SAINS-LAH! - 24
Saya berkelulusan sarjana muda dan sarjana di bidang fizik. Kini sedang menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah pula. Walaupun institut yang saya sertai kini mempunyai perkataan kejuruteraan padanya, namun bidang kajian yang saya ceburi memang banyak kaitannya dengan fizik. Ia berkaitan dengan fononik iaitu pergerakan akustik dalam pepejal.

Sebelum mengambil keputusan menceburi bidang ini sebenarnya sudah ada 4 bidang kajian yang pernah saya ceburi sebelum ini. Pertamanya sains bahan. Ketika ini saya sedang menyiapkan projek tahun akhir semasa menuntut di peringkat sarjana muda. Fokus kajian adalah pada bahan pintar (smart material) poliuretena atau polyurethane. Kenapa dipanggil bahan pintar Ini kerana ia sejenis bahan yang istimewa kerana mampu mengingati kembali bentuk asalnya walaupun anda mengubah bentuknya kepada bentuk yang lain.

Selain daripada poliuretena, nitinol juga adalah sejenis bahan pintar yang lain. Nitinol digunakan sebagai stern iaitu sejenis alat yang digunakan untuk membuka saluran darah yang tersumbat. Orang kita memanggilnya sebagai belon namun dalam sains dikenali sebagai stern. Pensyarah saya pada waktu itu cuba menggantikan Nitinol yang digunakan pada stern kepada bahan poliuretena tadi. Buat masa ini, penggunaan nitinol masih lagi meluas untuk stern dan belum ada lagi yang menggunakan poliuretena.

Bidang kedua yang saya ceburi ialah perlindungan sinaran. Saya berpeluang untuk mengetahui bidang ini semasa berpraktikal di Agensi Nuklear Malaysia, Bangi. Sinaran terbahagi kepada 2 jenis iaitu sinaran mengion dan sinaran tidak mengion. Sinaran mengion adalah sinaran yang boleh membahayakan manusia malah boleh mengancam nyawa. Contoh sinaran mengion ialah sinaran gamma dan sinaran x. Pekerja-pekerja sinaran seperti yang bekerja di Agensi Nuklear Malaysia ataupun mereka yang mengendalikan mesin X-Ray di hospital perlu dipantau dos yang berada pada badan mereka. Alat-alat yang digunakan untuk mengukur dos ini terdiri daripada OSLD, TLD, lencana filem ataupun RPLGD. Semasa berpraktikal, alat pengesan dos yang saya gunakan adalah TLD dan OSLD.

Selepas habis berpraktikal, saya telah bekerja sebagai pembantu penyelidik di Institut kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN) di UKM. Semasa bekerja selama 8 bulan, saya berpeluang untuk menceburi bidang penyelidikan yang dikenali dielekroporesis (DEP). Dielektroporesis adalah tindak balas menggunakan medan magnet untuk mengasingkan zarah-zarah tertentu daripada zarah yang lain. Aplikasinya boleh didapati umpamanya dalam sains perubatan. Sebagai contoh untuk mengasingkan HSCs iaitu Haematopoietic Stem cell dari sumsun tulang (Kajian Ronal Pethig).

Selepas tamat kontrak sebagai pembantu penyelidik saya meneruskan pengajian ke peringkat sarjana. Sebagai memenuhi keperluan kursus ini, pelajar perlu membuat sebuah projek dan saya telah memilih kajian berkenaan perlindungan sinaran alam sekitar. Sebabnya ia mudah dan sesuai untuk dilakukan dalam jangka masa yang pendek. Jika sebelum ini perlindungan difokuskan kepada manusia, kali ini ia berkaitan pula dengan alam sekitar. Pemantauan seperti ini penting terutamanya melibatkan kawasan yang terlibat dengan aktiviti sinaran. Contohnya di kilang Lynas, Pahang. Setiap bulan, terdapat pegawai khas dari agensi nuklear Malaysia yang akan memantau persekitaran kilang tersebut demi memastikan persekitarannya selamat. Dalam kes saya, saya memantau dos di sekitar kawasan Agensi Nuklear.

Setelah tamat bidang sarjana, saya mengambil keputusan untuk terus melanjutkan pelajaran ke peringkat doktor falsafah. Pada awalnya saya ingin membuat bidang teori, seperti fizik zarah ataupun astrofizik kerana saya memang meminati ini sejak dari sarjana muda lagi. Ia bertambah menarik kerana kebanyakan filem-filem sains fiksyen seperti Star Trek banyak menyentuh berkenaan fizik teori ini. Konsep-konsep seperti lubang ulat, time travel sebenarnya adalah sebuah fenomena yang terdapat di dalam fizik. Begitu serius saya ingin menyambung dalam bidang ini, saya telah berjumpa dengan beberapa orang pensyarah di sekitar UKM untuk berbincang dengan mereka.

Sungguhpun begitu, di dalam hati kecil saya menyimpan sedikit kerisauan kerana fizik teori bukanlah sebuah bidang fizik yang mudah. Ia adalah bidang yang sangat mencabar dan kekuatan pemikiran sangat diperlukan. Pensyarah yang saya jumpa juga menasihati supaya berhati-hati untuk memilih bidang kajian kerana jika silap memilih, pengajian akan menjadi lebih lama untuk dihabiskan. Beliau meminta saya mempertimbangkan perkara tersebut kerana bidang fizik teori masih baru di Malaysia dan pakar-pakar juga tidak ramai.

Dalam masa saya mencari-cari peluang untuk menyambung ke bidang fizik teori saya juga mencari-cari bidang lain sebagai rancangan kedua andaikata tidak menjadi untuk membuat fizik teori. Bidang kedua yang saya ingin pilih langsung tidak terlibat dengan keempat-empat bidang yang pernah saya ceburi sebelum ini. Bukan apa, saya kurang minat. Keempat-empat bidang yang saya sebutkan sebelum ini semuanya sangat kurang struktur matematiknya. Semua menfokuskan kepada kaedah eksperimen dan simulasi semata-mata.

Sebagai pelajar fizik saya telah dididik dengan banyak pendekatan matematik dan saya sudah terbiasa dengan perkara tersebut. Dalam fizik, samada anda mempunyai matematik untuk menerangkan sesuatu, ataupun anda lebih baik diam. Justeru tidaklah hairan kenapa pada mulanya saya ingin menyambung dalam bidang fizik teori. Sebab sudah terbiasa dengan budaya matematik yang diterapkan semasa pengajian dahulu.

Sementara itu, bidang pilihan kedua masih lagi menjadi persoalan. Tetapi hati kecil mahukan bidang yang ada berkaitan dengan matematik sedikit sebanyak. Kebetulan pula pada masa itu, saya telah diberitahu oleh seorang kakitangan di IMEN, terdapat seorang profesor dari Perancis sedang mencari pelajar. Bidang yang dimaksudkan berkaitan dengan fonon. Apabila mendapat tawaran tersebut saya mula membuat sedikit kajian dan pembacaan mengenainya, dan syukur minat telah mencambah dari situ.

Bidang ini mempunyai kaitan dengan mekanik kuantum dan fizik elektromagnet. Dalam masa yang sama ia menekankan juga kaedah fabrikasi dan simulasi. Ia sebuah bidang yang saya kira seimbang. Semasa berada di pengajian dahulu, subjek berkaitan dengan zarah seperti mekanik kuantum, fizik zarah dan molekul (Physics of Particles and Molecules), fizik keadaan pepejal (Solid State Physics) adalah subjek kegemaran saya. Kebetulan fonon adalah sebuah bidang yang mempunyai hubungan dengan subjek-subjek ini. Walaupun semasa di pengajian konsep fonon tidaklah begitu banyak yang dipelajari, namun konsep asas berkenaan fizik zarah yang diajar dahulu tidak lari jauh. Keduanya, jika saya menyertai bidang ini, terdapat beberapa kelebihan akan diperolehi dan sedikit sebanyak ia akan memudahkan perjalanan saya semasa pengajian di peringkat doktor falsafah nanti. Kebanyakan kaedah-kaedah fabrikasi yang diperlukan untuk membuat alat sudah pun dipelajari ketika saya dilantik sebagai penolong penyelidik sebelum ini. Apabila merenung perkara ini, akhirnya saya mengambil keputusan untuk menyambung sahaja di dalam bidang fonon.

Sebenarnya pengajian doktor falsafah yang saya lakukan ini bersifat twin ataupun disebut juga sebagai double degree. Saya akan mendaftar PhD di 2 universiti berlainan dengan tajuk penyelidikan yang sama. Satu universiti dari Universiti Franche-Comte yang terletak di Besancon, Perancis, sebuah lagi di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Biasanya untuk membuat double degree ia melibatkan perjanjian persefahaman di antara 2 universiti. Dalam kes saya, perjanjian persefahaman (MOU) telah ditandatangani di antara Femco-St di Universiti Franche-Comte, France dan juga Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN) di UKM.

Kenapa Fizik

Lalu apa yang mendorong saya untuk memilih fizik Siapa yang mendorong Jawapannya pada sebuah buku tulisan Adnan Oktar bertajuk Relativiti Masa dan Hakikat Takdir. Buku ini pun saya mendapatnya secara kebetulan. Ini kerana saya membaca buku-buku beliau yang lain dahulu sebelum akhirnya terserempak dengan buku ini. Sebelum saya membaca buku Relativiti Masa dan Hakikat Takdir, saya banyak membaca buku beliau berkenaan Teori Darwin dan juga buku beliau berkenaan teori al-Quran dan sains. Sehinggalah apabila kebanyakan buku beliau telah saya baca, saya mencari-cari buku-buku yang lain pula untuk dibaca dan telah memilih untuk membaca buku ini buat sekalian kalinya. Ia buku yang menarik kerana buat pertama kalinya isu masa diterangkan dan tidak sangka pula ia sebuah konsep fizik! Sebelum ini saya tidak pernah pun merasakan masa sebagai sebuah isu yang besar. Kerana bagi saya, masa adalah masa dan tidak ada apa yang harus difikirkan lagi. Tetapi rupanya konsep ini mempunyai kupasannya yang tersendiri dan merupakan antara sebuah isu yang besar dalam fizik. Ia benar-benar membuka mata. Bermula dari sinilah saya dapati fizik bukan semata-mata mengenai pergerakan, haba, cahaya dan tekanan sahaja. Ia lebih luas daripada itu dan merangkumi sesuatu yang tidak pernah pun kita fikirkan. Ia menarik!

Sejak dari sekolah rendah lagi saya tidak mempunyai apaapa pun pendedahan berkenaan bidang yang saya ceburi sekarang ini (fizik). Sejak dari darjah 5, saya memang minat membaca buku. Namun buku-buku yang saya baca banyak berkenaan sejarah tamadun Islam, tamadun eropah, bukubuku berkenaan agama, sirah-sirah nabi dan juga genre motivasi. Pada masa itu, pembacaan mengenai sains boleh dikatakan tiada langsung melainkan buku teks di sekolah. Ini mungkin disebabkan oleh kebanyakan buku-buku yang berada di kedai dan majalah yang dijual hanya menfokuskan kepada bidang agama sahaja. Namun sejak membaca buku Relativiti Masa dan Hakikat Takdir, maka minat terhadap fizik khususnya mula timbul. Namun dalam masa yang sama ia belum sampai tahap untuk menjadi seorang fizikiawan seperti sekarang. Ini kerana saya tidak nampak masa depan sebagai seorang ahli fizik. Untuk jadi apa Begitulah agaknya apa yang saya rasa waktu itu.

Sehingga ke tingkatan 5, saya masih tidak mempunyai wawasan yang jelas ingin menjadi apa dan bidang apa yang hendak diikuti selepas sekolah nanti. Namun terdapat juga niat-niat dalam hati untuk membuat dalam bidang fizik. Ini semata-mata untuk memahami konsep masa dan teori Einstein yang telah disebut dalam buku Adnan Oktar sebelum ini. Ia banyak tidak jelas dan difahami oleh saya. Boleh dikatakan pendedahan Internet kepada saya datang agak lewat disebabkan dasar pendidikan ibu bapa yang tidak begitu terbuka mengenainya. Bagi ayah, internet terlalu berisiko untuk digunakan terutama bagi remaja sekolah seperti saya. Pada hari ini baru saya fahami risiko yang dimaksudkan. Dan disebabkan itu, penjelasan mengenai konsep-konsep relativiti dan masa seperti yang disebut sebelum ini tidak dapat dipuaskan melalui carian di dalam Internet. Lalu saya hanya melihat satu cara sahaja cara, iaitu menyambung pengajian dalam bidang yang berkaitan iaitu fizik. Mungkin ia sebuah konsep tahap tinggi dalam fizik dan disebabkan itu ia tidak diterangkan di peringkat sekolah, fikir saya.

Semasa menyambung pengajian di matrikulasi, saya didapati bersungguh-sungguh untuk mendalami subjek ini berbanding subjek yang lain. Saya selalu berjumpa dengan pensyarah, membuat semua nota-nota bagi setiap bab dan sebagainya. Dalam masa yang sama saya agak kecewa juga kerana apa yang saya harapkan iaitu memahami konsep relativiti tidak diajar ketika di matrikulasi. Silabus di matrik tidak banyak berubah dan banyak mengulang skrip semasa di sekolah menengah dahulu.

Semasa di universiti, saya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian dalam bidang ini. Motivasinya sama, iaitu ingin mendapatkan kefahaman yang lebih lagi dari topik-topik yang disebutkan dalam buku Adnan Oktar sebelum ini. Walaupun terdapat di kalangan saudara mara menasihatkan supaya saya mengambil bidang profesional seperti kejuruteraan, namun perasaan ingin tahu telah menguatkan tekad untuk terus setia kepada fizik. Ia semacam perangai kebudak-budakan yang terlalu mengikuti hati dan perasaan. Namun itulah yang telah membawa saya kepada sekarang ini.

Ketika di universiti banyak perkara baru yang saya belajar. Pada waktu ini saya banyak membaca buku-buku berkaitan sains popular. Disebabkan buku genre begini terdiri daripada buku-buku import yang datangnya dari luar negara, memang tidak dinafikan ia sangat mahal bagi pelajar seperti saya pada waktu itu. Dari sinilah saya mula mengenali selebriti fizik seperti Michio Kaku, Brian Cox, Chard Ozel, Jim Khalili, Kip Thorne dan ramai lagi. Buku-buku begini sangat bagus dan membantu pemahaman saya berkenaan fizik dan isu-isu yang terpalit padanya. Secara tidak langsung ia juga membantu saya untuk memahami apa yang dicari sebelum ini, malah lebih mendalam lagi. Buku-buku ini juga banyak mendedahkan kepada saya perkara baru yang tidak didedahkan di dalam kelas.

Kerana Sebuah Buku

Mengambil bidang fizik bukanlah sesuatu yang dirancang. Pendedahan kepada fizik juga agak lewat iaitu sejak tingkatan 4. Dan apabila mula-mula mempelajari bidang ini tidak banyak perkara yang boleh difahami. Ia merupakan subjek yang susah untuk dicerna. Namun begitu semasa keputusan SPM keluar saya mendapat kelulusan A untuk subjek ini. Keputusan untuk mengambil bidang fizik sampai sekarang bukan didorong oleh sesiapa. Tidak ada seorang pun ahli keluarga yang mendorong saya untuk menceburi bidang ini. Semuanya bermula daripada sebuah buku Relativiti Masa dan Hakikat Takdir yang saya sebutkan sebelum ini. Jangan main-main, adakalanya buku boleh mempengaruhi seseorang untuk buat apa dalam hidupnya!

Biodata

Mohd S. Faiz mempunyai ijazah sarjana muda dan sarjana dalam fizik gunaan. Beliau kini sedang menyambung pengajiannya ke peringkat doktor falsafah secara coutetelle di Institut Kejuruteraan Mikro & Nano-elektronik (IMEN) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Femto St di Universite Franche-Comte, Perancis.