SUDAH dua hari peristiwa pahit yang menyenyapkan suara Ajai berlalu. Sepanjang tempoh itu jugalah dia mogok tanda kecewanya terhadap Cikgu Isa.
Ajai melabuhkan pandangan ke atas meja kaca di sudut bersebelahan kasurnya. Ditenungnya kitab tafsir terjemahan al-Quran pemberian Pak Teh. Hatinya terdetik untuk meladeni kandungan kitab itu. Dia mahu membaca apa sahaja yang tercalit, sebagai peringatan buat dirinya yang semakin bertubitubi diasak dugaan demi dugaan. Seraya itu, dia teringatkan pesan Pak Teh sewaktu majlis ilmu bersama Hasan, yang baru memeluk Islam.
Kehidupan ini perlu dicari, bukan dinanti. Kita selaku hamba-Nya, mesti berusaha membuktikan diri kita ini layak bergelar khalifah di muka bumi.
Tapi, jika kita benar-benar tidak berkemampuan untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan bagaimana pula
Hasan, Allah menguji kita dalam lingkaran kemampuan kita. Usah khuatir. Jika kita diduga lebih, itu ialah bonus kepada kita. Itu pun jika kita bersabar. Pokok pangkalnya, kita mesti berusaha untuk mengubah kehidupan kepada yang lebih sempurna berlandaskan syariat Islam. Islam telah memberi ruang kepada manusia untuk menjadi sebaik-baik kejadian, apa lagi yang kita mahu Melainkan kita sendiri tidak sedar diri dan angkuh mendabik dada.
Benar. Nasib sesuatu kaum itu akan berubah jika mereka sendiri yang mengubahnya, bukan
Ya, Ajai. Baguslah andai kamu faham. Syaratnya, mesti berlandaskan syariat Islam.
Bual bicara mereka bertiga beberapa bulan lalu terus bergentayangan di cepu kepala Ajai. Rindunya kepada Pak Teh bisa terubat jika saban hari membiarkan ilmu orang tua itu berlegar-legar di mindanya.
Namun, dia masih gagal mencari jalan untuk menyelesaikan nasibnya yang perlu diubah. Jauh dari sudut hati, dia mahu kenal siapa sebenarnya orang tuanya. Dahulu, memang dia yakin akan kata-kata Tok Keman tentang ibu bapanya. Tetapi, selepas dipasung dilokap tempoh hari, dia mula syak akan sesuatu. Lagi pula, seorang tahanan lain telah tidak sengaja mencarik-carik hatinya. Caing-caing hati itu gagal bercantum semula sehingga menyebabkan dendamnya pada Cikgu Isa melangit.
Mungkin kau ni anak luar nikah
Saya datang dari kampung Orang Asli. Saya Orang Asli suku kaum Jakun.
Orang Asli Muka kau tak nampak macam Orang Asli. Mungkin waktu kecil dulu kau dibuang ke perkampungan Orang Asli.
Ajai menengadah ke langit-langit biliknya. Fikirannya meloncat-loncat dari satu petak ke petak yang lain. Penat ligat dia berfikir, jalan mati jua ditemuinya.
Dia masih lagi mahu menyalahkan Cikgu Isa. Dia musykil dengan pendirian guru itu. Mengapakah Cikgu Isa langsung tidak berusaha untuk memohon kad pengenalannya Andai benar dia tidak mahu disusahkan, mengapa tidak diselesaikan segera
Fikiran Ajai berkecamuk. Peperiksaan PMR makin hampir, namun hatinya sebal memikirkan nasib yang menimpa. Cikgu Isa pula sehari dua ini asyik batuk-batuk. Rungsing juga dia apabila memikirkan kesihatan guru itu. Dalam mogoknya, masih terpalit nilai kemanusiaan. Sehebat mana kesilapan Cikgu Isa, hebat lagi jasa guru itu kepadanya.
Ruang fikir Ajai tiba-tiba dibataskan oleh bunyi batuk kuat yang hadir dari ruang tamu. Cikgu Isa kembali diserang penyakit lamanya. Ajai serba-salah. Dia mahu melupakan dendamnya. Kini, gilirannya untuk membalas jasa. Serentak itu, dia bangkit dari baringnya.
Kemudian, dia mara ke hujung katil mencapai lembaran kertas yang diberikan oleh Pak Teh sewaktu ustaz itu melawat mereka bulan lalu. Sehelai nota ringkas yang mengandungi doa untuk merawat penyakit. Dia akan berdoa bersungguh-sungguh setiap masa. Ini sahaja caranya membalas jasa Cikgu Isa.
Tiba-tiba wajah Gana muncul di hadapan pintu hatinya. Remaja berbangsa India itu dilihat sedang berjalan membongkok seperti bayangan sebenar apabila berselisih dengannya di sekolah.
Gana, maafkan aku. Esok aku akan tulis surat lagi. Aku tak akan berputus asa untuk memujuk kau.
DARI tingkat atas bangunan, Lazim dapat melihat dengan jelas kabus tebal menghurungi bangunan-bangunan lain yang ada di sekitar bangunan Kementerian Pelajaran Malaysia, di Putrajaya.
Langit masih menangis sejak malam semalam. Biarpun tidak lebat, tetapi bentala ibu negeri itu tetap jua basah. Perkara seumpama inilah yang disibukkan oleh orang-orang kota. Menerima hujan di bandar raya ibarat didatangi tsunami bagi mereka. Apa sahaja bentuk aktiviti akan tersekat untuk dilaksanakan dalam kota yang sarat ini.
Minda Lazim terus bermain dengan hujan. Biarpun jiwanya sedang mekar berbunga dek kegembiraan tadi, tetapi batas riang itu terhalang oleh persembahan hujan yang tidak henti-henti.
Dia duduk semula di sofa dalam bilik tetamu itu. Bosannya barangkali tiba. Hampir sejam dia menunggu Datuk Murad untuk berkongsi kegembiraannya, majikannya itu belum lagi muncul.
Masuk kali ini, baru kali kedua dia menjejakkan kaki ke bangunan pentadbiran majikannya. Kali pertama sewaktu dia mencuricuri masuk. Sebaliknya petang ini dia sendiri dipelawa masuk. Urusannya sudah selesai. Alamat Cikgu Isa kini dalam gemalnya. Tinggal lagi dia perlu meniti beberapa ujian yang bakal hadir dari Ajai sendiri. Atau barangkali Cikgu Isa sendiri yang akan menyekat kemaraannya.
Lantas dia terkenangkan Tok Batin Kutam, seorang tua yang pernah ditemuinya awal tahun lalu. Fikirnya, hanya orang tua itu sahaja yang layak melincirkan segala perancangannya. Ketua kampung itu paling lama mengakrabi Ajai dan Tok Keman. Tetapi, bagaimana pula caranya untuk memujuk Tok Batin Kutam Sedangkan kedatangannya ke Kampung Kelipuk tempoh hari pun dilayan ala kadar. Apatah lagi bagi tujuan rumit sebegini.
Baik, Tokki. Saya mengaku, saya bukan
menantunya. Tapi, saya ada urusan penting untuk diselesaikan dengan Tok Keman. Boleh Tokki temukan saya dengannya
Aku dah agak. Kau bukan orang yang rapat dengannya. Sebab itu kau gelarkan dia sebagai Pak Keman tadi. Nasib baik kau cepat mengaku. Aku baru saja terfikir untuk panggil orang kampung minta kau keluar dari sini.
Maafkan saya, Tokki.
Mana kamu tahu orang sini panggil aku, Tokki
Saya tanya perempuan Cina di kedai tu tentang alamat Tok Keman. Tapi, dia sendiri kurang pasti di mana letaknya rumah Tok Keman. Itu yang dia suruh saya tanya ketua kampung. Dia pesan, panggil dengan gelaran Tokki. Mujur Tokki ada dekat sini bersembang dengan lelaki tadi. Kalau tidak, dah jadi satu kerja lagi saya kena cari rumah ketua kampung pula.
Beginilah, apa kata kita bincang dulu di rumah Tokki. Di luar ini panas.
Lazim.... Lazim....
Lazim tersentak lalu melangut. Di hadapannya kini bukan lagi Tok Batin Kutam. Sebaliknya, susuk Datuk Murad yang berkot hitam.
Jauh kamu termenung. Sudah dapatkan alamat kawan kamu soal Datuk Murad
sambil membutangkan kotnya. Barangkali dia kesejukan.
Sudah, Datuk. Lantas ainnya beralih ke dalam genggaman. Sehelai kertas berisi alamat Cikgu Isa ditekuninya. Dia juga teringin untuk mengetahui lebih lanjut tentang Cikgu Isa. Sebelum dia sendiri bersemuka dengan guru itu, lebih molek jika Tok Batin Kutam menceritakan segala apa yang berkaitan. Dia tidak mahu terburu-buru kerana dia tahu kehidupan Ajai bergantung pada ketua kampung itu dan Cikgu Isa.
Perjuangannya akan diteruskan. Demi Tuhan!
BUDAYA ilmu semakin memijar dalam kalangan pelajar Tingkatan Tiga di SMK Lembah Pantai. Pada waktu rehat, pusat sumber sekolah bakal menjadi medan sasaran mereka berhimpun meskipun untuk tempoh singkat iaitu kurang setengah jam.
Revolusi ini tidak hanya terbatas pada waktu rehat. Malah berlarutan sehingga berakhirnya sesi persekolahan. Di meja bulat, pondok wakaf, laman bestari dan pelbagai tempat lain yang mempunyai kerusi akan diisi oleh calon peperiksaan PMR di sekolah itu.
Fahamkah apa yang aku terangkan tadi
Insya-Allah boleh faham, sahut suara Kameena yang jelas kedengaran.
Syasya, kau macam mana Jika masih lagi kabur, aku boleh terangkan semula, ujar Ajai kepada Syasya yang sedari tadi asyik memutarkan penanya.
Suasana di sekitar pondok wakaf itu sedikit memberi ketenangan kepada mereka. Selepas berhempas pulas di dalam kelas, perbincangan kali ini lebih bersifat santai. Sekadar latihan ulang kaji. Ajai, Kameena dan Syasya seperti petang sebelumnya akan menghabiskan masa di sini sehingga loceng rehat bagi murid sesi petang berbunyi.
Tadi aku faham. Lepas kau terangkan banyak sangat contoh, tiba-tiba aku jadi pening semula. Boleh terangkan sikit saja lagi Syasya tulus mengakui kekaburannya dalam memahamkan fungsi kata sendi di.
Ajai tersenyum mendengar keluhan Syasya. Daripada kerancuan bahasa Syasya, dia sedar bahawa gadis itu bukanlah seorang penutur bahasa Melayu yang galak. Syasya lahir di California, Amerika Syarikat dan merupakan anak tunggal seorang penyanyi wanita tempatan yang berkahwin dengan komposer terkenal di sana. Selepas tiga tahun tinggal di bumi negara kuasa besar itu, barulah dia pulang bersama ibunya ke Malaysia. Itu pun selepas ibu bapanya bercerai. Kini, ibunya sudah bergelar pelakon
terlaris selepas menghiasi industri hiburan tanah air dengan pelbagai kontroversi.
Yang menariknya, Syasya sedikit pun tidak hairan dengan dunia ibunya itu. Sedikit demi sedikit kemelayuannya meresap dalam diri. Pun begitu, dia masih kurang arif tentang agama Islam lantaran tidak mendapat pendedahan yang sebetulnya sejak kecil. Mujur ada Ajai dan Kameena boleh membantu.
Begini, Syasya. Apabila kata sendi di bertemu dengan kata yang merujuk kepada tempat, hendaklah dijarakkan. Selain itu hendaklah dirapatkan. Misalnya frasa di luar rumah, hendaklah dijarakkan antara perkataan di dan luar. Contoh lain, di atas meja. Perkataan di dan atas mesti dijarakkan. Faham
Faham. Jadi, kalau frasa kerja disepak, ditulis dan dicuri perlu dirapatkanlah soal
Syasya sambil tangan kanannya mencucukcucukkan mata pena ke udara.
Ya, serentak dibalas Ajai dan Kameena. Mereka berpandangan sambil tersenyum sipu.
Syasya turut tersengih melihat gelagat dua rakan belajarnya. Aku dah faham. Terima kasih, Ajai.
Baguslah kalau macam tu. Ada apa-apa pertanyaan lagi
Kedua-duanya membungkam.
Ajai mengerti lalu membiarkan mereka lena mengkaji sejeda. Dia mengalihkan pandangannya ke sekitar kawasan sekolah. Setiap ceruk ditenungnya bagi menambah rasa cinta kepada sekolah itu. Sebuah sekolah yang mengorak kelopak hatinya supaya melihat sendiri betapa ilmu itu sangat penting.
Di kampungnya, masyarakat gagal memahami apatah lagi mendalami kepentingan ilmu. Pemikiran anak-anak dijajah sendiri oleh adat resam lantaran mahu mempertahankan pemilikan kepercayaan turun-temurun. Ajai khuatir akan bentuk penjajahan minda sebegitu. Dia nekad untuk terus maju dan cemerlang agar dapat membantu anak-anak suku kaum Jakun yang lain.
Selama ini, bukan tidak ada anak-anak Orang Asli yang berjaya ke universiti. Cuma, jumlahnya tidak selari dengan nisbah kelahiran mereka. Lagi pula, mereka semua ialah masyarakat asal di bumi sendiri. Maka mereka layak untuk mendapat pendidikan seperti mana masyarakat lain.
Ajai teringatkan Gana. Dia mahu kembali bersahabat dengan Gana. Malam semalam sebelum tidur dia terfikir untuk mendapatkan bantuan daripada Kameena dan Syasya. Ini sahaja caranya agar dia dapat kembali merengkuh persahabatan mereka yang sudah lama terpisah.
Kameena, Syasya. Aku ada benda penting nak dibincangkan ni.
Kameena dan Syasya berpandangan. Mereka gagal menangkap awal bicara Ajai.
Nak bincang tentang apa soal Kameena.
Aku nak berbaik semula dengan Gana. Tapi, dia masih tak mahu terima aku lagi. Jadi, aku nak minta tolong daripada kau orang, jelas Ajai perlahan.
Maksud kau Syasya masih samar-samar.
Begini. Aku nak kau orang aturkan pertemuan kami. Kalau boleh, kau berlakonlah sikit. Konon-kononnya ada hal penting tentang pelajaran untuk dibincangkan. Selepas dia setuju nak sertai perbincangan kumpulan, aku menyusullah. Waktu itu dia dah tak ada peluang nak larikan diri lagi. Macam mana
Kameena memandang Syasya mengharapkan gadis campuran itu bersetuju dahulu dengan rancangan Ajai. Malangnya, Syasya hanya mampu mengangkat bahu.
Sekejap. Sebelum itu, boleh kau ceritakan punca kamu berdua bergaduh tanya Syasya penuh rasa ingin tahu.
Ajai tersentak. Sebolehnya dia tidak mahu melanjutkan lagi rasa bersalahnya. Namun, disebabkan dia sendiri mahu meminta tolong daripada mereka, maka rahsia lama terpaksa dibebaskan dari kurungan hatinya.
Sebenarnya, aku dah menipu dia.
Kau tipu apa
Aku katakan pada dia yang Cikgu Isa itu, pak cik aku.
Hah Maksudnya, kau bukan anak buah Cikgu Isa Jadi, apa hubungan kau dengan Cikgu Isa Kameena merancakkan perbincangan mereka. Dia sendiri seakan tidak percaya apa yang didengarinya.
Ya. Cikgu Isa cuma menjaga aku. Aku kan budak kampung, sinis jawapan Ajai seperti mahu meletakkan kesalahan kepada Kameena. Dahulu, Kameena juga yang beriyaiya menggelarinya budak kampung.
Kameena terasa hati. Tetapi, itu kisah lama fikirnya. Dia mahu menjernihkan kekeruhan suatu masa dahulu. Kini, dia sanggup membantu Ajai demi menebus setiap caciannya terhadap remaja lelaki itu. Namun, di balik tindakannya nanti dia juga ingin tahu siapa sebenarnya Ajai. Dari mana datangnya dia sehingga Cikgu Isa begitu bersungguh menjaganya di Kuala Lumpur.
Kau bukan saja dah tipu Gana, malah kami semua buta-buta mempercayai kau itu anak buah Cikgu Isa, balas Syasya sedikit geram.
Maafkan aku. Itu aku tahu. Tapi, yang hebahkan Cikgu Isa itu pak cik aku bukanlah
aku sendiri. Gana yang hebohkan. Mungkin sebab itulah dia merajuk dengan aku sampai sekarang. Ajai begitu yakin bahawa Gana juga rasa bersalah kerana membawa mulut. Oleh sebab itulah dia liat untuk memaafkan Ajai.
Tak apa, Ajai. Kami faham. Jadi, bila kau nak kami aturkan
Nanti aku cuba fikirkan. Apa-apa pun, terima kasih kerana sudi membantu.
Baiklah. Kita lupakan isu peribadi. Sekarang, ayuh kita sambung belajar. Dah hampir pukul tiga petang ni, Syasya mengingatkan yang lain.
Serentak itu, Ajai dan Kameena melihat jam tangan di lengan masing-masing. Lalu mereka mengangguk.