Harimau pada dasarnya bukanlah memangsa manusia malah dalam keadaan normal, mereka menjauhi manusia. Amukan harimau yang membaham manusia tidak lebih daripada sekadar tanda protes apabila habitatnya diganggu dan berasa terancam akibat penerokaan hutan. Apabila berlakunya insiden harimau membunuh manusia, ianya tidak lain sebagai petanda kelaparan dan depresi mereka yang tidak punya tempat lagi untuk hidup dan tidak terjangkau dek fikiran Hasya bagaimana hidupnya nanti tanpa Keris di sisi. Namun, itulah keputusan terbaik yang perlu diambil demi mengembalikan semula hak Keris sebagai spesis liar yang bebas mengikut nalurinya sendiri.
Hasya menyandar lengan ke dahinya berkira-kira untuk menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang pada keesokan pagi. Dengan keluasan sebesar 2477 km persegi, pasti Keris bebas berlari ke sana ke mari sesuka hati; menerokai alam semulajadi, anganannya itu membuat Hasya tersenyum sendiri Hasil daripada penyelidikan Hasya tentang Taman Negara juga, harimau suka berada di kawasan sejuk bertanah lembap seperti Taman Negara dan kawasan Banjaran Titiwangsa yang mempunyai sumber makanan yang mencukupi dan paling penting, perlindungan ke atas mereka terjamin pasti. Dan itulah yang terbaik untuk Keris.
Satu lagi faktor yang mendorong Hasya menghantar Keris ke Taman Negara adalah kerana, dengan wujudnya Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, hukuman berat akan menanti sesiapa juga yang memburu atau memiliki haiwan berkenaan. Cukuplah ibunya saja yang dipenjara tidak rela rasanya bergelar bekas banduan gara-gara seekor harimau!
Beep! Siapalah agaknya yang menghantar mesej di saat dia ingin melelapkan mata sambil berangan dan merencana Sambil menguap, Hasya membelek telefon
bimbitnya: Hi what a great pleasure talking to you today! Can we have coffee or something before I return to Montreal Rafael.
Hasya merenung kosong seraya menutup suis lampu di sisi katilnya. Bilik bertukar gelap.