Razali (Bekas angkasawan ke Marikh)
Puan Saodah (Usahawan wanita berjaya)
Puan Raudah (Seorang wanita misteri, menjadi subjek kepada The Things, panel 1)
Krishnan (The Things, panel 2)
Mitchelle (The Things, panel 3)
The Phosphorus (dalam bentuk seorang nenek, panel 4)
Jessie Borgues (Moderator)
Umberto Fermi (penonton 1, disyaki manusia)
Mariah Seager (penonton 2, disyaki manusia)
Sumiyarti (penonton 3, bekas angkasawan ke Marikh, disyaki The Phosphorus juga)
Saiful Ahzim (penonton 4, bekas polis penyiasat)
Tirai terbuka. Tiga buah platform yang cukup-cukup untuk memuatkan moderator,seorang panel manusia (dalam kandang), dan juga tiga orang panel makhluk asing (The Things & juga The Phosphorus) kelihatan. Enam orang penonton, termasuk Razali duduk di atas kerusi yang sengaja disusun dalam 5 baris dan 10 lajur. Kerusi-kerusi kosong yang lain diletakkan boneka yang sengaja dilukis kasar mukanya dengan pen dakwat hitam. Kedengaran muzik latar klasikal gubahan Rachmaninoff mengiringi video rakaman lohong hitam yang banyak dan luas diameternya sedang menelan jasad-jasad selestial di merata alam semesta. Ia kedengaran dramatik, videonya traumatik. Pembentangan dimulakan dengan cahaya putih menerangi latar tadi. Pada layar luas itu, sepatah perkataan tertulis kemas dan berbunyi:
W H I T E H O L E
JESSIE BORGUES
(Berdehem tiga kali, mengatur posisi mikrofon agar tidak terlalu dekat ataupun terlalu jauh dari bibirnya, tersenyum manis sambil memerhatikan orang-orang yang hadir pada pembentangan itu sebelum matanya melirik pula pada penonton-penonton di bawah)
Salam sejahtera dan selamat datang ke forum berjudul Wujudkah Aku, Wujudkah Kamu Hari ini saya akan memperkenalkan ahli-ahli panel kita yang semestinya bukan hanya manusia sahaja. Pertama sekali, saya perkenalkan Encik Krishnan. Encik Krishnan, sila perkenalkan diri.
KRISHNAN
(Tersenyum sambil menoleh ke belakang dan bibir bergerak seolah membaca sesuatu, dipercayai perkataan White Hole itu tadi sebelum kembali menoleh ke arah audiens. Dia bangkit dan melaraskan mikrofon pada paras dadanya dan melontar kata dengan yakin)
Hai dan selamat datang semua. Saya bernama Krishnan dan saya dikenali selaku The Things oleh rakan-rakan anda dari Marikh. Saya adalah pentadbir alam ini dan menentukan kelangsungan hidup setiap makhluk di seluruh alam semesta.
Terima kasih.
(Satu tepukan gemuruh, dari audio disediakan, sementara itu keenam-enam penonton tadi berbisik antara satu sama lain, kelihatan gelisah. Pengisytiharan Krishnan selaku makhluk asing menjadi isu besar)
Tenang saudara dan saudari sekalian. Saya hanya mahu berdebat dan menghuraikan beberapa paradoks yang manusia tidak mampu selesaikan kerana kekurangan input penting.
(Krishnan duduk)
JESSIE BORGUES
(Pantas mengarahkan penonton-penonton diam dengan mendekatkan mikrofon itu pada bibirnya lalu berdehem lagi tiga kali. Penonton-penonton senyap dan memusatkan perhatian pada orang kedua yang akan diperkenalkan nanti)
Baiklah panel kita kedua, Mitchelle! Sila perkenalkan diri ya!
MITCHELLE
(Mengambil mikrofon daripada Krishnan, menjelirkan sedikit bucu lidahnya untuk membasahi bibir yang bergincu merah pekat lalu bangun. Mikrofon dijarakkan sedikit dari bibir)
Hai dan selamat datang semua. Saya bernama Mitchelle, dan seperti mana Krishnan, saya juga dikenali selaku The Things. Saya adalah salah seorang pentabdir alam semesta dan sedang mempertahankan kewujudan anda semua dari ditelan kemusnahan alam semesta. Sekian, terima kasih.
(Terus duduk, audio menayangkan bunyi tepukan tangan manakala penonton-penonton pula memerhati dengan wajah tegang)
JESSIE BORGUES
(Baru hendak mengambil mikrofon dan memperkenalkan panel seterusnya, tetapi segera dipancung katanya oleh The Phosphorus yang kelihatan gugup. Perasaan gugup itu ditunjukkan sekali bersama dengan perasaan teruja. Itulah The Phosphorus)
Baiklah, panel seterus..
THE PHOSPHORUS
(Gopoh mengangkat mikrofon, hampir-hampir mikrofon terjatuh dari tangannya. Namun tangannya ligat, pantas menyambar mikrofon sebelum ia jatuh ke lantai)
Oh saya! Saya The Phosphorus! Saya adalah The Martian. Saya adalah kawan manusia!
(Ketika ini, Krishnan dan Mitchelle menjeling The Phosphorus sambil menunjukkan wajah jelik. Jessie Borgues pula menggaru kepala yang tak gatal. Penonton-penonton lain pula hanya menggeleng kepala namun berbisik sesama sendiri apabila mendapati fizikal The Phosphorus bertukar dari seorang tua menjadi seorang pemuda kacak yang tidak diketahui milik siapa wajahnya kali itu. Beberapa orang penonton mengangkat holofon masing-masing dan merakam metamorfosis tersebut. Ketika itu, audio tepukan tangan tak mengiringi. Audio bunyi kamera klasik mengambil gambar ditingkatkan desibelnya untuk memberi audiens persepsi rakaman video dan gambar sedang dilakukan.)
JESSIE BORGUES
(Mengangkat mikrofon dan melihat telatah penontonpenonton yang masih sedang gigih berbisik antara satu sama lain. Dia tersenyum dan mula berkata-kata)
Baiklah, saya ingin perkenalkan panel kita yang keempat, iaitu, Puan Raudah!
PUAN RAUDAH
(Bermata kuyu dan sedikit acuh tak acuh dengan orang-orang di sekitarnya. Mikrofon diangkat perlahan, mukanya sedikit muram, keletihan setepatnya. Suaranya sedikit perlahan, sebelum mikrofon dirapatkan lagi dengan bibirnya untuk memberikan impak suara yang lebih jelas)
Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Saya bernama Puan Raudah dan saya adalah manusia tulen seperti Razali di depan saya ini!
(Telunjuk jari kanan dituding ke arah Razali yang turut berada di kelompok penonton forum. Razali membuat muka terkejut tetapi pantas menukar mimik wajahnya kembali tenang. Penonton demi penonton saling berpandangan antara satu sama lain dengan wajah penuh curiga)
RAZALI
(Membuat mimik wajah terkejut dan menggerakkan kedua belah tangannya seolah tiada masalah berlaku, audiens di yang duduk bersamanya, kembali memusatkan fokus pada Jessie Borgues)
JESSIE BORGUES
(Kembali menarik perhatian orang-orang di sekelilingnya, dengan berdehem tiga kali dengan mikrofon hampir pada bibirnya)
Pada hari ini, kita akan membincangkan beberapa paradoks yang telah menjadi asas kepada manusia untuk meletakkan kewujudan makhluk asing selaku satu enigma yang tidak dapat diselesaikan. Begitu banyak teori-teori dan juga kaedah kebarangkalian telah diperkenalkan oleh beberapa ahli astrofizik silam dan kini. Namun begitu, selagi kita gagal mengenalpasti apakah biosignature yang tepat untuk mengklasifikasikan sesuatu kewujudan, maka selagi itulah kita tidak akan dapat berkomunikasi dengan mudah.
Saya dimaklumkan oleh rakan-rakan kita dari planet lain ini, manusia sudah layak dibawa berdiskusi dan diberi penerangan mengenai kewujudan makhluk-makhluk di luar bumi. Penjelajahan ke Marikh dan juga pengubahsuaian atmosferanya agar ia boleh didiami manusia adalah satu petanda penting untuk The Things berkomunikasi dengan manusia.
Baiklah, untuk tidak membuang masa lagi, saya akan menghuraikan sub-sub topik yang akan kita bincangkan seperti berikut:
a) Berapakah nilai N, seperti yang dinukilkan oleh persamaan Drake yang mewakili jumlah tamadun luar bumi
b) Penghuraian jawapan kepada Fermi Paradoks
c) Panpyschism selaku pemendekan jarak antara jasad selestial
d)
Kita akan mulakan dengan persoalan a), jadi anda semua bagaimana, sudah bersedia Panel-panel dah bersedia
(Kesemua panel mengangguk tanda minta ia diteruskan. Krishnan menopang dagunya pada meja. Mitchelle pula melihat siling. The Phosphorus sedang menggeletar, badannya berpeluh-peluh, dia seperti ketakutan. Puan Raudah kelihatan bosan, sesekali menguap, tampak keletihan.
Keenam-enam orang penonton pula duduk senyap laksana patung. Lagak mereka seolah menanti hukuman mati)
Sebelum saya menanyakan kepada panel-panel kita akan pendapat-pendapat mereka mengenai persamaan Drake dan ketepatannya, biarlah saya terangkan evolusi persamaan Drake pada masa kini.
N adalah jumlah peradaban luar bumi yang ditafsirkan berjumlah sebanyak 36.4 juta. Tidakkah ia begitu banyak Jika begitu banyak, mengapa tiada satupun yang cuba berkomunikasi dengan manusia selama ini
Maka, persoalannya di sini, adalah, benarkah jumlahnya 36.4 juta
Jumlah ini boleh ditapis lagi dengan pengenalan kepada persamaan Seager yang membawa kepada pengesanan aspek biosignature tadi. Ia lebih spesifik. Kita difahamkan persamaan Drake telah berjaya membawa kita mengenalpasti exoplanet-exoplanet yang berkemungkinan berpotensi untuk mengandungi kehidupan seperti mana di bumi.
Baiklah, Krishan. Awak ada apa-apa yang mahu diterangkan di sini
(Krishnan tersengih sahaja sepanjang penerangan mengenai persamaan Drake tersebut. Mitchelle pula buat-buat menguap. The Phosphorus tetap kekal gelabah dan berpeluhpeluh. Puan Raudah pula sedang menulis sesuatu pada buku digital yang dibawanya)
KRISHNAN
(Memerhati setiap seorang hadirin yang datang dengan melihat ke mata mereka. Tindakannya membuatkan keenamenam penonton resah.)
Kesemua angka-angka yang diberi tidak tepat dan begitu jauh dari jumlah yang sebenar. Namun saya faham, ia adalah percubaan manusia untuk cuba memahami alam semesta yang begitu kompleks untuk difahami dengan prinsip antropik sedia ada.
Biar saya terangkan situasi sebenar.
Jumlah makhluk asing yang telah melepasi tahap III skala Kardashev sudah begitu banyak. Koloni angkasa adalah satu perkara yang biasa. Namun kami telah meletakkan peraturan utama seperti kamu melindungi haiwan terancam. Kamu tidak usik mereka selagi mereka tidak mampu berdikari sendiri. Kamu lindungi mereka dari kemusnahan yang mendatang. Bagi kami selaku pentadbir alam ini, setiap kewujudan adalah satu perkara yang berharga dari segi pembentukan intelektualiti yang akan menambah kepada peningkatan usaha kami untuk menghalang alam semesta dari kehancuran.
Nilai yang sebenar untuk N adalah 56 bilion dengan 2/3 daripadanya sudah melepasi tahap III skala Kardashev manusia.
Kami banyak mencipta situasi planetarium kepada planetplanet baru agar mereka tidak terjejas akibat koloni-koloni angkasa yang berkembang pesat. Kami juga telah ciptakan cara-cara untuk menstabilkan kadar kerosakan akibat pembentukan lohong hitam. Saya ucapkan tahniah kepada manusia kerana berjaya melepasi tahap planetarium tadi. Kamu kini sudah berkemampuan untuk menjelajah angkasa seperti kami.
Mengenai persamaan Seager, harus saya tekankan lagi, sesudah anda melepasi status planetarium tadi, anda memerlukan satu biosignature yang fleksibel. Kami terpaksa mengubah bentuk agar signifikan dengan biosignature anda supaya dapat berkomunikasi dengan lebih efektif.
Adakah awak ada cara yang mudah untuk menerangkan perihal kesilapan dalam analisis kebarangkalian dua persamaan ini, Mitchelle
(Krishnan membuat muka bengang. Dia letakkan mikrofon di atas meja. Lalu dia membetulkan pakaiannya yang berupa kemeja dengan rona mawar warna coklat. Mitchelle teragakagak mahu menghidupkan suis mikrofonnya. Wajahnya terpahat rasa ragu-ragu)
MITCHELLE
(Menggeleng-geleng kemudian menghidupkan mikrofonnya)
Ini namanya indoktrinasi! Untuk membuatkan anda memahami kami, kami terpaksa masuk ke dalam otak anda dan mengeluarkan beberapa data yang tidak tepat mengenai kami. Kami harus menukarkan perspektif anda mengenai kami terlebih dahulu, memperbetulkan pseudosains yang telah menjadi barah dalam persepsi anda sebelum peletakan realiti ke dalam otak anda
Untuk hal ini, saya tidak mahu mengatakan apa-apa lagi. Soalan seterusnya, moderator!
(Mitchelle kelihatan bengang. Dia merasa penontonpenonton manusia itu bodoh. Jessie pula tersengih seolah hal itu bukan perkara besar)
JESSIE BORGUES
(Meminum air mineral yang berada di atas meja. Kelihatan mengipas diri dengan tapak tangan selaku sindiran ke atas kemarahan Mitchelle)
The Phosphorus ada apa-apa yang hendak diperhujahkan
THE PHOSPHORUS
(Dia mengeluarkan sebatang mancis lalu ia menyala setelah haba panas menjalar dari kulit jari-jemarinya, penontonpenonton bersorak kagum. Ia umpama magis. Sekali lagi The Phosphorus menukar bentuknya menjadi seorang
budak pula. Suaranya comel sekali)
Ehem, saya pernah melihat dari perspektif The Things. Selaku makhluk yang mampu berasimilasi dengan setiap makhluk yang berlainan sifatnya dengan kami, kami punya perspektif yang luas apabila membicarakan satu-satu konsep.
(Suaranya kedengaran stabil. Dia tidak lagi menggeletar seperti tadi. Dia kelihatan yakin dan tampak bijaksana)
Situasi sebenar adalah, sistem suria yang menempatkan Marikh dan juga Bumi telah dilitupi dengan satu simulasi bernama planetarium di mana kita dimonitor oleh The Things yang merupakan salah satu dari 56 bilion peradaban asing yang melata di angkasa. Saya difahamkan The Things berada di hierarki teratas dan memegang tampuk tadbir angkasa dengan mudah. Teknologi mereka terlalu canggih dan maju ke hadapan sehingga mampu memanipulasi angkasa dan segala hukum fizik yang selama ini hipotetikal kepada manusia.
Ini adalah hasilnya apabila kita melepasi enigma jarak antara jasad selestial yang begitu jauh. Persamaan Drake dan juga persamaan Seager gagal melepasi penilaian ke atas kebarangkalian sistem planetarium milik The Things. Kegagalan ini membuatkan komunikasi dengan makhluk asing pada tahap II dan III tidak berlaku.
(Sekali lagi The Phosphorus mengalami metamorfosis. Dia kini menjelma menjadi bebola daging kemerahan yang berdebu permukaannya. Masing-masing terdiam melihat metamorfosis itu. Suasana hening seketika. Jessie bersuara
untuk mematikan keheningan itu)
JESSIE BORGUES
(Menggeleng-geleng kepala setelah melihat metamorfosis The Phosphorus. Dia berkalih pula pada Puan Raudah yang kelihatan panik. Senyuman diberikan. Puan Raudah masih gugup. Bola matanya bergulir dari atas ke bawah, mencari sesuatu untuk dijadikan sandaran. Namun gilirannya telah tiba dan dia tak dapat mengelakkan diri)
Err, boleh saya teruskan dengan awak, Puan Raudah Apa komen awak mengenai pendapat makhluk-makhluk asing ini
PUAN RAUDAH
(Berbisik-bisik pada diri, mungkin sedang berdoa agar dia tidak perlu dilibatkan lama dalam konferens aneh ini. Dengan memegang mikrofon, dia menjeling ke arah The Phosphorus yang sudah tidak humanoidal langsung, sudahnya Puan Raudah menangis)
Saya bukan macam mereka! Saya manusia! Saya tak tahu persamaan Drake itu apa. Saya tak tahu persamaan Seager itu apa! Tolonglah selamatkan saya! Awak semua! Tolonglah. Saya tak nak jadi hamba The Things! Apatah lagi dikawal oleh The Phosphorus! Jessie! Saya tahu awak boleh tolong saya kan Saya nak balik rumah! Anak-anak saya rindukan saya, Jessie!
(Mikrofon telah dicampak. Puan Raudah bingkas bangun dari kerusinya lalu berlari ke arah audiens di bawah. Dia menolak kerusi-kerusi yang menempatkan boneka-boneka tadi. Dia mahu lari ke bawah pentas. Razali dan Saiful Ahzim menahannya. Lalu didudukkan Puan Raudah di atas kerusi.
Puan Saodah mendekati lalu memujuk Puan Raudah agar tidak menangis. Razali berpaling ke arah pentas. Perkataan W H I T E H O L E menjadi perhatiannya. Jessie mengeluh berat. Krishnan sudah mengeluarkan cerutnya dan mula membakarnya. Bau fosforus mula mengitari pentas. Mitchelle pula sudah mengeluarkan penutup muka. Dia memberi pandangan jelik kepada Krishnan. The Phosphorus kekal dalam bentuk bebola daging tadi. Kelihatan ngeri)
RAZALI
(Melangkah ke depan dan menaiki tangga ke platform. Dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Wajahnya begitu yakin dan amarah terpancar dari bebola matanya. Krishnan dan Mitchelle memerhati sahaja tingkah laku Razali dengan wajah penuh sinikal. Mereka tidak merasakan Razali adalah satu ancaman pada mereka)
Biar aku ambil tempat Puan Raudah! Aku boleh berkongsi pendapatku. Aku tahu semua ini sandiwara untuk aku! Jangan libatkan orang awam!
KRISHNAN
(Mengutip mikrofon di atas meja. Berdehem dua kali. Cerut dimatikan apinya dengan dicucuh begitu sahaja di dalam bekas abu rokok yang memang tersedia di atas mejanya)
Ini adalah fasa terakhir, Razali. Kau patut lihat tahap kau dan kami. Persempadanan mana yang harus kau patuhi itu semua. Puan Raudah adalah manusia tipikal dan kerana itu dia dipilih. Kau telah berasimilasi dengan kami, jadi kau patut sudah mengerti akan perbezaan kita. Kau patut sudah tahu akan situasi kita. Namun seperti yang Mitchelle katakan tadi, manusia telah kena indoktrinasi yang hanya boleh dimansuhkan dengan penerapan nilai-nilai kami yang janggal itu ke dalam setiap sudut otak kau.
MITCHELLE
(Bangkit dari tempat duduknya, lalu berpaling ke arah layar skrin yang memaparkan latar putih)
Manusia, jika hendak diletakkan dalam konteks mudah. Mereka punya potensi tinggi, tetapi peradaban masih terlalu mentah. Jika hendak diukur dari tahap kelajuan evolusi dalam pemikiran, manusia punya kadar peningkatan luar biasa dan sedikit kurang sahaja dari kami. Namun begitu, jarak hayat peradaban kita terlalu jauh. Kami laksana Tuhan buat manusia yang kerdil!
JESSIE BORGUES
(Mengambil mikrofon, meningkatkan lagi frekuensi desibelnya)
DIAM SEMUA!
(Menepuk meja. Masing-masing terperanjat dan terdiam. Jessie kelihatan garang begitu. Setelah menarik nafas panjang, Jessie kembali bertenang. Dia melirikkan kembali senyuman seolah ia tiada apa-apa. Kelihatan psikotik di mata penonton-penonton manusia.)
Baik, saya rasa pembentangan ini sia-sia kalau semua tidak beri kerjasama. Saya akui saya kurang arif menangani ketigatiga makhluk di sini tetapi saya mencuba yang terbaik. Oh, saya tidak biasa dengan tubuh manusia ini, tetapi saya tetap cuba juga. Jika boleh saya nak awak semua bagi kerjasama juga. Saya boleh tarik lohong hitam itu dan telan awak semua. Mahu begitu
(Menghalakan tapak tangannya ke arah latar di belakang mereka. Lohong hitam tiba-tiba terbit pada skrin. Angin deras bertiup. Kerusi berterbangan. Hampir-hampir mereka melayang, tetapi Jessie sempat menghentikan paparan lohong hitam itu. Suasana di atas pentas kucarkacir. Krishnan dan Mitchelle termengah-mengah. The Phosphorus sahaja tenang dalam bentuk cecair yang melekap di atas platform, tidak ubah seperti objek mati. Manusiamanusia pula bertebaran. Ada yang bergelimpangan. Ada yang pengsan. Ada yang tersangkut di bawah platform. Ada yang berpaut pada meja. Jessie ketawa terbahak-bahak)
KRISHNAN
Kau dah melampau, Jessie! Baiklah. Teruskan dengan persoalan kedua! Aku nak akhiri konferens ini cepat. Kita dah kesuntukan masa.
(Sebuah kerusi dibetulkan lalu Krishnan duduk di atasnya dengan wajah bengis. Tiada lagi senyum sinikal. Dia berpeluk tubuh dan postur tubuhnya tegak)
JESSIE BORGUES
(Kembali ke postur asal. Kelihatan tenang, wajahnya sedikit bercahaya. Dia kelihatan teruja untuk meneruskan konferens ini. Mikrofon dijulangnya setinggi mungkin, lagaknya seolah primadona)
Bagus! Kerjasama beginilah yang amat diperlukan. Baik, kita akan membincangkan perihal paradoks Fermi dan evolusinya. Bagaimana Anda semua mahu membetulkan kedudukan anda masing-masing dulu ke
(Ketika itu, Razali sedang membantu beberapa orang penonton yang masih terpinga-pinga dan ada yang baru sahaja tersedar dari pengsan. Saiful Ihzam pula sedang mengurut kepalanya yang pedih. Puan Saodah dan Puan Raudah membetulkan beberapa boneka-boneka manusia yang rebah kembali ke kerusi mereka)
Baiklah! Tanpa menunggu lagi, saya akan huraikan empat poin utama dalam Paradoks Fermi iaitu:
a) Matahari adalah bintang yang normal dan boleh dikatakan selaku tipikal di antara berbilion bintang-bintang di galaksi termasuklah yang jauh tua usianya dari bumi. Ada yang berusia berbilion tahun dari detik-detik kelahiran bumi.
b) Terdapat kebarangkalian tinggi, terdapatnya bintang-bintang yang mempunyai planet seperti bumi, dan sekiranya bumi ini adalah planet yang tipikal, maka, pasti ada planet yang mengandungi peradaban berintelektual tinggi juga.
c) Barangkali terdapat peradaban yang punya kebolehan untuk mengembara merentas angkasa, satu perkara yang orang bumi tengah kaji kini.
d) Biarpun pengembaraan angkasa memakan masa yang begitu lama, galaksi Bima Sakti sepatutnya telah diterokai dalam tempoh jutaan tahun yang berlalu.
Bagaimana hendak kita huraikan semua ini Ya, Krishnan. Memandangkan awak sudah bersedia, bagaimana kalau awak mulakan dulu
KRISHNAN
(Berdehem dua kali. Memerhatikan setiap orang yang berada di atas pentas. Masing-masing telah mengambil tempat duduk mereka, biarpun ia agak tidak kemas seperti tadi. Masih ada kerusi berselerakan. Masih ada boneka-boneka yang bergelimpangan tak diperbetulkan. Mitchelle sudah tidak duduk di atas platform tetapi dia turut mengambil tempat duduk di kalangan penonton. The Phosphorus masih dalam bentuk cecair likat dan statik pada tempatnya)
Saya sebenarnya bersimpati juga kepada manusia. Mereka terawang-awang mencari peradaban lain. Mencari harapan agar mereka boleh mengetahui akan rahsia galaksi di sekitar mereka. Mereka inginkan komunikasi dengan makhlukmakhluk lain, memahami apa yang terjadi dalam peradaban lain.
Namun kami mendapati manusia masih belum dapat memadamkan keganasan dalam jiwa mereka. Mereka ingin tahu, tetapi masih punya niat untuk memusnahkan sesuatu yang mereka tidak tahu.
Ingat Razali Oh ya, Sumiryati pun ada di sini Bagus. Kamu lihat sahajalah bagaimana komuniti Marikh kamu memberi reaksi kepada penjajahan The Phosphorus. Adakah itu reaksi yang patut diterima oleh kami The Phosphorus adalah satu peradaban yang berada pada tahap II mengikut skala Kardashev dan sedikit maju dari segi biologikal jika hendak dibandingkan dengan manusia.
Perkara pertama yang komuniti Marikh buat ketika terima kau kembali adalah tembakan demi tembakan dengan niat membunuh!
Paradoks Fermi, kekal paradoks tanpa sebarang komunikasi dengan kami selaku pentadbir alam ini. Kami tahu di mana letakanya planet-planet yang mirip bumi dan juga punya kapasiti peradaban yang sama seperti manusia. Kami tahu jumlah-jumlahnya. Kami tahu juga mengapa tiada komunikasi berlaku.
Lihat ini!
(Krishnan mengeluarkan sejenis cakera. Ia kelihatan begitu kuno. Imej cakera itu cukup dikenali Razali dan Sumiryati, ia merupakan mesej yang manusia silam hantarkan ke angkasa selaku medium komunikasi mereka dengan makhluk asing. Ia dicampakkan ke lantai, lalu berkecaian)
Plak Pioneer ini telah lama sampai ke tangan kami. Kami sedar ia adalah mesej manusia kepada kami, memohon agar satu set komunikasi berlaku antara kita. Namun ia terlalu awal. Manusia masih dalam pemerhatian lagi. Definisi komunikasi kita masih terlalu jauh berbeza. Kaedah yang manusia gunakan tidak akan melepasi galaksi yang punya jarak jauh dari satu jasad selestial ke jasad selestial yang lain.
Namun kami terbitkan percikan-percikan cahaya kebijaksanaan untuk kamu di bumi. Sesuatu yang kamu panggil selaku kepercayaan kepada entiti yang punya kuasa jauh dari apa yang kamu dapat bayangkan. Ia agar kamu berterusan mencari dan berterusan berevolusi.
Dalam masa ratusan tahun, manusia dah dapat keluar dari status planetarium itu. Ia satu pencapaian mengagumkan biarpun agak terlambat.
Manusia melihat angkasa hanya dengan menggunakan cahaya yang terlalu bergantung pada jarak.
Manusia terlalu menilai jirim gelap sepertimana mereka menilai zarah fizikal. Sedangkan jirim gelap dan juga masa adalah konsep yang serupa.
Sekarang jelas Fermi tidak salah, cuma tak tepat. Untuk sampai ke tahap kami, kamu semua harus bijak memanipulasi jirim gelap yang menjarakkan jasad-jasad selestial berbilionbilion tahun cahaya. Untuk mengira bintang-bintang di galaksi, haruslah kita melontar kesedaran kita yang tidak dibataskan oleh cahaya. Fizik manusia membuktikan mereka tidak akan dapat melepasi kelajuan cahaya kerana ia secara relatifnya tidak logik. Persoalannya, mengapa harus bergerak pada kelajuan melepasi pergerakan cahaya Kami ada cara lain lebih cepat.
(Krishnan mengetuk sisi kepala kanannya dengan jari telunjuk dan tersengih)
Asingkan jirim gelap dari jarak, letakkan sifat fizikal pada masa dan menggembaralah dalam bentuk molekul. Gunakan kawalan ke atas gelombang gravitasi dan meluncurlah dari satu jasad selestial ke jasad selestial yang lain. Mudah.
Namun di luar pemahaman manusia lagi.
MITCHELLE
(Mengambil mikrofon dan menyambung penerangan
Krishnan tadi)
The Phosphorus sendiri tidak berkemampuan untuk memahami mod pengangkutan begini. Marikh bukanlah satu tempat yang sesuai untuk mengembangkan teknologi. The Phosphorus cuma berevolusi secara biologi dengan pantas agar dapat menyesuaikan diri dengan fenomena cuaca yang begitu ekstrim. Selagi sistem suria kamu tidak ditelan lohong hitam dan juga Marikh tidak dimusnahkan dengan pelanggaran jasad selestial yang lain, mereka akan selamat. Biarpun orbitnya berubah drastik lantas mengubah cuacanya menjadi ekstrim, mereka tetap akan selamat. Manusia pula, tak berpeluang langsung.
Jessie! Saya rasa kita patut terangkan kepada manusiamanusia ini, cara untuk merentas angkasa tanpa memerlukan berbilion tahun. Kita kesuntukan masa sebenarnya, tak begitu Jessie
JESSIE BORGUES
(Menggeleng kepala, bangun dari kerusinya lalu bergerak ke latar yang memaparkan W H I T E H O L E)
Dalam bentuk begini, kita tak dapat buat apa-apa. Menerangkan sesuatu yang berlainan dari definisi fizikal mereka dengan menggunakan bentuk mereka, adalah sesuatu yang sukar. Mereka harus keluar dari antropik, tetapi mereka tetap terkurung dalam antropik tersebut.
Saya selaku moderator berpendapat, kamu semua sudah mengerti, bagaimana kamu boleh tercampak keluar dari planetarium kamu dengan asimilasi penghuni Marikh.
Adakah kita nak sambung konferens ini atau tidak Saya rasa mereka akan bingung jika kita ceritakan mod pengangkutan kita kepada mereka. The Phosphorus pula dah tidur. Adakah konferens kita relevan lagi
RAZALI
(Menuding ke arah Krishnan dengan mimik wajah tidak berpuas hati. Krishnan tersenyum sahaja, lalu mengeluarkan cerutnya lagi tapi hanya dibiar menari di antara jarijemarinya. Mitchelle memerhati sahaja dengan senyuman sinis. Jessie turun dari platform lalu menghulurkan mikrofon kepada Razali yang masih tidak tahu apa yang hendak ditanyanya)
Saya nak konferens ini diteruskan. Saya tak peduli. Saya nak kamu terangkan kepada kami bagaimana kamu datang ke mari. Saya nak tahu kenapa saya dipilih di antara jutaan manusia ini untuk dibawa ke tempat kamu. Saya ada banyak persoalan yang hendak kamu jelaskan. Usah gunakan alasan persempadanan fizikal kita. Saya tahu kamu sedang menyimpan rahsia penerokaan angkasa dari kami. Kamu malas mahu menceritakannya kepada kami. Jangan berpurapura lagi!
PUAN RAUDAH
(Keberanian terbit dalam dirinya. Dirasakan The Things itu sungguh celaka. Dicapainya kerusi berhampiran lalu dilontarkan ke arah Krishnan. Namun Krishnan tenang sahaja. Sebaik sahaja kerusi itu berada dalam radius 2 meter daripadanya, seimbas sahaja kerusi itu terlerai menjadi debu)
KRISHNAN
Usah fikir nak serang kami dengan kekuatan fizikal yang siasia itu. Manusia, sering berkalih pada kekuatan fizikal untuk memenangi peperangan. Angkasa begitu luas, penjajahan adalah satu kotak pemikiran primitif. Sesuatu yang manusia belum fahami lagi. Baiklah, biar aku terangkan bagaimana caranya untuk meneroka angkasa tanpa perlu membuang setitik peluh pun. Ah, manusia berpeluh bukan Dengar, aku takkan ulang banyak kali. Ia mungkin rumit tapi aku tak peduli.
(Kesemua manusia yang berada di atas pentas kini memusatkan perhatian mereka pada Krishnan. Krishnan berdehem tiga kali. Cerut dilenyapkan umpama magis dari jari-jemarinya. Sesudah itu dia mendepakan tangannya dengan ruas jari-jemari dibuka luas)
Bayangkan, dua belah tangan aku ini adalah dua jasad selestial yang jaraknya berbilion tahun cahaya. Bayangkan juga dua jasad selestial ini punya makhluk dengan tahap ke II skala Kardashev dan tidak tahu cara-cara untuk melepasi jarak berbilion tahun cahaya tersebut.
Baiklah, begini saudara-saudara dan saudari-saudari sekalian.
Apakah yang ada di tengah kedua-dua jasad selestial ini
(Masing-masing berkerut dahi tidak memahami apa yang cuba disampaikan oleh Krishnan)
Tenaga gelap menolak jirim gelap dan juga jasad-jasad selestial semakin jauh antara satu sama lain dan juga menjadi laluan kepada cahaya dan juga gelombang radio serta segala jenis pancaran radiasi, tetapi tidak menjadi sebahagian daripada objek yang menggunakannya selaku medium.
Jirim gelap umpama masa. Masa bukanlah sesuatu yang fizikal bagi manusia, tetapi bagi kami, jirim gelap dan juga masa adalah sesuatu yang boleh dibentuk mengikut kehendak kami. Manusia, The Phosphorus dan setiap apa yang wujud di dunia boleh membentuknya ikut kehendak mereka, hanya dengan menukar perspektif dan sedikit proses pos-biologikal ke atas struktur diri.
Apabila kita melihat jirim gelap selaku medium untuk cahaya bergerak, maka pastinya terdapat daya geseran yang memperlahankan objek di dalam medium tersebut. Apa-apa pun pergerakan merupakan satu proses di mana satu daya harus wujud untuk menolak sesuatu itu ke depan.
Namun begitu peraturan ini hanya meliputi pergerakan normal. Untuk bergerak di angkasa dengan kelajuan luar biasa, kita harus keluar dari peraturan itu. Gunakan medium lain. Kosongkan ruang dari segala kekosongan yang ada.
Andai kata, tiada sebarang objek pun di antara dua jasad selestial tersebut, apa yang akan jadi Satu ruang vakum di mana tiada langsung tenaga gelap mahupun jirim gelap, tiada langsung cahaya, hatta perkataan tiada itu sendiri juga tiada di dalamnya. Setiap yang wujud tidak akan dapat memasukinya, melainkan dengan paksaan. Dimensi yang terbentuk ini tidak mengizinkan sebarang objek pun berada di dalamnya jika menurut fiziknya, maka sebarang paksaan untuk masuk ke dalamnya akan mencetuskan sejenis tenaga yang luarbiasa kuatnya. Cukup kuat untuk melenyapkan graviti lohong hitam.
Apa yang kami buat, adalah kami menggunakan tenaga itu untuk bergerak melalui dimensi anti kewujudan tersebut. Hasilnya adalah, pergerakan dari jasad selestial ke jasad selestial yang lain hanyalah seimbas. Faham
(Mitchelle menggelengkan kepalanya melihat reaksi setiap orang di situ yang nyata tidak mengerti akan penjelasan Krishnan. Krishnan tersengih melihat reaksi mereka yang tidak memahami kata-katanya lalu dia berpaling ke arah Jessie)
Jessie, haruskah kita teruskan lagi
JESSIE BORGUES
(Mengangguk sahaja)
Teruskan, Krishnan. Kami mendengar. Biar mereka faham betul-betul.
SUMIRYATI
(Bangun dan menjulurkan tapak tangannya ke arah Krishnan, satu isyarat agar tidak diteruskan penerangan)
Tunggu sebentar! Ia pengetahuan baru bagi kami, cuma kami nak tahu, apakah eksperimen yang kamu lakukan untuk buktikan dimensi sebegitu wujud Bagaimana jirim gelap yang masih tidak difahami kami itu boleh dialihkan dengan begitu mudah Dan kalau benarlah dimensi itu tidak boleh dilalui, maka bagaimana kamu bergerak melaluinya
MITCHELLE
(Bertepuk tangan, agak sinikal)
KRISHAN
Jangan mulakannya, Mitchelle. Mereka masih mentah, tak tahu apa-apa.
(Menghidupkan cerut yang kembali timbul di antara jarijemarinya. Asap berkepulan di ruang platform. Bau fosforus begitu kuat. Ketika ini, The Phosphorus sudah bertukar menjadi debu merah dan sering berubah-ubah bentuknya biarpun ia setempat tidak bergerak.
Krishnan mengeluarkan sebentuk logam berbentuk sfera yang punya saiz seperti guli. Dia melepaskan logam itu yang berwarna perak tetapi objek itu tidak jatuh. Ia berapungan statik)
Aku akan tunjukkan bagaimana ruang vakum itu diwujudkan. Namun aku kena jelaskan mengapa pengubahan pos-biologikal amat penting sebelum jasad kita boleh menerawang dalam dimensi sebegitu rupa.
Guli ini, mewakili molekul kita. Molekul yang membentuk jasad kita. Dimensi yang tiada jirim gelap akan memusnahkan molekul-molekul ini menjadi ketiadaan. Dilumatkan sehingga tiada langsung tenaga yang tinggal. Tenaga dikatakan tidak dapat dimusnahkan tetapi peraturan alam ini tidak boleh diaplikasi dari ruang yang telah dinyahkan tenaga gelapnya.
(Krishnan mewujudkan sejenis lapisan cahaya yang membalut logam tersebut. Lapisan cahaya itu dibentuk menjadi kotak cahaya biru yang agak lutsinar sifatnya)
Aku akan jadikan ruang dalam kotak ini selaku vakum, tanpa jirim gelap sekalipun. Lihat.
(Dengan satu sentuhan, satu perubahan mula berlaku dengan guli di dalam kotak cahaya tadi. Ia seolah mengeluwap, mencair sebelum merebak ke setiap ruang kotak sebelum lenyap begitu sahaja. Kotak cahaya itu bergegar hebat untuk beberapa ketika)
Tanpa pengubahan ke atas molekul tersebut, tiada sebarang kewujudan pun boleh melepasi ruang tersebut. Namun bagaimana kalau kita lakukan pengubahan secara posbiologikal ke atas setiap molekul dalam tubuh kita
Kami, The Things bernasib baik kerana berjaya menemukan bahan anti jirim gelap yang boleh mengoyakkan fabrik tenaga gelap untuk satu tempoh yang singkat. Tenaga yang meletus digunakan untuk melontar kami dari satu jarak ke jarak yang lain dalam masa sejenak. Untuk bergerak sebegitu pantas kami harus mengubah bentuk kami menjadi molekul-molekul yang telah dibalut dengan bahan anti jirim gelap agar ia tidak dihancurkan oleh tenaga gelap tadi.
Masa, tahun cahaya dan jarak semuanya tidak wujud dalam fabrik yang tidak dikuasai tenaga gelap tadi. Teleportasi adalah kebiasaan kami.
Dan manusia masih kalut memikir bagaimana mahu mengenalpasti jirim gelap! Buang masa!
(Krishnan menepuk meja dengan kedua-dua belah tangannya, tampak berang benar)
RAZALI
(Terpinga-pinga. Dalam kepalanya ada pengetahuan itu, hasil dari asimilasinya dengan The Phosphorus dan juga godaman minda oleh The Things, tetapi kini dia sudah dapat melihat bagaimana kehidupan mereka selama ini begitu kerdil dan tidak relevan di kalangan warga-warga alam semesta)
(UMBERTO FERMI)
(Tiba-tiba bangun dan mendapatkan mikrofon dari Razali secara rampasan)
Jadi kami harus percaya dakyah kamu tanpa membuktikannya terlebih dahulu, En. Krishnan Kami adalah saintis dan kami tidak menerima informasi tanpa membuktikannya terlebih dahulu. Jika boleh, guli yang anda pegang itu dan juga medan tenaga yang membalutnya itu, harus diserahkan kepada kami untuk diuji.
Terlalu banyak pseudosains di luar sana oleh golongan pemalas!
PUAN RAUDAH
(Turut beroleh keberanian lalu bangkit dari kerusinya. Dia mahu mengatakan sesuatu tetapi bibirnya terkunci. Kejanggalan perbuatannnya itu disedari oleh penontonpenonton manusia yang lain. Pada masa itu, The Phosphorus telah lenyap. Apa yang tinggal hanyalah pakaiannya di atas lantai.)
MARIAH SEAGAR
(Turut bangkit dari kerusi lalu bergerak mendekati Umberto Fermi. Dengan wajah penuh yakin, dia berpaling ke arah Krishnan)
Kami yakin, The Things dan The Phosphorus punya matlamat tertentu dengan menganjurkan konferens ini. Apa yang kamu cuba capai, En. Krishnan Cik Mitchelle Cik Jessie
JESSIE BORGUES
(Tersenyum lalu mengangkat mikrofonnya. Dengan satu pergerakan tangan, dia mengubah paparan landskap video latar dari paparan W H I T E H O L E kepada beberapa kelompok cakerawala yang perlahan-lahan disedut oleh kemunculan lohong hitam merata. Ia menyedut ganas setiap jasad-jasad selestial yang ada sehingga mengherot-berotkan fabrik angkasa dengan kekuatan graviti yang begitu dahsyat. Dalam kemelut lohong-lohong hitam yang muncul dari bintang-bintang yang mati itu, sebuah planet yang luar biasa diameternya bergerak dan berubah-ubah orbitnya, mengitari dari satu lohong hitam ke lohong hitam yang lain)
Mitchelle, kau nak ceritakan kepada mereka apa yang terjadi
MITCHELLE
(Mengangguk tanda mengerti)
Semua ini untuk kau Razali. Setiap penonton di dalam dewan ini, dan juga peserta-peserta konferens ini harus faham, mereka semua adalah cetusan-cetusan qualia kamu, pengetahuan kamu dan sebagainya. Lihat semua, inilah situasi alam semesta kita dan semestinya belum dapat dilihat mereka yang berada di bumi kerana manusia masih melihat dari lensa pergerakan cahaya yang mengambil masa berbilion-bilion tahun untuk sampai ke mata mereka.
Lihatlah Razali!
Planet kerdil itu adalah di mana kita berada. Berbilion spesis ada di dalamnya dan kami telah menyimpan jasad ataupun bentuk mereka di dalam tempat penyimpanan khas. Kau juga tak terkecuali. Kaulah satu-satunya manusia yang kami pilih untuk diletakkan dalam pengawasan kami.
Namun kami tidak boleh bertukar-tukar orbit begitu sahaja. Kemunculan lohong hitam yang mendadak ini harus dihentikan. Apabila lebih dari 2 lohong hitam bertembung, gelombang gravitasinya tidak akan mengizinkan planet ini bertukar-tukar orbit dengan mudah. Kami perlukan setiap intellegensia yang ada dari berbilion spesis yang kami temui untuk mewujudkan satu kebijaksanaan yang boleh menyelesaikan masalah kemusnahan mutlak ini.
Kamu semua nak hidup bukan! Jawab! Jawab!
PUAN SAODAH
(Membaling kerusi ke atas skrin besar. Ia berkecaian lalu meletup kuat. Percikan api dan juga rembesan bahan kimia berwarna hijau melimpah dari bahagian yang pecah. Kacakaca berhamburan. Tindakan itu membuatkan The Things kehairanan. Mereka tidak menyangka perkara itu akan terjadi. Namun setelah sejenak berlalu, mereka kembali tenang dan meneliti setiap perbuatan manusia-manusia di hadapan mereka. Razali mara ke depan tanpa menghiraukan orang-orang di sekelilingnya)
RAZALI
Dalam diri aku, ada yang tidak mahu percaya, ada yang mahu percaya. Itulah kami, manusia. Kami kompleks dari segi emosi, sesuatu yang kamu panggil qualia, sesuatu yang kamu fikir kamu boleh kawal dan bentukkan.
Aku akui, alam semesta akan musnah dan kau perlukan kami untuk menghalangnya.
Jessie.
Boleh hentikan konferens ini
Aku rasa aku dah faham. Semua ini harus berakhir.
(Kesemua manusia-manusia yang ada mula merosakkan setiap boneka dan membaling kerusi ke arah makhlukmakhluk asing yang masih terkesima dengan skrin yang pecah. Jessie menggeleng kepala. Krishnan pula sudah mengutip pakaian The Phosphorus yang kelibatnya hilang entah ke mana. Mitchelle menyerang kembali mana-mana orang yang membaling kerusi ke atasnya. Pergelutan berlaku. Razali pula tidak mahu masuk campur. Kegilaan ini sudah berakhir. Dia percaya semua ini hanyalah manifestasi fikirannya yang tidak mahu menerima hakikat)
KRISHNAN
Manusia memang ganas! Namun itu takkan gagalkan rancangan aku! Jessie! Tamatkan konferens ini!
JESSIE BORGUES
(Mengambil pakaian The Phosphorus dari Krishnan lalu ditebarkan berkali-kali. Debu-debu merah Marikh mula berkitaran dan semakin lama semakin tebal, membentuk kabus merah yang buatkan setiap orang di atas pentas kecuali Razali dan juga The Things terbatuk-batuk.
(Perlahan-lahan tirai tertutup. Sebelum kain tirai menutup sepenuhnya akan pentas dan pelakon-pelakonnya dari pandangan penonton, Razali meloncat keluar ke bawah pentas. Dia memerhati setiap seorang dari penontonpenonton yang ada seolah mencari seseorang yang dikenali, tetapi nampak gayanya tiada. Razali melangkah keluar dari dewan lalu ditelan cahaya putih yang begitu terang)