Pada suatu pagi, Cikgu Muhammad terkecah-kecah mahu ke surau. Katanya Tok Penghulu Ariffin mahu memberikan pengumuman kepada penduduk kampung. Lalu Leman lekas bersiap dan mahu mengikut. Disarungnya kemeja paling kemas yang masih berbucu di gosok Mak Cik Vijaya dengan padanan seluar hitam yang ditempah dari kedai Nyonya Mei Mei di pekan Mentakab.
Eh, bukan main lagi dia. Cikgu Muhammad mengusik. Sudah tahu anak lelaki yang ini cukup suka bergaya jika dengar tentang Tok Penghulu Ariffin. Pastinya melekat di dalam kepala yang anaknya sudah pandai berbunga-bunga tentang Nurul. Cikgu Muhammad ketawa sambil menggeleng-gelengkan kepala. Haih budak-budak sekarang! Lalu ditepuk bahunya dari tangan kanan Mak Cik Vijaya suruh berhenti mengusik anak lelakinya itu.
Leman lekas berdiri di samping basikal ayahnya sedang ayahnya masih lagi bersiap-siap. Songkok sudah di kepala, dicapainya dompet coklat gelap dan dimasukkan ke poket belakang lalu terus sahaja menuju turun ke basikal.
Tuan-tuan penduduk Pasir Rawa. Hari ini saya mahu menyampaikan satu amanat dari Jabatan Kesihatan. Dikhabarkan kita semua perlu berjaga-jaga tentang wabak penyakit yang baru sahaja menular di negeri kita. Wabak Cacar ataupun Variola.
Semua orang perlu jaga kesihatan, jaga kebersihan dan pastikan minum air yang sudah pun dimasak. Sekiranya ada demam yang berpanjangan, terus sahaja ke hospital jangan tunggu-tunggu lagi.
Semua penduduk mengangguk tanda setuju dan menjamu mihun goreng yang tersedia selepas pengumuman. Leman mundar-mandir mencari kelibat Nurul yang tadinya kelihatan masih berkepit dengan ibunya. Oi, cari akulah tu. Nurul menyapa.
Eh. Mana ada! Perasan! Leman menjeling tajam. Terkejut ditegur dari belakang.
Ah sudahlah kau, selalu tak mahu mengaku. Ha! Ha! Nurul bergurau beria. Berpusing-pusing jari jemarinya melihat Leman yang sudah tak keruan. Leman, aku minta maaf kerana tampar kau dulu, kau maafkan aku ya Eh. Mana ada salah, aku suka. Ha! Ha! Ha!
Bengongnya! Ha! Ha! Ha!
Amboi dua beranak ni kalau berjumpa, dah lupa mak kat sini. Mana mak kamu Leman Sampuk ibu Nurul.
Mak tak datang mak cik. Ada di rumah.
Panjang ooo yang terpacul dari mulut Ibu Nurul. Usai sahaja makan, berbondong-bondong penduduk keluar dari halaman surau yang sekecil tanah dua puluh kali lima puluh empat kaki itu.
Leman seperti biasa sudah pun menanti di sisi basikal Cikgu
Muhammad.
Leman, kau baliklah sendiri. Abah mahu jumpa Pak Yus Bilal sekejap. Leman mengangguk lalu terus longlai berjalan sendiri pulang ke rumah.
Saat melewati rumah Mak Cik Cah, Leman merenung tajam. Mengecilkan mata. Leman berdiri betul-betul di hadapan rumah kegemarannya satu masa yang baru sahaja berlalu. Tibatiba pintu dapur dibuka, nampak seseorang membuat simbahan air beras keluar dan memercik di atas tanah. Pasti Mak Cik Cah ada. Berkata Leman dalam hatinya.
Assalamualaikum Assalamualaikum..
Waalaikumussalam. Di dapur uiiiiii..., jerit Mak Cik Cah dari tanah dapur. Leman berjalan ke belakang dan menjenguk dari pintu. Leman! Ya Allah, masuklah, masuklah. Mak Cik Cah memegang erat tangan Leman dan disuruhnya duduk di meja kecil yang sudah diletak lekat di dinding dapur. Sejak Duli pergi, mak cik ingat kau dah tak nak jenguk mak cik.
Leman menggeleng, hanya melempar senyum kelat kepada Mak Cik Cah yang sedang meligat di dapur.
Mak cik, saya nak masuk bilik Duli boleh
Mak Cik Cah terdiam. Terus berdiri tegak dan berpusing perlahan memandang Leman. Mari mak cik tunjukkan.
Leman mengekori Mak Cik Cah. Sungguhpun sememangnya Leman sudah mengetahui di mana letaknya bilik Faduli, Leman akur sahaja dengan Mak Cik Cah.
Ha masuklah. Hari dia nak pergi tu macam nilah keadaan bilik dia. Dia dah siap kemas semua. Katil dia kemas, baju-baju yang biasa dia sepahkan dia letak elok dalam bakul. Buku-buku sekolah dia susun dan yang paling mak cik terkejut ialah dia letak Quran betul-betul tepi bantal dia tidur. Mak Cik Cah memandang Leman. Nampak genang-genang air mata yang sedang bertakung. Leman melepaskan punggung di hujung katil dan Mak Cik Cah berjalan perlahan kembali ke dapur.
Lalu Leman mencapai Quran dan dibuka di bahagian yang punya kertas sebagai penanda. Tertulis dengan jelas menggunakan pensel 2B.
Demi Tuhan yang memilih aku berkawan dengan Leman dan Bahari,
Demi Tuhan yang meminta aku pilih syurga dari neraka,
Demi Tuhan yang menyuruh aku berbuat pahala dari dosa,
Dan demi Tuhan yang menyarankan aku berbuat baik dari berbuat jahat,
Ampuni aku.
Faduli (1 Anggerik).
Leman menutupi muka, menangis teresak-esak dan mengangkat kepalanya menghadap siling. Duli, aku rindu Aku rindu kau Duli
Leman menekup wajahnya. Sesekali dia terpejam dan kembali bangun dan mengesat air mata. Diletakkan kembali Al-Quran di sisi bantal sahabatnya dan berjalan selangkah dua menuju ke rak-rak buku yang tersusun rapi. Kemudian dipegangnya beg sekolah dan joran kesayangannya. Lalu dibuka jendela. Leman menarik nafas panjang dan kembali mengakui rakannya itu sudah tiada. Ya sudah tiada.