KERAMAT SEBUAH HATI - 23
Hiduplah seperti lilin menerangi orang lain, janganlah hidup seperti duri mencucuk diri dan menyakiti orang lain.

Jiwa mesti dididik terlebih dulu bagi mendapat ketenangan. Jiwa dapat dididik dengan dua cara iaitu menjauhi dosa jasmani dan menjauhi dosa rohani.

Untuk menjauhi dosa jasmani, hindarilah kejahatan yang terbit dari perbuatan anggota badan seperti mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki. Didiklah ia agar selalu berbuat baik kepada manusia dan beribadat kepada Allah.

Untuk menjauhi dosa rohani pula dapat dilakukan dengan membersihkan diri daripada sifat tercela dan menyelimuti diri dengan sifat terpuji. Penyakit lidah dan penyakit hati membawa manusia kepada kebinasaan. Sifat hasad, takbur, ujub, riyak, bakhil, cintakan dunia, cintakan kemasyhuran, pemarah, mengumpat, mengadu domba, berdusta dan berkata sia-sia mesti dijauhi daripada diri.

Jiwa yang tidak pernah disirami dengan roh agama akan selalu bingung dan gelisah dengan masalah yang dihadapinya. Malah kita lebih terdorong untuk berbuat dosa dalam usaha mengatasi kegelisahan yang dihadapi dengan cara sendiri. Justeru itu, sebahagiannya terlibat dengan gejala mencari dadah, arak, zina, pil khayal, bunuh diri dan pelbagai penyimpangan lagi sebagai jalan keluar daripada kecelaruan diri. Akhirnya mereka bertambah runsing dan menjadi bertambah tidak tenang.

Jika sudah terlanjur melanggar ketentuan Allah, segeralah bertaubat serta hapuskan dosa itu dengan perbuatan dan keperibadian yang baik. Jalinkan kembali hubungan dengan Allah yang sudah lama terputus, dambakanlah selalu bimbingan dan rahmat dariNya, kerana Allah memiliki rasa kasih sayang yang paling agung untuk hambaNya yang selalu ingat kepadaNya. Pintu rahmat Allah selalu terbuka pada sesiapa yang merinduiNya.

MEREKA yang selalu menjalankan suruhan dan perintah Allah serta meninggalkan laranganNya akan terpancar pancaran keimanan pada wajahnya, malah kelihatan tenang, tenteram dan tidak ada kegelisahan di dalam diri. Sebaliknya mereka yang jarang bersujud kepada Allah akan gelisah, bercelaru, resah dan selalu menunjukkan sikap tidak puas dengan nikmat yang Allah berikan padanya.

Dalam hidup ini pasti ada dua golongan seperti di atas. Alangkah manisnya jika ketenangan dan ketenteraman jiwa dapat kita miliki. Betapa pula gelisahnya kita jika kegoncangan dan kegawatan jiwa membelenggu diri. Ternyata jiwa kita selalu merindui kebenaran dan ketenangan, malah kedamaian dan kebahagiaan jiwa lebih bermakna daripada segalagalanya. Untuk mencapai ke tingkat kedamaian itu hanya iman yang dapat membimbing kita.