Bukan kecewa diajak solat, tapi kecewa kerana imam muda itu tidak muncul.
Niel Tidak sedar sahaja mulutku nakal menyebut nama itu. Cukup perlahan namun mampu membuatkan Mak Cik Ruqayyah berpaling ke arahku semula.
Apa dia sayang Soalan jerat dari Mak Cik Ruqayyah.
Tak ada apa-apa mak cik. Aku tersenyum nipis sambil menggeleng. Kemudian aku mengambil tempat makmum. Inayah melaungkan iqamat dengan perlahan. Seterusnya kami solat dengan diimamkan oleh Mak Cik Ruqayyah.
Usai solat, Mak Cik Ruqayyah menyampaikan tazkirah pendek buat kami. Di tangannya ada sebuah buku berjudul Kahwin Sekarang Siapa Takut! tulisan Akhmad Muhaimin Azzet.
Pernikahan adalah sunnah Rasulullah S.A.W. dan sebagai umatnya jangan sesekali kita menidakkan atau buat main-main dengan sunnah tersebut. Pernikahan bukan sahaja menjurus kepada penyatuan antara dua jiwa menjadi satu, tetapi untuk mengembangkan umat Muhammad di bumi Allah ini. Untuk melahirkan generasi-generasi Islam yang mampu menegakkan agama Allah, bersaing dengan masyarakat dunia untuk menjadi insan cemerlang. Bukan sahaja cemerlang di mata manusia, tetapi cemerlang di mata Allah paling pentingnya. Hujah yang cukup bermanfaat disampaikan oleh Mak Cik Ruqayyah.
Insya-Allah, balasku dan Inayah serentak. Mak Cik Ruqayyah mula membuka halaman di dalam buku yang dipegangnya.
Sabda Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim : Wahai generasi muda, sesiapa di kalangan kamu semua sudah bersedia (mampu) menjalani hidup berumahtangga (suami isteri) maka berkahwinlah! Sesungguhnya di sebalik itu, pandangan mata dan kemaluan akan lebih terjaga dan terpelihara dari perbuatan maksiat. Dan sesiapa belum mampu, hendaklah dia berpuasa, kerana dengan puasa itulah dirinya akan dilindungi dari kemaksiatan. Jelas sekali penyampaian Mak Cik Ruqayyah. Ia bagai mengetuk jantung hatiku.
Fitrah manusia dijadikan Allah S.W.T. pastinya inginkan pasangan hidup, namun yang membezakannya samada sudah mampu atau belum. Mampu bukan sekadar dari segi luaran seperti kewangan, kesihatan dan sebagainya, tetapi juga dari dalaman. Mampukah kita menyanyangi suami kita selayaknya Mampukah kita menjadi isteri yang solehah Menjadi permaisuri buat suami juga ratu buat putera-puteri yang bakal lahir.
Jika tak keberatan, boleh mak cik tahu Aliya dah ada pilihan hati Soal Mak Cik Ruqayyah tiba-tiba dan aku terus tersentak dari lamunan panjangku. Pandangan kualihkan pada wajah Mak Cik Ruqayyah semula. Nafas panjang kutarik sebelum menjawab.
Entahlah, hati ni macam terlalu sukar untuk terbuka buat mana-mana lelaki. Sampai pernah kadang-kadang Aliya terfikir tak mahu kahwin. Walau Aliya tahu nikah itu sunnah, tapi hati Aliya susah nak dilembutkan, luahku dengan jujur.
Tak boleh macam tu, sayang. Jangan sesekali menafikan fitrah manusia. Allah ciptakan manusia berpasang-pasangan. Mungkin belum tiba masanya untuk Aliya, tapi yakinlah apabila masanya telah tiba dengan izin Allah, Aliya akan menerima seseorang itu dengan hati yang terbuka dan jantung yang tenang. Mak Cik Ruqayyah menggenggam lembut tanganku.
Macam mana kalau kita tersalah pilih orang Soalku dengan dahi sedikit berkerut. Spontan sahaja soalan ini terpacul dari bibir.
Tersalah macam mana tu maksud Aliya
Mungkin orang tu tak sesuai untuk kita. Berbeza dari segala aspek dan kita sendiri ragu-ragu sama ada dia mampu menjadi pembimbing kita menuju syurga Ilahi. Kenyataanku benar-benar tidak sempat ditapis.
Jika benar dia yang Aliya pilih itu juga benarbenar sayangkan Aliya, dia akan usaha berubah agar mampu bimbing Aliya ke jalan Allah. Sentiasa doakan yang terbaik. Moga Allah beri jalan, jaga hatinya dan sinari dengan petunjuk. Aliya sebenarnya dah ada calon ke Soalan jerat lagi.
Tak mak cik. Aliya sengaja tanya. Aku menggeleng perlahan sambil tersenyum nipis. Cuba menepis jauh perasaan aneh yang mula menghuni jiwa.
Senyuman Mak Cik Ruqayyah seakan bermaksud dia puas hati dengan jawapanku. Namun, mata ini sempat menangkap wajah Inayah. Bagai ada sesuatu di sebalik renungannya.
Usai tazkirah pendek, Mak Cik Ruqayyah mengajak kami membaca Al-Quran. Pilihan kali ini ialah Surah Hud. Mula-mula Mak Cik Ruqayyah yang membaca sambil didengari oleh kami. Kemudian diikuti oleh Inayah dan diakhiri dengan aku. Alhamdulillah dapat aku bertadarus dengan mereka malam ini.
Alhamdulillah lancar bacaan Aliya. Sedap sangat didengar, puji Mak Cik Ruqayyah sambil mengusap bahuku. Aku tersenyum malu. Walhal ada beberapa bacaanku tadi yang dibetulkan oleh Mak Cik Ruqayyah.
Baca setakat yang Aliya mampu. Tajwidnya pun ada juga yang tersasul silap dan lagunya pun kurang, balasku dengan serendah hati.
Tak apa sayang, yang itu boleh diperbaiki sedikit demi sedikit. Ummi pun masih belajar dan akan terus belajar. Dah pencen ni adalah peluang untuk ummi curi sedikit masa ke kelas bacaan Al-Quran. Inayah pun kadang-kadang di hujung minggu akan ikut ummi. Andai Aliya teringin untuk ikut serta, nanti bagitahu ummi. Boleh kita pergi sama-sama. Lembut sekali kata-kata nasihat dari Mak Cik Ruqayyah. Namun, apa yang mengejutkanku ialah panggilan mak cik kini bertukar jadi ummi
Terima kasih mak cik sebab sudi ajak Aliya. Tangan Mak Cik Ruqayyah aku genggam lembut.
Azan isyak kedengaran sayup-sayup dari surau berhampiran. Kami bertiga terus solat isyak berjemaah. Imam muda yang kuharapkan itu tetap tidak muncul.
KAKIKU melangkah perlahan melawan arus kesesakan pasar malam. Peluh sudah mula menitik jatuh hingga ke dagu. Sampai ke gerai kebab aku berhenti. Baunya yang enak benar-benar mencucuk hidung. Aku tersenyum sambil menempah dua bungkus kebab. Kemudian khusyuk aku melihat daging kebab diisi ke atas rotinya.
Niel. Panggilan si pembuat kebab bagaikan mengetuk jantungku.
Aku toleh ke sebelah dan benar-benar Niel di sebelahku. Sedang menghulurkan duit kepada peniaga. Tidak berkelip aku memandangnya. Dia pula seakan baru sedar akan kehadiranku. Senyuman nipis dilemparkan buatku sebelum dia beredar. Dibuatnya seperti aku orang asing.
Kakiku tiba-tiba laju mengekorinya. Panggilan pembuat kebab aku abaikan terus. Agak sukar untuk melawan arus jadi aku tertinggal jauh di belakangnya. Tambah pula dengan kaki panjang Niel. Dia semakin menjauh. Ikutkan hati ingin sahaja kujerit namanya tapi malu.
Puas melawan arus, akhirnya aku tiba di hujung pasar malam. Niel sudah berada di tepi jalan dan menanti untuk melintas. Kali ini aku tidak peduli lagi dan terus mulut kubuka.
Niel! jeritku sekuat hati.
Selang beberapa saat, terasa usapan lembut berulang kali di pipiku. Kemudian bahuku digoncang lembut. Mataku terbuka luas tiba-tiba. Suasana kelam menjamah mata. Aku pandang sekeliling dengan mata membulat.
Inayah. Perlahan sekali aku memanggil saat terlihat wajah Inayah yang agak terkejut. Kini aku sedar yang aku masih berada di dalam bilik Inayah. Semua yang berlaku tadi hanyalah mimpi dan ia telah mengganggu tidur Inayah juga.
Akak okey Soal Inayah dengan tangan yang masih mengusap bahuku.
Astaghfirullahalazim. Aku beristighfar tiga kali sebelum bangun duduk. Maafkan akak sebab ganggu tidur Inayah. Akak menjerit ke Soalku dengan wajah yang penuh rasa bersalah.
Akak tak menjerit, cuma tangan akak tergapaigapai sambil panggil Niel. Kenyataan Inayah meresahkanku.
Adakah aku semakin terkantoi dengan Inayah
Inayah yakin, Niel adalah Fitri, kan Soalan jerat Inayah membuatku terkaku beberapa saat. Wajah kutundukkan.
Inayah tak paksa akak cerita. Sekarang akak ambil wuduk, tenangkan hati dan sambung tidur ya Tapi, andai akak dah sedia nak cerita pada Inayah, sekarang pun Inayah sudi dengar. Kelembutan suara Inayah bagai berjaya memujuk hatiku. Perlahan-lahan aku mendongak.
Betul tekaan Inayah, Niel yang akak sebut tadi ialah Fitri. Akhirnya sedikit kebenaran terungkap dari bibirku.
Akak mimpikan Fitri Mimpi buruk Terasa tanganku diusap Inayah.
Tak buruk sangat. Cuma dalam mimpi tu Niel, maksud akak Fitri macam buat tak kenal akak. Kemudian dia pergi. Akak tak mampu kejar jadi akak jerit nama dia. Pendek sahaja kisah mimpiku. Mimpi yang bagiku terlalu simple. Bertemu Niel di pasar malam.
Akak kenal Fitri dah lama Sebelum pertemuan pertama di rumah ni Soalan yang berpakej jawapan dari Inayah.
Belum sampai setahun kami kenal, tapi betul memang sebelum kami jumpa di rumah ni sebab tu akak panggil dia dengan nama sebenar dia dan bukan nama yang dipanggil oleh mak cik dan Inayah. Pertemuan pertama kami sangat tak dijangka dan diikuti oleh pertemuan-pertemuan lain. Aku masih belum bersedia untuk menceritakan kisah penculikan itu. Biarlah ia terus menjadi rahsiaku dan Niel serta yang berada di tempat kejadian.
Betullah apa yang Inayah sangka selama ni. Akak dan Fitri sebenarnya agak rapat.
Bukan rapat yang macam tu, tapi Aku terhenti sambil mencari ayat yang sesuai.
Inayah merenungku sambil mengangguk. Isyarat agar aku teruskan ayat.
Entahlah, akak pun tak tahu macam mana nak cakap. Tapi, akak rasa selesa dengan dia walau kadangkadang dia suka mengusik dan menyakat. Eh tak bukan itu maksud akak. Niel, maksud akak Fitri baik aje. Kelam-kabut tutur kataku. Rasa menyesal pula aku katakan Niel suka menyakat dan mengusik. Tiada niatku untuk burukkan Niel di hadapan Inayah.
Akak jangan risau. Inayah tahu Fitri memang suka menyakat dan mengusik. Ceria memanjang. Inayah pun selalu diusiknya. Harap akak tak kecil hati dengan usikan-usikan Fitri.
Tak, akak tak kecil hati pun. Akak ingatkan dengan mak cik dan Inayah, Niel seorang yang agak pendiam.
Mungkin bila akak ada sekali, dia jadi pendiam. Inayah dapat rasakan yang dia juga sorokkan sesuatu dari kami. Bukan berkaitan hubungan akak dan dia, tapi perasaan yang dia tanggung. Kata-kata Inayah membuatku sedikit tersentak. Dadaku bagai diketuk dari dalam.
Benarkah Niel juga menanggung satu perasaan aneh sepertiku Mustahil rasanya. Walau banyak perubahannya sejak akhir-akhir ini, tapi aku tidak boleh rumuskan ianya berpunca dariku. Mungkin juga disebabkan oleh ayahnya atau perkara lain. Kusutnya aku memikirkan ini semua.
Akak. Panggilan Inayah menyedarkanku dari lamunan tadi.
Kalau tak keberatan, boleh akak tahu bila Niel jumpa semula dengan mak cik Mulutku gatal menyoal. Ya, memang Niel pernah ceritakan padaku tentang perpisahannya dengan keluarga Mak Cik Ruqayyah, tapi tidak pula Niel ceritakan bila mereka bertemu semula.
Akak tahu tentang kisah kami sekeluarga dengan Fitri Siapa Fitri dengan kami Soal Inayah dengan riak wajah penuh tanda tanya.
Maafkan akak. Niel ceritakan pada akak sedikit sebanyak apa yang berlaku. Tapi, Inayah janji jangan bagitahu Niel akak cerita pada Inayah. Akak takut Niel kecewa dengan akak. Walaupun dia tak pernah minta akak berjanji untuk simpan rahsia ni, tapi akak tetap takut dia kecewa dan makin jauh dari akak. Entah kenapa ayatku kedengaran agak gelojoh. Jelas yang aku memang risau dia makin jauh.
Akak betul-betul takut kehilangan dia Inayah bagai menduga lagi.
Tak bukan macam tu, sangkalku serta-merta.
Senyuman nipis terlakar di bibir Inayah. Dia bagai dapat menghidu sesuatu.
Sebenarnya baru setahun kami bertemu semula. Lepas kami sekeluarga pindah semula ke sini, setelah hampir tujuh tahun terpisah, Fitri memang nampak lain. Tapi, kami tak mampu nak paksa dia berubah 100 peratus. Inayah tak pasti sama ada akak faham apa yang Inayah maksudkan tentang berubah.
Akhirnya jawapan kuperolehi. Tempoh setahun ini terlalu singkat untuk mengubah Niel. Juga ini membawa maksud, pertemuan semula Niel dengan keluarga Mak Cik Ruqayyah tidak lama sebelum kes penculikanku.
Akak faham dan akak akan sentiasa doakan yang terbaik untuk Niel. Akak yakin dengan izin Allah, Niel mampu kembali. Dia sebenarnya seorang yang sangat baik, tapi keadaan sekeliling yang mempengaruhi dia. Aku seakan membela Niel.
Senyuman Inayah makin lebar.
Akak sukakan Fitri Ya Allah, soalan Inayah ini benar-benar menjerut hatiku.
Laju aku menggeleng sambil tunduk.
Akak selesa dengan Fitri walau Fitri suka mengusik. Akak takut dia makin menjauh. Akak inginkan yang terbaik untuk dia dan akak yakin InsyaAllah dia boleh berubah. Ingat tak soalan akak pada ummi tadi Macam mana kalau kita tersalah pilih orang. Dia tak sesuai dan berbeza status dengan kita serta kita tak yakin dia mampu bimbing kita atau tak. Adakah akak maksudkan Fitri Tambah lagi, akak pun tahu tentang kisah hidup Fitri. Inayah yakin Fitri tak akan ceritakan semua tu pada sembarangan orang. Itu jelas membuktikan akak dan dia ada ikatan hati yang kukuh. Mungkin kita tak tahu apa sebenarnya yang ada dalam hati Fitri, tapi akak pastinya tahu apa yang ada dalam hati akak kan Panjang lebar sekali luahan Inayah dan entah kenapa mata ini nakal berkaca.
Apakah perasaan ini
Mengapa ia semakin menjeratku
Ini semua salah, kan Inayah Akak tak patut rasa semua ni. Tak boleh semua ni. Akak rasa perasaan ni makin menyeksakan akak. Kenapa akak boleh rasa macam ni Kepalaku digeleng. Terasa permata jernih mula gugur ke pipi.
Akak, jangan macam ni. Istighfar banyak-banyak. Allah tak detikkan hati kita untuk seseorang tanpa hikmah yang terselindung. Mungkin sekarang ni akak rasa sakit, tapi Insya-Allah satu hari nanti akak akan nampak hikmahnya. Akak kena sentiasa berdoa agar perasaan ni membawa kebaikan untuk diri akak, Fitri dan semua orang yang akak sayang. Lembut sekali nasihat Inayah. Ibu jarinya mula menyapu air mataku.
Tak boleh Inayah. Akak yakin perasaan ni tak akan beri kebaikan pada sesiapa. Malahan pada Niel sekali pun. Keluarga akak, daddy Niel. Tak ada sesiapa yang akan bahagia dengan perasaan akak ni. Lagipun Niel cuma anggap akak sebagai kakak. Tak lebih dari tu. Aku menyangkal dengan pelbagai alasan.
Namun, bagilah beribu alasan pun perasaan ini entah bila akan menghilang.
Mana akak tahu perasaan sebenar Fitri Inayah tak mahu buat kesimpulan, tapi berdasarkan apa yang Inayah nampak Fitri betul-betul ambil berat pasal akak. Walau dia sembunyikan semua tu, Inayah nampak melalui renungan dia pada akak. Inayah bagai memberi aku satu sinar baru.
Hatiku bagai lega tapi jangan terlalu yakin Aliya Shaqina. Jangan jadi gadis yang hanya bertepuk sebelah tangan. Arghh, adakah aku sedang mengakui perasaanku pada Niel. Tidak! Jangan sesekali kalah dengan perasaan sendiri.
Inayah, tolong rahsiakan semua ni dari semua orang. Walau Niel dan ummi sekali pun. Hanya Inayah seorang yang tahu dan kalau boleh akak tak mahu sesiapa tahu. Perasaan akak ni terlalu rumit. Akak tak mahu orang lain terlibat. Wajah Inayah kutenung dengan penuh mengharap. Air mata masih berbaki di pipi.
Inayah janji dengan akak. Tapi, akak pun kena janji dengan Inayah yang akak akan kuat hadapi dugaan perasaan ni. Inayah akan selalu ada untuk jadi pendengar. Kadang-kadang apa yang kita rasa perlu diluahkan agar bebanan tu dapat diringankan sikit. Inayah mungkin tak mampu buat apa-apa, yang mampu hanyalah mendoakan akak.
Terima kasih Inayah untuk semuanya, ungkapku diiringi senyuman nipis. Inayah perlahan-lahan membawa aku ke dalam pelukannya. Belakangku diusap berulang kali.
Sungguh aku rasa bebananku kurang sedikit. Benarlah aku perlu luahkan rasa hati ini kerana aku tak mampu untuk terus menanggungnya seorang diri.
ASSALAMUALAIKUM. Sayup-sayup kedengaran suara memberi salam.
Aku cam benar suara itu. Puas kucuba kawal riak wajah. Inayah sempat memandangku sebelum beredar keluar dari dapur. Pastinya untuk membuka pintu. Mak Cik Ruqayyah di biliknya kerana menunaikan solat sunat Dhuha. Tinggal aku dan Inayah di dapur menyediakan sarapan.
Selang beberapa minit, Inayah muncul kembali. Sejujurnya hatiku agak kecewa kerana dia muncul sendirian. Mungkin pemilik suara tadi hanya menanti di ruang tamu atau di meja makan. Sempat senyuman kuhadiahkan buat Inayah sebelum tangan kembali mengacau milo panas di dalam teko.
Akak nak bawakan ke depan Inayah menyoal setelah aku selesai mengatur empat biji cawan ke atas dulang.
Boleh, eh tak. Tunggang-langgang ayatku. Dalam hati meronta ingin ke depan, tapi mulut cuba menidakkan.
Akak pergilah ke depan dulu, nanti Inayah datang, suruh Inayah dengan lembut. Bagai ada maksud tersirat di sebalik senyuman manisnya.
Aku akur juga. Nafas panjang kutarik dan kakiku mula melangkah ke laluan yang menghala ke ruang makan.
Mama! Terjerit kecil aku apabila seseorang muncul betul-betul di hadapanku. Dia juga seakan terkejut sebenarnya.
Maaf. Suara garau berlemak Niel terus menjamah gegendang telingaku. Biar saya angkat. Niel menawarkan diri sambil mencapai dulang.
Saya angkat sendiri. Eh, akak angkatkan. Gawat apabila mulutku jadi tidak tentu arah.
Aku beranjak ke kiri dan serentak itu Niel juga ke kiri. Apabila aku beranjak ke kanan pula dan dia ikut lagi. Eh, kenapa pula dengan budak ni Datang semula perangai suka menyakat agaknya.
Niel ni kenapa! Bagilah akak lalu. Tanpa dijangka aku membentak seperti dulu. Semasa aku dan Niel masih okey. Wajahku kembali didongakkan. Mataku tepat memanah ke wajahnya.
Saya minta maaf, saya tak sengaja. Saya nak lalu ke dapur, tapi tak sangka awak pun nak ikut bahagian yang sama, jelas Niel dan aku rasa bersalah pula menuduhnya.
Awak lalu kiri, saya lalu kanan. Akhirnya aku memutuskan dan kami masing-masing mengikut laluan yang aku tetapkan. Hendak berselisih pun boleh jadi drama. Tambah pula dengan rasa kekok yang makin menghimpit diri. Sungguh, aku harap keadaan kami boleh kembali seperti sediakala.
Dulang berisi teko milo dan cawan aku letakkan ke atas meja. Puas Mak Cik Ruqayyah memujuk tadi agar aku sarapan dahulu. Ikutkan hati aku ingin terus pulang ke rumah sewa. Segan pula dari semalam sudah terpacak di sini.
Pakaian yang memang sedia kubawa di dalam kereta pula hanya sepersalinan. Cukup untuk malam semalam. Jadi pagi ini aku putuskan untuk tidak mandi lagi. Walau puas dipujuk Inayah agar gunakan bajunya sahaja, tetapi aku degil menolak.
Niel pula semalam pulang ke rumahnya selepas kami semua selesai makan malam. Sebelum dia pulang, Mak Cik Ruqayyah sempat mengajak Niel bersarapan di sini pagi ini. Aku sempat tercuri dengar tentang daddy Niel yang pulang ke kampung ibu tirinya.
Aku tahu pasti semua itu sukar buat Niel. Aku faham benar tentang rasa kecewanya pada daddy dan ibu tirinya. Jika aku ada daya, ingin sahaja aku mendengar setiap luahannya, tetapi memandangkan keadaan kami yang sudah lain semua itu pastinya mustahil.
Aliya. Panggilan itu berserta sentuhan lembut di bahuku. Aku mendongak, kelihatan Mak Cik Ruqayyah sedang tersenyum manis. Apa yang Aliya menungkan sampai ummi panggil pun tak dengar Soalan Mak Cik Ruqayyah membuatkan dahiku berkerut.
Tak Belum sempat aku habiskan ayat, Niel muncul sambil membawa semangkuk nasi goreng.
Harap-haraplah dia tak dengar soalan Mak Cik Ruqayyah tadi. Inayah juga muncul tidak lama kemudian bersama pisang goreng dan pinggan. Aku lega kerana persoalan Mak Cik Ruqayyah terhenti di situ sahaja.
PINTU Iriz kututup perlahan sebelum melangkah ke destinasi yang ingin dituju. Hadirku ke sini atas jemputan Mak Cik Ruqayyah. Semalam dia menelefonku untuk mengajak aku menyertai piknik keluarganya. Pada mulanya memang aku segan, tapi tidak sampai hati hendak tolak pelawaan itu.
Dalam setiap langkah, hatiku tidak dapat mengelak dari mengharapkan Niel turut ada petang ini. Entah kenapa dalam tempoh 2 minggu ini hatiku jadi sedikit tenang walau perasaan aneh itu tetap menghuni. Sebenarnya aku tidak tahu apakah reaksi hatiku jika pagi ini Niel turut ada.
Ketika mindaku ligat bekerja, akhirnya mataku menangkap kelibat Mak Cik Ruqayyah. Meja yang dipilih juga agak strategik kerana berhampiran dengan tasik yang menghijau.
Ada dua orang lagi yang duduk di kerusi bermeja yang sama. Namun duduk membelakangkan arah aku datang. Salah seorangnya pasti Inayah, tetapi lelaki yang seorang itu siapa agaknya. Adakah Niel Oh, hatiku sudah mula tidak duduk diam. Jantungku bagai diketuk dari dalam. Aku jadi berdebar. Mungkin orang lain. Bahagian belakangnya nampak lain dari Niel.
Aku memberi salam. Mereka sama-sama menoleh. Barulah aku dapat lihat wajah lelaki itu. Benar dia bukan Niel. Jujur aku sedikit kecewa. Kenapa pula aku beria benar ingin melihat wajah Niel Entah-entah dia langsung tidak kesahkan aku.
Aliya, mari duduk sebelah ummi, pelawa Mak Cik Ruqayyah dan aku terus akur.
Kenalkan inilah Saifullah, tunang Inayah. Masa rumah terbuka hari tu Saifullah tak dapat datang sebab ada urusan lain. Mak Cik Ruqayyah terus kenalkan kami. Aku dan Saifullah sama-sama mengangguk dan tersenyum tanda perkenalan.
Terima kasih sudi ajak Aliya. Maaf lambat sikit.
Tak adalah, akak tak lambat pun. Kami ni baru sampai. Tak siap susun lagi makanan, balas Inayah.
Lagipun ada orang yang lebih lewat dari Aliya. Kata-kata Mak Cik Ruqayyah membuatkan riak wajahku berubah serta-merta.