AURA KEJIRANAN - 23
ABU al-Laith As-samarqandi meriwayatkan kepada sanadnya daripada Jabir bin Abdillah berkata, Rasulullah bersabda bermaksud: Allah telah memberikan kepada Nabi Musa bin Imran pesanan dalam 10 perkara:

1. Wahai Musa jangan menyekutukan Aku dengan suatu apa pun bahawa Aku telah memutuskan bahawa api neraka akan menyambar muka orang Musyrikin.

2. Taatlah kepada Ku dan kedua orang tua mu nescaya Aku pelihara mu daripada sebarang bahaya dan akan Aku lanjutkan umur mu dan Aku hidupkan kamu dengan penghidupan yang baik.

3. Jangan sekali-kali membunuh jiwa yang Aku haramkan kecuali dengan hak nescaya akan menjadi sempit bagi mu dunia yang luas dan langit dengan semua penjurunya dan akan kembali engkau dengan murka Ku ke dalam api neraka.

4. Jangan sekali-kali sumpah dengan nama Ku dalam dusta atau durhaka sebab Aku tidak akan membersihkan orang yang tidak menyucikan Aku dan tidak mengagungagungkan nama Ku.

5. Jangan hasad dengki dan iri hati terhadap apa yang Aku berikan kepada orang lain, sebab penghasut itu musuh nikmat Ku, menolak kehendak Ku, membenci kepada pembahagian yang Aku berikan kepada hamba-hamba Ku dan sesiapa yang tidak meninggalkan perbuatan itu, maka bukan daripada Ku.

6. Jangan menjadi saksi terhadap apa yang tidak engkau ketahui dengan benar-benar dan engkau ingati dengan akal mu dan perasaan mu sebab Aku menuntut saksi-saksi itu dengan teliti atas kesaksian mereka.

7. Jangan mencuri dan jangan berzina dengan isteri jiran tetangga sebab nescaya Aku tutup wajah Ku daripada mu dan Aku tutup pintu-pintu langit daripadanya.

8. Jangan menyembelih korban untuk selain daripada Ku sebab Aku tidak menerima korban kecuali yang disebut nama Ku dan ikhlas untuk Ku.

9. Cintailah terhadap sesama manusia sebagaimana yang engkau suka terhadap diri mu sendiri.

10. Jadikan Sabtu itu hari untuk beribadat kepada Ku dan hiburkan anak keluarga mu. Kemudian Rasulullah bersabda lagi: Sesungguhnya Allah menjadikan hari Sabtu itu hari raya untuk Nabi Musa dan Allah memilih hari Jumaat sebagai hari raya untuk ku.

Sesungguhnya Allah membela orang yang beriman. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.

(Surah Al-Hajj : 38)