Tiada Tajuk - 24
Bab 24

Arfan mengangguk sambil duduk di atas kerusi berhadapan dengan bapanya.

"Jenazah tadi dah jumpa. Kami jumpa dekat dalam kawasan saf wanita. Duk terbaring dalam kain telekung."

Arfan menelan liur. Jantungnya berdentum-dentam bagai hendak memecah keluar.

Arfan meminta diri pada bapanya untuk naik ke atas. Alasannya dia hendak tidur sebab esok kena bangun awal untuk ke kerja. Tapi ianya bohong semata-mata. Sebab Arfan sendiri pun tahu dia tak mungkin boleh tidur selepas apa yang berlaku.

Justeru Arfan cuma duduk di birai katil. Menekup wajahnya yang merenik dengan peluh. Dia tak tahu apa yang hendak difikirkan. Otaknya juga masih cuba memproses segalanya. Apa yang dia nampak di surau tadi Siapa wanita yang sedang solat tu... Adakah dia...

Arfan tak mampu untuk menghabiskan fikirannya. Dia takut. Takut mindanya tak dapat menampung apa yang ingin disarankan hatinya.

Arfan menghempas kepalanya ke atas bantal. Dia menarik selimut sampai ke atas. Memejam mata rapat-rapat. Cuba untuk membuang imej wajah wanita itu tadi. Tapi bila Arfan menutup mata, wajah wanita itu dirasakan lebih dekat lebih jelas. Seperti ada betul-betul di depannya.

Astaghfirullahaladzim....

Lafaz Arfan berkali-kali. Membuatkan jantungnya kembali tenang perlahan-lahan. Sehinggalah akhirnya Arfan berjaya untuk tenggelam dalam tidur....

"Arfan..."

Satu tangan mencuit bahu Arfan yang sedang tidur mengiring.

"Arfan bangun la...."

Arfan membuka mata. Dia masih merasa tapak tangan yang sedang memegang lengannya yang dia sangkakan tadi hanyalah mimpi. Arfan menoleh. Dia yakin itu adalah bapanya yang mengejutkannya untuk bangun sembahyang subuh. Tapi dia silap.

"Arfan... Aswad dah balik ni..."

Arfan melompat bangun. Dia berlari ke sudut bilik dan mengecilkan dirinya di situ. Di dalam kegelapan, Arfan cuba memerhatikan sosok yang mengatakan dirinya Aswad itu. Melalui sedikit cahaya bulan yang mencuri masuk melalui tingkap, Arfan dapat melihat lembaga itu dengan lebih jelas. Tubuh kurus kering. Terlalu kurus. Sehingga ada bahagian-bahagian yang menampakkan tulang putihnya, melalui bukaan-bukaan isi dan kulit yang tidak sempurna. Seperti reput. Kepalanya botak dengan sedikit-sedikit juraian rambut yang panjang pada beberapa tempat. Matanya tersembul. Giginya juga menerjah keluar dari bibirnya. Seluruh tubuhnya pula dilumuri tanah dan lumpur.

"Arfan jangan takut.... Ni Aswad. Aswad dah balik. Datanglah peluk Aswad..."

Kata lembaga itu sambil mendepakan tangannya dan mendekati Arfan. Arfan menjerit memanggil bapanya sekuat hati. Dalam masa yang sama, Aswad masih berjalan terhenjut-henjut mendekatinya. Sehingga Aswad duduk betul-betul di hadapan Arfan. Sedia untuk memeluk abangnya yang begitu dia rindu.

KRRRIIIIIIIIIINNNNNGGGGGG!!!!!!!

Bunyi telefon bimbit Arfan mengejutkannya dari mimpi ngeri. Arfan terus mencapai telefon itu dan menjawabnya.

"Apasal telefon aku pagi-pagi ni, Remy" kata Arfan sambil matanya menyinar pada jam dinding yang bertanda tiga pagi.

"Kau bangun sekarang. Lepas tu jumpa aku dekat tanah perkuburan yang dekat dengan rumah kau tu. Aku dah sampai sini. Aku rasa baik kau datang cepat."

"Kau gila apa ni pergi kubur time macam ni" marah Arfan. Tangannya meraba tilam di bawahnya yang agak basah kerana peluh. Teruk juga dia bermimpi tadi.

"Aku dapat tip dari seseorang yang kata ada aktiviti aneh tengah berlaku dekat kubur ni. Memang betul. Ada ramai orang tengah berkumpul dekat sini. Tapi dia orang tak nampak aku. Aku tengah sembunyi belakang semak."

"Dia orang buat apa"

"Aku tak tau. Tapi semua lelaki. Semua pakai hitam."

"Kau dah telefon polis ke"

"Tak. Aku nak siasat dulu apa yang dia orang buat."

"Kau jangan jadi gila Remy. Mana tau bahaya ke. Baik kau serah je kat polis."

"Kau datang jelah cepat! Dia orang duk berkumpul dekat dengan kubur Aswad..."

Arfan mengambil kunci motornya. Tanpa berfikir banyak dia bergerak menuju ke tanah perkuburan yang hanya sepuluh minit dari rumahnya.

Apabila sampai, tanah perkuburan itu lengang. Arfan berdiri betul-betul di hadapan kubur Aswad, tempat dimana Remy mengatakan ramai orang sedang berkumpul. Arfan menelefon Remy beberapa kali. Tapi setiap kali sama. Taliannya sudah diputuskan. Dia melihat-lihat sekeliling. Cuba mencari Remy. Semak dan samun berdekatan juga diselaknya. Tak ada.

Arfan mendengus. Dia mula merasakan bahawa ini adalah permainan bodoh yang Remy lakukan ke atasnya. Ini bukan kali pertama Remy mengenakannya. Dah banyak kali.

"Bodoh la kau ni Remy. Mampus ar kau bila aku dapat nanti...!" marah Arfan seorang diri ketika dia hendak beredar pulang.

Tapi tiba-tiba matanya tertangkap sesuatu. Sebuah kubur yang keadaannya agak mencurigakan. Tanahnya tidak rata. Seperti ada kesan korek. Arfan mendekati kubur tersebut untuk melihat dari dekat. Memang benar. Kubur itu bertebuk. Macam ada sesuatu yang baru menjengah keluar darinya.

bersambung

Bab akan datang:

Benarkah Remy yang menelefon Arfan Apakah yang berlaku di tanah perkuburan itu