri dan diriku sendiri. Aku pun naik pening melayan kerenah mereka. Zuriat adalah satu rezeki dan ia adalah kerja Allah. Kita hanya boleh berusaha.
Aku cuba sibukkan diri dan merangka berbagai aktiviti untuk isteri. Beberapa orang anak pegawai datang ke rumah untuk belajar matematik, sains dan kimia.
Aku tinggal di kuaters kerajaan bersebelahan dengan komandan tempat aku bertugas. Walaupun dia dan isterinya kurang mesra tetapi anak-anaknya sering datang ke rumahku untuk belajar matematik tambahan dan kimia.
Kadangkala aku fikir kenapalah manusia perlu menjadi sombong. Mereka mungkin merasa hebat dan lebih ke hadapan dari orang lain. Tetapi sebenarnya memandang rendah kepada orang lain adalah lebih merbahaya kerana ada masanya kita amat memerlukan kemahiran orang tersebut untuk memudahkan kerja kita.
Mungkin mereka fikir tindakan yang dibuat itu adalah betul tetapi perlu diingat bahawa sombong dan riak adalah syirik kecil yang boleh menjerumuskan kepada sifat takabur melahirkan kebencian Allah terhadap umatnya. Mengabaikan kelebihan yang ada pada orang lain merupakan satu kesilapan, tiada satu kerjapun boleh disempurnakan tanpa ada sokongan dari berbagai elemen dan berbagai pihak.
Aku tidak kisahlah itu semua. Terlalu fikir pasal orang lain boleh menyebabkan kita mula membina berbagai persepsi yang salah dan memeningkan diri sendiri. Setelah hampir setahun menetap di kuarters kerajaan kami dapati ia tidak ekonomi buat kami kerana rumah sebesar itu hanya dihuni oleh 2 orang.
Kami mengambil keputusan untuk mengosongkan rumah tersebut dan berpindah ke kondo yang terletak tidak jauh dari kem iaitu P.D Perdana Condo Resort. Condo 2 bilik itu lebih luas, selesa dan meyediakan berbagai kemudahan seperti dobi, kolam renang tempat beriadah dan kawalan keselamatan.
Isteriku nampak lebih gembira di sini. Banyak kemudahan dan persekitaran yang bermutu tinggi di sajikan di sini. Jarak perjalanan juga dekat dan selesa.
Suatu hari aku dimarahi dengan teruk oleh isteriku. Dia tidak izinkan aku pergi ke Kuala Lumpur untuk hadiri mesyuarat. Katanya jangan pergi lagi dan duduk di rumah untuk temankannya. Tangisan dan rayuannya tidak aku endahkan menyebabkan dia kecewa dan membaling barang. Aku perlu ke Kuala Lumpur sebab ada mesyuarat penting untuk di hadiri.
Aku fikir dia mungkin ke sunyian dan ingin aku menemaninya. Tapi aku tidak hiraukan sangat perangai kebudakannya itu kerana ada banyak kerja yang perlu aku bereskan minggu itu. Aku janji akan pulang segera setelah tamat tugasku. Aku belikan tiket bas dan menghantarnya pulang ke rumah emaknya di Kluang.
Ibu tetap ibu. Emaknya dapat merasakan perubahan pada dirinya. Lalu mengajak isteriku membuat pemeriksaan di klinik. Aku terima panggilan dari isteriku. Katanya tahniah bang.! Aku masih keliru dengan gurauan tersebut.
Dia ucap lagi papa nak makan apa Aku tersenyum dan terus bertanya betul ke Dia kata confirm dah 2 bulan kandungan tersebut. Akulah orang yang paling gembira. Naik bulu romaku mendengar berita tersebut.
Ayahnya juga gembira dan menyuruh anak bungsunya itu jangan kerja kuat. Apa saja permintaan isteriku ditunaikan. Ketika melalui kedai yang menjual buah-buahan di tepi jalan isteriku hanya memerhati ke arah kedai tersebut. Ayahnya menyedari gerak mata isteriku dan segera bertanya apa yang nak di makan olehnya.
Cucu pertama katakan.. sudah tentu gembira. Apa lagi berita baik itu akan menghentikan desas desus dan pertanyaan orang-orang di taman tersebut tentang status kesihatannya.
Tengahari Ahad aku menyambutnya di stesyen bas Seremban penuh mesra. Kami makan di restoran makanan segera dan isteriku semakin ceria menceritakan detik-detik menerima berita tersebut. Patutlah dia mengamuk tempoh hari.
Pada keesokan harinya dia balik ke asrama UPM untuk menyambung pelajaran. Semua teman-teman menegurnya. Akak nampak berserilah hari ini. Bersih betul kulit kata mereka. Menjerit kuat mereka bila dapat tahu isteriku sedang mengandung.
Begitulah dari hari ke sehari mereka mengkagumi seri wajah dan perubahan badan isteriku. Aku juga rasa selesa sebab ramai yang mengambil berat tentang kesihatannya. Melalui imbasan yang kami buat oleh doktor, kandungan adalah anak perempuan. Kami tak kisahlah asalkan anak tersebut sihat dan sempurna.
Beliau mengidam buah berangan yang hanya dijual pada musim tertentu sahaja. Bapa mertuaku berusaha mencari ke sana-sini akhirnya mereka jumpa buah tersebut di jual oleh seorang lelaki berbangsa Cina di Kluang.
Emak mertuaku pun terus datang ke Port Dickson untuk menghantar buah tersebut supaya dimakan oleh sibakal ibu. Habis semuanya di makan.
Suatu pagi iaitu sehari sebelum tarikh yang dijadualkan dia bersalin aku terima panggilan talipon di pejabat. Isteriku sedang senak perut. Dia minta aku datang. Kami terus ke klinik desa. Aku tak rasa dia akan bersalin sebab nampak sihat. Tapi jururawat mengarahkan dia melapor di hospital. Sebelum ke hospital kami singgah di restoran dan makan bersama. Dia makan banyak betul.
Kami mendaftar di hospital P.Dickson. Mereka Tanya sakit apa. Kata isteriku sakit nak bersalin. Mereka menjadi panik segera menghulurkan kerusi untuk isteriku duduk.
Tak apa.. saya boleh jalan sendiri. Selamba katanya. Semuanya yang ada tergelak. Aku tinggalkan isteriku di wad dan terus ke pejabat.
Petang itu aku melawatnya lagi untuk bertanya khabar. Sister memaklumkan tiada apa-apa tanda dia akan bersalin. Katanya mungkin besok isteriku akan keluar. Di sebelah katilnya ada seorang kakak, dah seminggu lewat masih belum bersalin lagi. Aku tinggalkan Hand phone dan balik ke rumah seperti biasa.
Malam itu aku menonton TV dan solat isyak sambil mendoakan agar di mudahkan urusan isteriku. Tanpa mengesyaki apa-apa, aku pun tidur awal.
Lebih kurang jam 3 pagi aku terima panggilan talipon dari isteriku. Dia menangis dan merayu kesakitan yang amat sangat. Terlalu sakit katanya. Jururawatpun memarahinya kerana terlalu bising. Baru 4 inci dah kecoh..! kata mereka. Aku sedikitpun tidak terfikir dan memintanya bersabar banyak-banyak lalu terus menyambung tidurku.
Apalah jenis suami aku ni. Tidur lebih utama bagi aku bila mana seorang ibu yang juga isteriku senang menyabung nyawa untuk melahirkan zuriatku.
Tapi Allah tidak menyedarkan aku bahawa itu adalah tanda dah dekat kelahiran. Apatah lagi aku hendak sangat berada di samping isteriku ketika melahirkan anak.
Lebih kurang jam enam pagi, talipon berdering lagi. Isteriku berbicara lemah abang dah solat subuh. Belum lagi kataku. Dengar tak suara baby menangis Tanya isteriku.
Aku jawab dengar dan lantas bertanya suara anak siapa tu.. Itulah suara anak kita Qistina.. jawabnya lemah tapi ceria. Hoi.! Betul ke ni Dah bersalin aku menjerit gembira. Segera aku bangun dari katil dan mandi secara tergesa-gesa.
Selepas solat aku bergegas ke hospital yang terletak 200 meter dari condo tempat aku tinggal. Aku mencium dahi isteriku sambil mengucapkan tahniah. Lantas aku dakap putri sulungku dan membacakan selawat serta qamat dan azan ke telinganya. Aku sungguh gembira dan mengucapkan terima kasih pada jururawat yang terlibat.
Aku tinggalkan seketika isteriku dan balik memakai uniform untuk ke pejabat. Selepas menguruskan cuti aku, bereskan kerja-kerja yang segera dan balik semula ke Hospital.
Bapa/ibu mertuaku pun dah sampai. Aku tidak tunggu lama dan terus membawa beliau melawat anaknya. Mereka sungguh gembira dengan cucu baru mereka itu.
Kami kemudiannya ke pasar membeli barang untuk makanan ibu bersalin seperti halia, kunyit dan lain-lain. Petang itu aku melawat isteriku di hospital. Ramai staf dan rakan-rakan ku melawat dia. Mereka tumpang gembira. Banyak betul hadiah yang kami terima hingga penuh kereta. Rezeki anaklah katakan.
Dua Hari di rumah, aku menghantarnya ke kampung untuk rawatan dan penjagaan lebih rapi. Bidan yang kami pilih juga yang berpengalaman dan di cadang oleh ramai pihak.
Dalam masa yang sama aku juga sibuk membantunya di malam hari kerana baby sering berjaga malam. Petua orang tua, selagi tali pusat tidak tercabut maka bayi akan sering menangis malam. Aku berpakat dengan isteriku untuk nama anak sulung kami.
Qistina Saffwah nama yang kami persetujui bersama yang membawa maksud kebenaran yang bersih. Nama sangat penting bagiku kerana nama yang baik akan mencorakkan peribadi mereka.
Akan aku didik anak aku ini dan akan aku curahkan segala ilmu dan bakat agar dia menjadi insan yang serba boleh. Banyak peluang yang aku tidak perolehi ketika mudaku akan aku dedahkan padanya Insya Allah.
Selepas pantang isteriku meneruskan pengajiannya di UPM. Ada baki setahun lagi pengajian. Namun semuanya dapat di seimbangkan. Selang 5 bulan selepas itu aku menerima berita gembira. Isteriku mengandung lagi.
Berita itu aku terima dengan penuh kesyukuran tetapi tidak isteriku dan keluarganya. Mereka fikir ia adalah terlalu awal untuk memperolehi anak ke dua pada masa terdekat ini. Apapun aku tidak kisah kerana aku yang menghadapi segala beban dan tangungjawap tersebut
Mereka tidak bersedia melihat jauh ke hadapan seperti mana apa yang aku lihat. Sebagai ketua rumah tangga aku mempunyai tanggungjawap dan perancangan sendiri.
Sebagai ketua di dalam entiti kecilku tidak seharusnya ada sesiapa yang menjadi penghalang dan mencampuri urusan rumah tanggaku. Sebab jika berlaku sebarang kepincangan , akhirnya aku yang akan bertanggungjawap terutamanya kepada Rabbuljalil.
Tidak lama penantian kami untuk anak kedua. Aku gembira kerana kelahiran anak ke dua berlaku tepat pada waktunya iaitu pada 19 jan 2002. Tidak banyak komplikasi yang timbul kecuali pentadbiran hospital yang gagal memaklumkan aku bahawa isteriku akan bersalin walaupun telah aku peringatkan beberapa kali.
Bagi mereka itu tidak penting tetapi bagi diriku peristiwa tersebut maha penting kerana aku ingin melihat sediri dengan mata kepalaku sendiri bagaimana saorang ibu berjuang untk melahirkan bayi.
Ketabahan saorang ibu dalam mengandung melahirkan dan membesarkan anak terlalu tinggi nilainya. Walaupun aku tidak mengalaminya, namun aku ingin cuba menghayati situasi tersebut agar dapat aku menghargai jasa dan pengorbanan saorang ibu.
Aku cukup terkilan kerana gagal untuk kali ke dua bersama isteriku pada saat sedemikian. Namun aku tetap faham betapa peritnya perjalanan saorang ibu.
Sempena hari ibu pada 11 Mei setiap tahun aku aku ingin rakamkan jutaan terima kasih kepada semua para wanita yang telah menjadi ibu dan berjaya membesarkan anaknya dengan cemerlang.
Pastinya ibuku tidak terkecuali. Walaupun tidak pernah kulihat wajahnya dan tidak pernah aku merasai belaiannya, aku masih menyanjung tinggi padanya. Dia adalah ibu yang terbaik di dunia ini dan anugerah itu tetap disandang olehnya pada bila-bila masa kerana ia di kurniakan oleh anaknya sendiri.
Selepas pantang, aku telah ditukarkan ke unit di Sandakan kerana aku akan membuat tugas baru di jawatan yang lebih tinggi. Aku terpaksa akur dengan arahan tersebut kerana TAAT SETIA adalah cogan kata kami. Selepas menguruskan pentadbiran dan kemasukan ke rumah, aku terus bersiap dan terbang ke Sabah.