Lepas saja persimpangan di Sungai Buloh, dalam keadaan masih hujan lebat, aku lintasi seorang penunggang motosikal. Lampunya mati. Mungkin habis bateri. Mungkin mentol terbakar. Wallahualam. Tiba-tiba aku terkenang balik zaman aku pakai motor Kriss.
Zaman aku masih budak UPSI yang mahu cari tapak dalam gerakan. Berulang Kuala Lumpur-Tanjung Malim dengan motosikal 110cc. Malam itu sama macam malam ini. Hujan lebat, aku basah kuyup, tidak berjaket mahupun berbaju tebal. Hanya berkemeja-T dan seluar jeans kegemaran.
Aku termasuk dalam kategori manusia malas; reti pakai tak reti jaga. Motosikal pun lama tak servis, apa lagi babbab bateri dan sebagainya. Sudahlah hujan, kuyup; di tengah-tengah lebuh raya itu jugalah, lampu aku mati.
Mula-mula lampu belakang, akhirnya lampu depan; dua-dua sekali, tinggi dan rendah. Aku dah lewat, esoknya perlu ke kelas pagi. Mahu tak mahu kena balik tidur juga. Jadi, aku redahkan saja hujan dan gelap. Bergantung harap dengan deria keenam dan samar-samar lampu kenderaan lain.
Sampai di persimpangan Sungai
Buloh, lepas saja lampu limpah habis terangi jalan aku, tiba-tiba jalan jadi terus terang. Aku sangkakan, ada cahaya dari langit yang datang untuk suluh jalan aku, rupa-rupanya, sebuah Myvi putih yang tolong suluhkan untuk aku. Perlahan motor aku, perlahanlah Myvi putih. Bila ada lori dari belakang, dia susup masuk laluan kecemasan. Setia menyuluh jalan aku.
Akhirnya, sampailah aku tiba di persimpangan Bukit Tagar. Selepas itu, dia sambung perjalanan dia. Aku cuba hon tanda terima kasih tapi bateri dah kaput. Memang tak bunyi. Jadi aku hanya angkat tangan tinggi-tinggi, dengan harapan dia nampak.
Selamat aku sampai rumah malam itu.
Tentu saja aku tak tahu siapa yang pandu Myvi putih itu. Aku anggap dia seorang manusia berhati mulia. Mungkin juga sebab keretanya berwarna putih, aku anggap saja dialah malaikat yang datang tolong aku malam itu. Datangnya tiba-tiba, perginya juga tiba-tiba.
Rasanya, sepanjang hidup ini pun, aku dah jumpa banyak kali dengan malaikatmalaikat begini. Aku doakan orang-orang ini beroleh balasan yang sebaik-baiknya dari Tuhan masing-masing.
Habis mengelamun, aku cuba hampiri motorsikal tadi yang lampunya juga dah mati. Perlahan-lahan aku dekati motosikal itu. Laju pulak abang ini bawa motor. Baru saja aku dapat himpit motor yang bergerak dalam gelap, beberapa meter di depan sudah ada papan tanda Hospital Sungai Buloh 500m. Sampai saja simpang ke Hospital Sungai Buloh, laju motor tadi menyusur masuk.
Kira-kira, aku hanya mampu suluh dalam 100 atau 200 meter saja, selebihnya jalan dah terang menuju susur keluar. Tak guna pun aku suluh.
Aku pun teruskan saja perjalanan. Amar masih nyenyak. Aku tengok saja motor tadi redah saki-baki perjalanan malam dia.
Nampaknya, tidak mampulah aku jadi
malaikat malam ini. Moga abang motor tadi selamat seadanya.