Seramai 15 wartawan yang menghubungi Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Johor Bahru untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai pakej berkenaan tetapi hanya 11 yang layak menerima sijil dan berjaya menyahut cabaran pakej bermalam `ala banduan yang bernilai RM50 itu termasuk penulis. Ada wartawan yang datang kerana menerima arahan daripada pihak pengurusan, ada yang tampil secara sukarela dan tidak kurang yang pergi kerana terpaksa selepas mendapat arahan pada saat akhir.
Dah tugas... walaupun ini hari pertama aku bertugas selepas balik bercuti dari London. Terkejut juga takut tak ada kawan perempuan. Alhamdulillah, lega bila nampak kawan yang senasib, kata Hasnurul Mohamed (Utusan Malaysia) yang cuba berlagak ceria.
Biasanya, apabila wartawan berkumpul, suasana akan menjadi kecoh tetapi kali ini suasana cukup berbeza dapat dirasakan apabila 11 wartawan mendaftar diri sebagai `banduan. Setiap kali pegawai penjara menjerit supaya mencangkung, semua `banduan kelihatan kecut perut dan mematuhi arahan berbaris dalam dua barisan dengan wanita di baris paling belakang.
Proses awal pendaftaran di Jabatan Rekod, Unit Reman paling meletihkan, masing-masing dengan muka berserabut, tertekan dan keliru tidak dibenarkan berbual kecuali berada di dalam lokap.
Aku rasa hendak jerkah saja bila jurugambar ambil gambar betul-betul depan muka aku yang tengah mencangkung dan menunduk kepala. Aku rasa tertekan dan malu walaupun aku bukan pesalah, Siti Nurbaiyah Nazdmi (New Straits Times).
Setiap `banduan diberikan nama mengikut nombor dengan penulis dinamakan 03/05. Setiap kali nombor dipanggil pegawai penjara, kami perlu menjawab dengan jawapan `saya tuan dalam suara lantang. Wartawan The Malay Mail, Badrol Hisham Bidin yang bertubuh kecil paling popular dengan lagak bersahaja, sekali sekala ditegur pegawai penjara serta rakan seperjuangan bergurau kononnya dia tidak sepatutnya masuk penjara kerana pesalah juvana.
Dah cukup umur, tuan, katanya apabila ditanya semasa proses pemeriksaan raba-raba.
Masing-masing terpisah apabila dihantar ke sel tahanan masing-masing dengan empat `banduan lelaki di blok A, empat lagi di blok B dan tiga `banduan wanita termasuk penulis ditempatkan di Rumah Akhir yang mempunyai reka bentuk rumah Melaka.
Bilik tak sebaris, jauhnya, aku seorang saja, penulis cuba hendak membuka mulut apabila Asisten Superintendan P. Letchumanan memaklumkan 03/05 di-
tempatkan di bilik nombor enam. Pelbagai perasaan bermain di hati tetapi penulis yang pucat terpaksa tabahkan hati dan tersenyum kelat apabila ditegur Komandan Mohamad Musa apabila ditanya sama ada gembira dengan bilik baru.
Apabila pintu jeriji ditutup dan dikunci dari luar, penulis yang keseorangan berasa sunyi dan kosong. Sepanjang malam ketika menunggu siang, penulis berusaha untuk tidur, bagaimanapun gagal dan masa seolah-olah bergerak terlalu perlahan. Fikiran penulis menjadi buntu dan kosong kerana suasana terlalu sunyi berikutan dikelilingi dinding dan jeriji besi, manakala lubang angin kecil yang pula terletak terlalu tinggi berhampiran siling.
Tiba-tiba terdengar bunyi seperti orang sedang membakar sesuatu dan asap masuk melalui tingkap kecil di atas bilik yang mengeluarkan bau kemenyan dan setanggi. Setiap kali hendak memejamkan mata pula, terasa badan dicuit dan terdengar orang berjalan tetapi tengok ke arah pintu jeriji, tiada sesiapa di situ kecuali cahaya menuju ke arah bilik sebelah. Hendak buang air pula tak sanggup duduk atas tong hitam yang diperbuat daripada getah yang direka sejak zaman British.
Keadaan bilik terasa panas menyebabkan penulis teringat keenakan berada dalam bilik di rumah sendiri. Rasanya mahu saja membawa kipas untuk tidur tetapi itu hanya angan-angan yang tidak mungkin kesampaian sambil cuba memujuk hati untuk bertahan hanya semalam. Bunyi kenderaan, nyamuk dan cicak umpama teman serta dan sekali-sekala sayup-sayup terdengar suara pegawai penjara. Selepas jam 2.30 pagi, bermulalah bermacammacam peristiwa pelik dan aneh di Rumah Akhir yang menjadi tempat terakhir banduan sebelum mereka dipindahkan ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman gantung.
Semua ayat yang aku ingat habis aku baca... janji tak terbalik, mahu kau tak takut tempat macam tu, kata Hasnurul.
Sayup-sayup terdengar bacaan ayat suci al-Quran di masjid berhampiran sebelum azan Subuh dilaungkan. Penulis berasa lega kerana mengira bahawa hanya tinggal dua jam lagi sebelum dibenarkan melihat pemandangan di luar. Gamat apabila semua `banduan dikumpulkan semula. Paling kelakar, Badrol yang terlambat keluar dari sel tahanan didapati memegang seluar yang sudah hampir terlondeh kerana butang tercabut untuk melakukan kegiatan riadah pagi.
Masing-masing sibuk bercerita apa yang dialami di sel tahanan masing-masing. Badrol paling teruk mengalami gangguan sepanjang malam apabila bekas makanan dalam biliknya beralih tiga kali sebelum jam 3 pagi. Selain itu, biliknya tiba-tiba mempunyai tiga penyangkut pakaian yang berlainan ukuran dan terdengar bunyi kereta sorong di luar bilik.
Badrol atau 01/05 ketika mendaftar adalah orang yang paling bising tetapi apabila masuk bilik terus senyap tanpa berbunyi langsung, kata Letchumanan.
Kebanyakan `banduan dengan pelbagai gaya sendiri ketika berada di dalam sel masing-masing sama ada mendongak memandang siling sambil tidak berbaju Apabila ditanya pegawai penjara apa yang sedang difikirkan, masing-masing tidak tahu memberikan jawapan yang tepat. Bagaimanapun, masing-masing apabila terlepas dari penjara, semua `banduan sudah boleh bersuara termasuk penulis yang sebelum ini senyap tak berbunyi ketika pendaftaran serta-merta bertukar menjadi ringan mulut dan tak berhenti cerita.
Keseluruhan pengalaman tinggal di penjara banyak menginsafkan penulis dan menimbulkan rasa takut supaya tidak melakukan kesalahan sehingga dikenakan hukuman penjara di masa depan. Apabila bertemu pegawai penjara, saya diberitahu bilik saya ditempatkan jarang digunakan, tetapi banduan selalu dilihat seolah-olah berada di situ. Malah pada Hari Raya tahun lalu, katanya, ada tangan menghulurkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Ada juga mendakwa melihat seorang lelaki duduk depan pintu atau ambil air sembahyang. Cerita itu memang meremangkan bulu roma tetapi saya bersyukur dapat melepasi dugaan itu dan tidak sabar untuk kembali menjalani kehidupan biasa.
INFO
Kehidupan Di Sebalik Tembok
Peserta perlu menandatangani borang khas untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Jabatan Penjara jika berlaku kejadian tidak diingini.
Mengikuti program atas kehendak sendiri dan sanggup menghadapi segala risiko.
Membawa sendiri berus dan ubat gigi, selipar, sabun, tuala dan sejadah.
Pakaian banduan, selimut, cawan dan gayung diberikan.
Semua barangan sendiri akan disimpan dalam kotak khas yang jika dibuka, dianggap gagal serta tidak layak menerima sijil.
Makanan dihidangkan dalam dulang dan cawan dengan menu mengikut diet banduan.
Peserta akan dikunci dalam bilik kurangan mulai jam 6 petang hingga 7.30 pagi keesokan harinya.
Tong najis disediakan untuk membuang air kecil dan besar di dalam bilik kurungan.
Peserta dibenarkan mandi dua kali sehari tidak lebih 10 gayung setiap kali.
Lampu bilik ditutup pada jam 9 malam.
Peserta boleh menarik diri pada bilabila masa.
Tarikh penginapan ditetapkan seminggu lebih awal.
Deposit RM30 untuk tong najis bagi membuang air besar atau kecil dikenakan. Tong itu mesti dibersihkan sendiri sebelum dipulangkan untuk mendapat semula wang deposit.
Semalam di Penjara JB
Zalifah Mohd Yatim