Aku, Dia Dan Somtam - 24
BAB 24

SENYUMAN manis tidak lekang dari bibir Imran. Pagi itu, semua pekerja ditegur dengan salam dan bertanya khabar. Bersiul-siul kecil menuju ke biliknya. Lupa sebentar pasal Fuad semalam. Dengan menadah tangan berdoa sebaik dia duduk di kerusi empuknya, Imran mula meraup muka usai berdoa.

Hmm..dia ni tak kerja ke hari ni Imran mula teringat Anis yang masih belum nampak batang hidung. Meja di depannya kosong. Tiada penghuni.

Cepat saja jarinya mendail butang telefon.

Tut! Tut! Tut!

Tiada jawapan.

Sekali lagi dia menekan nombor. Masih juga tidak berjawab. Mana pulak minah ni Takkan dah pukul sembilan tak datang lagi Entah-entah dia cutitak mungkin. Aku yang luluskan semua cuti pekerja..hmmm.

Hah! Awak ke mana Datang bilik saya sekarang juga! Imran mula meninggikan suara sebaik saja panggilannya berjawab.

ANIS menghempas gagang telefon. Geram! Sengaja nak cari pasal pagi-pagi buta ni!! Mentang-mentanglah dia pemilik syarikat, suka hati saja nak marah orang tanpa sebab. Lainlah kalau aku ada buat salah. Ini tidak!

Laju saja kakinya melangkah keluar dari bilik menuju ke tingkat 7. Sebaik melangkah masuk ke pejabat Imran, semua mata memandangnya. Tersenyum-senyum bagai kerang busuk. Apa kena pulak dia orang ni Aku pakai tak betul ke Anis melihat baju kurung yang dipakainya. Tak ada koyak atau tak berseterika.

Ya Allah..kau lembutkanlah hati mamat tu. Tenangkan hati aku ya Allah! Anis meraup muka sebaik tiba di muka pintu bilik tuan pengarah. Daun pintu diketuk. Perlahan tombol pintu dipulas sebaik mendengar suara Imran memanggilnya masuk.

Assalamualaikum tuan. Saya..

Saya apa Lambat Ingat, awak tu baru di syarikat ni. Mulai hari ni, tempat awak di meja depan tu! Saya tak nak tengok meja tu kosong! Faham Belum habis kata-kata Anis, Imran sudah memotong cakap.

Anis tunduk. Dia jeling meja kosong di depan bilik Imran yang hanya dipisahkan dengan dinding cermin. Bermakna, segala aktiviti di situ, Imran akan nampak seratus peratus. Patutlah setiausaha dulu berhenti. Tidak ada privasi langsung!

Kenapa diam Pergi ambil barang awak. Sebelum tu, ni jadual saya hari ni. Mulai sekarang, awak kena handle segala appointment dan meeting saya. Imran menghulurkan sebuah fail. Belum sempat Anis menyambut, fail itu dibaling atas meja.

Sekarang awak boleh kemaskan barang awak dan datang ke sini. Saya bagi masa sepuluh minit saja! Imran mula menyibukkan diri membuat kerja. Komputer dibuka. Tidak hiraukan gadis somtam itu yang terpacak di depan mejanya dari tadi.

Anis mengambil fail yang dilempar oleh Imran tadi. Dia terus beredar dari situ dengan hati bengkak. Geram. Sakit hati. Semua rasa ada! Macam somtam yang dibuatnya. Entah kenapa kini dia merasa Imran betul-betul bencikannya.

Sengaja bersikap begitu supaya dia dengan senang hati berhenti dari syarikat itu. Ya! Itu yang dirasakan niat Imran!

Aniskenapa ni Kau menangis ke Izara menghampiri Anis yang sibuk mengemas meja. Kau..kau nak ke mana ni

Maaf Zara, aku kena pindah ke tingkat 7. Arahan tuan pengarah. Aku kena gantikan setiausahanya dulu yang berhenti. Anis menundukkan wajah. Air mata yang bergenang di kelopak mata disapu cepat-cepat.

Ya ke Kenapa aku tak tahu pasal tu Kak Dina pun tak ada bagi tahu apa-apa. Izara mula berkerut kening. Dia mula mengorak senyum. Nyata kembarnya ada perancangan sendiri. Sudah tentu buah hati mesti berada dekat dengannya. Fikirnya sendiri.

Senyumannya semakin lebar. Sudah sampai ke telinga.

Eh! Yang kau senyum ni kenapa Anis pandang Izara yang tiba-tiba senyum. Tadi bukan main lagi serius. Bukannya nak tolong kawan!

Baguslah kau pindah. Senang sikit korang nak berhubung! Izara ketawa kecil.

Geram Anis melihat Izara ketawa begitu. Berhubung Memanglah selalu berhubung! Dah biul ke minah ni! Hari-hari mengadap muka mamat tu! Dah naik muak! Tambah lagi dengan sikap Imran yang sombong berlagak! Huh!

Aku pergi dulu. Anis jeling jam tangan. Sudah lebih sepuluh minit dia di situ. Mesti kena hambur lagi dengan tuan pengarah. Izara yang tercegat di tepi mejanya tidak diendahkan. Dia perlu segera ke tingkat 7.

Terkocoh-kocoh Anis melangkah semula ke tingkat 7. Semua barangnya diletak atas meja. Dia mula mengemas mana yang patut.

Imran hanya senyum melihat Anis muncung bibir sambil mengemas meja. Dia geleng. Geli hati dengan sikap keanakan gadis somtam itu yang membentak dengan tindakannya. Fail dan nota dihempas kuat. Riak mukanya sudah masam mencuka. Lebih masam dari buah belimbing buluh! Nampak jelas!

Ketawanya terhenti. Seorang jejaka kelihatan mendekati gadis itu. Dia amati wajah lelaki berbadan agak sasa itu. Tak syak lagi.

Huh! Apa kes mamat tu datang sampai ke ofis aku Imran masih memerhati. Sengaja dia tidak keluar dari biliknya. Dari celah tirai di dinding cermin itu, dia melihat dengan jelas lelaki itu tersenyum manis kepada Anis. Kelihatan mereka berbual mesra.

Imran cepat-cepat menundukkan wajah sebaik sahaja Anis menoleh ke arahnya.

Alamak! Dia perasan ke aku skodeng dia tadi Adoi!! Imran sekeh kepalanya sendiri. Sebaik dia mendongak semula, lelaki itu telah pergi. Hanya Anis yang ada di situ memetik papan kekunci komputer.Hmm.. blah lagi baik! Jadi benarlah lelaki tu kekasih hati dia

Anis menyambung kerjanya semula. Tak sangka Razif berani mencarinya sampai ke ofis. Haru! Dia jeling bilik Imran melalui celah tirai. Pengarah muda itu asyik menatap skrin komputer. Aduh! Tentu Imran marah nanti. Pejabat jadi tempat memadu kasih. Tuduhan yang bakal dia terima nanti. Lamunan Anis terhenti. Bunyi deringan kuat telefon di atas meja mengejutkan dirinya

.

Ya..baik tuan..

Anis hempas gagang telefon. Bengang! Imran menengkingnya di corong telefon tadi. Telahannya tepat. Nada Imran tadi membuktikannya.

Masuk!

Anis pulas tombol pintu. Wajah Imran sudah kemerahan. Tiada sekelumit senyuman. Perlahan dia menapak ke arah meja.

Err....ada apa tuan panggil saya Anis maniskan muka.

Awak buat apa tadi Imran masih menyibukkan diri menatap skrin komputer. Wajah Anis langsung tidak dipandang. Sengaja.

Err..saya..saya mengemas tuan. Kenapa Anis berdiri kaku di depan meja Imran. Kedua tangannya dirapatkan di depan.

Tell me my schedule for today! Imran masih lagi menatap skrin komputer. Dibiarkan saja gadis somtam itu berdiri terpacak di situ. Biarkan!

Schedule

Imran mula mendongak. Wajah Anis ditenung tajam. Nyata gadis somtam itu masih tidak tahu tugasnya sebagai pembantu peribadi. Lama wajah itu ditatap. Dia senyum sendiri. Wajah itu sudah mula kemerahan. Sama seperti dulu. Puas melihat begitu.

Eh! Awak telah saya lantik sebagai PA saya! Mana schedule saya Imran sengaja meninggikan suara.

PA Anis mula bingung. Keliru.

PA pun tak tahu Sia-sia saja masuk universiti! Keluar sekarang! Ambil fail yang saya bagi tadi!

Anis merenung Imran yang masih memandangnya tidak berkelip. Terasa renungan mata pengarah muda itu sudah mahu menerkamnya. Tinggal tidak tersembul biji mata saja lagi. Nasib baik matanya biru! Tak apaini hari aku. Kau tunggu bila tiba hari kau! Bentak Anis dalam hati. Tangannya digenggam kuat sambil mengetap bibir.

Buat apa tercegat kat situ lagi Tak faham arahan saya

Hah Err Anis mula tersedar dari lamunan. Dia segera keluar dari situ dan kembali semula membawa fail yang dimaksudkan oleh Imran tadi. Terus dihulur kepada Imran.

Siapa PA Awak ke saya Imran berpeluk tubuh. Geli hati melihat Anis yang mula kelam kabut. Menggelabah tahap gaban! Dia cuba menahan dari senyum.

Sa..saya..

Habis tu Tak ada mata nak tengok jadual saya

Anis diam. Perlahan dia buka fail dan mula meneliti jadual mesyuarat dan janjitemu pengarah dengan pelanggan. Adoi! Macam mana ni Aku bukannya reti nak tengok semua ni. Ah! Bacalah semua! Lantaklah! Semua yang ditulis di situ dibaca habis.

Imran bingkas bangun. Dia mendekati Anis yang masih berdiri di depan meja. Tunduk macam orang bersalah.Sengaja dia rapat dengan gadis somtam itu. Wangi. Tudung Anis dikuis-kuis dengan hujung jari telunjuk.

Awak tahu tak

Macam mana saya nak tahu kalau tuan tak bagi tahu Anis mula rasa seperti orang bodoh. Hari itu sudah seperti hari yang serba tak kena baginya. Segala kata-kata yang terkeluar dari mulutnya sudah berbelit. Kelam kabut!

Jangan nak buat lawak bodoh dengan saya! Imran semakin dekat. Sengaja dia dekatkan mukanya ke muka gadis somtam itu.

Bila pula saya buat lawak Saya memang tak tahu! Anis mula bengang. Dia mendongak. Cepat-cepat dia tunduk semula.

Hampir bersentuh pipinya dengan pipi Imran. Gila!

Cara awak baca jadual saya tadi macam orang tak sekolah! Kebodohan apa yang awak tunjukkan Dari dulu lagi saya tak suka awak..tahu tak Imran perlahankan suara, seakan berbisik ke telinga Anis.

Anis masih tunduk. Aku bukan bodoh!!!! Ingin saja dia menjerit sekuat hati.

Kalau tuan tak sukakan saya, kenapa ambil saya sebagai PA tuan Sinis nada Anis . Perkataan PA sengaja dilontarkan kuat.

Kalau macam nilah cara tuan berkomunikasi dengan pekerja, tidak mustahil suatu hari nanti syarikat ini akan kehilangan pekerja silih berganti. Sebagai seorang ketua syarikat, tuan sepatutnya beri tunjuk ajar yang baik. Bukan menuduh melulu begini.

Sambung Anis lagi sambil mengetap bibir. Hatinya sudah bengkak dengan sikap Imran yang jelas tidak pernah ingin berdamai dengannya.

Wah! Bravo!! Imran ketawa sambil tepuk tangan. Dia mula mengelilingi Anis yang terpacak di situ.

Apa pulak mamat ni buat Aku bukan unggun api nak kena tenung dan pusing-pusing keliling macam ni. Haru betul! Anis cuba dongak melihat perlakuan Imran yang dirasakannya terlalu bongkak.

Imran duduk di atas meja dengan sebelah kaki terjuntai ke bawah. Sebelah kaki lagi diangkat ke atas meja. Dia berpeluk tubuh melihat gadis bertudung biru itu begitu berani melontar kata-kata. Nadanya tegas. Wajah Anis ditatap lama. Manis walaupun marah begitu. Sama seperti dulu. Pipinya sudah kemerahan. Suka!

Jadi awak rasa saya ni seorang ketua yang tak berperikemanusiaan, macam tu

Anis diam. Makin dijawab makin banyak pula soalan. Lagi panjang perbincangan nanti. Entah mengapa dia merasakan Imran sengaja membuatnya marah. Kalau benar Imran tidak sukakannya, buat apa lagi dia terus bekerja di situ. Menyiksakan jiwa!

Saya tak kata tuan macam tu. Malah tak terlintas di hati saya untuk mengajar tuan. Saya hanya meluahkan apa yang saya rasa.

Itu saja. Kalau tuan rasa saya sudah melampau,pecat saja saya dari syarikat ni. Saya sedar siapa saya. Anis menutur lemah.

Pecat awak Saya bukan seorang ketua yang suka pecat pekerja sesuka hati tanpa sebab. Lagipun adik dan kakak saya sendiri yang ambil awak kerja di sini. Jadi nak tak nak, awak kena terima apa jua yang saya suruh! Faham Imran mula mengetap bibir.

Ternyata gadis somtam di depannya itu berani bersuara. Pekerjanya yang lain hanya tahu angguk saja. Dia senyum sendiri.

Ada apa-apa lagi tuan Anis pandang sekilas wajah pengarah muda itu. Dia cuba sembunyikan rasa sebak di hati. Sakit hati dengan sikap Imran. Kalau boleh hari itu juga dia ingin berhenti kerja. Tak sanggup lagi bertentang mata dengan Imran.

Tengah hari nanti ikut saya jumpa client. Imran bangun dan mula ke tempat duduknya semula.

Tengah hari Tapi saya Anis teringat ajakan Razif untuk makan tengah hari bersama.

Tak ada tapi-tapi. Apa awak dah janji dengan boyfriend awak

Anis cepat-cepat mendongak. Wajah lelaki bermata biru itu diamati seketika. Cuba mencari riak cemburu. Hampa. Nyata tiada riak seperti itu. Malah memek mukanya seperti menyindirnya pula. Dia melangkah laju keluar dari bilik pengarah.

Imran hanya memerhati Anis keluar dari biliknya. Dia senyum puas. Dia sendiri tidak faham dengan sikapnya terhadap gadis itu. Namun yang jelas dia senang bila berbicara dengan gadis itu walaupun kata-katanya selalunya membuatkan gadis itu marah dan menangis. Aku ni..dah suka kat minah tu ke Hish! tapi aku masih belum rasa apa-apa dalam hati aku

ANIS hempas nota kecil atas meja. Bingung dengan sikap Imran. Kalau bukan kerana Izara dan Kak Dina, sudah lama dia berhenti kerja. Dia pun tak hadap kerja di situ.

Dia menyambung semula kerja yang tertangguh tadi. Semua panggilan masuk dijawab dengan baik. Emosi yang tidak stabil tidak perlu dicampuraduk dengan kerja.

Hello! Pejabat tuan pengarah. Boleh saya bantu

Hai sayang!

Anis tergamam. Dia segera jauhkan gagang telefon. Siapa pulak yang bersayang-sayang dengan aku ni

Err..encik nak cakap dengan siapa

Dengan you la..tak boleh

Anis sekali tergamam. Dia intai Imran dari celah tirai melalui dinding cermin. Mana tahu Imran yang telefon. Imran sibuk mengadap komputer. Bermakna bukan Imran yang menelefonnya.

Kalau encik nak cakap dengan tuan pengarah, saya boleh sambungkan Anis masih bersikap sopan.

Eh! Tak payah! I nak cakap dengan you je!

Anis semakin gelabah.

Err..encik ni siapa Maaf saya tak kenal encik.. Anis mula gementar.

I Fuad! Takkan tak kenal Bos muda you tak ada cerita apa-apa ke

Cerita apa

You akan temankan I nanti masa meeting dengan syarikat Indah Group di Cameron Highlands.

Apa Anis bingkas bangun seperti ada jarum mencucuk punggungnya. Sekali lagi dia jauhkan gagang dari cuping telinganya. Suaranya agak tinggi.

Bi..bila meeting tu Anis mula panik.

Next week!

Hah Err.

Anis tergagap-gagap. Tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya tadi.

Ok! I call you lagi nanti!

Gagang diletak. Peluh dingin mula memercik di dahi. Anis pandang sekitar bilik pejabat. Mana tahu tiba-tiba lelaki miang itu muncul.

Ya Allah..bila masa aku kena teman mamat miang ni Mamat dalam tu pun tak cakap apa pun kat aku. Anis mula bengang.

Anis bertambah bingung. Dia perlu dapatkan penjelasan dari Imran. Belum sempat dia bangun, Imran sudah tercegat berdiri di tepi mejanya.

Err..tuan. Ada apa tuan Anis sekali lagi tergamam.

Siapa yang telefon tadi

Anis segera bangun. Dia pandang pengarah muda itu tidak berkelip.

Mengapa tuan tidak beritahu saya

Beritahu apa

Saya bukan perempuan murahan. Saya juga ada maruah. Anis menahan geram.

Saya tak faham. Apa maksud awak Imran mula berkerut kening.

Tuan tak faham ke atau buat-buat tak faham Anis mula sebak. Tidak sangka sejauh itu Imran sanggup menggadai maruahnya demi sebuah bisnes. Hatinya mula membentak.

Mengapa sayaBentak Anis lagi.

Wait! Apa sebenarnya ni Imran mula marah-marah.

Mengapa saya kena temankan Encik Fuad meeting di Cameron Highlands Anis mula berterus terang.

Apa Imran bingung.

Tadi dia telefon. Tuan ingat saya ni apa Anis cuba menahan air mata dari menitis.

Wait! Saya tak tahu apa-apa pun!

Imran segera masuk ke bilik semula. Dia terus menghubungi Fuad.

Hish! Fuad pun satu! Bila masa aku cakap kat dia macam tu! Ni mesti kes salah faham! Imran hempas gagang telefon. Dia berjalan mundar-mandir. Pening dengan apa yang berlaku.

Anis..masuk sekejap! Imran mula buntu. Anis perlu diberitahu segera.

Imran mundar-mandir di dalam biliknya. Anis disuruh duduk di sofa sebaik melihat Anis tercegat di muka pintu.

Awak..pasal hal tadi tusaya lupa nak bagi tahu. Sebenarnya saya pun kena turut sama dalam mesyuarat tu. Maaf saya terlupa nak bagi tahu awak. Imran berhati-hati menutur kata.

Tapi apa pula kaitannya dengan saya Anis renung Imran yang kelihatan gelisah.

Aa..awak pun kena ikut sekali. Saya dah booking satu bilik untuk awak. Imran cuba berbohong.

Apa

Ya..sebagai pembantu saya, awak kena catat minit mesyuarat tu nanti. Jadi nak tak nak, saya terpaksa bawa awak sekali. Imran jeling Anis yang kelihatan bingung.

Tapi mengapa Encik Fuad kata saya kena temankan dia Anis semakin bingung.

Dia kata macam tu Dia salah faham tu. Sebenarnya awak yang kena temankan saya. Imran cuba tersenyum. Nyata Fuad sudah salah faham. Kalau boleh dia tidak mahu babitkan Anis dalam hal ini tapi itulah jalan terbaik untuknya mencari alasan yang sesuai. Alasan yang boleh diterima oleh gadis itu dan juga Fuad, rakan sekolah dan rakan bisnes yang telah lama dikenali. Kalau tidak, tentu dia dituduh mempertaruhkan maruah gadis itu semata-mata untuk mendapat projek jutaan itu.

Err..perlu ke saya temankan tuan Anis merendahkan suaranya. Seumur hidup belum pernah dia mengikut lelaki sampai jauh begitu.

Imran angguk. Anis dipandang seketika. Ada riak kecewa di wajah gadis itu. Sebenarnya Anis tidak perlu hadir sama tetapi itulah saja cara yang dia ada agar Fuad tidak mengapa-apakan Anis dan tidak menolaknya dalam menyertai projek itu.

Kenapa tidak beritahu awal Anis sedikit kecewa. Dia mula tunduk.

Kenapa

Saya tak bersedia. Lagipun saya tak biasa dalam hal ni. Anis berterus terang. Masih tunduk.

Yang tak biasalah kena biasakan. Mungkin selepas ini, awak akan selalu temankan saya di luar daerah kalau ada hal yang memerlukan awak di sana. Imran cuba meyakinkan Anis.

Jadi..saya kena pergi juga ke Anis mendongak.

Ya

Anis melepaskan keluhan. Sudah terbayang di ruang matanya, terpaksa berdepan dengan si miang Fuad dan si garang Imran!

Tak payahlah risau. Kita hanya pergi mesyuarat saja. Imran cuba menyakinkan Anis. Dah menggelabah minah ni.

Errada apa-apa lagi tuan Anis pandang sekilas dan kembali tunduk. Jiwanya berkecamuk.

Tak ada. Awak boleh sambung kerja awak semula. Imran sedikit lega. Anis telah memberi persetujuannya.

Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu.

Err..sekejap! Tengah hari nanti, jangan lupa temankan saya jumpa client di KLCC. Imran bersandar di sofa.

Anis hanya angguk. Dia terus berlalu pergi.